Kitab Zawaid adalah satu jenis penulisan dalam bidang hadis, di mana
dalamnya para penulis kitab zawaid mengumpulkan hadis-hadis tambahan dalam
sesebuah kitab atau sejumlah kitab hadis, atas nisbah kepada sejumlah kitab
hadis yang telah dikarang sebelumnya.
Terdapat banyak kitab-kitab Zawaid yang telah ditulis sepanjang zaman. Saya akan sebutkan beberapa buah sahaja kitab Zawaid yang terkenal.
1. Majma' al-Zawaid Wa Manba' al-Fawaid karangan al-Hafiz al-Haithami (m. 807H).
Al-Hafiz al-Haithami layak digelar sebagai Syeikh al-Zawaid kerana
beliau antara yang terbanyak menghasilkan kitab-kitab Zawaid. Sahabat
dan guru beliau iaitu al-Hafiz al-'Iraqilah yang melatih dan mengarahkan beliau
menghasilkan kitab-kitab Zawaid ini.
Sebelum menyusun kitab Majma' al-Zawaid, al-Haithami menyusun kitab-kitab Zawaid berikut:
a. Ghayah al-Maqsad Fi Zawaid al-Musnad.
Al-Hafiz al-Haithami meneliti satu persatu hadis yang terdapat dalam Musnad Ahmad lalu dibandingkan dengan Kutub al-Sittah. Jika hadis tersebut hanya terdapat dalam Musnad Ahmad dan tidak terdapat dalam Kutub al-Sittah, maka beliau akan memasukkannya dalam kitab Ghayah al-Maqsad ini. Jika hadis tersebut ada dalam Musnad Ahmad serta Kutub al-Sittah, maka hadis tersebut akan diabaikan.
b. Al-Maqsad al-Ali Fi Zawaid Abi Ya'la al-Musili.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad Abu Ya'la dan tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
c. Kasyf al-Astar 'An
Zawaid al-Bazzar.
Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya
ada dalam Musnad al-Bazzar dan tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
d. Al-Badr al-Munir Fi Zawaid al-Mu'jam al-Kabir.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Mu'jam al-Kabir
karangan al-Thabarani dan tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
e. Majma' al-Bahrain Fi Zawaid al-Mu'jamain.
Dikumpulkan di dalamnya
hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Mu'jam al-Ausath dan Mu'jam
al-Saghir karangan al-Thabarani dan tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
Setelah itu beliau mengumpulkan hadis-hadis daripada kelima-lima kitab Zawaid
yang disebutkan di atas, dibuangkan sanad-sanadnya dan dikumpulkan dalam satu
kitab yang diberi nama Majma' al-Zawaid Wa Manba' al-Fawaid. Kitab ini
disusun berdasarkan bab-bab (Bab Iman, Ilmu, Thaharah, Solat dan lain-lain) dan
beliau akan memberi ulasan tentang status perawi yang berada dalam sanad.
Terdapat 18776 buah hadis dalam kitab ini. Kitab ini sangat-sangat penting
untuk dimiliki oleh peminat ilmu hadis kerana terdapat ulasan-ulasan penting
al-Hafiz al-Haithami.
2. Mawarid al-Zam'an
Ila Zawaid Ibn Hibban karangan al-Haithami.
Dikumpulkan di dalamnya
hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Sahih Ibnu Hibban dan tidak
ada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Terdapat 2647 buah
hadis dalam kitab ini.
3. Bughyah al-Ba'ith 'An Zawaid Musnad al-Harith juga karangan
al-Haithami.
Dikumpulkan di dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad
al-Harith bin Abu Usamah (m. 282H) dan tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
Terdapat 1136 buah hadis dalam kitab ini.
4. Al-Misbah al-Zujajah Fi Zawaid Ibnu Majah karangan al-Hafiz
Syihabbudin al-Busiri (m. 840H).
Kitab ini mengumpulkan di dalamnya hadis-hadis
tambahan yang hanya ada dalam Sunan Ibnu Majah dan tidak ada dalam Kutub
al-Khamsah iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan
al-Termizi dan Sunan al-Nasaie. Terdapat 1476 buah hadis dalam kitab
ini. Kitab ini penting bagi sesiapa yang ingin mengetahui status hadis-hadis
yang terdapat dalam Sunan Ibnu Majah kerana al-Hafiz al-Busiri akan memberi ulasan
tentang kesahihan dan kedaifan sanad-sanadnya.
5. Ithaf al-Khiyarah al-Maharah Bi Zawaid al-Masanid al-'Asyarah juga
karangan al-Hafiz al-Busiri. Beliau mengumpulkan hadis-hadis tambahan yang ada
dalam kitab Masanid kepada hadis-hadis dalam Kutub al-Sittah.
Kitab-kitab Masanid tersebut ialah:
a. Musnad Abu Daud
al-Tayalisi.
b. Musnad al-Humadi.
c. Musnad Musaddad
bin Musarhad.
d. Musnad Ibnu Abi
Syaibah.
e. Musnad Ishaq bin
Rahuyah.
f. Musnad Muhammad
bin Yahya bin Abu ‘Umar al-’Adani.
g. Musnad Ahmad bin Mani’
al-Baghawi al-‘Asom.
h. Musnad ‘Abd bin
Humad al-Kasyi.
i. Musnad al-Harith
bin Abu ‘Usamah.
j. Al-Musnad al-Kabir
karangan Abu Ya’la al-Musili.
Kitab ini mengandungi
sebanyak 10300 buah hadis dan terdapat ulasan-ulasan al-Hafiz al-Busiri
berkaitan sanad.
Kitab ini juga telah
diringkaskan oleh beliau sendiri selepas beliau membuang sanad-sanadnya dan
menamakannya sebagai Mukhtasar Ithaf al-Khairah al-Maharah Bi Zawaid
al-Masanid al-'Asyarah.
6. Al-Mathalib al-‘Aliyah
Bi Zawaid al-Masanid al-Thamaniyyah karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani (m. 852H)
Terkandung di dalamnya
hadis-hadis tambahan bagi kitab lapan Masanid kepada hadis-hadis yang
terkandung dalam Kutub al-Sittah dan Musnad Ahmad. Lapan Masanid
tersebut ialah:
a. Musnad Abu Daud
al-Tayalisi.
b. Musnad al-Humadi.
c. Musnad Musaddad
bin Musarhad.
d. Musnad Ibnu Abi
Syaibah.
e. Musnad Muhammad
bin Yahya bin Abu ‘Umar al-’Adani.
f. Musnad Ahmad bin Mani’
al-Baghawi al-‘Asom.
g. Musnad ‘Abd bin
Humad al-Kasyi.
h. Musnad al-Harith
bin Abu ‘Usamah.
Al-Hafiz Ibnu Hajar juga
menambah hadis-hadis tambahan daripada Musnad Ishaq bin Rahuyah dan Musnad
Abi Ya’la al-Kubra. Musnad Ishaq bin Rahuyah ini tidak ditemui
melainkan sebahagiannya sahaja dan Musnad Abu Ya’la al-Kubra terkumpul
padanya hadis-hadis tambahan yang tidak disebutkan oleh al-Haithami dalam
kitabnya Majma’ al-Zawaid kerana beliau menggunakan Musnad Abu Ya’la
al-Sughra. Kitab ini mengandungi sebanyak 4627 buah hadis.
Perbahasan yang
terkandung dalam kitah Ithaf dan al-Mathalib adalah perbahasan yang sama
melainkan kitab-kitab yang ditambah di dalamnya iaitu al-Hafiz Ibnu Hajar
menambah satu lagi kitab di dalamnya iaitu Musnad Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan