*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.
Sebaik-baik biografi adalah biografi yang
beliau telah tulis sendiri di dalam bukunya Salawat ath- Thana’ a’la
Sayyid al-Anbiya’ .
‘‘Aku merasakan elok aku menyebut sedikit
sejarah hidupku secara ringkas, tiada lain melainkan kerana mengikut jejak
langkah beberapa Sohib al-Athbat umpama Syeikh Abdul Baqi al-Hanbali, maka aku
berkata:
Kelahirannya
Aku berkata: saya al-Faqir Yusuf bin
Ismail bin Hasan bin Muhammad Nasir ad-Din al Nabhani.
Aku dilahirkan pada 1266H (1849M) di kampung
Ijzim yang terletak di barat Palestin, jaraknya ke Baitul Maqdis kira-kira 3
marhalah. Kini ia dikira sebagai salah satu kawasan dalam daerah Haifa
yang merupakan jajahan Akka.
Aku belajar membaca al-Quran dari ayahandaku.
Sesungguhnya beliau adalah salah seorang Hafiz al-Quran yang mahir, yang
sentiasa melazimi pembacaan al-Quran. Beliau mampu mengkhatamkan al-Quran 3
kali dalam seminggu.
Pengembaraannya menuntut ilmu.
Selepas ayahandaku mengarahkanku untuk
menghafal sebahagian matan-matan agama iaitu ketika umurku 17 tahun, beliau
telah menghantar aku ke Mesir untuk menuntut ilmu di al-Jami’ al-Azhar.
Maka aku telah memasukinya pada bulan Muharram tahun 1283H, dan aku telah
menetap di sana selama 7 tahun. Selepas aku berhasil mempelajari segala yang
ditaqdirkan Allah dari ilmu-ilmu Naqliah dan Aqliah, aku telah pulang ke
kampung halaman dengan perintah ayahanda pada tahun 1289H. Kemudian aku
menetap di Akka setahun untuk menyampaikan kuliah-kuliah ilmu. Kemudian aku diangkat
menjadi naib qadhi di Qadhbah Jinin yang sekarang termasuk dalam
kawasan Nablus, aku menetap disana setahun.
Selepas itu, aku telah pergi ke Bandar
Khilafah: Qustantiniah, dan disana aku menetap selama dua tahun setengah
sebelum aku dilantik menjadi qadhi di sebuah tempat di wilayah Mausil namanya
Kawa Sanjaq yang merupakan salah satu ibu negeri bangsa Kurdi. Dalam perjalanan
ke sana aku telah melalui Halab, Diyar Bakar, al Mausil dan Syahrazur.
Ketika aku menziarahi al Mausil aku sempat menziarahi Nabi Allah
Yunus a.s. Di sana aku dapat merasakan kekhusyukan yang amat sangat, yang
menunjukkan terhadap kebenaran wujudnya jasad Nabi Yunus a.s. yang mulia di
dalamnya. Kemudian aku meninggalkannya selepas 15 bulan kerana kemarau yang
telah berlaku di Iraq pada tahun 1296H, lalu aku berangkat ke Baghdad dan
aku tinggal disana tak sampai sebulan. Aku telah menziarahi penghulu-penghulu
kami:
- Musa al-Kazim
- Imam al-A’zam Abu
Hanifah
- Al-Ghauth Abdul
Qadir al-Jailani
- Ma’ruf al-Kharkhi
- Habib al-Ajami
- Abu Bakar al-Syibli
- Sirri al-Saqati
- Al-Junaid al-Baghdadi
- Abu an-Najib al-Suhrawardi
Dalam perjalanan ke Baghdad itu, aku telah
melalui Samarra, di sana aku sempat menziarahi Saidina al Hasan al-A’skari,
ayah bagi as-Sayyid Muhammad al-Mahdi.
Daripada Baghdad aku pulang ke Syam dengan
melalui jalan Dir dan Tadamur yang mempunyai binaan-binaan purba yang
mengajaibkan. Selepas menziarahi ayah bonda dan seluruh keluarga, aku bertolak
ke Bandar Khilafah: Qustantiniah iaitu pada tahun 1297H. Aku menetap
kira-kira selama 2 tahun. Di sana aku mula menulis kitab : as-Syarf al-Muabbad
Li Ali Muhammad s.a.w.
Selepas itu aku dilantik menjadi di ketua Mahkamah al-Jaza’ di Bandar al-Laziqiah yang merupakan bandar yang terletak di persisiran pantai Syam, aku ke sana pada tahun 1300H dan menetap di sana lebih kurang 5 tahun.
Kemudian aku diangkat menjadi ketua
Mahkamah al Jaza’ di al-Quds as-Syarif (Palestin.) Di sana aku telah
bertemu dengan Sayyidi Syeikh Hasan Abi Halawah al-Izzi yang merupakan
seorang wali Allah yang mempunyai banyak karamat. Dengan pertemuan ini aku
telah mendapat keberkatannya. Beliau juga sering berlemah lembut denganku
dan mendoakan untukku. Beliau telah mentalkinkanku Tarekat al-Qadiriah serta
beberapa wirid-wirid dan zikir-zikir. Di antaranya sighah Selawat
Penghapus Kesusahan iaitu:
عَلَى سَيِّدِنَا
مُحَمَّدٍ حَبِيْبِ اَلْمَحْبُوبِ شَافِي اَلْعِلَلِ وَمَفَرِّجِ اَلْكُرَبِ اَللّهُمَّ صَلِّ
Terjemahan:
“Rahmatilah penghulu kami Muhammad, kekasih
yang dikasihi, penyembuh segala penyakit dan pelapang bagi kesempitan.”
Aku telah mencubanya, dan ia benar-benar
mujarab!
Tidak sampai setahun, aku telah dinaikkan jawatan
menjadi ketua Mahkamah al-Huquq di Beirut. Aku tiba di sana pada
bulan Rajab 1305H dan aku terus tinggal di sana hingga kini. Di sana juga aku
dikurniakan Allah beberapa orang cahaya mata iaitu Muhammad,Syamsuddin, Fatimah
dan Aisyah. Kemudian Allah telah mengurniakan rezeki untukku mengerjakan
haji di Bait al-Haram pada tahun 1310H. Ketika itu hari Arafah jatuh pada hari
Jumaat, serta telah bertebaranlah waba’ hingga ia menjadi sebab keuzuranku untuk
menziarahi Rasulullah s.a.w. pada tahun tersebut. Aku memohon kepada
Allah Ta’ala agar mengurniakanku dapat menziarahi Baginda dan duduk berhampiran
Nabi s.a.w di dunia dan juga akhirat.
Di sanalah juga aku menulis kesemua buku-buku
karanganku dan sebahagian besar daripadanya telah kucetak. Kitab tersebut
telah banyak memberi manfaat dan telah diterima baik oleh
masyarakat di segenap pelusuk dunia Islam. Semua itu berlaku hanya dengan
kelebihan yang diberikan Alllah Ta’ala dan keberkatan kekasihnya yang
teragung: Rasulullah s.a.w.
Guru-gurunya.
Adapun syeikh-syeikhku yang aku mengambil
ilmu daripada mereka di Jami’ al Azhar ketika aku di sana ialah :
Syeikh Muhammad ad-Damanhuri (wafat1285H).
Aku telah menghadiri kuliah-kuliahnya
mengenai al-Ajrumiah dan Syarh Qatr (kedua-duanya adalah kitab Nahu Bahasa
Arab) oleh Ibn Hisyam. Beliau juga telah meriwayatkan hadith Musalsal bil
Awwaliyah, yang merupakan hadith pertama yang kudengari darinya.
Syeikh Ibrahim as-Saqqa.
Aku melaziminya selama 3 tahun. Aku
menghadiri muhadharahnya tentang kitab at-Tahrir dan al-Minhaj iaitu kitab
mengenai fekah asy-Syafi’e, beserta hasyiahnya karangan al-Syarqawi dan al-Bujairimi.
Aku juga belajar darinya kitab asy-Syamail Imam al-Termizi pada bulan
Ramadhan.
Kedua-dua syeikh ini adalah daripada kawan
rapat guru bagi kebanyakan guru-guruku al-Imam al-Allamah as-Syeikh Ibrahim al-Bajuri
(wafat 1277H). Kesemuanya mengambil ilmu dari as-Syeikh Hasan al-Quwaisani, as-Syeikh
Muhammad al-Fudholi, as-Syeikh Muhammad al-Amir al-Soghir dan tabaqatnya.
- Syeikh Ahmad Radhi as-Syarqawi
- Syeikh Soleh aj-Jiyawi
- Syeikh Muhammad al-Asymawi.
Aku telah menghadiri kelas pengajian mereka
bertiga yang menerangkan tentang Syarh Ibn al-Qasim atas Matan Abi Syuja’
dengan Hasyiah al-Barmawi.
- Syeikh Muhammad
al-Anbabi, Syeikh al-Jami’ al-Azhar.
Aku menghadiri kelasnya tentang kitab Syarh
Ibn al-Qasim yang sama dengan yang lepas, serta Syarah al-Khotib as-Syarbini
atas Matan Abi Syuja’, Hasyiah al-Amir ala Syarh al-Malawi ala as-Samarqandiah
dan Hasyiah Syeikhnya Syeikh Ibrahim al-Bajuri atas Burdah al-Imam al Busairi
tentang puji-pujian ke atas Rasulullah s.a.w.
- Syeikh Abdul Rahman al-Syarbini.
Aku mengadiri pengajarannya tentang Syarh al-Khatib
atas Matan Abi Syuja’.
- Syeikh Ibrahim az-Zarru
al-Khalili.
Aku menghadiri kelas-kelasnya tentang Hasyiah
syeikhnya al-Bajuri atas Jauharah al-Tauhid dan Syarh Ibn Aqil atas Alfiyyah
Ibn Malik dengan Hasyiah as-Sujai’e.
- Syeikh Mustafa al-Asyraqi.
Aku telah menghadiri kuliahnya tentang
al-Jami’ as-Soghir karangan al-Hafiz as-Suyuti.
- Syeikh Ahmad
al-Ajhuri ad-Dharir.
Aku mengikuti kelasnya mengenai Tafsir al-Jalalain
dengan Hasyiah al-Jamal, serta Hasyiah al-Amir ‘ala Syarh al-Malawi ala as-Samarqandiah.
- Syeikh Abdul Hadi
al-Abyari.
Aku menghadiri kuliahnya dalam
pengajian Sahih al-Bukhari dan Maqamat al-Hariri serta Hasyiah syeikh kami ad-Damanhuri
as-Sughra ‘ala Matan al-Kafi tentang ilmu arudh dan qawafi.
- Syeikh Abdul Latif al-Khalili.
Aku menghadiri kelasnya dalam pengajian kitab
Hasyiah al-Bajuri ala al-Jauharah at-Tauhid.
- Syeikh Ahmad al-Babi.
Nisbah kepada al-Bab, iaitu salah satu
kawasan di Halab (Syria). Aku telah bertalaqqi darinya kitab Syarh al Qatr bi
Hasyiah as-Suja’ie dan Syarh as-Syuzur bi Hasyiah al-Amir.
Kesemua dari awal hingga Syeikh Ahmad
tadi adalah ulama Mazhab asy-Syafie.
..................
- Syeikh Abdul Qadir
ar-Rafii’e, syeikh serambi al-Syawam.
Aku menghadiri kuliahnya bermula juzuk
kedua dari Hasyiah Ibn Abidin ala ad-Dur al-Mukhtar.
- Adiknya Syeikh
Umar ar-Rafi’e.
Aku menghadiri pengajian kitab Hasyiah
al-Bajuri ala as-Samarqandiah.
- Syeikh Syarif al-Halabi.
Aku menghadiri kelasnya dalam Syarh
al-Azhariah bi Hasyiah al-Ator.
- Syeikh Masu’d al-Nabulusi.
Aku mengikuti kelasnya tentang kitab Syarh
ad-Dur al-Mukhtar.
- Syeikh Fakhr ad-Din
al-Yaniyyah Wi.
Aku telah menghadiri kelasnya dalam
Syarh al-Jami ala al-Kafiah.
Kesemua ulama tadi pula ialah ulama Mazhab
Hanafi.
..................
- Syeikh Hasan al-Adawi.
Aku telah mengikuti kuliahnya dalam pengajian
Sahih al-Bukhari dan al-Arbain an- Nawawiah.
- Syeikh Hasan at-Towil.
Aku menghadiri kuliahnya dalam
pengajian Syarh al-Azhariah bi Hasyiah al-Ator, Syarh al-Syuzur bi
Hasyiah al-Amir dan Qalaid al-Aqyan karangan al-Fatah bin Khaqan; dahulu
beliau mengajarnya di rumahnya tetapi ia tidak sempat dikhatamkan.
- Syeikh Muhammad al-Basyuni.
Aku telah menghadiri pengajarannya tentang
kitab Hasyiah as-Sobban ala al-Malawi ala Sullam al-Mantiq.
- Syeikh Muhammad ar-Rubi.
Aku telah menghadiri pengajarannya tentang
kitab Syarh al-Asymuni ala Alfiyah bi Hasyiah as-Sobban.
- Syeikh Muhammad al-Hamidi.
Aku telah menghadiri pengajarannya tentang
kitab Mukhtasar al-Bukhari karangan Ibnu Abi Jamrah dengan Hasyiah
al-Syinwani dan Syarh as-Syeikh Khalid ala al-Ajrumiah bi Hasyiah Abi al-Nuja.
Kesemua ulama tadi bermazhab Maliki .
.................
- Syeikh Yusuf al-Barqawi
al-Hanbali, syeikh serambi al-Hanabilah.
Aku menghadiri kuliahnya tentang al-Ajrumiah.
Beliau adalah Syeikh pertama yang aku ambil manfaat daripadanya.
Moga-moga Allah memanfaatkan aku dengan
berkat keseluruhan mereka semua dan mengumpulkan aku di dalam kumpulan mereka
di bawah panji Sayyid al-Mursalin Nabi Muhammad s.a.w.
Buku-buku karangannya
Ada pun karanganku iaitu:
1) Al-Anwar al Muhammadiah
Mukhtasar al -Mawahib al-Ladunniah.
2) As-Syarf al-Muabbad li
Ali Muhammad.
3) Wasail Wusul ila Syamail
ar-Rasul.
4) Al-Ahadith al-Arbain fi
Fadhail Sayyid al-Mursalin.
5) Al-Ahadith al-Arbain min
Amthal Afsoh al-Alamin.
6) Afdhal as-Salawat ala
Sayyid as-Sadaat.
7) Saadah ad-Darain
fi al-Solat ala Sayyid al-Kaunain.
8) Salawat ath-Thana’ ala
Sayyid al-Anbiya’.
9) Hujjatullah ala
al-A’lamin fi Mu’jizah Sayyid al-Mursalin .
10) Al-Hamziah al-Alfiyah
yang dinamakan Taybah al-Gharra’ fi Madhi Sayyid al-Anbiya’.
11) Saadah al-Maad fi
Muwazanah Banat Sua’d.
12) Al-Nazam al-Badi’ fi Maulid
as-Syafi’
13) Al-Qaul al-Haq fi Madhi
Sayyid al-Khalq
14) Khulasaah al-Kalam fi
Tarjih Din al-Islam.
15) Risalah fi Mithal an-Na’li
as-Syarif
16) Jami' Karamat al-Auliya'
17) Riyad al-Jannah fi Azkar al-Kitab wa as-Sunnah
18) Syawahid al-Haq fi al-Istighasah bi Sayyid al-Khalq
Kesemua kitab ini telah dicetak.
Moga-moga Alllah menolongku dalam
menyempurnakannya dan penyebarannya dalam sebaik-baik keadaan yang
diredhaiNya.’’
Selesai kalam Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani.
………………………………..
Hari-hari akhir beliau.
Apabila beliau bersara dari jawatannya beliau
memutuskan dirinya dari kebendaan duniawi ke arah ibadat Penciptanya serta
penulisan. Kemudian beliau bermusafir ke Madinah al-Munawwarah dan menetap di
sana seketika. Kemudian beliau pulang ke Beirut di mana beliau menghembuskan
nafas terakhir pada bulan Ramadhan tahun 1350H (1933M).
assalamualaikum..
BalasPadammau tanya, dimanakah saya bisa mendapatkan kitab Wasail Wusul ila Syamail ar-Rasul karya beliau? syukran
Waalaikumsalam, kalau dalam bahasa Arabnya, boleh didownload disini:
Padamhttp://ia310829.us.archive.org/3/items/wasilalwulilsh00nabhuoft/wasilalwulilsh00nabhuoft.pdf
Terjemahan bahasa Melayu Indonesia saya tidak pasti mahu didapatkan dimana, tetapi sudah ada yang menterjemahkannya.
Kalau dalam bahasa Indonesia, gambar kitabnya boleh dilihat di sini:
Padamhttp://4.bp.blogspot.com/-YGjgurIVKzE/TnmsEWk0HsI/AAAAAAAAFkE/Usj4nXt7eAE/s1600/scan0011.jpg
Assalaamualaikum
BalasPadamIzin copas ya Min, buat beberapa referensi
Saya sedang memposting DOWNLOAD KITAB KITAB KARYA SYAIKH YUSUSF AN-NABHANI
Mampir ya di Info Santri
Waalaikumsalam.
PadamDipersilakan.
di antara 18 kitab tersebut.kitab apa saja yg udah d cetak dngn terjemah..dan dmna bisa d beli.trimakasih
BalasPadam