1 - Kitab ini dianggap sebagai rujukan paling lengkap bagi mengenali hadis-hadis palsu.
2 - Sebab kitab ini ditulis
dijelaskan sendiri oleh Ibnu al-Jauzi di mukadimah kitab ini iaitu untuk
memenuhi permintaan murid beliau agar dihimpunkan untuknya sebuah kitab
himpunan hadis-hadis palsu dan cara mengetahui kepalsuannya.
3 - Ibnu al-Jauzi memulakan
kitab ini dengan sebuah mukadimah yang mengandungi beberapa fasal tentang
pembahagian hadis sahih dan daif, jenis-jenis pemalsu hadis dan kisah tentang
mereka serta kritikan ke atas orang yang mengatakan bahawa mengkritik perawi
termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat).
4 - Seterusnya disebutkan
beberapa bab pula di dalam mukadimah tersebut, iaitu:
Bab Pertama: Mencela perbuatan berdusta.
Bab Kedua: Tentang hadis “Sesiapa yang berdusta atas
namaku....”, menyebutkan jalur-jalur sanadnya, jumlah sahabat yang
meriwayatkannya dan perbincangan tentang makna hadis tersebut dan takwilannya.
Bab Ketiga: Perintah untuk menyelidiki tentang perawi dan
berjaga-jaga daripada meriwayatkan hadis daripada perawi pendusta.
Bab Keempat: Tentang bab-bab yang terkandung di dalam kitab ini.
5 - Bab-bab yang terkandung di
dalam kitab ini menyerupai bab-bab kitab hadis jenis al-Jami’ (الجامع) iaitu bab akidah, hukum hakam (seperti
bersuci, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain), adab-adab, pancaroba akhir
zaman, tanda-tanda kiamat, kelebihan dan keutamaan amalan.
6 - Bagi setiap hadis akan
disebutkan sanadnya, sebab-sebab kepalsuannnya dan perawi yang dituduh
memalsukannya.
7 - Kebanyakannya hadis yang terkandung di dalam kitab ini diambil oleh Ibnu al-Jauzi daripada kitab-kitab berikut:
a) Al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ karangan Ibnu ‘Adi.
b) Al-Majruhin karangan Ibnu Hibban.
d) Al-Dhu’afa’ karangan al-‘Uqaili.
e) Al-Dhu’afa’ karangan al-Azdi.
d) Tafsir Ibnu Mardawaih.
e) Tiga Mu’jam al-Thabarani (al-Kabir, al-Ausath dan al-Saghir).
f) Al-Afrad karangan al-Daraqutni.
g) Tulisan al-Khatib al-Baghdadi.
h) Tulisan Ibnu Syahin.
i) Tulisan Abu Nu’aim al-Asbahani seperti Hilyah al-Auliya’, Tarikh Asbahan dan lain-lain.
j) Tulisan al-Hakim seperti Tarikh Naisabur.
k) Al-Abathil
karangan al-Juzaqani.
8 - Ibnu al-Jauzi akan
meriwayatkan dengan sanad beliau sendiri sehingga penulis kitab tersebut dan
daripada sanad penulis tersebut sehingga kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Misalnya Ibnu Jauzi meriwayatkan dengan sanadnya sehingga Ibnu 'Adi (bergaris merah), pengarang kitab al-Kamil dan daripada Ibnu 'Adi sehingga Rasulullah. |
9 - Jumlah hadis yang terkandung dalam kitab ini ialah 1847 buah hadis.
10 - Kitab ini mendapat kritikan daripada
para ulama selepas Ibnu al-Jauzi disebabkan sikap beliau yang agak mudah
menghukum hadis sebagai palsu, antaranya:
a) Al-Hafiz Ibnu Hajar
al-Asqalani mengarang kitab al-Qaul al-Musaddad Fi al-Zabb ‘An Musnad Ahmad
yang mempertahankan 24 buah hadis daripada kitab Musnad Ahmad yang
dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi.
b) Al-Hafiz al-Suyuti membuat penambahan terhadap kitab al-Qaul al-Musaddad dengan menambah 14 buah hadis lagi.
c) Al-Hafiz al-Suyuti mengarang pula sebuah kitab bertajuk al-Qaul al-Hasan Fi al-Zabb ‘An al-Sunan yang menghimpunkan hadis-hadis daripada berikut:
i) Kitab al-Qaul al-Musaddad.
ii) 14 hadis tambahan beliau sendiri.
iii) Lebih 120 buah hadis lagi yang tidak sampai ke tahap palsu, antaranya:
- 4 buah hadis daripada Sunan Abu Daud.
- 23 buah hadis Sunan al-Termizi.
- sebuah hadis Sunan al-Nasa’ie.
- 16 buah hadis Sunan Ibnu Majah.
- Sebuah hadis Sahih Muslim.
- Sebuah hadis Sahih al-Bukhari (riwayat Hammad bin Syakir).
- Bakinya lagi daripada kitab Khalq Af’al al-‘Ibad karangan al-Bukhari, hadis mu’allaq daripada kitab al-Sahih (al-Bukhari dan Muslim), Sunan al-Darimi, Sahih Ibnu Hibban, Mustadrak al-Hakim dan tulisan-tulisan al-Baihaqi.
Kitab ini masih belum diterbitkan dan terdapat manuskripnya di Iran.
d) Al-Hafiz al-Suyuti juga meringkaskan kitab al-Maudhu’at dengan membuang sanad Ibnu al-Jauzi kepada pengarang kitab sumber rujukan beliau dalam sebuah lagi kitab yang berjudul al-Laali' al-Masnu'ah.
Beliau juga mengkritik Ibnu al-Jauzi pada mana-mana hukum palsu Ibnu terhadap hadis yang beliau tidak setuju dan memulakan kritikannya dengan berkata: قلت (Aku berkata) dan diakhiri dengan wallahu a'lam. Hadis yang beliau bersetuju dengan penilaian Ibnu al-Jauzi tidak akan diberi sebarang komen.
Contoh hadis yang dihukum oleh Ibnu al-Jauzi namun dikritik oleh al-Suyuti |
e) Al-Hafiz al-Suyuthi turut mengkhususkan
sebuah kitab yang berjudul al-Ta’aqqubat ‘Ala al-Maudhu’at atau al-Nukat al-Badi'at 'Ala al-Maudhu'at yang hanya menghimpunkan hadis-hadis yang beliau tidak setuju dengan penilaian palsu Ibnu al-Jauzi. Terdapat lebih 300 buah hadis dalam kitab ini.
f) Al-Hafiz al-Suyuti juga mengarang kitab Zail al-Laali al-Masnu'ah atau al-Ziyadat 'Ala al-Maudhu'at yang menghimpunkan hadis-hadis palsu tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at.
g) Setelah itu datang Ibnu 'Arraq dengan kitab Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah yang menghimpunkan hadis-hadis kitab al-Maudhu'at, kritikan-kritikan al-Suyuti dalam al-Laali al-Masnu'ah dan al-Nukat al-Badi'at 'Ala al-Maudhu'at serta hadis-hadis palsu tambahan dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah. Beliau juga turut menyertakan kritikan-kritikan beliau sendiri terhadap pendapat dan penilaian al-Suyuti.
Beliau mengekalkan susunan kitab ini sebagaimana kitab Ibnu al-Jauzi dan al-Suyuti akan tetapi beliau membuang sanad-sanad hadisnya.
Hadis-hadis pada setiap bab pula beliau bahagikan kepada tiga fasal:
Pertama: Hadis yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi dan dipersetujui oleh al-Suyuti.
Kedua: Hadis yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi dan diperselisihkan oleh al-Suyuti.
Ketiga: Hadis yang ditambah oleh al-Suyuti dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah.
Setelah menyelesaikan kitab ini, Ibnu 'Arraq menghadiahkannya kepada Sultan Sulaiman al-Qanuni.
11 - Kitab ini boleh dimuat turun di sini.
Rujukan:
- Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
Baca juga:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan