Jumaat, 11 Ogos 2017

Takhrij hadis: Apa yang dianggap baik oleh kaum Muslimin


فَمَا رَأَى الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا، فَهُوَ عِنْدَ اللهِ حَسَنٌ، وَمَا رَأَوْا سَيِّئًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ سَيِّئٌ

"Apa yang dianggap baik oleh kaum Muslimin maka ia juga adalah baik di sisi Allah. Apa yang dianggap buruk oleh mereka maka ia juga adalah buruk di sisi Allah."

Hadis diriwayatkan mauquf daripada kata-kata Abdullah bin Mas'ud dengan sanad yang hasan. Riwayat yang marfu' daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam adalah tidak sabit.

Riwayat yang mauquf diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad, al-Thabarani dalam Mu'jam al-Kabir dan lain-lain. Dalam sanadnya terdapat 'Asim bin Abi al-Najud.  Dia seorang yang soduq [bersifat benar] dan agak kurang kuat dari segi ingatannya. Ia dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Dirayah, al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan lain-lain.

Riwayat yang marfu' diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan Ibnu al-Jauzi dalam al-'Ilal al-Mutanahiyyah daripada hadis Anas bin Malik. Dalam sanadnya terdapat Abu Daud al-Nakha'ie. Kata al-Khatib al-Baghdadi: "Abu Daud al-Nakha'ie bersendirian meriwayatkan hadis ini." Abu Daud al-Nakha'ie, atau nama sebenarnya Sulaiman bin 'Amru ini seorang pendusta dan terkenal sebagai pemalsu hadis. Kata Ibnu 'Adi dalam kitab al-Kamil: "Sulaiman bin 'Amru, telah sepakat (ahli hadis) bahawa dia memalsukan hadis."

Oleh kerana itu, ahli hadis menyatakan bahawa ia hanya sabit daripada kata-kata Abdullah bin Mas'ud. Kata Ibnu al-Jauzi dalam al-'Ilal al-Mutanahiyyah: "Hadis ini dikenali daripada kalam Ibnu Mas'ud." Kata al-Hafiz al-Zaila'ie dalam Nasb al-Rayah: "Aku tidak mendapatinya kecuali mauquf ke atas Ibnu Mas'ud." Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Dirayah: "Aku tidak mendapatinya marfu'."

Maksud kaum muslimin di sini ialah khusus bagi para ulama, bukanlah orang Islam secara umumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan