Selasa, 26 September 2017
Prof Dr Jawiah Dakir: Hadis Palsu Dalam Kitab Ihya'
Sabtu, 23 September 2017
Status Hadis: Puasa Akhir Zulhijrah dan Awal Muharam Kafarah Dosa 50 Tahun
Soalan:
Mohon jasa baik para
asatizah memberikan pencerahan mengenai hadith ini:
Hadis Nabi saw: "Barang
sesiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama bulan Muharam
, maka sesungguhnya dia telah mengakhiri tahun yang lalu dengan berpuasa dan
telah membuka ( memulakan ) tahun yang datang dengan berpuasa dan Allah Taala
telah menjadikannya memberikan baginya tebusan dosa selama lima puluh tahun.”
Jawapan:
Hadis tersebut berikut
teksnya dalam bahasa Arab:
مَنْ صَامَ آخِرَ يَوْمٍ
مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَأَوَّلُ يَوْمٍ مِنَ الْمُحَرَّمِ فَقَدْ خَتَمَ السَّنَةَ
الْمَاضِيَةِ وَافْتَتَحَ السَّنَةَ الْمُسْتَقْبَلَةَ بِصَوْمٍ جَعَلَ اللَّهُ
لَهُ كَفَّارَةَ خَمْسِينَ سَنَةً.
Hadis ini diriwayatkan
oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu'at daripada hadis
Ibnu 'Abbas.
Al-Hafiz al-Zahabi
dalam kitab Talkhis Kitab al-Maudhu'at menyebutkan dengan
lafaz yang sedikit berbeza:
من صَامَ آخر سنة وَأول
الْأُخْرَى؛ جعل الله لَهُ كَفَّارَة خمسين سنة.
"Sesiapa yang
berpuasa pada akhir tahun dan awal tahun berikutnya, Allah akan mengurniakan
kepadanya kafarah dosa selama 50 tahun."
Dalam sanadnya terdapat
dua orang perawi yang terkenal sebagai pendusta dan pemalsu hadis iaitu Ahmad
bin 'Abdullah al-Harawi al-Juwaibari dan Abu al-Bakhtari Wahb bin Wahb.
Oleh itu hadis ini
dihukum sebagai palsu oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at,
al-Zahabi dalam Talkhis Kitab al-Maudhu'at, al-Sayuthi dalam al-Laali
al-Masnu'ah, Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah dan
al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah. Cumanya, al-Syaukani
tersilap dengan menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah
sedangkan ia tidak ada dalam Sunan Ibnu Majah.
Meskipun begitu, sunat
hukumnya berpuasa pada bulan Zulhijjah dan bulan Muharam kerana termasuk dalam
bulan-bulan Haram sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ، بَعْدَ
رَمَضَانَ، شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ، وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ
الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ.
“Sebaik-baik puasa selepas (puasa) Ramadan ialah (puasa) bulan
Allah, Muharam. Sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat malam.”
Riwayat Muslim daripada hadis Abu Hurairah.
Dalam hadis yang lain:
صُمْ مِنَ
الحُرُمِ وَاتْرُكْ، صُمْ مِنَ الحُرُمِ وَاتْرُكْ، صُمْ مِنَ الحُرُمِ وَاتْرُكْ.
“Puasalah
pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah. Puasalah pada bulan-bulan haram dan
tinggalkanlah. Puasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah.”
Riwayat Abu
Daud.
Nabi sallahu
‘alaihi wasallam menyuruh agar ditinggalkan puasa sebahagian hari daripada bulan-bulan tersebut
agar tidak menyusahkan umatnya. Adapun bagi orang yang tidak merasa susah maka
berpuasa pada keseluruhan bulan tersebut adalah yang utama.
Wallahu a’lam.
*Dikemas kini semula pada 9/8/2021. Alhamdulillah.
Khamis, 21 September 2017
Hadis Palsu dalam Kitab al-Syifa karangan al-Qadhi 'Iyadh?
Isnin, 18 September 2017
Tabaruk Ibnu Hibban dengan kubur Ali al-Ridha
- Al-Thiqat, Ibnu Hibban, jil. 8, hlm. 457, c. Dairah al-Ma'arif al-'Uthmaniyyah.
Rabu, 13 September 2017
Tabaruk Anak Imam Ahmad Dengan Baju Bapanya
Al-Imam Ibnu al-Jauzi meriwayatkan dalam Manaqib Imam Ahmad )hlm. 399, terbitan Dar Hijr( dengan sanadnya daripada Fatimah binti Ahmad
bin Hanbal, beliau berkata:
"Telah berlaku kebakaran di rumah saudaraku, Soleh. Dia telah
berkahwin dengan wanita daripada keluarga yang kaya-raya. Mereka memberinya
persalinan pengantin yang harganya hampir 4000 dinar dan telah dijilat api.
Lalu Soleh berkata: Aku tidak berasa sedih atas apa yang telah hilang
daripadaku kecuali pakaian bapaku yang beliau bersolat denganya. Aku
bertabaruk dengannya dan aku bersolat dengan memakainya.
Fatimah berkata: Setelah api padam, orang ramai masuk ke dalam rumah dan mendapati pakaian tersebut berada di atas katil. Api telah memakan setiap sesuatu di sekelilingnya dan pakaian tersebut selamat."
Kisah tersebut turut disebutkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' (11/230) tanpa sebarang bantahan.
_____________________________
Soleh bin Ahmad bin Hanbal
merupakan anak sulung Ahmad. Beliau dilahirkan pada tahun 203 Hijrah.
Beliau belajar daripada ayahnya,
Ali ibn al-Madini, dan ulama-ulama lain.
Antara muridnya ialah anaknya
Zuhair, Abu al-Qasim al-Baghawi, Ibnu Abi Hatim dan Abu Bakar al-Khallal.
Ibnu Abi Hatim menganggap beliau
sebagai seorang yang jujur (saduq) dan dipercayai (thiqah).
Al-Khallal berkata: “Beliau
mendengar daripada ayahnya banyak permasalahan (fiqh), dan orang ramai menulis
surat kepadanya dari Khurasan dan dari tempat-tempat lain, (meminta) beliau
untuk menanyakan kepada ayahnya tentang permasalahan-permasalahan tersebut.
Maka beliau dapat mempelajari permasalahan-permasalahan yang bermutu.”
Ayahnya mencintainya dan
memuliakannya.
Beliau seorang yang mempunyai
ramai tanggungan, diuji dengan tanggungan keluarga pada usia mudanya, dan
ayahnya selalu mendoakannya.
Beliau seorang yang pemurah, sehingga
kisah kemurahannya terlalu panjang untuk dituliskan di dalam sebuah kitab.
Beliau telah memegang jawatan Qadhi
(hakim) di Tarsus (Turki)
sebelum beliau memegang jawatan kadi di Isfahan (Iran).
Beliau mempunyai anak-anak,
antaranya: Zuhair dan Ahmad.
Beliau meninggal dunia di Isfahan pada bulan Ramadan tahun 266 Hijrah dan usianya 63 tahun. Beliau dikebumikan berdekatan dengan kubur Humamah al-Dawsi, sahabat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Sabtu, 9 September 2017
Sifat penyayang dan simpati Sayyid Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari
Hadis sahih tentang ayam jantan
Hadis: Tiga golongan yang dilaknat
Jumaat, 1 September 2017
Cipta Hadis Palsu Untuk 'Back Up' Anak
Al-Hakim
al-Naisaburi meriwayatkan dalam kitab al-Madkhal Ila Kitab al-Iklil
dengan sanadnya sehingga 'Ubaid bin Ishaq al-Dhabi al-Kufi daripada Saif bin
'Umar al-Taimi, beliau berkata:
"Aku berada bersama Sa'ad bin Tharif, lalu datang anaknya dari sekolah [dalam keadaan menangis].
Sa'ad lalu bertanya: Kenapa denganmu?
Sa'ad lantas berkata: Aku akan memalukan mereka hari ini. Telah menceritakan kepadaku Ikrimah daripada Ibnu 'Abbas, beliau berkata: Nabi sallahu 'alaihi wasallam bersabda: Orang yang paling teruk di kalangan kamu adalah guru-guru anak kamu. Mereka yang paling sedikit rasa belas kasihannya kepada anak yatim dan mereka yang paling kasar terhadap orang-orang miskin.”
Kisah ini masyhur disebutkan dalam kitab-kitab Mustholah Hadis apabila membicarakan tentang golongan pemalsu hadis.
Bukan sahaja Sa’ad bin Tharif sahaja perawi yang bermasalah malah dua perawi sebelumnya iaitu Saif bin ‘Umar dan ‘Ubaid bin Ishaq juga adalah perawi yang bermasalah. Boleh jadi salah seorang daripada mereka bertiga yang memalsukan hadis ini.
Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil juga teragak-agak dalam menentukan pemalsu hadis ini meskipun pada tempat yang lain beliau berpendapat Sa’ad bin Tharif yang memalsukannya kerana dia perawi yang paling bermasalah di antara ketiga-tiganya.

