Jumaat, 22 Mei 2026

Pusing Dunia Dua Kali Untuk Menuntut Ilmu

Al-Hafiz Ibn al-Jauzi menyebutkan di dalam kitab Manaqib al-Imam Ahmad, al-Faqih Ahmad bin Hamdan al-Hanbali di dalam kitabnya Sifah al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti, dan al-Hafiz Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah bahawa Imam Ahmad berkata:

"Aku telah bermusafir demi mencari ilmu dan Sunnah ke al-Thughur, wilayah-wilayah Syam, Sahel, Maghrib, Aljazair, Mekah, Madinah, Hijaz, Yaman, kedua-dua wilayah Iraq keseluruhannya, Parsi, Khurasan, al-Jibal, dan al-Atraf, kemudian aku kembali ke Baghdad.

Aku juga pernah keluar bermusafir ke Kufah, dan aku tinggal di dalam sebuah rumah dengan berbantalkan seketul batu bata di bawah kepalaku! Kemudian aku ditimpa demam! Lalu aku pun pulang kepada ibuku – semoga Allah merahmatinya - sedangkan aku tidak meminta izin daripadanya  terlebih dahulu.

Kalaulah aku mempunyai sembilan puluh dirham, nescaya aku telah bermusafir menemui Jarir bin Abdul Hamid di al-Rayy - dan bandar di Tehran pada masa kini -. Sebahagian sahabat kami telah pun keluar ke sana namun aku tidak dapat keluar kerananya aku tidak mempunyai apa-apa (bekalan harta)!"

Disebutkan di dalam Tahzib al-Tahzib karya al-Hafiz Ibn Hajar, pada biografi al-Imam Ahmad bin Hanbal:

Ahmad berkata: “Aku telah menunaikan ibadah haji sebanyak lima kali, tiga daripadanya secara berjalan kaki (janganlah kamu lupa bahawa tempat asal beliau ialah Baghdad). Aku membelanjakan hanya tiga puluh dirham dalam salah satu haji tersebut."

Ibn al-Jauzi berkata di dalam Said al-Khatir: "Imam Ahmad bin Hanbal telah mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehinggalah beliau menghimpunkan (hadis-hadis di dalam kitab) al-Musnad."

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan