- Berdasarkan penomboran hadis
Syeikh Abduh Ali Kusyak [pentahqiq kitab al-Syifa], terdapat
sekitar 1830 buah hadis dalam kitab ini, termasuk hadis-hadis yang berulang.
- Terdapat sebilangan kecil hadis
yang tidak ditemui asalnya oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam kitab Manahil
al-Sofa yang mentakhrijkan hadis-hadis kitab al-Syifa. Jika
hadis-hadis yang tidak ditemui asalnya oleh al-Hafiz al-Sayuthi ini turut sama
tidak ditemui sumbernya oleh ahli hadis yang lain, maka dapat dihukumkannya
sebagai 'la asla lahu', seterusnya memberi gambaran wujudnya beberapa
hadis-hadis 'la asla lahu' dalam kitab ini.
- Syeikh Abduh Ali Kusyak dalam
kajiannya terhadap kitab al-Syifa berpendapat bahawa terdapat
hadis-hadis daif dalam kitab ini yang masih boleh diamalkan dalam fadhail
a'mal dan al-targhib wa al-tarhib dan ada sebilangan kecil hadis
palsu.
- Syeikh Abdullah al-Talidi dalam
kitab kitab Ithaf Ahl al-Wafa yang meringkaskan kitab al-Syifa
berpendapat terdapat lebih 150 buah hadis-hadis palsu dan 'la asla lahu'
dalam kitab ini. Pendapat beliau ini masih terbuka untuk dikaji semula dan
hadis-hadis yang beliau hukum palsu pun mungkin masih ada khilaf padanya.
- Contohnya hadis berikut:
ما رأيتُ
فَرْجَ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم قطُّ.
Kata 'Aisyah: "Aku tidak
pernah sekali pun melihat kemaluan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."
(Riwayat al-Termizi dalam al-Syamail dan Ibnu Majah)
- Hadis ini dihukumkan sebagai 'la
asla lahu' (palsu) oleh Syeikh Abdullah al-Talidi. Istilah 'la asla
lahu' kebiasaannya digunakan bagi hadis-hadis yang tidak wujud dalam
kitab-kitab hadis primer. Jika istilah ini digunakan bagi hadis musnad,
maka yang dimaksud dengan istilah ini ialah hadis tersebut palsu sebagaimana
penerangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam mukadimah tahqiq kitab al-Masnu'.
Meskipun begitu ahli hadis yang lain seperti al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Kafi
al-Syaf dan al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah sekadar
menghukumnya sebagai daif kerana terdapat perawi yang tidak dinamakan di dalam
sanadnya. Saya sendiri kehairanan, atas dasar apa Syeikh al-Talidi menghukum
palsu hadis ini kerana berdasarkan carian, saya tidak temui mana-mana ahli
hadis yang menghukum palsu hadis ini. Wallahu a'lam.
- Jika wujud hadis palsu
sekalipun, jumlahnya hanya sedikit jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan
hadis-hadis dalam kitab al-Syifa dan sedikit pun tidak mengurangkan
keagungan kitab tersebut.
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan