Khamis, 6 September 2018

Hadis: Melihat Wajah Orang Alim Adalah Ibadah

Hadis Pertama

النّظر إِلَى وَجه الْعَالم عبَادَة وَالْجُلُوس مَعَه عبَادَة وَالْكَلَام مَعَه عبَادَة

“Melihat wajah orang alim adalah ibadah. Duduk bersama dengannya adalah ibadah. Bercakap dengannya adalah ibadah.”

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, hadis ini dibawakan oleh al-Dailami (m. 509 H) tanpa sanad daripada hadis Anas bin Malik dan ia tidak sahih (palsu).

Hadis Kedua

نَظْرَةٌ فِي وَجْهِ الْعَالِمِ أَحَبُّ إِلَى اللَّه مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ سَنَةً صِيَامًا وَقِيَامًا

Melihat wajah orang alim lebih disukai oleh Allah daripada ibadah puasa dan solat malam selama 60 tahun.”

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi, hadis ini disebutkan dalam naskhah hadis Sam’an bin Mahdi daripada hadis Anas bin Malik. 

Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal, Sam’an bin Mahdi ini tidak dikenali dan dia dikaitkan dengan sebuah nakhah hadis palsu

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan, naskhah tersebut mengandungi lebih daripada 300 buah hadis dan kebanyakan matan-matannya adalah palsu.

Hadis Ketiga

Ibnu al-Jauzi meriwayatkan dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah daripada jalur perawi Sulaiman bin al-Rabi’ al-Nahdi daripada Hammam bin Muslim daripada Ibnu Juraij daripada ‘Atha daripada Abu Hurairah  bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الْعِبَادَةِ قِلَّةُ الطَّعَامِ عِبَادَةٌ وَالْقُعُودُ فِي الْمَسَاجِدِ عِبَادَةٌ وَالنَّظَرُ إِلَى الْكَعْبَةِ عِبَادَةٌ وَالنَّظَرُ في المصحف من غير أن يَقْرَأَ عِبَادَةٌ وَالنَّظَرُ فِي وَجْهِ الْعَالِمِ عِبَادَةٌ

“Lima perkara adalah ibadah; Sedikit makan adalah ibadah. Duduk di dalam masjid adalah ibadah. Melihat kaabah adalah ibadah. Melihat mushaf tanpa membacanya adalah ibadah. Melihat wajah orang alim adalah ibadah.”

Kata Ibnu al-Jauzi: “Hammam bersendirian meriwayatkan hadis ini daripada Ibnu Juraij. Dan tidak ada yang meriwayatkan daripadanya (Hammam) selain daripada Sulaiman bin al-Rabi’.”

Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin: “Hammam ini mencuri hadis. Dia meriwayatkan daripada perawi-perawi thiqah hadis yang bukan milik mereka (pada hakikatnya). Maka terbatalkan kebolehan berhujah dengannya.” Menurut al-Daraqutni (m. 385 H) dalam al-‘Ilal, Hammam ini matruk (ditinggalkan hadisnya).

Sulaiman bin al-Rabi’ juga adalah perawi matruk menurut al-Daraqutni.

Hadis Keempat

Al-Dailami dalam al-Firdaus menyebutkan daripada hadis Usamah bin Zaid:

الْجُلُوس فِي الْمَسْجِد لانتظار الصَّلَاة بعد الصَّلَاة عبَادَة وَالنَّظَر فِي وَجه الْعَالم عبَادَة ونوم الصَّائِم عبَادَة وَنَفسه تَسْبِيح

“Duduk di dalam masjid untuk menunggu solat (yang akan datang) selepas selesai melakukan solat adalah ibadah. Melihat wajah orang alim adalah ibadah. Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah dan nafasnya adalah tasbih.”

Saya tidak temui sanad hadis Usamah bin Zaid ini.

Al-Munawi dalam al-Taisir menyatakan bahawa sanadnya daif. Dalam Faidh al-Qadir, al-Munawi menyebutkan bahawa dalam sanadnya ada perawi Ahmad bin ‘Isa al-Misri yang disebutkan oleh al-Zahabi dalam kitab al-Dhu’afa’ dan beliau berkata: “Ibnu Ma’in mendustakannya dan dia (Ahmad bin ‘Isa al-Misri) adalah thiqah.”

Ahmad bin ‘Isa al-Misri adalah perawi Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Menurut al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, beliau tidak melihat orang yang mempertikaikan Ahmad bin ‘Isa al-Misri ini mempunyai hujah sehingga perlu meninggalkan berhujah dengan hadisnya. Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Kasyif, Ahmad bin ‘Isa al-Misri ini dipertikaikan tanpa hujah.

Agak menghairankan. Sekiranya Ahmad bin ‘Isa al-Misri bukan perawi daif mengapa al-Munawi dalam al-Taisir mengatakan bahawa sanadnya daif?

Oleh sebab saya tidak temui sanad hadis Usamah bin Zaid ini jadi saya bertawaquf daripada menetapkan sebarang hukum kepadanya walaupun pada kebiasaanya hadis yang hanya diriwayatkan oleh al-Dailami adalah hadis yang bermasalah, sama ada daif ataupun palsu. 

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan