Sabtu, 29 September 2018
Hadis Kelebihan Solat Dengan Berserban
Hadis Palsu: Bercelak Pada Hari Asyura
Menurut al-Hakim, hadis ini mungkar dan tidak ada athar yang warid daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang bercelak pada hari Asyura serta ia bid’ah yang dimulakan oleh pembunuh Saidina Hussein radiallahu ‘anhu. Ibnu Hajar dalam kitab al-Dirayah menilai sanadnya sangat daif. Sebahagian ahli hadis seperti Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at dan al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah menilai ia sebagai palsu.
Sabtu, 22 September 2018
Hadis Palsu: Puasa ‘Asyura Dapat Pahala Sepuluh Ribu Haji dan Umrah dan Pahala Seribu Syahid
Soalan:
Assalamualaikum. Adakah ini hadis dan apa tahap hadis ini?
“Barang siapa berpuasa pada hari asyura diberikan pahala
sepuluh ribu haji dan umrah dan pahala seribu syahid.”
Jawapan:
Waalaikumsalam.
Ada sebuah hadis panjang yang menyebutkan tentang kelebihan puasa Asyura, antaranya diberikan pahala ibadah puasa dan solat malam selama 60 tahun, pahala 10 ribu malaikat, pahala seribu haji dan umrah, pahala 10 ribu orang syahid dan lain-lain. Berikut adalah matannya:
مَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ عِبَادَةَ سِتِّينَ سَنَةً بِصِيَامِهَا وَقِيَامِهَا وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ أُعْطِيَ ثَوَابَ عَشَرَةِ آلافِ مَلكٍ وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ أُعْطِيَ ثَوَابَ أَلْفِ حَاجٍّ وَمُعْتَمِرٍ وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ أُعْطِيَ ثَوَابَ عَشَرَةِ آلافِ شَهِيدٍ وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ سَبْعَ سَمَوَاتٍ وَمَنْ أَفْطَرَ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا أَفْطَرَ عِنْدَهُ جَمِيعُ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ وَمَنْ أَشْبَعَ جَائِعًا فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا أَطْعَمَ جَمِيعَ فُقَرَاءِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ وَأَشْبَعَ بُطُونَهُمْ وَمَنْ مَسَحَ عَلَى رَأْسِ يَتِيمٍ رُفِعَتْ لَهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ عَلَى رَأْسِهِ دَرَجَةً فِي الْجَنَّةِ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَالأَرْضَ كَمِثْلِهِ وَخَلَقَ الْقَلْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ واللَّوْحَ كَمِثْلِهِ وَخَلَقَ جِبْرِيلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَمَلائِكَتَهُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَخَلَقَ آدَمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَوُلِدَ إِبْرَاهِيمُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَنَجَّاهُ اللَّهُ مِنَ النَّارِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَفَدَى إِسْمَاعِيلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَغَرِقَ فِرْعَوْنُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَرُفِعَ إِدْرِيسُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَتَابَ اللَّهُ عَلَى آدَمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَغُفِرَ ذَنْبُ دَاوُدَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأُعْطِيَ الْمُلْكَ سُلَيْمَانُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَوُلِدَ النَّبِيُّ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَاسْتَوَى الرَّبُّ عَلَى الْعَرْشِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَيَوْمُ الْقِيَامَةِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ
“Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura, Allah akan menuliskan untuknya (ganjaran) ibadah selama enam puluh tahun dengan puasa dan qiamnya (solat malamnya). Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura, akan diberikan pahala sepuluh ribu malaikat. Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura, akan diberikan pahala seribu orang yang menunaikan haji dan umrah. Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura, akan diberikan pahala sepuluh ribu orang yang syahid. Dan sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura, Allah akan menuliskan untuknya ganjaran (penghuni) tujuh petala langit.
Sesiapa yang memberi makan untuk berbuka puasa kepada
seorang mukmin pada hari Asyura, maka seolah-olah dia telah memberi makan untuk
berbuka puasa kepada seluruh umat Muhammad. Sesiapa yang mengenyangkan orang
yang lapar pada hari Asyura, maka seolah-olah dia telah memberi makan kepada
seluruh fakir miskin umat Muhammad dan mengenyangkan perut-perut mereka.
Sesiapa yang mengusap kepala anak yatim, akan diangkatkan baginya satu darjat
di dalam syurga bagi setiap helai rambut di kepalanya.
Allah menciptakan langit-langit pada hari Asyura dan bumi
sepertinya (pada hari yang sama). Dia menciptakan Qalam (pena) pada hari Asyura
dan Luh (Mahfuz) sepertinya. Dia menciptakan Jibril pada hari Asyura dan para
malaikatnya pada hari Asyura. Dia menciptakan Adam pada hari Asyura. Nabi
Ibrahim dilahirkan pada hari Asyura dan Allah menyelamatkannya daripada api
pada hari Asyura. Allah menebus Nabi Ismail pada hari Asyura. Firaun
ditenggelamkan pada hari Asyura. Nabi Idris diangkat (ke langit) pada hari Asyura.
Allah menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura. Dosa Nabi Daud diampunkan
pada hari Asyura. Kerajaan diberikan kepada Nabi Sulaiman pada hari Asyura.
Nabi (Muhammad SAW) dilahirkan pada hari Asyura. Tuhan bersemayam di atas
'Arasy pada hari Asyura. Dan hari Kiamat (akan berlaku) pada hari Asyura.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab
al-Maudhu'at daripada hadis 'Ibnu 'Abbas.
Dalam sanadnya ada perawi bernama Habib bin Abi Habib
al-Khartati (الخَرْطَطِي)
yang merupakan seorang pemalsu hadis.
Ibnu Hibban dalam al-Majruhin berkata berkenaan hadis ini: "Batil.
Tidak ada asal usul baginya."
Ibnu al-Jauzi berkata: "Palsu tanpa syak lagi."
Soalan: Hadis Palsu Kelebihan Memberi Makan Dan Minum
Rabu, 12 September 2018
Status Hadis: Rezeki Terputus Kerana Tidak Berdoa Untuk Ibu Bapa
إذا ترك العبدُ الدعاءَ للوالدين فإنه ينقطعُ عنه
الرزقُ
“Jika seseorang
itu meninggalkan berdoa untuk kedua ibu bapanya, ia menyebabkan rezekinya
terputus.”
Riwayat al-Hakim al-Naisaburi dalam Tarikh Naisabur (sebagaimana
dalam kitab Kanz al-‘Ummal), al-Dailami dalam al-Firdaus dan
Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada jalur perawi:
Ahmad bin Khalid al-Syaibani daripada al-Hasan
bin Muhammad al-Burri daripada Yazid bin ‘Utbah bin al-Mughirah al-Naufali
daripada al-Hasan al-Basri daripada Anas bin Malik.
Ahmad bin Khalid al-Syaibani ini ialah Ahmad bin Abdullah
bin Khalid al-Juwaibari, salah seorang pemalsu hadis yang terkenal.
Kata Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at:
“Hadis ini tidak
sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Perawi yang dituduh
(memalsukannya) ialah al-Juwaibari. Dia adalah Ahmad bin Khalid. Dia
dinisbahkan kepada datuknya kerana (namanya) ialah Ahmad bin Abdullah bin
Khalid. Dia dinisbahkan kepada datuknya kerana untuk mentadliskannya
(menyembunyikan identiti sebenarnya). Ia adalah perbuatan yang dilarang.”
Hadis ini juga dihukum sebagai palsu oleh al-Sayuthi dalam al-Laali’
al-Masnu’ah, Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah
al-Marfu’ah dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah.
Namun begitu tidak dinafikan kepentingan berdoa untuk ibu
bapa sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah Ta’ala:
وَاخفِض لَهُما جَناحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحمَةِ
وَقُل رَبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّياني صَغيرًا
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya
(ibu bapa) kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan
mendidikku semasa kecil."
Setelah beberapa lama saya temui sebuah hadis yang
menunjukkan bahawa berbuat baik kepada ibu dan bapa menjadi sebab untuk
ditambahkan rezekinya:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُمَدَّ لَهُ فِي عُمْرِهِ،
وَأَنْ يُزَادَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، فَلْيَبَرَّ وَالِدَيْهِ، وَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Sesiapa yang ingin untuk dipanjangkan umurnya dan ditambah
rezekinya maka berbuat baiklah terhadap ibu bapa dan sambunglah silaturrahim.”
Riwayat Ahmad (no. 13401)
daripada hadis Anas bin Malik. Sanadnya sahih menurut al-Hafiz al-Busiri dalam
kitab Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.
Jadi bolehlah menggunakan hadis ini menggantikan hadis yang
pertama tadi.
Wallahu a’lam.
Jumaat, 7 September 2018
Hadis: Kalau khusyuk Hatinya Nescaya Khuyuk Anggota Badannya
Hadis ini juga mempunyai jalur yang lain.