Dinyatakan dalam Mu'jam al-Udaba' karya Yaqut al-Hamawi, pada biografi Imam ahli falak dan ahli matematik yang tiada tandingan, ahli sejarah, ahli bahasa, sasterawan yang bijaksana, penghimpun pelbagai cabang ilmu, Abu al-Rayhan al-Biruni (Muhammad bin Ahmad al-Khawarizmi), yang dilahirkan pada tahun 362H, dan meninggal dunia pada tahun 440H, semoga Allah Ta'ala merahmatinya:
“Adapun Abu al-Rayhan, walaupun usianya panjang, dan
kedudukannya yang tinggi dalam pelbagai perkara, beliau sentiasa tekun dalam
menuntut ilmu, menumpukan perhatian kepada mengarang kitab, merungkai segala
permasalahan ilmunya, dan serta dan menguasai sepenuhnya segala aspeknya, sama
ada yang tersembunyi (rumit) mahupun yang nyata.
Tangannya hampir tidak pernah lekang dari pena, matanya
dari menelaah, dan hatinya dari berfikir, melainkan pada dua hari perayaan:
Nairuz (perayaan tahun baru di Iran) dan Mihrajan (awal musim luruh) dalam
setahun, bagi menyediakan keperluan hidup yang mendesak, iaitu bekalan makanan
sekadar cukup untuk meneruskan hidup dan pakaian yang diperlukan.
Kemudian, rutin harian beliau pada hari-hari lain
hanyalah menumpukan diri pada ilmu, iaitu merungkai segala permasalahan yang
rumit dan menjelaskan perkara-perkara yang sukar difahami.
Al-Faqih Abu al-Hasan Ali bin Isa al-Walwaliji
menceritakan, katanya:
Aku masuk menemui Abu al-Rayhan ketika beliau sedang
nazak, nafasnya tersekat-sekat, dan dadanya terasa sempit - beliau telah
mencapai umur 78 tahun -, lalu beliau berkata kepadaku dalam keadaan itu:
Bagaimanakah yang engkau terangkan kepadaku suatu hari
dahulu tentang kiraan nenek-nenek yang fasid (tidak mendapat warisan) - iaitu
yang dari sebelah ibu -?
Maka aku berkata kepadanya kerana berasa kasihan
terhadapnya: Dalam keadaan sebegini?"
Beliau berkata kepadaku: Wahai tuan! Aku meninggalkan
dunia ini dalam keadaan mengetahui masalah ini, tidakkah itu lebih baik
daripada aku meninggalkannya dalam keadaan jahil mengenainya?"
Maka aku mengulangi perkara itu kepadanya, dan beliau
menghafalnya serta beliau sempat mengajarkan kepada aku perkara yang telah
beliau janjikan (sebelum ini).
Aku pun keluar dan ketika aku berada di jalan, aku
terdengar jeritan (tangisan kematian)!”
Imam yang tiada tandingan dalam ilmu ini menguasai lima
bahasa: Arab, Suryani, Sanskrit, Farsi, dan Hindi, dan telah meninggalkan
karya-karya dalam bidang ilmu falak, perubatan, matematik, sastera, bahasa,
sejarah dan lain-lain yang melebihi 120 buah karangan.
Orientalis Jerman yang terkemuka, Carl Sachau berkata
tentangnya: “Sesungguhnya beliau adalah akal teragung yang pernah dikenali
oleh sejarah.”
Orientalis Belgium yang masyhur, George Sarton berkata: “Al-Biruni adalah daripada kalangan tokoh-tokoh teragung Islam, dan daripada kalangan ulama-ulama terkemuka dunia.”
Sumber:
Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan