Ahad, 1 November 2026

Doa Selamat Dari Zina

Diriwayatkan daripada Abu Umamah RA, beliau berkata:

Seorang pemuda telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: "Wahai Rasulullah, izinkanlah aku untuk berzina."

Maka orang ramai (para sahabat) yang berada di situ menghampirinya lalu memarahinya dan berkata: "Diam! Hentikan!"

Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Dekatlah kemari."

Pemuda itu pun mendekati Baginda dan duduk.

Baginda bertanya: "Adakah engkau suka perbuatan itu (zina) berlaku kepada ibumu?"

Pemuda itu menjawab: "Tidak, demi Allah! Semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu (ungkapan tanda kasih dan hormat)."

Baginda bersabda: "Begitu juga manusia lain, mereka tidak suka ia berlaku kepada ibu-ibu mereka."

Baginda bertanya lagi: "Adakah engkau suka ia berlaku kepada anak perempuanmu?"

Jawabnya: "Tidak, demi Allah wahai Rasulullah! Semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu."

Baginda bersabda: "Begitu juga manusia lain, mereka tidak suka ia berlaku kepada anak-anak perempuan mereka."

Baginda bertanya lagi: "Adakah engkau suka ia berlaku kepada saudara perempuanmu (kakak atau adik)?"

Jawabnya: "Tidak, demi Allah! Semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu."

Baginda bersabda: "Begitu juga manusia lain, mereka tidak suka ia berlaku kepada saudara-saudara perempuan mereka."

Baginda bertanya lagi: "Adakah engkau suka ia berlaku kepada ibu saudaramu (sebelah bapa)?"

Jawabnya: "Tidak, demi Allah! Semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu."

Baginda bersabda: "Begitu juga manusia lain, mereka tidak suka ia berlaku kepada ibu-ibu saudara mereka."

Baginda bertanya lagi: "Adakah engkau suka ia berlaku kepada ibu saudaramu (sebelah ibu)?"

Jawabnya: "Tidak, demi Allah! Semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu."

Baginda bersabda: "Begitu juga manusia lain, mereka tidak suka ia berlaku kepada ibu-ibu saudara mereka."

Abu Umamah berkata: “Lalu Baginda meletakkan tangannya pada pemuda itu )di dadanya) dan berdoa:

اللهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ

"Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya (daripada zina)."

Selepas peristiwa itu, pemuda tersebut tidak lagi cenderung kepada sebarang perkara yang haram itu.

Status dan Sumber Hadis:

Hadis ini sahih.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad (no. 22211).

Al-Hafiz al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ mengatakan sanadnya elok (jayyid) dan perawinya adalah perawi kitab al-Sahih.

Pengajaran Hadis:

1 – Disunatkan berdoa sebagaimana doa Rasulullah SAW untuk lelaki tersebut agar kita dipelihara daripada perbuatan zina.

Bentuk doa tersebut perlu diubah bergantung kepada siapa yang kita ingin doakan, seperti berikut:

(i) Doa Untuk Diri Sendiri:

Digunakan ketika berdoa untuk diri sendiri (sama ada lelaki atau perempuan).

اللهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبِي، وَطَهِّرْ قَلْبِي، وَحَصِّنْ فَرْجِي

Rumi: Allahummaghfir zanbi, wa tohhir qalbi, wa hassin farji.

Maksud: "Ya Allah, ampunilah dosaku, bersihkanlah hatiku, dan peliharalah kemaluanku."

(ii) Untuk Kami (Ramai):

Digunakan ketika berdoa secara berjemaah atau merangkumi diri sendiri dan keluarga, masyarakat dan jemaah.

اللهُمَّ اغْفِرْ ذُنُوبَنَا، وَطَهِّرْ قُلُوبَنَا، وَحَصِّنْ فُرُوجَنَا

Rumi: Allahummaghfir zunubana, wa tohhir qulubana, wa hassin furujana.

Maksud: "Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, bersihkanlah hati-hati kami, dan peliharalah kemaluan kami."

(iii) Untuk Dia (Lelaki):

Digunakan untuk mendoakan seorang lelaki (contohnya anak lelaki, suami, atau kawan lelaki).

اللهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ، وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ

Rumi: Allahummaghfir zanbahu, wa tohhir qalbahu, wa hassin farjahu.

Maksud: "Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya."

(iv) Untuk Dia (Perempuan):

Digunakan untuk mendoakan seorang perempuan (contohnya anak perempuan, isteri, atau kawan perempuan).

اللهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهَا، وَطَهِّرْ قَلْبَهَا، وَحَصِّنْ فَرْجَهَا

Rumi: Allahummaghfir zanbaha, wa tohhir qalbaha, wa hassin farjaha.

Maksud: "Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya."

2 - Hikmah dan Kelembutan dalam Berdakwah:

Rasulullah SAW tidak memarahi atau menghukum pemuda tersebut walaupun permintaannya sangat mengejutkan. Sebaliknya, Baginda memanggilnya duduk rapat dan berbicara dengan tenang.

Kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah orang yang sedang keliru atau diuji nafsu. Ini menunjukkan pendakwah perlu bijak mengawal emosi.

3 - Pendekatan Logik Akal dan Empati:

Nabi SAW mendidik pemuda itu dengan menggunakan logik akal dan membangkitkan rasa empati (meletakkan diri di tempat orang lain). Ini menyedarkan pemuda tersebut bahawa setiap wanita yang ingin dizinai itu adalah ibu, anak, atau saudara kepada orang lain.

Jika kita tidak rela maruah keluarga kita dicemari, jangan sesekali mencemari maruah keluarga orang lain.

4 - Kejujuran dalam Mencari Bimbingan:

Sikap pemuda itu yang terus terang kepada Nabi SAW menunjukkan dia sebenarnya ingin mencari jalan keluar daripada gelojak nafsunya. Golongan muda perlu mempunyai tempat rujukan yang dipercayai untuk mengadu masalah mereka tanpa takut dihukum.

5 - Memahami Gejolak Golongan Muda:

Nafsu syahwat adalah cabaran terbesar orang muda. Mereka memerlukan bimbingan, ruang untuk didengari, dan penyelesaian yang meyakinkan akal serta hati, bukan sekadar herdikan atau kecaman.

6 - Kekuatan Doa dan Sentuhan:

Nabi SAW menggabungkan nasihat akal dengan kekuatan rohani iaitu meletakkan tangan Baginda dan mendoakan keampunan dosa, kesucian hati, serta benteng maruah diri untuk pemuda tersebut. Gabungan antara nasihat yang baik dan doa yang ikhlas mampu mengubah hati manusia dengan izin Allah.

7 - Keburukan dan Keharaman Zina:

Hadis ini secara jelas menegaskan bahawa zina adalah perbuatan keji yang merosakkan institusi kekeluargaan, keturunan, dan maruah masyarakat secara keseluruhannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan