Maksud Qailulah
Dari segi bahasa qailulah
(القَيْلُولَة) bermaksud berehat pada pertengahan waktu siang, walaupun rehat
tersebut tidak disertai dengan perbuatan tidur.
Waktu Tidur Qailulah
Para ulama berbeza
pendapat dalam menentukan waktu tidur qailulah. Sebahagian ulama
menetapkan waktu qailulah adalah sebelum waktu zohor dan
sebahagian lagi mengatakan waktunya selepas zohor.
Al-Khatib al-Syirbini dalam
al-Iqna’ berkata: “Qailulah adalah tidur sebelum waktu zohor.”
Al-Munawi dalam Faidh
al-Qadir berkata: “Qailulah adalah tidur di pertengahan waktu siang ketika waktu gelincir matahari (yakni
waktu zohor) atau hampir waktu gelincir matahari sama ada sebelumnya atau
selepasnya.”
Hukum Tidur Qailulah
Hukum tidur qailulah
adalah sunat terutamanya bagi orang yang ingin solat
tahajjud.
Al-Khatib al-Syirbini
menyebutkan: “Disunatkan bagi orang yang ingin bangun tahajjud untuk tidur
qailulah, iaitu tidur sebelum waktu zawal (zohor). Ia adalah seperti sahur bagi
orang yang berpuasa sebagaimana sabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:
Qailulah itu membantu (memudahkan) qiyamullail. Diriwayatkan oleh Abu Daud.”
Al-Munawi berkata: “Perbuatan
golongan salaf dan khalaf (yang melakukan qailulah) itu menunjukkan bahawa
qailulah itu adalah sesuatu yang dituntut agar membantu melaksanakan
qiyamullail.”
Imam al-Ghazali
berkata: “Sesungguhnya dituntut untuk melakukan qailulah untuk orang yang
bangun malam dan berjaga malam bagi melakukan kebajikan kerana di dalamnya
terdapat perkara yang membantu untuk melaksanakan tahajjud sebagaimana terdapat
dalam sahur itu perkara yang membantu untuk puasa di siang hari. Maka qailulah
tanpa bangun malam itu seumpama sahur tanpa puasa di siang hari.”
Hadis Kelebihan Qailulah
Hadis Pertama
اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ
النَّهَارِ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ.
“Makan pada
waktu sahur itu membantu puasa di siang hari dan qailulah itu membantu bangun
malam (qiyamullail).”
Riwayat Ibnu Majah
(no. 1693) daripada hadis Ibnu ‘Abbas dengan sanad yang daif.
Pengajaran Hadis:
1 – Disunatkan makan
sahur dan tidur qailulah agar dapat membantu tubuh badan supaya kuat dan cergas
bagi melaksanakan ibadah puasa dan solat malam.
2 – Galakan untuk
untuk melakukan apa sahaja perkara yang diharuskan syarak agar dapat membantu melaksanakan ibadah
dengan mudah.
Hadis Kedua
قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ.
“Tidurlah qailulah kerana sesungguhnya
syaitan tidak tidur qailulah.”
Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Tib
al-Nabawi (no. 151) dan Tarikh Asbahan (2/30) dengan sanad yang
daif.
Pengajaran Hadis:
1 – Galakan untuk
tidur qailulah agar dapat menyelisihi perbuatan syaitan yang tidak tidur
qailulah.
2 – Berusaha untuk melakukan setiap perkara yang menyelisihi perbuatan syaitan kerana ia adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam seperti kita dianjurkan untuk makan menggunakan tangan kanan kerana syaitan makan menggunakan tangan kiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan