Isnin, 24 Februari 2025

Hadis: Balasan Tidak Adil Dalam Poligami

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

"Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang daripada keduanya, dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan sebelah badannya senget."

Riwayat Abu Daud (hadis no. 2133), al-Tirmizi (hadis no. 1141), al-Nasa’i (hadis no. 3942) dan Ibnu Majah (hadis no. 1969).

Lafaz riwayat al-Tirmizi:

إِذَا كَانَ عِنْدَ الرَّجُلِ امْرَأَتَانِ فَلَمْ يَعْدِلْ بَيْنَهُمَا جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ وَشِقُّهُ سَاقِطٌ

“Jika seorang lelaki mempunyai dua orang isteri, lalu dia tidak berlaku adil antara kedua-duanya, dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan sebelah badannya senget.”

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Kathir dalam Irsyad al-Faqih, Ibnu al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir dan Ibnu Hajar dalam Bulugh al-Maram.

Kosa Kata Hadis:

1 - "Mempunyai dua orang isteri": Iaitu sebagai contoh, atau dia mempunyai lebih daripada dua orang isteri.

2 - "Cenderung kepada salah seorang daripada keduanya": Iaitu mengutamakan seorang isteri berbanding yang lain.

Pengajaran Hadis:

1 - Pembahagian giliran dan berlaku adil antara isteri-isteri ketika berpoligami adalah wajib. Dalil-dalil mengenai kewajipan berlaku adil adalah sangat banyak. Cukuplah nas al-Quran: "Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja" (An-Nisa': 3). Para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang takut tidak dapat berlaku adil, haram baginya untuk berkahwin dengan isteri lain dan ini adalah ijmak umat Islam.

Akan tetapi, tidak disyaratkan dalam keadilan antara isteri-isteri itu untuk mengkhususkan satu malam bagi setiap isteri sehingga dia tidak bertemu dengan isteri yang lain pada malam itu. Bahkan, dibolehkan untuk duduk bersama dan berbual dengan isteri yang bukan gilirannya

Oleh itu, isteri-isteri Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berkumpul setiap malam di rumah isteri yang mendapat giliran, seperti yang diriwayatkan oleh Anas: "Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mempunyai sembilan isteri, apabila baginda membahagikan giliran antara mereka, baginda tidak kembali kepada isteri pertama melainkan selepas sembilan hari, dan mereka berkumpul setiap malam di rumah isteri yang mendapat giliran..."

Maka tidak disyaratkan dalam keadilan antara para isteri untuk mengkhususkan satu malam bagi setiap seorang daripada mereka serta tidak bertemu dengan isteri yang lain pada malam itu. Bahkan harus duduk bersama dan berbual dengan isteri yang bukan gilirannya.

Jika dia membahagikan giliran, tidak wajib baginya untuk bersetubuh dan tidak juga wajib menyamaratakan dalam hal itu. Bahkan harus baginya untuk bermalam bersama mereka dan tidak bersetubuh dengan seorang pun daripada mereka. Harus baginya untuk bersetubuh dengan sebahagian daripada mereka pada gilirannya dan tidak dengan sebahagian yang lain.

Akan tetapi disunatkan agar tidak mengabaikan mereka dan hendaklah menyamaratakan antara mereka dalam hal itu. Maka dia tidak dianggap mengabaikan hak isteri-isterinya demi untuk memelihara kehormatan mereka serta ia termasuk dalam pergaulan yang baik dengan isteri-isterinya dan kerana meninggalkan persetubuhan itu boleh membawa kepada perbuatan keji (zina).

2 – Haram berat sebelah kepada salah seorang isteri berbanding yang lain dalam perkara yang berada dalam kawalan suami seperti pembahagian giliran, makanan dan pakaian.

Suami tidak diwajibkan untuk berlaku adil antara isteri-isteri dalam perkara yang tidak dapat dikawal seperti perasaan kasih sayang dan seumpamanya.

Imam al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan berkata:

“Hadis ini menunjukkan penekanan terhadap kewajipan pembahagian yang adil antara isteri-isteri yang merdeka. Kecenderungan yang dilarang adalah dalam aspek layanan zahir yang menyebabkan pengabaian hak, bukannya kecenderungan hati kerana hati tidak dapat dikawal.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membahagikan giliran dengan adil antara isteri-isterinya dan berdoa: Ya Allah, ini pembahagianku dalam perkara yang aku mampu kawal, maka jangan hukum aku dalam perkara yang aku tidak mampu kawal.

Berkenaan ini turun firman Allah: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan yang lain seperti tergantung." (An-Nisa': 129)

3 – Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab al-Zawajir menganggap mengutamakan salah seorang isteri berbanding yang lain sebagai dosa besar, kerana ancaman keras dalam nas-nas mengenainya dan kerana ia mengandungi unsur penganiayaan dan melakukan kezaliman terhadap isteri yang tidak bersalah.

4 - Wajib menghadkan diri kepada seorang isteri sahaja jika takut tidak dapat berlaku adil antara isteri-isteri supaya dapat mengelakkan diri daripada hukuman yang berat ini dan mematuhi firman Allah: "Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja." (An-Nisa': 3) 

Rujukan: 

1 - Fiqh Bulugh al-Maram Li Bayan al-Ahkam al-Syar'iyyah - Dr Muhammad al-Zuhaili. 

2 - I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam - Dr Nuruddin 'Itr

Hadis Palsu: Diampunkan Dosa Sebelum Melangkah Menuntut Ilmu

 


"Barang siapa berpindah (keluar dari rumahnya) kerana belajar ilmu iaini Ilmu Syar'ie (Agama), diampuni baginya dahulu (sebelum) daripada bahawa melangkah ia (keluar) daripada tempatnya (rumahnya) iaini jika mengkehendaki dengan belajar itu bagi Wajah (menuntut Redha) Allah Taala".

Ulasan:

مَنِ انْتَقَلَ لِيَتَعَلَّمَ عِلْمًا غُفِرَ لَهُ قَبْلَ أَنْ يَخْطُوَ

"Sesiapa yang berpindah (melakukan perjalanan) untuk menuntut ilmu, diampunkan dosanya sebelum dia melangkahkan kakinya."

Hadis ini saya temui di Facebook Pengajian Kitab Kuning.

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Targhib dan Ibnu al-Najjar dalam Zail Tarikh Baghdad melalui sanad:

Abdul Rahim bin Habib daripada Isma’il bin Yahya al-Taimi daripada Sufyan al-Thauri daripada Mujalid daripada al-Sya’bi daripada al-Aswad daripada Aisyah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Menurut al-Hafiz al-Suyuti dalam al-Jami' al-Kabir, hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Syirazi dalam al-Alqab dan al-Hakim dalam Tarikh Naisabur.

Penilaian Hadis

Hadis ini adalah palsu. Dalam sanadnya terdapat 3 orang perawi yang bermasalah.

Pertama, Abdul Rahim bin Habib.

Al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal berkata: “Dia tidak boleh dipercayai.”

Yahya bin Ma’in berkata: “Dia tidak bermakna apa-apa.”

Ibnu Hibban berkata: “Berkemungkinan dia telah memalsukan lebih daripada lima ratus hadis yang dikatakan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam."

Abu Nu'aim al-Asbahani berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada Ibn 'Uyainah dan yang lain.”

Al-Idrisi berkata: “Dalam hadishnya terdapat hadis-hadis yang munkar (ditolak).”

Kedua, Isma’il bin Yahya al-Taimi.

Soleh Jazrah berkata: "Dia telah memalsukan hadis."

Al-Azdi pula berkata: "Dia adalah salah satu tonggak pembohong, tidak halal meriwayatkan daripadanya."

Ibn 'Adi menyenaraikan dua puluh tujuh hadis yang diriwayatkannya dan berkata: "Kebanyakan yang diriwayatkannya adalah batil."

Abu Ali al-Naisaburi, al-Daraqutni dan al-Hakim berkata: "Dia seorang pembohong."

Al-Zahabi berkata: "Semua bersepakat untuk meninggalkannya."

Al-Hakim berkata: "Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada Malik, Mis'ar dan Ibn Abi Zi'b."

Al-Daraqutni berkata: "Dia telah berbohong ke atas Malik, al-Thauri dan lain-lain."

Ibnu Hibban berkata: "Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada orang-orang yang thiqah (dipercayai), tidak halal sama sekali untuk meriwayatkan daripadanya."

Ketiga, Mujalid.

Ibnu Hajar berkata dalam Taqrib al-Tahzib: “Dia tidak kuat (dalam periwayatan hadis). Ingatannya berubah di akhir umurnya.”

Kesimpulan

Hadis ini adalah palsu. Oleh itu tidak boleh disebarkannya melainkan untuk dijelaskan kepalsuannya.

Jumaat, 21 Februari 2025

Selawat Ketika Kesusahan (2)

Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Suatu ketika salah seorang menteri di Damsyik hendak menyakiti Mufti Damsyik, al-Allamah Hamid Afandi al-Imadi. Beliau tidur pada malam tersebut dalam keadaan sangat sedih. Kemudian dia melihat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dalam mimpinya, lalu Baginda menenangkannya dan mengajarkannya satu selawat dan bahawa jika dia membacanya, Allah akan melapangkan kesedihannya. Maka dia pun terjaga dan membacanya, lalu Allah melapangkan kesedihannya dengan berkat Baginda sallahu ‘alaihi wasallam, iaitu: Selawat itu ialah: "Allahumma salli wa sallim 'ala sayyidina Muhammad..." hingga akhir selawat yang disebutkan sebelum ini.

Beliau berkata: "Guruku memberitahu bahawa beliau pernah mengalami kesusahan, lalu beliau mengulangi selawat ini sambil berjalan, dan tidak sampai seratus langkah, kesusahannya dilepaskan. Begitu juga beliau membacanya kali kedua dalam satu kejadian lain, dan tidak lama kemudian kesusahannya dilepaskan."

2 - Ibnu Abidin berkata: “Saya juga telah membaca selawat ini ketika berlaku fitnah yang besar di Damsyik. Tidak sampai saya mengulanginya sebanyak 200 kali, seorang lelaki datang memberitahu saya bahawa fitnah tersebut telah berakhir. Dan Allah menjadi saksi atas apa yang saya katakan.”

3 - Syeikh Yusuf al-Nabhani berkata: “Saya menemui selawat ini dalam kitab Thabat Sheikh Abdul Karim bin Sheikh Ahmad al-Syarabati al-Halabi, tetapi ia diikat dengan bilangan tertentu dan terdapat sedikit perubahan.

Beliau menyebut dalam kitabnya ketika menceritakan tentang gurunya, al-Arif Sheikh Abdul Qadir al-Baghdadi al-Siddiqi: Antara apa yang telah dimuliakan kepada saya ialah ijazah selawat yang mulia, dibaca ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sebanyak 300 kali sehari semalam dan 1000 kali ketika kesusahan, kerana ia adalah penawar yang mujarab, iaitu:

الصَّلَاَةُ وَالسَّلَامُ عَلَیْكَ یَا سَيِّدِي يَا رَسُولَ اللهَ، قَلَّتْ حِيلَتِي أَدْرِكْنِي

"Rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami wahai Rasulullah, sesungguhnya aku dalam kesempitan, tolonglah aku.”

Khamis, 20 Februari 2025

Selawat Ketika Kesusahan (1)

Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

“Aku bertemu beberapa kali di Baitulmaqdis pada tahun 1296 Hijrah dengan seorang yang diyakini sebagai wali, Sayyidi Syeikh Hasan Abu Halawah al-Ghazzi, semoga Allah merahmatinya. Beliau mendoakanku dan mengijazahkanku tarekat Qadiriyah dan lafaz selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuk melepaskan kesusahan. Jika dibaca dengan banyak oleh orang yang ditimpa kesusahan, nescaya Allah akan melepaskannya, iaitu:

اللَهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، اَلْحَبِيبِ الْمَحْبُوبِ، شَافِي الْعِلَلِ وَمُفَرِّجِ الْكُرُوبِ، وَعَلَی آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.

"Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Muhammad, kekasih yang dikasihi, penyembuh penyakit dan pelepas kesusahan, dan ke atas keluarga dan para sahabatnya." 

Menurut Syeikh Yusuf al-Nabhani, Syeikh Hasan Abu Halawah ini merupakan salah seorang daripada wali-wali di Baitulmaqdis yang telah disepakati kewaliannya dan banyak karamahnya.

Biliknya tidak pernah sunyi daripada pengunjung, dan setiap seorang mengadu kepadanya tentang hajatnya, dan bertanyakan kepadanya tentang urusan dunia dan akhiratnya. Lalu beliau menjawabnya dengan sesuatu yang kemudiannya terbukti manfaat dan kebenarannya, seperti kesembuhan orang sakit, kepulangan orang yang musafir, tertunainya hajat yang sukar bagi pemiliknya, dan sebagainya.

Syeikh Hasan Abu Halawah meninggal dunia di Baitulmaqdis beberapa tahun selepas Syeikh Yusuf al-Nabhani keluar daripadanya, iaitu sebelum tahun 1310H.

Kelebihan Selawat Munjiyat

Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Telah dinukilkan dalam Syarah al-Dalail daripada Hassan bin Ali al-Aswani bahawa beliau berkata:

“Sesiapa yang membaca selawat ini 1000 kali ketika menghadapi setiap kesulitan dan musibah, maka Allah akan memberi jalan keluar kepadanya dan dia akan mencapai hajatnya.”

2 - Ibnu al-Fakihani meriwayatkan dari Sheikh Soleh Musa al-Darir yang berkata:

“Aku menaiki kapal di laut dan lalu bertiuplah angin kencang yang jarang-jarang orang terselamat daripadanya daripada tenggelam dan orang ramai pun kecoh. Aku tertidur dan bermimpi Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan baginda bersabda: Katakan kepada penumpang kapal supaya membaca seribu kali: "Allahumma salli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala ali sayyidina Muhammad salatan tunjina biha…sehingga akhir. Aku terjaga dan memberitahu penumpang tentang mimpi tersebut. Kami membacanya sekitar 300 kali dan Allah pun melepaskan (kesulitan) kami..

3 - Sayyid Muhammad Afandi Abidin menyebut dalam kitabnya bahawa Allamah Ahmad Al-Attar menambah pada akhir Selawat Munjiyat:

يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، يَا الله.

Beliau berkata: “Sebahagian ulama menyatakan: Sesiapa yang membacanya 1000 kali ketika menghadapi masalah, maka Allah akan memberi jalan keluar dan dia akan mencapai hajatnya.

Sesiapa yang memperbanyakkan bacaannya ketika wabak taun, maka dia akan terselamat daripadanya.

Sesiapa yang memperbanyakkan bacaannya ketika menaiki kapal, maka dia akan terselamat dari tenggelam.

Sesiapa yang membacanya 500 kali, maka dia akan memperoleh apa yang dia inginkan dalam menarik (rezeki) dan kekayaan, dengan izin Allah.

Ini adalah mujarab dan benar dalam semua itu, wallahu a'lam.”

Jumaat, 7 Februari 2025

Doa Bila Susah Nak Bayar Hutang

Doa Pertama

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhu:

Seorang hamba mukatab (hamba yang dapat menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) menemui beliau lalu berkata: “Aku tidak mampu membayar wang tebusanku. Bantulah aku.”

Ali bin Abi Thalib berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alahi wa sallam kepadaku. Jika engkau mempunyai hutang setinggi gunung sekalipun Allah akan membantu melunaskan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu."

(Riwayat al-Tirmizi dan kata beliau: "Hadis ini hasan gharib.")

Doa Kedua

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

"Suatu hari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam masuk ke dalam masjid, tiba-tiba Baginda sollallahu alaihi wasallam terjumpa seorang Ansar yang bernama Abu Umamah. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bertanya: Wahai Abu Umamah, mengapa kamu duduk di masjid di luar waktu solat?"

Abu Umamah menjawab: "Kerana kebimbangan yang melanda hatiku dan beban hutangku wahai Rasulullah".

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: "Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu beberapa bacaan, yang apabila kamu membacanya nescaya Allah akan menghilangkan rasa gelisah dari dirimu dan melunaskan hutang-hutangmu?"

Abu Umamah berkata: "Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Rasulullah bersabda: "Ucapkanlah di waktu pagi dan petang:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu daripada rasa dukacita dan keluh kesah. Aku mohon perlindungan-Mu daripada lemah dan sifat malas. Aku mohon perlindungan-Mu daripada perasaan takut dan bakhil. Aku mohon perlindungan-Mu daripada beban hutang dan penindasan orang.”

Abu Umamah berkata: “Kemudian aku melakukan perintah tadi, maka Allah menghilangkan rasa gelisah dari diriku dan melunaskan hutang-hutangku."

(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang daif)

Doa Bila Berhadapan Orang Zalim dan Jahat

 Doa Pertama

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy'ari, bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam apabila takut kepada sesuatu kaum, Baginda berdoa:

اللَّهُمَّ إنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِهِمْ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ

"Ya Allah, sesungguhnya kami menjadikan Engkau di leher-leher mereka  dan kami berlindung kepada-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka."

(Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i dengan sanad yang sahih)

Penjelasan:

Maksud ‘Kami menjadikan Engkau di leher-leher mereka’ adalah kiasan tentang bertawakal kepada Allah dalam menolak tipu daya musuh kepada mereka sendiri dan menjadikan keburukan itu berbalik kepada mereka.

Doa Kedua

Diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata:

“Kami bersama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam satu peperangan lalu bertempur dengan musuh, maka aku mendengar Baginda berdoa:

يَا مَالِكَ يَوْمِ الدِّينِ، إيَّاكَ أَعْبُدُ، وَإِيَّاكَ أَسْتَعِينُ

Wahai Pemilik Hari Pembalasan, hanya kepada-Mu aku menyembah dan hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.

Maka aku benar-benar melihat musuh-musuh itu jatuh tersungkur, dipenggal oleh para malaikat dari hadapan dan belakang mereka.”

(Riwayat Ibnu al-Sunni dengan sanad yang daif)

Doa Ketiga

Abdullah bin Mas’ud (sahabat Nabi) berkata:

Apabila seseorang di antara kamu berada di bawah pemerintah yang dia takut akan kesombongan dan kezalimannya, maka hendaklah dia mengucapkan:

اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، كُنْ لِي جَارًا مِنْ فُلَانٍ وَأَحْزَابِهِ وَأَشْيَاعِهِ، أَنْ يَفْرُطُوا عَلَيَّ، وَأَنْ يَطْغَوْا، عَزَّ جَارُكَ، وَجَلَّ ثَنَاؤُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

"Ya Allah, Tuhan langit dan Tuhan Arasy yang Agung, jadilah Engkau pelindungku daripada si fulan dan pengikut-pengikutnya serta penyokong-penyokongnya, daripada mereka melampaui batas dan berlaku zalim terhadapku. Maha Mulia perlindungan-Mu, Maha Agung pujian kepada-Mu, dan tiada Tuhan selain Engkau."

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)

Doa Keempat

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas (sahabat Nabi), beliau berkata:

“Apabila kamu menghadap seorang penguasa yang menakutkan, yang kamu takut dia akan mencederakanmu, maka ucapkanlah:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَعَزُّ مِنْ خَلْقِهِ جَمِيعًا، اللَّهُ أَعَزُّ مِمَّا أَخَافُ وَأَحْذَرُ، أَعُوذُ بِاللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمُمْسِكُ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ أَنْ يَقَعْنَ عَلَى الْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِ، مِنْ شَرِّ عَبْدِكَ فُلَانٍ وَجُنُودِهِ وَأَتْبَاعِهِ وَأَشْيَاعِهِ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ، اللَّهُمَّ كُنْ لِي جَارًا مِنْ شَرِّهِمْ، جَلَّ ثَنَاؤُكَ وَعَزَّ جَارُكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Allah Maha Besar, Allah lebih Mulia daripada seluruh makhluk-Nya, Allah lebih Mulia daripada apa yang aku takuti dan aku waspadai. Aku berlindung kepada Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang menahan tujuh petala langit daripada jatuh ke bumi melainkan dengan izin-Nya, daripada kejahatan hamba-Mu si fulan dan tenteranya dan pengikut-pengikutnya dan penyokong-penyokongnya daripada kalangan jin dan manusia. Ya Allah, jadilah Engkau pelindungku daripada kejahatan mereka. Maha Agung pujian kepada-Mu, Maha Mulia perlindungan-Mu, Maha Suci nama-Mu, dan tiada Tuhan selain Engkau.

Ucapkanlah tiga kali.”

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)

Doa Kelima

Diriwayatkan daripada al-Sya’bi (seorang tabi’in), beliau berkata:

“Aku sedang duduk bersama Ziyad bin Abu Sufyan (seorang gabenor) ketika dibawa seorang lelaki dalam keadaan diusung yang kami tidak ragu bahawa dia akan dibunuh.

Aku melihat lelaki itu menggerakkan bibirnya untuk mengatakan sesuatu yang kami tidak tahu apa dia.

Kemudian Ziyad membebaskannya.

Sebahagian orang mendatanginya dan berkata: Engkau telah dibawa dalam keadaan yang kami tidak ragu bahawa engkau akan dibunuh. Lalu kami melihat engkau menggerakkan bibir mengatakan sesuatu yang kami tidak tahu, kemudian engkau dibebaskan.

Lelaki itu berkata: Aku mengucapkan:

اللَّهُمَّ رَبَّ إِبْرَاهِيمَ وَرَبَّ إِسْحَاقَ، وَرَبَّ يَعْقُوبَ، وَرَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، وَمُنَزِّلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالزَّبُورِ وَالْقُرْآنِ الْعَظِيمِ، اِدْرَأْ عَنِّي شَرَّ زِيَادٍ

Ya Allah, Tuhan Ibrahim, Tuhan Ishak, Tuhan Yaakub, Tuhan Jibril, Mikail dan Israfil, yang menurunkan Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran yang Agung, hindarkan daripadaku kejahatan Ziyad."

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)

Doa Keenam

Diriwayatkan daripada 'Alqamah bin Marthad, beliau berkata:

“Apabila seseorang itu termasuk dalam kalangan orang terdekat dengan al-Sha'bi (seorang tabi’in), beliau akan memberitahu orang itu doa ini:

اللَّهُمَّ إِلَهَ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، وَإِلَهَ إِبْرَاهِيمَ، وَإِسْمَاعِيلَ، وَإِسْحَاقَ، عَافِنِي وَلَا تُسَلِّطَنَّ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ عَلَيَّ بِشَيْءٍ لَا طَاقَةَ لِي بِهِ

Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil, dan Tuhan Ibrahim, Ismail, dan Ishak, berilah kesejahteraan kepadaku dan janganlah Engkau biarkan sesiapa pun dari makhluk-Mu menguasai diriku dengan sesuatu yang aku tidak mampu menahannya."

Diceritakan bahawa ada seorang lelaki datang kepada seorang pemimpin, lalu dia membaca doa ini, maka pemimpin itu membebaskannya.

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)

Doa Ketujuh

Daripada Abu Mijlaz (seorang tabi’in) berkata:

“Sesiapa yang takut akan kezaliman daripada seorang pemimpin, lalu dia mengucapkan:

رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَبِالْقُرْآنِ حَكَمًا وَإِمَامًا

Aku redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi, dan Al-Quran sebagai hakim dan pemimpin.

Allah akan menyelamatkannya daripada pemimpin tersebut.”

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)

Doa Kelapan

Daripada Al-Hasan bin Al-Hasan, bahawa Abdullah bin Ja'far (sahabat Nabi) ingin mengahwinkan anak perempuannya dan sewaktu beliau duduk bersendirian bersama anaknya beliau berkata:

“Apabila kematian atau perkara yang mengerikan daripada urusan dunia menimpamu, maka hadapilah dengan mengucapkan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Mulia, Maha Suci Allah Tuhan Arasy yang Agung, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam."

Al-Hasan bin Al-Hasan (cucu Saidina Ali) berkata:

"Al-Hajjaj (seorang pemimpin yang zalim) telah menghantar utusannya kepadaku, lalu aku mengucapkan kalimah-kalimah tersebut. Aku tidak sempat berdiri di hadapannya melainkan dia berkata: Demi Allah, aku telah menghantar utusan kepadamu dengan niat untuk memenggal lehermu, tetapi kini tiada seorang pun dari ahli keluargamu yang lebih mulia bagiku daripada kamu. Mintalah apa hajatmu."

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)

Rabu, 5 Februari 2025

Doa Nabi Ketika Sakit

 


Doa Pertama

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawasanya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pernah meruqyah sebahagian ahli keluarganya dengan mengusap menggunakan tangan kanannya sambil berdoa:

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ، أَذْهِبِ الْبَأْسَ، اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

"Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah penyakit, sembuhkanlah, Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tiada kesembuhan melainkan kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa Kedua

Diriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-'As bahawa beliau telah mengadu kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang sakit yang dirasakannya pada tubuhnya. Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

“Letakkan tanganmu pada tempat yang sakit pada tubuhmu, dan ucapkan: 'Bismillah' tiga kali, dan ucapkan tujuh kali:

أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Aku berlindung dengan keagungan Allah dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan yang aku rasakan dan aku takutkan."

(Riwayat Muslim)

Doa Ketiga

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

"Sesiapa yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, lalu mengucapkan di sisinya sebanyak tujuh kali:

أَسْأَلُ اللَّهَ العَظِيمَ رَبِّ العَرْشِ العَظِيمِ أنْ يَشْفِيكَ

Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung agar menyembuhkan kamu…

…melainkan Allah SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu."

(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dengan sanad yang sahih)

Doa Keempat

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin Al-'As, beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Apabila seseorang datang menziarahi orang sakit, hendaklah dia mengucapkan:

اللَّهُمَّ اشْفِ عَبْدَكَ يَنْكَأُ لَكَ عَدُوًّا، أَوْ يَمْشِي لَكَ إِلَى صَلاةٍ

Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu ini, yang akan menewaskan musuh untuk-Mu, atau berjalan untuk menunaikan solat untuk-Mu."

(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)

Doa Kelima

Diriwayatkan daripada Ali, beliau berkata:

“Aku sedang sakit lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lalu di sisiku ketika aku mengucapkan:

اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ أَجَلِي قَدْ حَضَرَ فَأَرِحْنِي، وَإِنْ كَانَ مُتَأَخِّرًا فَارْفَعْنِي، وَإِنْ كَانَ بَلَاءً فَصَبِّرْنِي

Ya Allah, jika ajalku telah tiba maka rahmatilah aku, dan jika masih lewat maka angkatlah (penyakitku), dan jika ini adalah ujian maka berilah aku kesabaran."

Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Apa yang engkau ucapkan?"

Lalu Ali mengulangi apa yang telah diucapkannya.

Baginda menguis Ali dengan kakinya dan bersabda: "Ya Allah, berilah dia kesihatan (atau baginda bersabda) sembuhkanlah dia.”

Ali berkata: “Selepas itu aku tidak pernah lagi merasakan sakit tersebut.”

(Hadis sahih riwayat al-Tirmizi)

Doa Keenam

Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri bahawa Jibril telah datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata:

"Wahai Muhammad! Adakah engkau sakit?"

Baginda menjawab: "Ya."

Jibril berkata:

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ حَاسِدٍ، اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

"Dengan nama Allah aku meruqyahmu, daripada segala sesuatu yang menyakitimu, daripada kejahatan setiap jiwa atau mata yang dengki, Allah menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu."

(Riwayat Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Doa Ketujuh

Diriwayatkan daripada Uthman bin Affan, beliau berkata:

“Aku pernah sakit lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membacakan ruqyah untukku. Pada suatu hari Baginda membacakan ruqyah dengan berkata:

أُعِيذُكَ بِاللّهِ الأَحَدِ الصَّمَدِ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلمْ يُولَدْ ولَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ مِنْ شَرِّ مَا تَجِدُ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Aku berlindung untukmu dengan Allah Yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu, Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesiapa yang setara dengan-Nya, daripada kejahatan yang engkau rasakan."

Ketika Rasulullah SAW hendak berdiri, Baginda bersabda: Wahai Uthman, berlindunglah dengan doa ini kerana kamu tidak pernah berlindung dengan sesuatu yang sepertinya."

(Riwayat Ibnu al-Sunni dengan sanad yang daif)

Doa Kelapan

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan mereka (para sahabat) untuk (berlindung dari) semua jenis kesakitan dan demam dengan mengucapkan:

بِسْمِ اللَّهِ الكَبِيرِ، نَعُوذُ باللَّهِ العَظِيمِ مِنْ شَرِّ عِرْقٍ نَعَّارٍ، وَمِنْ شَرِّ حَرِّ النَّارِ

"Dengan nama Allah Yang Maha Besar, kami berlindung dengan Allah Yang Maha Agung daripada kejahatan urat yang berdenyut dan daripada kejahatan panasnya api."

(Riwayat Ibnu al-Sunni dengan sanad yang daif)

Doa Kesembilan

Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak berbaring di tempat tidurnya, Baginda menghimpunkan kedua tapak tangannya lalu meniup padanya, kemudian membaca padanya: Qul huwallahu ahad, Qul a'uzu bi rabbil falaq dan Qul a'uzu bi rabbin nas.

Kemudian Baginda mengusap dengan kedua-dua tangannya ke seluruh tubuhnya yang mampu dicapai, bermula dengan kepala dan wajahnya serta bahagian hadapan tubuhnya. Baginda melakukan itu sebanyak tiga kali.

Aisyah berkata: “Ketika Baginda sakit, Baginda menyuruh aku melakukan yang demikian itu kepadanya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa Kesepuluh

Daripada Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah bahawa mereka berdua bersaksi bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Sesiapa yang mengucapkan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

Tuhannya membenarkannya dengan berfirman: "Tiada tuhan melainkan Aku dan Aku Maha Besar.”

Dan apabila dia mengucapkan:

لَا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ

Allah berfirman:

Tiada tuhan melainkan Aku, Yang Esa, tiada sekutu bagi-Ku.

Apabila dia mengucapkan:

لَا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ

Allah berfirman: Tiada tuhan melainkan Aku, bagi-Ku segala kerajaan dan bagi-Ku segala pujian.

Dan apabila dia mengucapkan:

لَا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلاَّ باللَّهِ

Allah berfirman:

Tiada tuhan melainkan Aku dan tiada daya dan upaya melainkan dengan-Ku.”

Baginda bersabda: “Sesiapa yang mengucapkannya ketika sakit kemudian meninggal dunia, api neraka tidak akan menyentuhnya."

(Hadis hasan riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)