Selasa, 26 September 2017

Prof Dr Jawiah Dakir: Hadis palsu dalam kitab Ihya'

1 - Baru-baru ini polemik hadis-hadis dalam kitab Ihya' karangan al-Imam al-Ghazali timbul kembali. Dan sekali lagi nama Prof Dr Jawiah Dakir (UKM) kembali disebut-sebut berikutan kajian beliau terhadap hadis-hadis dalam kitab Ihya'.

2 - Saya mengesyorkan bagi sesiapa yang ingin mengkritik Prof Dr Jawiah Dakir agar membaca sendiri buku beliau ‘Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu’ yang diterbitkan oleh Penerbit UKM setebal 96 halaman atau menonton video syarahan beliau di Youtube:

- Buku ‘Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu’:


- Syarahan Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu’:


3 - Kepentingan merujuk sumber asal adalah agar tidak wujud salah fakta atau salah faham. Contohnya dalam tulisan Ustaz Mursyidi yang mengatakan Prof Dr Jawiah Dakir menyebutkan bahawa terdapat 285 hadis palsu dalam kitab Ihya’ sedangkan apabila dirujuk buku asal beliau jumlah sebenar ialah 265 buah hadis. Jumlah 265 buah hadis ini bukan hadis maudhu’ sahaja, tetapi termasuk hadis-hadis yang dikritik (termasuk hadis yang dikatakan sebagai mungkar).  Istilah mungkar kadang-kadang digunakan sebagai maksud maudhu’ dan kadang kala digunakan bagi hadis yang tidak dianggap secara pasti sebagai maudhu’.

Jumlah 285 buah hadis tersebut sebenarnya merujuk kepada hadis yang tidak boleh dijadikan hujah sebagai hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang masyhur dalam masyarakat Melayu. Pendapat beliau ini masih terbuka untuk dikaji semula.

4 - Prof Dr Jawiah Dakir sebenarnya sekadar menghimpunkan statistik hadis-hadis yang dihukumkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi sebagai maudhu’, batil, mungkar, la asla lahu [tiada asal baginya], lam ajidhu [aku tidak temuinya] dan sebagainya, termasuk hukum palsu ahli hadis yang lain yang al-Hafiz al-Iraqi masukkan dalam kitab takhrij beliau. Prof Dr Jawiah Dakir sekadar bertaklid kepada al-Hafiz al-‘Iraqi, jadi tidaklah beliau perlu disalahkan kerana beliau sekadar bertaklid. Jika ada yang 'berani', anda boleh mengkritik sendiri al-Hafiz al-'Iraqi yang menghukum palsu beberapa hadis dalam kitab Ihya'.
   
5 - Jika timbul persoalan, bolehkah hukum palsu terhadap hadis-hadis yang tidak ditemui atau tidak diketahui oleh seorang al-Hafiz? Saya katakan: Ya, boleh. Ini berdasarkan pendapat ahli hadis sendiri.

- Kata al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi: “Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ [yang luas telaahnya] al-Naqid [seorang pakar hadis] berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya [yakni dinafikan kewujudan hadis tersebut], sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam [al-Hafiz Ibnu Hajar].”

- Kata Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah“Jika berkata salah seorang daripada mereka [ahli hadis] pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ atau ‘tidak ada asal baginya’ - dan tidak dikritik oleh seorang pun daripada huffaz hadis selepasnya - memadailah untuk menghukum kepalsuan hadis tersebut.”

Jadi jika wujud hadis-hadis dalam kitab Ihya’ yang tidak diketahui atau tidak dijumpai oleh al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Hafiz Muhammad Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin Syarah Ihya' Ulum al-Din, maka boleh dihukum sebagai palsu. Jika tidak mahu menghukum sebagai palsu sekalipun, maka ia tidak boleh disebarkan sehinggalah dipastikan dahulu statusnya.

7 – Jika timbul lagi persoalan, benarkah ada hadis dalam kitab Ihya’ yang dihukum batil, palsu dan la asla lahu oleh al-Hafiz al-‘Iraqi? Saya katakan: Ya, ada dan saya akan berikan beberapa contohnya:

1 - حَدِيث «يَا أَبَا هُرَيْرَة أَتُرِيدُ أَن تكون رَحْمَة الله عَلَيْك حَيا وَمَيتًا ومقبورا قُم من اللَّيْل فصل وَأَنت تُرِيدُ رضَا رَبك، يَا أَبَا هُرَيْرَة صل فِي زَوَايَا بَيْتك يكن نور بَيْتك فِي السَّمَاء كنور الْكَوَاكِب والنجوم عِنْد أهل الدُّنْيَا»

قال العراقي: بَاطِل لَا أصل لَهُ.

2 - حَدِيث: كَانَ يطوف بِالْبَيْتِ فَإِذا رجل مُتَعَلق بِأَسْتَارِ الْكَعْبَة وَهُوَ يَقُول: بِحرْمَة هَذَا الْبَيْت إِلَّا غفرت لي ذَنبي! فَقَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم «وَمَا ذَنْبك صفه لي؟» فَقَالَ: هُوَ أعظم من أَن أصفه لَك. فَقَالَ «وَيحك ذَنْبك أعظم أم الأرضون؟» فَقَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الْجبَال؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الْبحار؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم السَّمَوَات؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الْعَرْش؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الله؟» قَالَ: بل الله أعظم وَأَعْلَى. قَالَ «وَيحك فَصف لي ذَنْبك» . قَالَ: يَا رَسُول الله إِنِّي رجل ذُو ثروة من المَال وَإِن السَّائِل ليأتيني يسألني، فَكَأَنَّمَا يستقبلني بشعلة من نَار. فَقَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم "إِلَيْك عني لَا تحرقني بنارك! فوالذي بَعَثَنِي بالهداية والكرامة: لَو قُمْت بَين الرُّكْن وَالْمقَام ثمَّ صليت ألفي ألف عَام، ثمَّ بَكَيْت حَتَّى تجْرِي من دموعك الْأَنْهَار وتسقي بهَا الْأَشْجَار، ثمَّ مت وَأَنت لئيم، لأكَبّكَ الله فِي النَّار. وَيحك أما علمت أَن الْبُخْل كفر، وَأَن الْكفْر فِي النَّار؟ وَيحك أما علمت إِن الله تَعَالَى يَقُول {وَمن يبخل فَإِنَّمَا يبخل عَلَى نَفسه ... وَمن يُوقَ شح نَفسه فَأُولَئِك هم المفلحون} ؟ "

قال العراقي: بِطُولِهِ وَهُوَ بَاطِل لَا أصل لَهُ.

3 - حَدِيث "مَا من أحد يَصُوم أول خَمِيس من رَجَب ثمَّ يُصَلِّي فِيمَا بَين الْعشَاء وَالْعَتَمَة اثْنَتَيْ عشرَة رَكْعَة يفصل بَين كل رَكْعَتَيْنِ بِتَسْلِيمَة يقْرَأ فِي كل رَكْعَة بِفَاتِحَة الْكتاب مرّة وَإِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَة الْقدر ثَلَاث مَرَّات وَقل هُوَ الله أحد اثْنَتَيْ عشرَة مرّة، فَإِذا فرغ من صلَاته صَلَّى عَلّي سبعين مرّة يَقُول: اللَّهُمَّ صل عَلَى مُحَمَّد النَّبِي الْأُمِّي وَعَلَى آله ثمَّ يسْجد وَيَقُول فِي سُجُوده سبعين مرّة: سبوح قدوس رب الْمَلَائِكَة وَالروح، ثمَّ يرفع رَأسه وَيَقُول سبعين مرّة: رب اغْفِر وَارْحَمْ وَتجَاوز عَمَّا تعلم إِنَّك أَنْت الْأَعَز الأكرم، ثمَّ يسْجد سَجْدَة أُخْرَى وَيَقُول فِيهَا مثل مَا قَالَ فِي السَّجْدَة الأولَى ثمَّ يسْأَل حَاجته فِي سُجُوده فَإِنَّهَا تُقضى"

قال العراقي: فِي صَلَاة الرغائب أوردهُ رزين فِي كِتَابه وَهُوَ حَدِيث مَوْضُوع.

4 - حَدِيث "فضل: لقد صدق الله رَسُوله الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ 

قال العراقي: لم أجد فِيهِ حَدِيثا يَخُصهَا، لَكِن فِي فضل سُورَة الْفَتْح مَا رَوَاهُ أَبُو الشَّيْخ فِي كتاب من حَدِيث أبي ابْن كَعْب» من قَرَأَ سُورَة الْفَتْح فَكَأَنَّمَا شهد فتح مَكَّة مَعَ النَّبِي صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم" وَهُوَ حَدِيث مَوْضُوع.

8 – Kajian Prof Dr Jawiah Dakir tidak bermaksud untuk menghalang masyarakat daripada membaca kitab Ihya’ apalagi untuk merendah-rendahkan kedudukan al-Imam al-Ghazali. Saya petik kata-kata beliau sendiri daripada buku Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu:

- “Kelahiran kitab ini [Ihya’ Ulum al-Din] merupakan satu sumbangan besar kepada pembangunan ilmu umat Islam. Khususnya kepada masyarakat Melayu, terjemahan ke dalam bahasa Melayu telah membantu mereka mengambil manfaat ilmu daripadanya.”

- “Bagaimanapun berdasarkan hasil kajian ini, saya berpandangan bahawa kitab ini masih relevan sebagai bahan rujukan, terutamanya dalam bidang pembangunan insan. Kitab ini penuh dengan panduan dan pedoman bagi seseorang yang ingin mendalami mengenai akhlak Islam khususnya bidang tasawuf. Sumbangan pengarang melalui kitab ini dalam masyarakat Melayu tidak dapat dipertikai. Di samping itu, para pembaca digalakan merujuk status hadis dalam kitab ini, yang telah dilakukan oleh al-Iraqi sebagai panduan, seterusnya mengelak diri daripada menggunakannya sebagai hadis Nabi SAW.”

9 – Kewujudan hadis-hadis palsu dalam sesuatu kitab bukanlah satu-satunya alasan untuk menolak sesebuah kitab dan merendah-rendahkan pengarangnya. Kewujudan hadis palsu boleh dikatakan ada dalam kitab semua aliran sama ada Ahli Sunnah Wal Jama’ah [al-Asya’irah & al-Maturidiyyah], Syi’ah [sudah tentu], Wahabi hatta dalam kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim sekalipun. Bagi orang yang mengkaji hadis, perkara ini tidak dianggap pelik. Saya sudah berkali-kali mengesyorkan agar dibaca tulisan Ustaz Khafidz Soroni berikut:

Tak Pelik Ulama ‘Terguna’ Hadis Palsu


10 - Wujud beberapa individu yang ingin memalukan ustaz-ustaz tertentu dengan alasan ustaz-ustaz berkenaan menyebutkan hadis-hadis palsu dalam ceramah-ceramah mereka. Ustaz-ustaz berkenaan atau mana-mana individu sekalipun tidak sewajarnya digelar sebagai pemalsu hadis atau penyebar hadis palsu hanya kerana tersalah sebut hadis yang mereka tidak tahu kepalsuannya. Adakah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim pun hendak dianggap penyebar hadis palsu?

Seorang Muslim yang baik dan faham tentang Islam sudah semestinya tidak akan menyebarkan hadis palsu dengan sengaja kerana masing-masing sudah makruf tentang amaran Nabi sallahu ‘alaihi wasallam terhadap orang yang berdusta ke atas baginda. Yang menjadi kesalahan adalah orang yang sengaja mencipta hadis palsu atau orang yang tahu kepalsuan sesuatu hadis tetapi masih tegar menyebarkannya. Orang-orang begini yang perlu benar-benar disalahkan.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan