Pengenalan Surah
Surah al-Waqiah ialah surah Makiyyah (diturunkan sebelum
Hijrah).
Kedahsyatan Hari
Kiamat dan Tiga Golongan Manusia
Surah yang mulia ini merangkumi:
1 - Perihal keadaan hari kiamat.
2 - Kedahsyatan yang berlaku menjelang tibanya hari tersebut,
seperti kegoncangan bumi dan kehancuran gunung-ganang.
3 - Pembahagian manusia kepada tiga golongan: Ashabul
Yamin (Golongan Kanan), Ashabul Syimal (Golongan Kiri) dan al-Sabiqun
(Golongan yang Terkehadapan), dari segi amal kebajikan mereka dahulu semasa di
dunia.
Perhimpunan di
Mahsyar dan Keadilan Hari Pembalasan
Surah ini turut memperihalkan tentang kesudahan setiap
golongan tersebut serta balasan adil yang telah dipersiapkan oleh Allah SWT
untuk mereka pada Hari Pembalasan. Ia juga menjelaskan bahawa seluruh makhluk
daripada generasi terdahulu hingga yang terkemudian akan dihimpunkan pada hari
tersebut.
Bukti Kekuasaan
dan Keesaan Allah Melalui Alam Ciptaan-Nya
Surah ini juga mengemukakan dalil-dalil tentang kewujudan
dan keesaan Allah, serta kesempurnaan kekuasaan-Nya melalui keindahan
ciptaan-Nya, seperti penciptaan manusia, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, penurunan
hujan dan penciptaan kuasa membakar pada api.
Kemuliaan Al-Quran
dan Peringatan Sakratulmaut
Seterusnya, surah ini mengangkat kemuliaan al-Quran yang
agung bahawa ia adalah wahyu yang diturunkan oleh Tuhan sekalian alam, di
samping menggambarkan kesengsaraan dan kedahsyatan yang akan dihadapi oleh
manusia ketika saat nazak menghadapi sakratulmaut.
Penutup Surah:
Penegasan Nasib Tiga Golongan dan Kemuliaan al-Muqarrabin
Surah ini diakhiri dengan menyebutkan semula tiga golongan tersebut, iaitu: Golongan yang berbahagia, golongan yang celaka dan golongan yang berlumba-lumba melakukan kebaikan. Ia turut menjelaskan kesudahan setiap golongan tersebut, yang berfungsi sebagai perincian kepada apa yang telah dinyatakan secara umum pada permulaan surah, di samping memuji kelebihan dan kedudukan orang-orang yang didekatkan kepada Allah (al-Muqarrabin), pada awal dan akhir surah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan