Rabu, 30 Ogos 2017

Hadis palsu dalam kitab Wahabi

Syeikh Abdul Rahman bin Hasan Aali al-Syeikh – cucu Muhammad bin Abdul Wahab – menyebutkan dalam kitab beliau, Fath al-Majid Syarah Kitab al-Tauhid[1] sebuah riwayat daripada hadis Abu Sa’id al-Khudri secara marfu’:

أن عيسى أسلمته أمه إلى الكتاب ليعلمه. فقال له المعلم: اكتب بسم الله. فقال عيسى: أتدري ما الله؟ الله إله الآلهة

“Sesungguhnya ibu ‘Isa menghantarnya ke sekolah untuk mengajarkannya. Seorang guru berkata kepada ‘Isa: Tulislah Bismillah. Lantas ‘Isa menjawab: Tahukah kamu apa itu Allah? Allah adalah Tuhan segala tuhan-tuhan [yang palsu].”

Hadis ini disebutkan tanpa dinyatakan kepalsuannya.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabari dalam Tafsirnya, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil dan lain-lain daripada jalur perawi Ismail bin ‘Ayash daripada Isma’il bin Yahya daripada hadis Abu Sa’id al-Khudri.

Ibnu Taimiyyah berkata dalam Majmu’ah al-Rasail Wa al-Masail[2]: “Ismail bin Yahya ini, dikatakan dia adalah al-Taimi, orang Kufah, terkenal sebagai seorang yang suka berdusta. Riwayat Ismail bin ‘Ayash daripada selain orang Syam tidak boleh dibuat hujjah, bahkan daif...”

Hadis ini dinilai sebagai palsu oleh Syeikh Abu Ishaq al-Huwaini dalam al-Nafilah Fi al-Ahadith al-Dha’ifah Wa al-Bathilah [hadis no. 128].

____________

[1] Abdul Rahman bin Hasan Aali al-Syeikh, Fath al-Majid Syarah Kitab al-Tauhid, hlm. 21, c. Muassasah Qurtubah.

[2] Ibnu Taimiyyah, Majmu’ah al-Rasail Wa al-Masail, jil. 3, hlm. 51, c. Lajnah al-Turath al-‘Arabi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan