Sabtu, 13 November 2021

Arak Ditukar Nama Di Akhir Zaman


Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ أُنَاسًا مِنْ أُمَّتِي يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ، يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا.

“Sesungguhnya ada beberapa orang daripada umatku yang meminum arak dan mereka menamakannya dengan selain nama sebenarnya.”

Takhrij Hadis:

Hadis ini sahih. Riwayat Ahmad (no. 18073) dan al-Nasa’ie (5658) daripada hadis seorang lelaki daripada sahabat Rasulullah. Hadis ini mempunyai banyak syawahid (penguat) daripada hadis Aisyah, Ibnu Abbas, Abu Umamah al-Bahili, Abu Malik al-Asy’ari, Ubadah bin al-Samit dan lain-lain.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan bukti mukjizat dan kenabian Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang dapat mengkhabarkan peristiwa yang akan berlaku setelah kewafatan baginda dan apa yang baginda khabarkan tersebut memang benar-benar berlaku.

2 - Wujudnya kelompok manusia tertentu yang cuba untuk menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dengan menukar nama aslinya kepada nama yang lain agar mengelabui keharamannya.

3 - Arak adalah setiap perkara yang memabukkan dan ‘illah (sebab) pengharamannya adalah kerana sifat memabukkannya. Apabila wujudnya sifat memabukkan itu maka haramlah hukumnya walaupun diubah namanya sekalipun.

Selasa, 9 November 2021

Doa Yang Paling Banyak Nabi Baca

 


عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata:

“Doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ialah:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Takhrij Hadis:

Hadis sahih riwayat Ahmad (11981), al-Bukhari (6389), Muslim (2690), Abu Daud (1519), al-Tirmizi (3489) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10826).

Huraian dan Pengajaran Hadis

1 - Doa ini merupakan ayat ke 201 daripada surah al-Baqarah.

2 - Ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud ‘kebaikan di dunia’. Ada yang menafsirkannya sebagai kesihatan, harta yang mencukupi, ilmu, ibadah, isteri yang solehah dan sebagainya. Secara umumnya kebaikan di dunia adalah segala bentuk kenikmatan dan keinginan duniawi yang disukai oleh manusia.

3 - Maksud ‘kebaikan di akhirat’ pula adalah dapat masuk ke syurga. Kemuncak kepada kebaikan dan kenikmatan di akhirat adalah dapat melihat Allah di syurga. Begitu juga keamanan dan keselamatan daripada azab dan penderitaan ketika berada di kubur, hari kebangkitan (al-hasyr) dan sirat.

4 - Maksud ‘peliharalah kami dari azab neraka’ adalah perliharalah dan lindungilah kami daripada api neraka dengan memudahkan kepada kami sebab-sebab yang dapat menyelamatkan kami daripada neraka iaitu dengan menjauhi perkara-perkara haram dan dosa.

5 - Disunatkan untuk memperbanyakkan doa ini kerana mengikut sebagaimana perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam iaitu dengan membacanya selepas solat, ketika bertawaf dan wuquf sewaktu menunaikan haji dan setiap kali berdoa. Para sahabat Nabi juga sentiasa membaca doa ini sebaimana mana Anas bin Malik yang pasti menyertakan doa ini dalam setiap doa beliau. Umar bin al-Khattab pula membaca doa ini ketika bertawaf. Keistimewaan doa ini adalah kerana ia mengandungi intisari doa secara keseluruhannya daripada kebaikan urusan duniawi dan ukhrawi serta keselamatan dan perlindungan daripada puncak segala keseksaan dan penderitaan iaitu api neraka.

Rujukan:

- I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam karangan Syeikh Dr Nuruddin 'Itr.

- Minhah al-'Allam Syarah Bulugh al-Marram karangan Syeikh Abdullah Soleh al-Fauzan.

Ahad, 31 Oktober 2021

Syeikh Husain Salim Asad al-Darani

 

Kelahiran

Beliau dilahirkan di Daraya, Syiria pada tahun 1351 Hijrah bersamaan 1932 Masihi. Beliau membesar sebagai anak yatim kerana bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia dua tahun. Ibunya lalu mengalas tanggungjawab mendidik dan membesarkan beliau. 

Pelajaran

Beliau memulakan pembelajaran di sekolah peringkat ibtidaiyyah di Daraya. Setelah itu di peringkat i'dadi dan thanawi di Dimasyq. Beliau lalu menyambung pelajaran di Kuliah Bahasa Arab, Universiti Dimasyq.

Guru-Guru

Antara guru-guru beliau di Universiti Dimasyq adalah:

1 - Dr Subhi al-Soleh (m. 1987 M).

2 - Sa'id al-Afghani (m. 1997 M).

3 - 'Umar Farukh (m. 1987 M).

4 - Ahmad Ratib al-Nafakh (m.1992 M).

5 - Dr Mustafa al-Siba'ie (m. 1964 M).

Guru-guru beliau di luar universiti pula adalah:

1 - Dr Muhammad Amin al-Misri (m. 1977 M).

2 - Muhammad Nasiruddin al-Albani (m. 1999 M).

3 - Muhammad Hasan Syurrab (m. 2013 M).

Pekerjaan

Setelah tamat belajar, beliau bekerja sebagai guru bahasa Arab di beberapa buah tempat di Syria. Beliau lalu membuat keputusan untuk kembali ke kampung halaman beliau, Daraya. Pada tahun 1970, beliau mula menumpukan perhatian untuk membaca kitab-kitab berkaitan Islam terutamanya kitab-kitab tafsir. Beliau juga turut mengajar di Masjid Anas bin Malik yang terletak di Daraya.

Mula Mentahqiq Kitab

Beliau mula berkenalan dengan beberapa orang pentahqiq kitab yang terkenal seperti Ahmad al-Daqqaq, Abdul Aziz Rabah, Abdul Qadir al-Arnauth dan Syu'aib al-Arnauth yang membuka peluang kepada beliau untuk terjun dalam dunia pentahqiqan kitab. Beliau berkerjasama dengan Syeikh Syu'aib al-Arnauth untuk mentahqiq kitab Siyar A'lam al-Nubala dan beliau mentahqiq dua jilid daripada kitab tersebut. Hasil tahqiq beliau terhadap kitab tersebut juga menjadi pencetus untuk beliau terus istiqamah mentahqiq banyak kitab terutamanya kitab-kitab hadis.

Keluarga

Beliau mempunyai sembilan orang anak, lima lelaki dan empat perempuan. Dua orang anak perempuan beliau meninggal dunia sebelum beliau. Anak-anak beliau ada yang menjadi doktor perubatan dan jurutera. 

Hasil Tahqiq

Hasil tahqiq beliau sangat banyak terutamanya kitab-kitab hadis, antaranya:

1 - Mawarid al-Zam'an Fi Zawaid Ibnu Hibban karya al-Haithami (9 jilid). Ditahqiq bersama anak saudara merangkap menantu beliau al-Marhum Syeikh 'Abduh 'Ali Kusyak (pentahqiq kitab al-Syifa).

2 - Musnad Abi Ya'la (16 jilid).

3 - Musnad Al-Humaidi. Mulanya dicetak dalam 2 jilid. Setelah itu beliau membuat semakan semula kitab ini bersama anak beliau, Murhaf Husain Asad lalu dicetak dalam 3 jilid.

4 - Majma' Al-Zawaid Wa Manba' Al-Fawaid karya al-Haithami (23 jilid). Diusahakan selama 20 tahun.

5 - Sunan Al-Darimi (4 jilid).

6 - Nasikh al-Quran Wa Mansukhuhu karya Ibnu al-Jauzi (1 jilid).

7 - Mu'jam Shuyukh Abi Ya'la al-Mausuli (3 jilid). Ditahqiq bersama Syeikh 'Abduh 'Ali al-Kusyak.

8 - Al-Adab al-Mufrad karya Imam al-Bukhari (3 jilid). Ditahqiq bersama anak beliau.

9 - Al-Fath al-Rabbani  Li Tartib Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (9 jilid) karya Syeikh Ahmad Abdul Rahman al-Banna al-Sa'ati (ayah Hasan al-Banna). Juga ditahqiq bersama anak beliau.


10 - Siyar A'lam al-Nubala' karya al-Zahabi. Beliau mentahqiq jilid pertama dan keenam bersama Syeikh Syu'aib al-Arnauth.

11 - Al-Nasihah Fi Ad'iyyah al-Sahihah karya Abdul Ghani al-Maqdisi.

12 - Al-Mustadrak 'Ala al-Sahihain karya al-Hakim al-Naisaburi. Beliau mentakhrij hampir 2000 buah hadis-hadisnya tetapi tidak sempat menyempurnakannya.

13 - Al-Birr al-Walidain karya Imam al-Bukhari.

14 - Al-Muntakhab Min Al-Arba'in Fi Syu'ab al-Din karya Abu al-Qasim Ali bin al-Hasan al-Saffar. Ditahqiq bersama anak beliau.

15 - Akhlaq al-Nabi Wa Adabuhu karya Abu al-Syeikh al-Asbahani. Ditahqiq bersama anak beliau.

16 - Musnad Abi Umayyah al-Tharsusi. Ditahqiq bersama anak beliau.

Berpindah ke Mesir

Syeikh Husain Salim Asad menetap di Iskandariah, Mesir selama hampir 7 tahun setelah beliau keluar dari bandar Daraya, Syria pada tahun 2014 disebabkan kekacauan dan peperangan yang berlaku di sana.

Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada 31 Oktober 2021 disebabkan oleh COVID-19. Beberapa hari sebelum kematian beliau, isteri dan anak beliau, Murhaf juga meninggal dunia disebabkan oleh COVID-19.

Semoga Allah merahmati beliau atas khidmat beliau terhadap ilmu hadis.



Rabu, 29 September 2021

Hadis Kelebihan Anak Hafal al-Quran

 


عَنْ مُعَاذٍ الْجُهَنِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ضَوْؤُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ، فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا؟

Daripada Mu’az al-Juhani, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat. Cahaya mahkota itu lebih terang daripada cahaya matahari (yang masuk) dalam rumah-rumah di dunia, meskipun matahari itu berada dalam (rumah-rumah) kamu. Menurut perkiraan kamu semua, bagaimanakah agaknya ganjaran si anak yang beramal dengan (al-Quran) ini?

Takhrij Hadis

Riwayat Ahmad (no. 15645), Abu Daud (no. 1453), Abu Ya’la (no. 1493), al-Hakim (no. 2085) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 1797). 

Dalam sanadnya ada perawi bernama Zabbad bin Fa’id, dia adalah daif. 

Hadis ini mempunyai syahid (penguat) daripada hadis Buraidah al-Aslami yang diriwayatkan oleh al-Hakim (no. 2086) dengan sanad yang daif. Kedua-dua riwayat ini mungkin boleh saling menguatkan dan meningkat menjadi hasan li ghairih.

Huraian dan Pengajaran Hadis

1 - Menurut Imam Ruslan dan Imam Ibnu Hajar, maksud ‘membaca al-Quran’ dalam hadis ini adalah menghafal al-Quran, iaitu orang yang menghafal al-Quran dan mengamalkannya maka ibu bapanya akan mendapat kelebihan sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis. 

Tetapi boleh jadi juga orang yang membacanya dengan melihat mushaf dan mengamalkannya, maka ibu bapanya turut mendapat kelebihan yang sama. 

Namun begitu orang yang menghafal al-Quran tetap mempunyai kelebihan kerana dapat membacanya bila-bila masa sahaja sama ada ketika menaiki kenderaan, berjalan kaki mahupun berbaring. 

Orang yang tidak menghafal al-Quran pula tidak dapat membacanya melainkan dengan melihat mushaf dan perlu kepada cahaya jika dibaca di malam hari.

2 - Maksud ‘mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya’ adalah mempraktikkan ajaran dan suruhan yang terdapat di dalam al-Quran dari sudut akidah, hukum-hakam, adab dan akhlak serta menjauhi larangan-larangannya.

3 - Maksud ‘ibu bapanya akan dipakaikan mahkota’ boleh difahami secara zahirnya, iaitu ibu dan bapanya benar-benar akan dipakaikan mahkota dan juga boleh difahami secara kiasan (majaz) iaitu ibu dan bapanya akan memperolehi kemuliaan dan kebahagiaan. Kefahaman berdasarkan zahirnya adalah pendapat yang lebih kuat.

4 - Maksud bahagian hadis ‘cahaya mahkota itu lebih terang daripada cahaya matahari (yang masuk) dalam rumah-rumah di dunia, meskipun matahari itu berada dalam (rumah-rumah) kamu’ mengambarkan betapa terang dan berkilaunya cahaya mahkota tersebut menandingi cahaya matahari yang masuk ke rumah-rumah manusia sewaktu di dunia. Malah seandainya matahari itu sendiri dimasukkan ke dalam rumah, cahaya mahkota tersebut masih tetap dapat mengatasi cahayanya.

 5 - Hadis ini mengandungi galakan agar mempelajari al-Quran serta mengamalkannya.  

Ibu bapa juga harus memberi motivasi kepada anak-anak supaya mempelajari bacaan al-Quran dan menghafalnya supaya dapat dihayati pengajarannya di dalam kehidupan. 

Ibu bapa yang mendidik anaknya dengan al-Quran akan mendapat ganjaran dan kemuliaan yang besar sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis. Rasulullah memberi gambaran bahawa ganjaran orang yang membaca dan mengamalkan al-Quran adalah lebih besar lagi yang akal manusia tidak mampu untuk menggapainya.

Ahad, 19 September 2021

Status Hadis: Kelebihan Membaca Surah al-Ikhlas Ketika Masuk Rumah

 

Hadis Pertama

مَنْ قَرَأَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ حِينَ يَدْخُلُ مَنْزِلَهُ نَفَتِ الْفَقْرَ عَنْ أَهْلِ ذَلِكَ الْمَنْزِلِ وَالْجِيرانِ.

“Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad ketika masuk ke dalam rumahnya, maka akan terhindar kefakiran daripada ahli rumah tersebut dan jirannya.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Kharaiti dalam Makarim al-Akhlaq (no. 878) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 2419) daripada jalur perawi:

Marwan bin Salim daripada Abu Zur’ah bin ‘Amru bin Jarir daripada Jarir bin Abdullah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanadnya sangat daif kerana Marwan bin Salim adalah perawi matruk (ditinggalkan hadisnya) dan Zakariya al-Saji menuduhnya menipu dan memalsukan hadis.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata:

“Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan dalam sanadnya ada Marwan bin Salim al-Ghifari, dia adalah matruk.”

Ibnu Kathir turut mendaifkan hadis ini dalam tafsirnya.

Hadis Kedua

جاء رجل الى النبي صلى الله عليه وسلم فشكا إليه الفقر وضيق المعاش. فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم:

إذا دخلت بيتك فسلم إن كان فيه أحد وان لم يكن فيه أحد فسلّم عليّ، وأقرأ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ مرة واحدة.

ففعل الرجل فأدرّ الله عليه رزقا حتى أفاض على جيرانه.

“Seorang lelaki datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu mengadu kepada baginda akan kefakiran dan kesempitan hidupnya. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

Apabila engkau hendak masuk ke dalam rumah, maka engkau berilah salah jika ada sesiapa di dalam rumah itu. Jika tidak ada sesiapa maka berilah salam kepadaku dan bacalah Qul Huwa Allahu Ahad sebanyak sekali.

Allah lalu melimpahkan baginya rezeki sehingga mengalir kepada jirannya.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Tha’labi dalam Tafsir al-Kasyf Wa al-Bayan (30/489, cetakan: Dar al-Tafsir) daripada hadis Sahl bin Sa’ad.

Status Hadis:

Sanad hadis ini sangat daif kerana ada perawi bernama Abdullah bin Muhammad bin Ya’qub. Dia dituduh memalsukan hadis oleh Abu Sa’id al-Rawwas dan Ahmad al-Sulaimani. Al-Hakim dan al-Khatib al-Baghdadi pula mengatakan bahawa dia memiliki hadis-hadis palsu, mungkar dan gharib.

Beberapa orang perawi yang lain pula tidak ditemui maklumat tentang mereka.

Hadis Ketiga

مَنْ أَتَى مَنْزِلَهُ فَقَرَأَ الْحَمْدَ لِلَّهِ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، نُفِيَ عَنْهُ الْفَقْرُ وَكَثُرَ خَيْرُ بَيْتِهِ حَتَّى يَفِيضَ عَلَى جِيرَانِهِ.

“Sesiapa yang masuk ke dalam rumahnya lalu membaca Alhamdulillah (surah al-Fatihah) dan Qul Huwa Allahu Ahad, akan dihindari daripadanya kefakiran dan akan menjadi banyak kebaikan rumahnya sehingga mengalir kepada jirannya.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (no. 1496) daripada hadis Abu Hurairah. Dalam sanadnya ada perawi bernama Abu Sahl Muhammad bin Salim al-Kufi.

Status Hadis:

Ibnu al-Jauzi berkata: “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Muhammad bin Salim bersendirian meriwayatkannya. Ahmad berkata: Dia menyerupai perawi matruk. Yahya al-Qattan berkata: Tiada nilai (لَيْسَ بِشَيءٍ).”

Al-Sayuti dalam al-Laali al-Masnu’ah (2/240) tidak bersetuju dengan penilaian Ibnu al-Jauzi. Beliau berkata:

“Dia (Muhammad bin Salim) adalah daripada perawi al-Tirmizi dan tidak dituduh memalsukan hadis. Bagi hadis tersebut ada penguat (syahid).”

Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/292) pula membantah al-Sayuti. Beliau berkata:

“Telah lalu di bahagian mukadimah apa yang mengizinkan untuk menuduhnya (memalsukan hadis).”

Di bahagian mukadimah, Ibnu ‘Arraq menyenaraikan beberapa orang perawi yang dituduh memalsukan hadis. Antaranya ialah Muhammad bin Salim tersebut. Beliau membawakan kalam al-Saji yang berkata: “Ahmad mengingkari hadis-hadis yang diriwayatkannya dan beliau berkata ianya palsu.”

Hadis penguat yang dimaksudkan oleh al-Sayuti adalah hadis yang keempat ini.

Hadis Keempat

Ibnu ‘Abbas berkata:

من قَرَأَ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ إِذَا دخل عَلَى أَهله أصَاب أَهْله وجيرانه مِنْهَا خير.

"Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad apabila masuk bertemu dengan keluarganya, maka keluarganya dan jirannya akan mendapat kebaikan daripada bacaannya itu.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2324) daripada jalur perawi:

‘Amir bin Yasaf daripada Abdul Karim daripada Ibnu ‘Abbas secara mauquf.

Status Hadis:

Abdul Karim di sini menurut Syeikh Abdul Rahman al-Mu’allimi ialah Abu Umayyah (yakni Abu Umayyah, Abdul Karim bin Abi al-Mukhariq), seorang perawi yang sangat daif.

Tetapi saya temui sebuah hadis dalam al-Mu’jam al-Ausath (no. 721) yang diriwayatkan oleh ‘Amir bin Yasaf daripada Abdul Karim dan disebutkan bahawa Abdul Karim tersebut adalah Abdul Karim al-Khazzaz (الخزاز) atau al-Kharraz (الخراز). Kata al-Azdi tentangnya: “Amat lemah hadisnya (واهي الحديث جدا (.”

Jadi, sanad hadis ini adalah sangat daif.

Hadis Kelima

مَنْ قَرَأَهَا حِينَ يَدْخُلُ مَنْزِلَهُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ نَفَتْ عَنْهُ الْفَقْرَ، وَنَفَعَتِ الْجَارَ.

"Sesiapa yang membacanya (surah al-Ikhlas) ketika masuk ke dalam rumahnya sebanya ktiga kali, akan dihindarkan kefakiran daripadanya dan jiranya juga akan mendapat manfaat.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Khallal dalam Fadhail Surah al-Ikhlas (no. 30) dan al-Mustaghfiri dalam Fadhail al-Quran (no. 1078) daripada jalur perawi:

Yahya bin Abdullah al-Harrani daripada Dhirar bin ‘Amru al-Malathi daripada Aban bin Abi ‘Ayyash daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanadnya sangat daif.

Yahya bin Abdullah al-Harrani adalah daif manakala Dhirar dan Aban adalah perawi matruk.

Ahad, 12 September 2021

Takhrij Hadis Kitab Al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fathani (Siri 4)


Syeikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam kitab al-Durr al-Thamin (ms. 12, baris ke-15 dari atas) menyebutkan hadis:

أَهْلُ الْجَنَّةِ عِشْرُونَ وَمِائَةُ صَفٍّ، ثَمَانُونَ منها مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ، وَأَرْبَعُونَ مِنْ سَائِرِ الْأُمَمِ.

“Isi syurga itu seratus dua puluh saf. Delapan puluh daripadanya daripada umat ini...dan empat puluh daripada segala umat nabi yang dahulu.”

Takhrij:

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Syeikh Daud al-Fathani, hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2546) dan Ibnu Majah (no. 4289) daripada hadis Buraidah bin al-Husaib al-Aslami. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad (no. 22940, 23002 & 23061), al-Darimi (2877) dan lain-lain.

Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan.”

Ibnu Hibban memuatkan hadis ini dalam kitab Sahihnya (no. 7459 & 7460).

Al-Hakim berkata: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat Muslim.”

Ibnu Qayyim dalam Hadi al-Arwah mengatakan sanadnya sahih berdasarkan syarat al-Sahih (yakni perawi-perawinya adalah perawi Sahih al-Bukhari atau Sahih Muslim).

Ibnu al-Mulaqqin dalam al-I’lam Bi Fawaid Umdah al-Ahkam mengatakan ia sabit.

Hadis ini juga mempunyai syawahid (hadis-hadis penguat) daripada hadis Abdullah bin Mas’ud, Ibnu Abbas, Abu Musa al-Asy’ari, Mu’awiyah bin Haidah, Abu Hurairah, mursal al-Sya’bi dan mursal Mujahid.

Selasa, 7 September 2021

Status Hadis: Kelebihan Membaca Surah al-Ikhlas Ketika Sakit

 


مَنْ قَرَأَ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فِي مَرَضِهِ الَّذِي يَمُوتُ فِيهِ لَمْ يُفْتَنْ فِي قَبْرِهِ، وَأَمِنَ مِنْ ضَغْطَةً الْقَبْرِ، وَحَمَلَتْهُ الْمَلَائِكَةُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَكُفَّهَا حَتَّى تُجِيزُهُ الصِّرَاطَ إِلَى الْجَنَّةِ.

“Sesiapa yang membaca Qul Huwallahu Ahad ketika sakit yang membawa kepada kematiannya, dia tidak ada disoal di dalam kuburnya, aman daripada himpitan kubur dan malaikat akan membawanya dengan tangannya sehingga melintasi sirat menuju ke syurga.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath (no. 5785), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (2/213) dan al-Khallal dalam Fadhail Surah al-Ikhlas (no. 50) daripada jalur perawi:

(i) Muhammad bin Abdullah al-Hadrami daripada (ii) al-Abbas bin al-Fadl al-Qurasyi al-Basri daripada (iii) Abu al-Harith al-Warraq Nasr bin Hammad daripada (iv) Malik bin Abdullah al-Azdi daripada (v) Yazid bin Abdullah daripada bapanya, (vi) Abdullah bin al-Syikhir al-‘Anbari daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanad hadis ini sangat daif kerana padanya ada beberapa kelemahan:

Pertama: Identiti al-Abbas bin al-Fadl yang berada dalam sanad ini tidak dapat ditentukan kerana ada beberapa orang perawi yang bernama al-Abbas bin al-Fadl al-Basri, antaranya: (i) al-Abbas bin al-Fadl al-Basri al-Asfati, (ii) al-Abbas bin al-Fadl al-Basri al-Azraq dan (iii) al-Abbas bin al-Fadl al-Basri  al-‘Adani.

Kedua: Nasr bin Hammad adalah perawi matruk (ditinggalkan hadisnya) dan sangat daif.

Yahya bin Ma’in berkata: “Pendusta.”

Ya’qub bin Syaibah berkata: “Tiada nilai hadisnya (ليس بشيءٍ).”

Al-Bukhari berkata: “Ahli hadis mengkritiknya (يتكلمون فيه).”

Muslim berkata: “Hanyut hadisnya (ذاهب الحديث).”

Soleh Jazarah dan Abu Zur’ah berkata: “Jangan tulis hadisnya.”

Al-Nasa’i berkata: “Tidak boleh dipercayai.”

Abu Hatim dan al-Azdi berkata: “Ditinggalkan hadisnya (متروك الحديث).”

Zakariyyah al-Saji berkata: “Termasuk di kalangan perawi yang daif.”

Al-Uqaili berkata: “Ditinggalkan hadisnya”

Al-Daraqutni berkata: “Tidak kuat dalam hadis.”

Ibnu Hibban berkata: “Dia di kalangan penghafal hadis tetapi banyak melakukan kesilapan dan terkeliru dalam sanad sehinggalah dia meriwayatkan hadis yang seolah-olah ia adalah maqlub (palsu). Apabila banyak perkara tersebut maka terbatallah kebolehan dia dijadikan hujah apabila dia bersendirian (meriwayatkan sesuatu hadis).”

Hanya Ibnu Adi yang lebih lunak kritikannya, kata beliau: “Walaupun daif masih boleh ditulis hadisnya.”

Ketiga: Malik bin Abdullah al-Azdi tidak ditemui pada jarh (kritikan) mahupun ta’dil (pujian). Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkannya dalam al-Isobah, kata beliau: “Al-Zahabi menyebutkan dalam al-Tajrid bahawa dia mempunyai dua buah hadis dalam Musnad Baqi bin Makhlad.”

Pandangan Ulama Tentang Hadis Ini

1 - Al-Hafiz al-Haithami menyebutkan hadis ini dalam Majma’ al-Zawaid, kata beliau: “Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Ausath dan dia berkata: Tidak diriwayatkan daripada Nabi salahu ‘alaihi wasallam melainkan dengan sanad ini. Dalam sanadnya ada Nasr bin Hammad al-Warraq, dia adalah matruk.”

2 - Al-Hafiz al-Sayuti mendaifkan hadis ini dalam al-Durr al-Manthur

Baca juga: 

Hadis Kelebihan Surah al-Ikhlas 

Status Hadis: Kelebihan Membaca Surah al-Ikhlas Ketika Masuk Rumah

Ahad, 5 September 2021

Adab Dengan Kitab Agama - Nasihat Syeikh Abdullah al-Talidi

1 - Syeikh Abdullah al-Talidi mengisahkan dalam autobiografi beliau, Zikrayat Min Hayati, antara nikmat yang Allah kurniakan kepada beliau adalah kurniaan untuk beradab dengan mushaf al-Quran, kitab-kitab tafsir, hadis, fiqh dan seluruh kitab-kitab agama.

2 - Beliau tidak akan meletakkan kitab-kitab lain di atas al-Quran, bahkan akan menyusun kitab-kitab tersebut berdasarkan tingkatannya.

3 - Kitab-kitab ilmu alat, sastera, dan sejarah akan berada di bawah sekali, kemudian di atasnya kitab-kitab fiqh, seterusnya kitab-kitab hadis Nabawi, lalu kitab-kitab tafsir dan al-Quran akan berada di atas sekali.

4 - Menurut beliau, tidak diketahui di kalangan ahli ilmu zaman semasa yang mampu untuk mengikut adab ini kecuali mereka yang dirahmati oleh Allah untuk berbuat demikian.

5 - Beliau pernah melihat ada di kalangan ahli ilmu yang meletakkan ganggang telefon, cawan teh dan barang-barang lain di atas kitab-kitab yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, hadis, hukum syarak dan nama Allah.

6 - Sesiapa yang tidak mengambil berat akan adab ini maka dia adalah di kalangan orang yang rapuh agamanya, tidak menghormati sesuatu yang disucikan dan dimuliakan oleh Allah.

7 - Sebahagian guru beliau pernah menceritakan kepadanya bahawa dia pernah bertemu dengan rakannya yang merupakan daripada kalangan ulama. Dia mendapati di hadapan rakannya itu terdapat bungkusan yang mengandungi pelbagai kitab dan di atasnya terdapat dulang, teko dan cawan-cawan teh. Apabila rakannya tersebut meninggal dunia, dia melihat rakannya itu di dalam mimpi dan mendapati keadaannya tidak elok.

Rujukan:

Abdullah al-Talidi, Zikrayat Min Hayati, hlm. 112, cetakan Dar al-Qalam.

Biodata ringkas Syeikh Abdullah al-Talidi

Syeikh Abdullah al-Talidi merupakan ulama hadis yang berasal dari Maghribi. Beliau dilahirkan pada tahun 1926. Beliau merupakan murid utama kepada keluarga al-Ghumari. Antara guru beliau ialah Syeikh Ahmad al-Ghumari, Syeikh Abdullah al-Ghumari, Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari, Syeikh Abdul Hayy al-Ghumari, Syeikh Muhammad al-Zamzami al-Ghumari dan lain-lain. Beliau menulis beberapa penulisan seperti Tahzib Jami' al-Termizi (ringkasan Sunan al-Tirmizi), Tahzib Khasais al-Kubra (ringkasan Khasais al-Kubra karangan al-Sayuthi, Tahzib al-Syifa karangan al-Qadhi 'Iyadh dan lain-lain. Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 2017. Semoga Allah merahmati beliau.