Sabtu, 9 September 2017

Hadis Tentang Tiga Golongan Dilaknat

ثَلَاثَةٌ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ: رَجُلٌ رَغِبَ عَنْ وَالِدَيْهِ، وَآخَرُ سَعَى فِي تَفْرِيقٍ بَيْنَ رَجُلٍ وَامْرَأَةٍ لِيَخَلُفَ عَلَيْهَا بَعْدَهُ، وَآخَرُ سَعَى بِالْأَحَادِيثِ بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ لِيَتَعَادَوْا وَيَتَبَاغَضُوا

"Tiga golongan yang akan dilaknat oleh Allah Ta'ala pada hari Kiamat:

1 - Seseorang yang membenci kedua-dua ibu bapanya.

2 - Seseorang yang berusaha memisahkan antara seorang lelaki dan wanita (suami isteri) dengan niat untuk mengambil alih tempatnya (mengahwini wanita itu) selepas perceraian tersebut.

3 - Seseorang yang menyebarkan cerita (menjadi batu api) dalam kalangan orang-orang mukmin dengan tujuan agar mereka saling bermusuhan dan saling membenci."

Status dan Sumber Hadis

Hadis ini daif tapi boleh digunakan dalam bab al-Tarhib (ancaman daripada melakukan dosa dan maksiat).

Hadis ini diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahuyah dalam Musnad-nya daripada hadis 'Umar bin al-Khattab sebagaimana yang al-Hafiz al-Busiri nyatakan dalam kitab Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.

Al-Hafiz al-Busiri menyebutkan:

“Diriwayatkan oleh Ishaq dengan sanad yang didalamnya ada perawi yang tidak dinamakan.”

Al-Hafiz Ibnu Kathir menyebutkan dalam Musnad al-Faruq

"Dalam sanadnya ada perawi yang tidak dinamakan. Tetapi hadis ini berkaitan dengan al-Tarhib, dimaafkan (kalau daif sekalipun)."

Pengajaran Hadis:

1. Wajib berbakti kepada ibu bapa

Umat Islam diharamkan daripada menderhaka, membenci, atau memutuskan hubungan kerabat dengan kedua-dua ibu bapa. Reda Allah terletak pada reda ibu bapa.

2. Haram merosakkan rumah tangga orang lain (Menjadi orang ketiga)

Islam melarang keras perbuatan mengganggu atau menghasut isteri/suami orang sehingga bercerai-berai, semata-mata dengan niat mahu mengahwini atau merampas pasangan tersebut.

3. Jauhi sifat suka melaga-lagakan orang

Kita dilarang menyebarkan cerita, fitnah, atau khabar angin yang bertujuan untuk memecahbelahkan hubungan, mencetuskan pergaduhan, dan menimbulkan rasa benci sesama umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan