Rabu, 11 Februari 2026

Belajar Bawah Cahaya Bulan Kerana Miskin

Dinyatakan dalam Tabyin Kazib al-Mufatri oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, pada biografi Abu Mansur Muhammad bin al-Husain al-Ayyubi al-Naisaburi, yang meninggal dunia pada tahun 421H, semoga Allah Ta'ala merahmatinya, seperti berikut:

“Al-Ustaz al-Imam, Hujjatuddin, empunya penjelasan (al-bayan), hujah (al-hujjah) dan bukti (al-burhan), serta lidah yang fasih dan pandangan yang benar.

Beliau adalah yang paling mendalam pandangannya dalam mazhab al-Asy'ari berbanding sesiapa pun pada zamannya, dan berbanding orang yang mendahuluinya serta yang datang selepasnya.

Beliau mempunyai karangan-karangan yang masyhur lagi diterima di sisi para imam Usul, seperti Talkhis al-Dala'il.

Beliau berguru dengan al-Ustaz Abu Bakar bin Furak pada masa kecilnya, dan menamatkan pengajian dengannya, serta sentiasa mengikut jalannya.

Beliau seorang yang bersungguh-sungguh, meskipun dalam keadaan fakir dan serba kekurangan, sehinggakan beliau menulis nota pelajarannya dan menelaahnya di bawah cahaya bulan, kerana kesempitan hidupnya untuk mendapatkan minyak pelita.

Walaupun begitu, beliau tetap teguh menanggung kemiskinan dan sentiasa bersifat warak, serta tidak mengambil sedikit pun daripada harta syubhah.”

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan