Hadis Pertama
رَكْعَتَانِ بِعِمامَةٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ
رَكْعَةً بِلا عِمامَة
“Dua rakaat dengan berserban lebih baik
daripada 70 rakaat tanpa berserban.”
Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Siwak dan
al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Jabir.
Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid
al-Hasanah, hadis ini tidak sabit (palsu).
Hadis Kedua
الصلاة في العمامة تعدل عشرة آلاف حسنة
“Solat dengan berserban
menyamai 10 ribu kebaikan.”
Lafaz yang lain:
الصلاة في العمامة بعشرة آلاف حسنة
Lafaz yang lain:
الصلاة في العمامة بعشر آلاف حسنة
Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus
daripada jalur perawi Aban bin Abi ‘Ayyash daripada Anas bin Malik
secara marfu’.
Kata al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Ziyadat
‘Ala al-Maudhu’at:
“Aban dituduh (berdusta dan
memalsukan hadis).”
Hadis ini juga dinilai sebagai palsu
oleh al-Hafiz Ibnu Hajar sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi
dalam al-Maqasid al-Hasanah.
Hadis Ketiga
إنّ صلاةً بعمامة تعدل خمسًا وعشرين صلاة بغير عمامة،
وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بغير عمامة. إنّ الملائكة ليشهدون الجمعة معتَمّين،
ولا يزالون يصلّون على أصحاب العمائم حتى تغرب الشمس
“Sesungguhnya solat dengan berserban
menyamai 25 solat tanpa berserban. Solat Jumaat dengan berserban menyamai 70
solat Jumaat tanpa berserban. Sesungguhnya para malaikat menyaksikan solat
Jumaat orang-orang yang berserban dan terus menerus mendoakan rahmat keatas
orang yang berserban sehingga tenggelam matahari.”
Lafaz yang lain:
صلاة تطوع أو فريضة بعمامة تعدل خمسًا وعشرين صلاة
بلا عمامة، وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بلا عمامة. أي بني اعتمَّ فإنّ الملائكة
يشهدون يوم الجمعة معتَمّين فيسلِّمون على أهل العمائم حتى تغيب الشمس
“Solat sunat atau fardhu dengan berserban
menyamai 25 solat tanpa berserban. Solat Jumaat dengan berserban menyamai 70
solat Jumaat tanpa berserban. Wahai anakku, berserbanlah kerana sesungguhnya
para malaikat menyaksikan hari Jumaat orang yang berserban dan mengucapkan
salam ke atas orang yang berserban sehingga terbenam matahari.”
Riwayat Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq,
Ibnu al-Najjar dan al-Dailami daripada hadis Abdullah bin ‘Umar.
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan
al-Mizan:
“Hadis ini mungkar, bahkan maudhu’....aku
tidak ketahui siapakah pemalsunya.”
Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid
al-Hasanah turut mengatakan bahawa ia tidak sabit.
Hadis Keempat
جُمُعَة بعمامة أفضل من سبعين جُمُعَة
بِلَا عِمَامَة
“Solat Jumaat dengan berserban lebih baik daripada 70 solat
Jumaat tanpa berserban.”
Riwayat
al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Ibnu ‘Umar.
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan mengatakan hadis ini adalah palsu.
Hadis Kelima
إِنَّ لِلَّهِ تَعَالَى مَلائِكَة موكلين
بِأَبْوَاب الْجَوَامِع يَوْم الْجُمُعَةِ يَسْتَغْفِرُونَ لأَصْحَابِ
الْعَمَائِمِ الْبِيضِ
“Sesungguhnya Allah Ta’ala
mempunyai malaikat yang diwakilkan di pintu-pintu masjid pada hari Jumaat yang
memohon keampunan bagi orang yang memakai serban putih.”
Riwayat al-Khatib al-Baghdadi
dalam Tarikh Baghdad daripada jalur perawi Yahya bin Syaib al-Yamani daripada
Humaid al-Thawil daripada hadis Anas bin Malik.
Yahya
bin Syaib al-Yamani ini dituduh oleh al-Khatib al-Baghdadi, al-Hakim, Abu
Nu’aim dan Abu Sa’id al-Naqqasy meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada
Sufyan al-Thauri dan orang lainnya.
Menurut
al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal, hadis ini merupakan hasil
pemalsuan Yahya bin Syaib al-Yamani.
Hadis Keenam
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ
يُصَلُّونَ عَلَى أَصْحَابِ الْعَمَائِمِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ
“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas
orang yang berserban pada hari Jumaat.”
Maksud
Allah berselawat adalah Allah menurunkan rahmat. Maksud malaikat berselawat
adalah malaikat mendoakan rahmat.
Riwayat
al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir, al-Thabarani dalam Musnad
al-Syamain, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Hilyah
al-Auliya’ dan al-Rafi’e dalam Akhbar Qazwin daripada perawi Ayyub
bin Mudrik daripada Makhul daripada hadis Abu al-Darda’.
Ayyub bin Mudrik didaifkan para nuqqad
hadis. Kata Yahya bin Ma’in: “Pendusta.” Pada kesempatan yang lain, kata
beliau: “Tiada nilai (ليس بشئ).” Kata Abu Hatim: “Daif hadisnya,
matruk.” Kata Abu Zur’ah al-Razi: “Daif hadisnya.” Kata al-Nasa’ie: “Ditinggalkan
hadisnya.” Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin: “Dia meriwayatkan
hadis-hadis mungkar daripada perawi-perawi masyhur. Dia mendakwa belajar
daripada beberapa orang syeikh sedangkan dia tidak pernah melihat mereka dan
dia mendakwa mendengar hadis daripada mereka. Dia meriwayatkan daripada Makhul naskhah hadis
palsu dan dia tidak pernah melihat Makhul.” Kata al-Daraqutni: “Matruk.”
Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil berkenaan hadis ini:
“Hadis ini mungkar.”
Kata Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at:
“Hadis ini tidak ada asal baginya. Yang
bertanggungjawab memalsukannya ialah Ayyub. Kata Abu al-Fath al-Azdi: Ini adalah
daripada pemalsuan Ayyub. Kata al-‘Uqaili: Tidak ada sokongan bagi hadis ini.
Kata Yahya bin Ma’in: Dia adalah pendusta. Kata Abu Hatim dan al-Daraqutni: Dia
matruk.”
Kata Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi:
“Ia adalah maudhu’ dan batil sebagaimana kata
Ibnu al-Jauzi dan al-Azdi. Yang dituduh memalsukannya ialah Ayyub kerana dia
adalah pendusta...”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan