Ahad, 29 Mei 2016

Hadis: Sesiapa yang memandang wajah orang alim...


مَنْ نَظَرَ نَظْرَةً إِلَى وَجْهِ عَالِمٍ فَفَرِحَ بِهِ خَلَقَ اللَّهُ تَعَالَى مِنْ تِلْكَ النَّظْرَةِ وَالْفَرَحِ مَلَكًا يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ لِصَاحِبِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.

“Sesiapa yang memandang wajah orang alim dengan sekali pandangan dan bergembira dengannya, Allah akan menciptakan dengan pandangan dan kegembiraan tersebut malaikat yang akan beristighfar baginya sehingga hari kiamat.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq (49/366) daripada Abi Sa’id al-Khudri secara marfu’.

Status hadis

Berkata Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (1/281):

“Tidak dijelaskan ‘illahnya (sebab kedaifan atau kepalsuan hadis). Ia (diriwayatkan) daripada jalan Ishak al-Dabari (إِسْحَاق الدَّبَرِيُّ)  daripada Abdul Razaq. Dan telah berlalu kalam padanya (yakni tentang Ishak dan Abdul Razaq) dan terdapat juga perawi-perawi yang majhul (yang tidak dikenali) (dalam sanadnya). Wallahu a’lam.”

Mungkin maksud Ibnu ‘Arraq menyebutkan ‘tidak dijelaskan ‘illahnya’ ditujukan kepada al-Sayuthi kerana beliau memuatkan hadis ini dalam kitab al-Ziyadat ‘ala al-Maudhu’at (1/195) tanpa menjelaskan ‘illahnya.

Sebelum itu, Ibnu ‘Arraq (1/276) menjelaskan tentang riwayat Ishak al-Dabari daripada Abdul Razaq:

“Dan baginya (Ishak) daripada Abdul Razaq (riwayat-riwayat) yang mungkar tetapi tidaklah sampai hadis-hadisnya layak disebutkan dalam kitab hadis-hadis palsu.”

Kesimpulan

Hadis ini sangat daif disebabkan riwayat-riwayat Ishak al-Dabari daripada Abdul Razaq bin Hammam al-San’ani yang mungkar.

Sabtu, 28 Mei 2016

Hukum Menghidupkan Malam Raya

1 - Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ (5/42):

“Disunatkan menghidupkan dua malam hari raya dengan solat atau selainnya daripada bentuk ketaatan. Dan telah berhujah baginya para ulama kami dengan hadis Abi Umamah daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:

 مَنْ أَحْيَا لَيْلَتَيْ الْعِيدِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

“Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati (manusia).”

Dalam riwayat al-Syafi’e dan Ibnu Majah:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ تَعَالَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ حِينَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

“Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya kerana Allah Ta’ala, tidak akan mati hatinya ketika matinya hati-hati (manusia).”

…dan sanad-sanadnya secara keseluruhan adalah daif.

2 - Malam hari raya juga termasuk antara waktu yang dimustajabkan doa sebagaimana kata Imam al-Syafi’e dalam al-Umm:

“Dan telah sampai kepada kami (khabar) bahawa dikatakan doa itu dimakbulkan pada lima malam:

1. Malam Jumaat.

2. Malam raya Aidil Adha.

3. Malam raya Aidil Fitri.

4. Malam pertama bulan Rejab.

5. Malam Nisfu Sya’ban.

 3 - Al-Imam al-Khatib al-Syirbini rahimahullah menjelaskan dalam Mughni al-Muhtaj (1/592):

“Disunatkan menghidupkan dua malam hari raya dengan solat atau selainnya berdasarkan khabar:

مَنْ أَحْيَا لَيْلَتَيْ الْعِيدِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

“Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati (manusia).”

Diriwayatkan oleh al-Daraqutni secara mauquf. Berkata (al-Nawawi) dalam al-Majmu’: “Sanad-sanadnya daif.” Meskipun begitu, disunatkan menghidupkan (malam hari raya) kerana hadis daif diamalkan dalam fadhail al-a’mal...”

Kesimpulannya, disunatkan menghidupkan malam hari raya dengan apa jenis amal ibadat seperti solat sunat, zikir, tilawah al-Quran, tasbih, takbir, istighfar dan lain-lain.

Hadis: Seburuk-buruk kalian adalah yang tidak menikah

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, nak tumpang tanya status hadis ini:

~Sabda NABI S.A.W :

"Seburuk-buruk kalian, adalah yang tidak menikah, dan sehina-hina mayat kalian, adalah yang tidak menikah"

(H.R  al-Bukhari)

Jawapan:
شِرَارُكُمْ عُزَّابُكُمْ، وَأَرَاذِلُ مَوْتَاكُمْ عُزَّابُكُمْ

Hadis ini tiada dalam Sahih al-Bukhari.

Hadis ini adalah sebahagian daripada hadis panjang yang diriwayatkan oleh Abdul Razaq al-San’ani dalam al-Musannaf dan Ahmad dalam al-Musnad daripada Abi Zarr marfu’.

Kata al-Haithami (مجمع الزوائد): “Dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak dinamakan dan baki perawi-perawinya adalah thiqah.”

Diriwayatkan juga oleh Abu Ya’la dalam al-Musnad, al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dan Musnad al-Syamain, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan lain-lain daripada ‘Athiyyah bin Busr al-Mazini secara marfu’.

Kata al-Haithami (مجمع الزوائد): “Dalam sanadnya terdapat Mu’awiyyah bin Yahya al-Shadafi dan dia adalah daif.”

Diriwayatkan juga oleh al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir dan al-Thabarani dalam Musnad al-Syamain melalui jalan ‘Athiyyah bin Busr daripada ‘Akkaf bin Wada’ah al-Hilali daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, riwayat al-Thabarani menyebutkan ‘Athiyyah bin Qais dan bukannya ‘Athiyyah bin Busr.

Ibnu Hajar al-Asqalani (الإصابة) dan al-Sakhawi (المقاصد الحسنة) merumuskan bahawa keseluruhan jalan-jalan hadis tersebut tidak sunyi daripada kedaifan dan ithirab (اضطراب)  tetapi tidaklah sampai dihukumkan sehingga palsu.

Secara ringkas, hadis ini mengandungi ancaman terhadap orang yang tidak berkahwin tetapi tidaklah sampai berdosa bagi orang yang tidak berkahwin (yang mampu menjaga dirinya daripada maksiat). Disebabkan itu kita dapat lihat ramai para ulama dan orang soleh yang tidak pernah berkahwin seperti Bisr al-Hafi, al-Nawawi dan lain-lain.

Selasa, 24 Mei 2016

Hadis: Tidur dalam keadaan bersuci dapat mati syahid

مَنْ بَاتَ عَلَى طَهَارَةٍ، ثُمَّ مَاتَ مِنْ لَيْلَتِهِ مَاتَ شَهِيدًا

“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci kemudian dia mati pada malam itu maka dia mati sebagai seorang syahid.”

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah daripada Anas bin Malik.

Dalam sanadnya terdapat Sulaiman bin Salamah al-Khabairi dan gurunya, Yunus bin ‘Atha’ al-Shuda’ie, mereka berdua adalah matruk (sangat lemah) bahkan dituduh (memalsukan hadis). (المداوي لعلل الجامع الصغير وشرحي المناوي)

Dalam hadis yang lain:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصَى رَجُلًا إِذَا أَخَذَ مَضْجَعَهُ أَنْ يَقْرَأَ سُورَةَ الْحَشْرِ، وَقَالَ: «إِنْ مُتَّ مُتَّ شَهِيدًا» . أَوْ قَالَ: «مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ»

“Daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mewasiatkan kepada seorang lelaki bahawa jika ingin tidur bacalah surah al-Hasyr dan baginda bersabda: “Jika kamu mati, kamu mati sebagai seorang syahid” atau (syak perawi) baginda bersabda: “daripada ahli syurga.”

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah. Dalam sanadnya terdapat Yazid bin Aban al-Raqasyi, dia adalah daif.

Jumaat, 13 Mei 2016

Hadis: Wanita (Ummu Mihjan) Membersihkan Masjid

Hadis Pertama

أنَّ رجلًا أسوَدَ، أوِ امرأةً سَوداءَ، كان يَقُمُّ المسجدَ، فمات، فسأَل النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عنه، فقالوا: مات، قال : أفلا كنتُم آذَنتُموني به، دُلُّوني على قبرِه، أو قال قبرِها. فأتى قبرَها فصلَّى عليها .

Ada seorang lelaki berkulit hitam atau seorang perempuan berkulit hitam (syak pada perawi hadis) selalu membersihkan masjid kemudian dia meninggal dunia.

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bertanya tentang orang tersebut.

Para sahabat menjawab: “Dia telah meninggal dunia.”

Nabi bersabda: “Kenapa kamu semua tidak beritahu kepadaku tentangnya. Tunjukkan kepadaku kuburnya.”

Lalu Nabi datang ke kuburnya dan bersolat ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (no. 458) daripada hadis Abu Hurairah.

Hadis Kedua

أَنَّ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ أَوْ شَابًّا فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلَ عَنْهَا - أَوْ عَنْهُ - فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي. قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا أَوْ أَمْرَهُ. فَقَالَ: دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ، فَدَلُّوهُ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا، وَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلَاتِي عَلَيْهِمْ.

Ada seorang wanita atau pemuda berkulit hitam bekerja sebagai tukang sapu masjid. Ketika Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak menemukan orang tersebut baginda bertanya (kepada sahabat) tentangnya. Mereka mengatakan bahawa orang itu telah meninggal dunia.

Kata Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: "Kenapa kamu semua tidak beritahu kepadaku?"

Perawi hadis ini berkata: “Seolah-olah para sahabat menganggap remeh kematian orang itu.”

Lalu kata Nabi: "Tunjukkanlah kepadaku kuburnya."

Maka ditunjukkan mereka kepada beliau kuburnya, lalu baginda solat (jenazah) ke atasnya.

Kemudian baginda bersabda: "Kubur ini sangat gelap bagi penghuninya. Sesungguhnya Allah 'azza wa jalla akan meneranginya setelah aku solat di atasnya."

Riwayat Muslim (no. 956) daripada hadis Abu Hurairah

Hadis Ketiga

Adapun riwayat yang menyebutkan nama wanita tersebut sebagai Ummu Mihjan:

كَانَتْ امْرَأَةٌ بِالْمَدِينَةِ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَتْ فَلَمْ يَعْلَمْ بِهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرَّ عَلَى قَبْرِهَا فَقَالَ مَا هَذَا الْقَبْرُ؟ فَقَالُوا أُمُّ مِحْجَنٍ، قَالَ الَّتِي كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ؟ قَالُوا نَعَمْ، فَصَفَّ النَّاسَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ أَيَّ الْعَمَلِ وَجَدْت أَفْضَلَ؟ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَسْمَعُ؟ قَالَ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ مِنْهَا، فَذَكَرَ أَنَّهَا أَجَابَتْهُ قَمَّ الْمَسْجِدِ.

Ada seorang wanita di Madinah yang selalu membersihkan masjid. Kemudian dia meninggal dunia dan Nabi salahu ‘alaihi wasallam tidak tahu tentang kematiannya.

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam melalui kuburnya lalu bertanya: “Kubur siapakah ini?”

Para sahabat menjawab: “Ummu Mihjan.”

Nabi bertanya lagi: “Yang membersihkan masjid?”

Para sahabat menjawab: “Ya.”

Nabi dan para sahabat lalu berbaris dan bersolat untuknya.

Kemudian Nabi bertanya (kepada Ummu Mihjan): “Amalan apakah yang kamu dapati merupakan sebaik-baik amalan?”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah dia dengar?”

Nabi menjawab: “Dia lebih dengar daripada kamu semua.”

Kemudian Nabi menyebut bahawa dia menjawab: “Membersihkan masjid.”

Diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam Thawab al-A’mal daripada hadis ‘Ubaid bin Marzuq secara mursal (daif).

Begitu juga ada riwayat daripada hadis Buraidah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 7101) yang menyebutkan nama wanita tersebut sebagai Ummu Mihjan. Hadis Buraidah ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.

Pengajaran Hadis:

1 – Kelebihan membersihkan masjid dan menghilangkan kotoran daripadanya.

2 – Kesungguhan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dalam mengambil berat tentang hal ehwal umatnya.

3 – Kemulian akhlak dan tawaduk baginda yang sentiasa memberi perhatian tentang orang-orang yang lemah dan miskin yang berada di sekeliling baginda. Baginda tidak berasa malu untuk bertanya tentang hal ehwal mereka, menziarahi mereka yang sakit, mensolatkan jenazah mereka serta mengiringi jenazah mereka ke kuburan.

4 – Galakan untuk mengunjungi jenazah orang soleh.

5 – Disyariatkan menyebarluaskan berita kematian agar kaum muslimin dapat berkumpul untuk mensolati jenazah berkenaan.

6 – Galakan untuk mendoakan dan meminta rahmat daripada Allah kepada orang yang banyak berkhidmat untuk Islam dan kaum muslimin.

7 – Harus untuk mensolatkan jenazah walaupun setelah dikebumikan.

8 – Disyariatkan untuk mengulangi solat jenazah walaupun jenazah tersebut telah disolatkan sebelum dikebumikan kerana wanita ini telah disolatkan sebelum dikebumikan namun baginda tetap mensolatinya sekali lagi.

9 – Solat baginda ke atas jenazah umatnya adalah rahmat bagi mereka dan dapat menghilangkan kegelapan kubur mereka.

10 – Tidak memandang rendah kepada orang lain kerana kita tidak tahu kedudukan mereka di sisi Allah.

Isnin, 9 Mei 2016

Hadis: Sedekah menolak kematian yang buruk

Soalan: Nak tanya tentang hadith ni:

Dahsyatnya sedekah...untuk renungan bersama!

Rasulullah bersabda:

“Sedekah dapat menolak kematian yang buruk.”

Imam Ja’far Ash-Shadiq (sa) berkata:

Pada suatu hari seorang yahudi menghampiri Rasulullah , lalu mengucapkan: Assam ‘alaika (celaka atasmu). Rasulullah menjawab: ‘Alaika (atasmu). Lalu para sahabatnya berkata: Ia mengucapkan salam atasmu dengan ucapan kematian, ia berkata: kematian atasmu. Nabi saw bersabda: “Demikian juga jawapanku.” Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya yahudi ini tengkuknya akan digigit oleh binatang yang hitam (ular dan kalajengking) dan mematikannya. Kemudian orang yahudi itu pergi ke hutan mencari kayu bakar lalu membawa balik kayu bakar yang banyak. Apabila yahudi itu meletak kayu tiba2 seekor ular hitam keluar dari longgokkan kayu itu lalu menjalar masuk semula ke dalam hutan  tanpa mencederakan yahudi tersebut.

Rasulullah bertanya: “Wahai yahudi, amal apa yang kamu lakukan? Ia menjawab: Aku tidak punya pekerjaan kecuali mencari kayu bakar, dan aku membawa dua potong roti, lalu aku makan yang satu potong dan satu potong yang lain aku sedekahkan pada orang miskin.

Maka Rasulullah bersabda: “Dengan sedekah itu Allah menyelamatkan dia.” Selanjutnya beliau bersabda: “Sedekah dapat menyelamatkan manusia dari kematian yang buruk.” (Al-Wasail 6: 267, hadis ke 4)

Jawapan:

رَوى سَالِمُ بْن مُكْرَمٍ عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ 1 ( عليه السلام ) قَالَ : " مَرَّ يَهُودِيٌّ بِالنَّبِيِّ ( صلى الله عليه وآله ) ، فَقَالَ : السَّامُ عَلَيْكَ .فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ( صلى الله عليه وآله ) : عَلَيْكَ .فَقَالَ أَصْحَابُهُ : إِنَّمَا سَلَّمَ عَلَيْكَ بِالْمَوْتِ ، قَالَ الْمَوْتُ عَلَيْكَ .قَالَ النَّبِيُّ ( صلى الله عليه وآله ) : وَ كَذَلِكَ رَدَدْتُ .ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ ( صلى الله عليه وآله ) : إِنَّ هَذَا الْيَهُودِيَّ يَعَضُّهُ أَسْوَدُ 2 فِي قَفَاهُ فَيَقْتُلُهُ .قَالَ : فَذَهَبَ الْيَهُودِيُّ فَاحْتَطَبَ حَطَباً كَثِيراً فَاحْتَمَلَهُ ، ثُمَّ لَمْ يَلْبَثْ أَنِ انْصَرَفَ .فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ( صلى الله عليه وآله ) : ضَعْهُ .فَوَضَعَ الْحَطَبَ فَإِذَا أَسْوَدُ فِي جَوْفِ الْحَطَبِ عَاضٌّ عَلَى عُودٍ .فَقَالَ : يَا يَهُودِيُّ مَا عَمِلْتَ الْيَوْمَ ؟ قَالَ : مَا عَمِلْتُ عَمَلًا إِلَّا حَطَبِي هَذَا احْتَمَلْتُهُ فَجِئْتُ بِهِ ، وَ كَانَ مَعِي كَعْكَتَانِ فَأَكَلْتُ وَاحِدَةً وَ تَصَدَّقْتُ بِوَاحِدَةٍ عَلَى مِسْكِينٍ .

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ( صلى الله عليه وآله ) : بِهَا دَفَعَ اللَّهُ عَنْهُ ، وَ قَالَ إِنَّ الصَّدَقَةَ تَدْفَعُ مِيتَةَ السَّوْءِ عَنِ الْإِنْسَانِ "

Kisah Yahudi tersebut diriwayatkan dalam kitab Wasail al-Syiah, sebuah kitab hadis golongan Syiah yang dikarang oleh Muhammad bin Hasan al-Hurr al-‘Amili (w. 1104 H).

Adapun tentang hadis sedekah dapat menolak kematian yang buruk ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang daif:

حُسْنُ الْخُلُقِ نَمَاءٌ، وَسُوءُ الْخُلُقِ شُؤْمٌ، وَالْبِرُّ زِيَادَةٌ فِي الْعُمْرِ، وَالصَّدَقَةُ تَمْنَعُ مِيتَةَ السُّوءِ

“Akhlak yang baik adalah penambahan (rezeki, pahala dan meningkatkan kedudukan di sisi Allah), akhlak yang buruk adalah nasib malang (menyebabkan kurangnya rezeki dan pahala serta menurunkan kedudukan kita di sisi Allah), kebaikan menambahkan keberkatan umur dan sedekah menolak kematian yang buruk.”

Dalam hadis yang lain:

إِنَّ الصَّدَقَةَ لَتُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ وَتَدْفَعُ مِيتَةَ السُّوءِ.

“Sesungguhnya sedekah memadamkan kemurkaan Tuhan dan menolak kematian yang buruk.”

(Riwayat al-Termizi, beliau berkata: “Hadis hasan gharib.”)

Jumaat, 6 Mei 2016

Surah al-Kahfi dan Dajjal

Ada hadis yang menyebut membaca dan ada hadis yang menyebut menghafal. Ada riwayat yang menyebutkan 10 ayat awal dan ada juga menyebutkan 10 yang terakhir. Seeloknya digabungkan kedua-duanya.

1. مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi, terpelihara daripada Dajjal.”

(Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Muslim yang yang lain menyebutkan 10 ayat terakhir.

2. فَمَنْ أَدْرَكَهُ مِنْكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عَلَيْهِ فَوَاتِحَ سُورَةِ الْكَهْفِ

“Sesiapa di antara kamu yang bertemu dengan Dajjal, bacalah ke atasnya permulaan surah al-Kahfi.”

(Riwayat Muslim)

3. مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِ الْكَهْفِ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ

“Sesiapa yang membaca 10 ayat daripada akhir surah al-Kahfi, terpelihara daripada fitnah Dajjal.”

(Riwayat Ahmad)

4. مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِهَا ثُمَّ خَرَجَ الدَّجَّالُ لَمْ يَضُرَّهُ

“Sesiapa yang membaca 10 ayat daripada akhir surah al-Kahfi kemudian keluar Dajjal, Dajjal tidak akan memberi mudarat kepadanya.”

(Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath)

Kata al-Haithami dalam Majma' al-Zawaid: “Perawinya adalah perawi kitab al-Sahih."

5. مَنْ قَرَأَ ثَلاَثَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ الكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa yang membaca tiga ayat daripada awal surah al-Kahfi, terpelihara daripada fitnah Dajjal.”

Riwayat al-Termizi, beliau berkata: “Hadis hasan sahih.”

Komen Imam Mulla ‘Ali al-Qari (مرقاة المفاتيح): “Cara untuk menggabungkan antara riwayat yang menyebutkan 3 ayat dan riwayat yang menyebutkan 10 ayat adalah riwayat yang menyebutkan 10 ayat adalah yang terkemudian. Sesiapa yang beramal dengan riwayat yang menyebutkan 10 ayat maka dia telah beramal dengan riwayat yang menyebutkan 3 ayat.”

Selasa, 3 Mei 2016

Hadis Mursal

Hadis mursal adalah hadis yang disandarkan oleh tabi’e kepada nabi tanpa menyebutkan perantaraan (sahabat).

Tabi’e (التابعي) atau tabi’in (التابعين) adalah seseorang yang sempat bertemu dengan sahabat Rasulullah dan mati dalam keadaan Islam.

Termasuk dalam kategori tabi’in juga sesiapa yang hidup semasa dengan Nabi tetapi tidak pernah bertemu dengan Nabi seperti ‘Uwais al-Qarni dan Najashy. Sesiapa yang pernah berjumpa dengan nabi tetapi masuk Islam selepas kematian baginda dikira sebagai tabi’in.

Al-Mukhadramin (الْمُخَضْرَمِينَ) adalah seseorang yang sempat hidup pada zaman jahiliyyah, sezaman dengan Nabi, masuk Islam dan tidak pernah bertemu dengan Nabi. Al-Mukhadramin termasuk dalam kategori tabi’in dan menurut sebahagian ulama termasuk dalam kategori sahabat.

Contoh hadis mursal

عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ قَالَ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقِيلَ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ نَاسًا مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ يَأْتُونَنَا بِلُحْمَانٍ وَلَا نَدْرِي هَلْ سَمَّوْا اللَّهَ عَلَيْهَا أَمْ لَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمُّوا اللَّهَ عَلَيْهَا ثُمَّ كُلُوهَا


Imam Malik meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada ayahnya (‘Urwah bin al-Zubair), beliau berkata, seseorang bertanya kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, beberapa orang Arab dari pendalaman bawa kepada kami beberapa ketul daging dan kami tidak tahu adakah dibacakan nama Allah ke atasnya (ketika menyembelih) atau tidak.”

Rasulullah menjawab: “Bacalah nama Allah ke atasnya kemudian makanlah.”

‘Urwah bin Zubair adalah seorang tabi’e dan tidak pernah bertemu dengan Rasulullah. Beliau tidak menjelaskan dari siapa beliau dengar hadis ini. Dalam keadaan ini maka hadis ini mursal.

Hukum hadis mursal

Hukum hadis mursal pada asalnya adalah daif kerana hilang salah satu daripada syarat hadis yang diterima iaitu bersambung sanad dan tidak diketahui status perawi yang tidak disebutkan namanya itu kerana terdapat kemungkinan perawi tersebut adalah bukan sahabat.

Pandangan ulama tentang berhujah dengan hadis mursal

Para ulama daripada kalangan ahli hadis dan selain mereka berbeza pendapat tentang hukum hadis mursal dan berhujah dengannya kerana bentuk terputusnya sanad hadis mursal ini berbeza dengan terputusnya sanad jenis hadis-hadis yang lain. Ini kerana kebiasaannya perawi yang tidak dinamakan oleh tabi’in itu adalah daripada kalangan sahabat. Para sahabat kesemuanya adalah adil dan tidak memberi mudarat (terhadap status hadis) jika tidak disebutkan nama mereka.

Secara ringkas, terdapat tiga pendapat tentang hadis mursal:

1. Daif dan tertolak. Ini adalah pendapat jumhur ahli hadis dan ramai ulama daripada kalangan ahli usul dan ahli fiqh. 

Hujah mereka: ketidaktahuan hal perawi yang tidak disebutkan namanya dan terdapat kemungkinan perawi tersebut adalah bukan sahabat.

2. Sahih dan boleh berhujah dengannya. Ini adalah pendapat Abu Hanifah, Malik, pendapat yang masyhur daripada Ahmad bin Hanbal, dan sekumpulan ulama dengan syarat orang yang memursalkan hadis tersebut adalah thiqah dan dia tidak memursalkan hadis kecuali daripada perawi yang thiqah.

3. Diterima dengan syarat. Ini adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e dan sebahagian ahli imu. Antara syaratnya:

1. Perawi yang memursalkan hadis tersebut adalah daripada kalangan kibar tabi’in (tabi’in besar) seperti Sa’id bin al-Musayyib.

2. Jika diminta kepada perawi yang memursalkan hadis tersebut untuk menamakan perawi yang tidak dinamakan itu dia akan menamakan perawi yang thiqah.

3. Diriwayatkan juga hadis tersebut dengan jalan yang lain yang bersambung sanadnya.

Dan syarat-syarat yang lain.

Rujukan:

1. Taisir Mustholah al-Hadis oleh Dr Mahmud al-Thahan.

2. Al-Madkhal Ila Dirasah ‘Ulum al-Hadis oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

3. Manhaj al-Naqd  Fi ‘Ulum al-Hadis oleh Dr Nuruddin ‘Itr.

Hadis: Lima perkara sebelum lima perkara

اغْتَنِمْ خَمْساً قبْلَ خَمْسٍ حَياتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وفَراغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ وشَبابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وغِناكَ قَبْلَ فَقْرِكَ

Terjemahan

“Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Hidup sebelum mati. Sihat sebelum sakit. Waktu lapang sebelum waktu sempit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Mubarak dalam al-Zuhd, Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra, Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab dan lain-lain daripada ‘Amru bin Maimun secara mursal.

‘Amru bin Maimun adalah seorang tabi’e besar yang sempat hidup pada zaman jahiliyyah, masuk Islam ketika hayat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tetapi tidak pernah bertemu dengan baginda.

Hadis ini menurut al-Hafiz al-Busiri (إتحاف الخيرة المهرة)  mempunyai syahid (penguat) daripada hadis Ibnu ‘Abbas secara marfu’ yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak.


Kata al-Hakim: “Sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim.” dan dipersetujui oleh al-Zahabi.