1 - Nama ayah Saidina Umar adalah al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Riyah (رياح) bin Abdullah bin Qurth (قرط) bin Razah (رزاح) bin ‘Adi bin Ka’ab bin Lu’ai (لؤي) bin Ghalib.
2 – Nasabnya bersambung dengan nasab Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
pada Ka’ab bin Lu’ai.
3 – Al-Khattab bukanlah daripada kalangan pembesar dan tokoh kaum
Quraisy.
4 – Beliau mengikut agama kaumnya yang menyembah berhala. Bahkan beliau
juga tidak suka jika ada orang yang meninggalkan agama nenek moyangnya dan akan
menyakiti orang tersebut.
5 – Misalnya, beliau pernah mendera anak saudaranya yang bernama Zaid
bin ‘Amru bin Nufail (bapa
kepada Sa’id bin Zaid, salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijanjikan
syurga) yang meninggalkan amalan menyembah berhala dan mengikuti agama Nabi
Ibrahim ‘alaihis salam. Beliau pernah menyuruh Safiyyah binti al-Hadhrami
untuk mengintip Zaid bin ‘Amru dan mengkhabarkan kepadanya jikalau Zaid bin ‘Amru
merancang untuk melarikan diri dari Mekah.
6 - Setelah itu beliau mengurung Zaid bin ‘Amru di sebuah bukit di Mekah
yang berhampiran dengan gua Hira’. Beliau mewakilkan beberapa orang pemuda
daripada kaum Quraisy untuk mengawasinya dan melarangnya daripada masuk ke
Mekah dan bercampur dengan orang ramai agar Zaid bin ‘Amru tidak mempengaruhi
mereka.
7 – Saidina Umar sendiri pernah mengambarkan ayahnya sebagai seorang
yang bengis, keras, kasar dan berhati kering. Beliau sendiri pernah dipukul
oleh ayahnya.
8 – Ibu Saidina Umar bernama Hantamah binti Hasyim bin al-Mughirah bin
Abdullah bin Umar bin Makhzum. Beliau merupakan sepupu kepada Abu Jahal.
9 – Menurut Abdul Sattar al-Syeikh, ibu ayah Saidina Umar tidak
sempat melalui zaman Islam, kerana tidak ada sebarang maklumat sejarah tentang
pendirian mereka terhadap Islam, sama ada menerima Islam atau menolaknya.
Rujukan:
عمر بن الخطاب
رضي الله عنه الخليفة الراشدي العظيم والإمام العادل الرحيم - عبد الستار الشيخ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan