Rabu, 31 Januari 2024

Cara Nak Tahu Kitab Yang Pernah Ditulis Tentang Rasulullah

Kali ini saya ingin membawakan sebuah kitab bertajuk Mu’jam Ma Ullifa ‘An Rasulillah yang ditulis oleh seorang penulis dari Syria yang digelar Sinbad manuskrip dan bapa manuskrip Arab, Salahuddin al-Munajjid (m. 2010 M).

Kitab ini berusaha mengkatalogkan senarai tajuk kitab yang pernah ditulis berkenaan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, sejak bermulanya zaman penulisan kitab dalam Islam sehinggalah ke zaman penulis.

Sebab utama penulis menyusun kitab ini adalah kerana setelah beliau melihat banyaknya kitab yang sudah ditulis berkenaan baginda, namun tidak ada kitab khas yang menyenaraikan nama-nama sekian banyak kitab yang sudah ditulis tersebut. Oleh itu beliau cuba untuk menutup kelompangan ini dengan menghimpunkan tajuk-tajuk kitab tersebut dalam satu kitab khas agar mudah dijadikan rujukan dan panduan bagi para pengkaji.

Penulis telah menghabiskan masa selama 3 tahun untuk menghasilkan kitab ini setelah menyalin dan mengubah susunannya beberapa kali. Beliau berharap agar tidak ada tajuk kitab yang tertinggal melainkan akan dimasukkan dalam kitab ini. Namun beliau sedar tidak mungkin untuk mencapai matlamat itu meskipun keseluruhan umur beliau telah dihabiskan untuk usaha ini kerana kitab yang ditulis tentang Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak terbilang banyaknya.

Kelebihan kitab ini kerana kitab ini tidak hanya menyenaraikan kitab tentang sirah baginda sahaja, bahkan segala kitab yang pernah ditulis dari segenap aspek tentang baginda akan dimasukkan seperti kitab tentang kuda, pakaian dan capal milik baginda, kitab sejarah Mekah dan Madinah, kitab tentang melihat baginda dalam mimpi, kitab tentang ibadat dan zikir baginda, perubatan Nabi, kitab puji-pujian terhadap baginda dan lain-lain.

Kitab ini telah dibahagikan kepada 12 bahagian besar dan pada setiap bahagian pula dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil.

Tajuk kitab akan disusun mengikut susunan huruf abjad dan dinyatakan nama penulis dan tahun kewafatan mereka.

Jika kitab tersebut tidak sampai ke zaman kini mengikut kadar pengetahuan menulis, beliau akan menyatakan nama kitab yang menjadi sumber maklumat tentang kitab tersebut. Sekiranya kitab tersebut masih dalam bentuk manuskrip dan penulis tahu tempat letaknya maka akan dinyatakan. Bagi kitab yang sudah diterbitkan maka akan disebut tempat kitab tersebut diterbitkan bersama tahun terbitannya.

Penulis tidak sekadar memuatkan kitab yang ditulis ulama silam malah turut memasukkan hasil karya penulis zaman moden.

Kitab ini boleh dimuat turun di sini.

Salahuddin al-Munajjid


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan