Ahad, 8 Februari 2026

Ibn Abi Hatim Membaca Kitab kepada Ayahnya Semasa Makan, Berjalan dan di Tandas

Telah dinyatakan dalam Siyar A'lam al-Nubala', pada biografi Imam yang agung, ahli hadis dan pakar hadis (naqid) yang mulia, al-Hafiz Abu Hatim Muhammad bin Idris al-Hanzali al-Razi, yang dilahirkan pada tahun 195H, dan meninggal dunia pada tahun 277H, semoga Allah Ta'ala merahmatinya, seperti berikut:

Ali bin Ibrahim al-Razi berkata: Ahmad bin Ali al-Raqqam telah menceritakan kepada kami: Aku mendengar al-Hasan bin al-Husain al-Darastini berkata:

Abu Hatim berkata:

“Abu Zur'ah berkata kepadaku: Aku tidak pernah melihat orang yang lebih bersungguh-sungguh dalam menuntut hadis daripadamu.“

Lalu aku berkata kepadanya: “Sesungguhnya anakku Abd al-Rahman juga sangat bersungguh-sungguh.”

Maka beliau berkata: “Tidak pelik kalau seorang anak mengikut ayahnya.”

Al-Raqqam berkata:

“Lalu aku bertanya kepada Abd al-Rahman tentang bagaimana beliau dapat mendengar hadis dengan begitu banyak, dan (mengajukan) soalan-soalan kepada ayahnya?”

Maka beliau menjawab: “Kadang-kadang beliau sedang makan sedangkan aku membaca kepadanya, beliau berjalan sambil aku membaca kepadanya, beliau memasuki tandas sambil aku membaca kepadanya, dan beliau memasuki rumah untuk mencari sesuatu sambil aku membaca kepadanya.”

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan