Soalan:
Mohon jasa baik para
asatizah memberikan pencerahan mengenai hadith ini:
Hadis Nabi saw: "Barang
sesiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama bulan Muharam
, maka sesungguhnya dia telah mengakhiri tahun yang lalu dengan berpuasa dan
telah membuka ( memulakan ) tahun yang datang dengan berpuasa dan Allah Taala
telah menjadikannya memberikan baginya tebusan dosa selama lima puluh tahun.”
Jawapan:
Hadis tersebut berikut
teksnya dalam bahasa Arab:
مَنْ صَامَ آخِرَ يَوْمٍ
مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَأَوَّلُ يَوْمٍ مِنَ الْمُحَرَّمِ فَقَدْ خَتَمَ السَّنَةَ
الْمَاضِيَةِ وَافْتَتَحَ السَّنَةَ الْمُسْتَقْبَلَةَ بِصَوْمٍ جَعَلَ اللَّهُ
لَهُ كَفَّارَةَ خَمْسِينَ سَنَةً.
Hadis ini diriwayatkan
oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu'at daripada hadis
Ibnu 'Abbas.
Al-Hafiz al-Zahabi
dalam kitab Talkhis Kitab al-Maudhu'at menyebutkan dengan
lafaz yang sedikit berbeza:
من صَامَ آخر سنة وَأول
الْأُخْرَى؛ جعل الله لَهُ كَفَّارَة خمسين سنة.
"Sesiapa yang
berpuasa pada akhir tahun dan awal tahun berikutnya, Allah akan mengurniakan
kepadanya kafarah dosa selama 50 tahun."
Dalam sanadnya terdapat
dua orang perawi yang terkenal sebagai pendusta dan pemalsu hadis iaitu Ahmad
bin 'Abdullah al-Harawi al-Juwaibari dan Abu al-Bakhtari Wahb bin Wahb.
Oleh itu hadis ini
dihukum sebagai palsu oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at,
al-Zahabi dalam Talkhis Kitab al-Maudhu'at, al-Sayuthi dalam al-Laali
al-Masnu'ah, Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah dan
al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah. Cumanya, al-Syaukani
tersilap dengan menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah
sedangkan ia tidak ada dalam Sunan Ibnu Majah.
Meskipun begitu, sunat
hukumnya berpuasa pada bulan Zulhijjah dan bulan Muharam kerana termasuk dalam
bulan-bulan Haram sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ، بَعْدَ
رَمَضَانَ، شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ، وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ
الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ.
“Sebaik-baik puasa selepas (puasa) Ramadan ialah (puasa) bulan
Allah, Muharam. Sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat malam.”
Riwayat Muslim daripada hadis Abu Hurairah.
Dalam hadis yang lain:
صُمْ مِنَ
الحُرُمِ وَاتْرُكْ، صُمْ مِنَ الحُرُمِ وَاتْرُكْ، صُمْ مِنَ الحُرُمِ وَاتْرُكْ.
“Puasalah
pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah. Puasalah pada bulan-bulan haram dan
tinggalkanlah. Puasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah.”
Riwayat Abu
Daud.
Nabi sallahu
‘alaihi wasallam menyuruh agar ditinggalkan puasa sebahagian hari daripada bulan-bulan tersebut
agar tidak menyusahkannya. Adapun bagi orang yang tidak merasa susah maka
berpuasa pada keseluruhan bulan tersebut adalah yang utama.
Wallahu a’lam.
*Dikemas kini semula pada 9/8/2021. Alhamdulillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan