Imam Ibn al-Jauzi rahimahullahu Ta'ala berkata di dalam kitabnya, Said al-Khatir ketika menceritakan tentang kepayahan yang menimpanya pada awal perjalanannya menuntut ilmu, dan tentang terpujinya kesabaran beliau dalam menghadapi kepayahan tersebut:
"Sesungguhnya semasa aku dalam kemanisan menuntut ilmu, aku pernah berhadapan dengan pelbagai kepayahan yang pada pandanganku lebih manis daripada madu, demi untuk mencapai apa yang aku cari dan harapkan.
Sesiapa yang cita-cita dirinya adalah untuk mencapai
kedudukan yang tinggi, maka segala apa yang dihadapinya pada jalan itu menjadi sesuatu yang disukainya.
Pada zaman kanak-kanak, aku pernah membawa bersamaku
beberapa keping roti kering, lalu aku keluar untuk belajar ilmu hadis.
Aku duduk di tepi Sungai 'Isa - di Baghdad - dan aku tidak mampu untuk
memakannya melainkan jika ada air. Maka setiap kali aku makan satu suapan, aku
akan meminum air bersamanya (untuk menelannya).
Sedangkan 'mata' keazamanku tidak melihat melainkan kelazatan
meraih ilmu. Maka perkara tersebut telah membuahkan hasil bagiku di mana aku
terkenal dengan banyaknya mempelajari hadis Rasulullah SAW, hal ehwal (sirah)
baginda, adab-adab baginda, serta hal ehwal para Sahabat baginda dan golongan
Tabi'in."
Sumber:
Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan