Rabu, 12 September 2018

Status Hadis: Rezeki Terputus Kerana Tidak Berdoa Untuk Ibu Bapa

إذا ترك العبدُ الدعاءَ للوالدين فإنه ينقطعُ عنه الرزقُ

 “Jika seseorang itu meninggalkan berdoa untuk kedua ibu bapanya, ia menyebabkan rezekinya terputus.”

Riwayat al-Hakim al-Naisaburi dalam Tarikh Naisabur (sebagaimana dalam kitab Kanz al-‘Ummal), al-Dailami dalam al-Firdaus dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada jalur perawi:

Ahmad bin Khalid al-Syaibani daripada al-Hasan bin Muhammad al-Burri daripada Yazid bin ‘Utbah bin al-Mughirah al-Naufali daripada al-Hasan al-Basri daripada Anas bin Malik.

Ahmad bin Khalid al-Syaibani ini ialah Ahmad bin Abdullah bin Khalid al-Juwaibari, salah seorang pemalsu hadis yang terkenal.

Kata Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at:

“Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Perawi yang dituduh (memalsukannya) ialah al-Juwaibari. Dia adalah Ahmad bin Khalid. Dia dinisbahkan kepada datuknya kerana (namanya) ialah Ahmad bin Abdullah bin Khalid. Dia dinisbahkan kepada datuknya kerana untuk mentadliskannya (menyembunyikan identiti sebenarnya). Ia adalah perbuatan yang dilarang.”

Hadis ini juga dihukum sebagai palsu oleh al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah, Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah.

Namun begitu tidak dinafikan kepentingan berdoa untuk ibu bapa sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah Ta’ala:

وَاخفِض لَهُما جَناحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحمَةِ وَقُل رَبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّياني صَغيرًا

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya (ibu bapa) kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Setelah beberapa lama saya temui sebuah hadis yang menunjukkan bahawa berbuat baik kepada ibu dan bapa menjadi sebab untuk ditambahkan rezekinya:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُمَدَّ لَهُ فِي عُمْرِهِ، وَأَنْ يُزَادَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، فَلْيَبَرَّ وَالِدَيْهِ، وَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang ingin untuk dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya maka berbuat baiklah terhadap ibu bapa dan sambunglah silaturrahim.”

Riwayat Ahmad (no. 13401) daripada hadis Anas bin Malik. Sanadnya sahih menurut al-Hafiz al-Busiri dalam kitab Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.

Jadi bolehlah menggunakan hadis ini menggantikan hadis yang pertama tadi.

Wallahu a’lam.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan