Isnin, 10 November 2025

Tafsir al-Mu’in: Surah al-Ikhlas

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

“Katakanlah: Dia ialah Allah Yang Maha Esa.”

Tafsir:

Katakanlah - wahai Rasulullah dan wahai setiap orang beriman daripada umatnya -: Tuhanku yang aku seru untuk beriman kepada-Nya, dan menyembah-Nya semata-mata, ialah Allah Yang Esa pada zat-Nya, pada sifat-sifat-Nya, dan pada perbuatan-perbuatan-Nya, yang tiada sesiapa pun menyekutui-Nya padanya.

 اللَّهُ الصَّمَدُ

"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.”

Tafsir:

Yang memiliki puncak kesempurnaan dalam setiap sifat, Yang Maha Kaya dengan zat-Nya daripada segala sesuatu, Yang menjadi tumpuan - hanya Dia - dalam segala hajat dan permintaan.

 لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ

“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan.”

Tafsir:

Dia tidak beranak, maka tidak terbit daripada zat-Nya suatu zat yang berasal daripada-Nya. Dia tidak diperanakkan, maka zat-Nya tidak terbit daripada zat yang lain yang mana Dia berasal daripadanya.

Maka Dia-lah Yang Awal yang tidak didahului oleh bapa yang Dia berasal daripadanya, dan Dia-lah Yang Akhir yang tidak diikuti oleh anak yang berasal daripada-Nya.

Pada (ayat) ini terdapat sanggahan terhadap kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah, dan terhadap kaum Nasrani yang mendakwa bahawa Allah adalah bapa kepada Isa anak Maryam dan bahawa dia adalah anak-Nya, dan terhadap sesiapa yang berkata seperti perkataan mereka.

 وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

“Tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

Tafsir:

Tidak ada bagi-Nya daripada kalangan makhluk-Nya yang serupa dan setara dengan-Nya, pada zat-Nya, tidak juga pada sifat-sifat-Nya, dan tidak juga pada perbuatan-perbuatan-Nya, pada masa lalu, sekarang, dan masa hadapan, dari azali hingga abadi.

Sumber:

Tafsir al-Mu’in – Syeikh Majid Makki.

Ahad, 9 November 2025

Cara Selamat Dari Dajjal

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam telah memberi petunjuk kepada umatnya tentang apa yang memelihara mereka daripada fitnah al-Masih al-Dajjal. Baginda telah meninggalkan umatnya di atas jalan yang terang-benderang, malamnya (jelas) seperti siangnya, tidak ada yang menyimpang daripadanya melainkan orang yang binasa.

Baginda tidak meninggalkan satu pun kebaikan melainkan telah menunjukkan umatnya kepadanya, dan tiada satu pun keburukan melainkan telah memberi amaran kepada mereka tentangnya.

Antara perkara yang baginda beri amaran daripadanya ialah fitnah al-Masih al-Dajjal kerana ia adalah fitnah yang paling besar yang akan dihadapi oleh umat sehingga hari Kiamat.

Setiap nabi telah memberi amaran kepada umatnya tentang Dajjal yang buta sebelah mata, dan Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam dikhususkan dengan tambahan amaran dan peringatan.

Allah telah menjelaskan kepada baginda banyak sifat-sifat Dajjal agar baginda memberi amaran kepada umatnya kerana sesungguhnya dia akan keluar dalam kalangan umat ini tidak dapat tidak kerana ia adalah umat yang terakhir, dan Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam adalah penutup para nabi.

Ini adalah sebahagian petunjuk-petunjuk kenabian yang telah ditunjukkan oleh al-Mustafa sallahu ‘alaihi wasallam kepada umatnya agar mereka selamat daripada fitnah yang besar ini, yang kita memohon kepada Allah Yang Maha Agung agar menyelamatkan kita dan melindungi kita daripadanya:

1 - Berpegang teguh dengan Islam, mempersenjatai diri dengan senjata iman, dan mengenali nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya yang Maha Indah yang tiada sesiapa pun menyamai-Nya.

Maka dia akan mengetahui bahawa Dajjal adalah seorang manusia yang makan dan minum, dan bahawa Allah Taala Maha Suci daripada yang demikian, dan bahawa Dajjal itu buta sebelah mata, sedangkan Allah tidak buta sebelah mata, dan bahawa tiada seorang pun yang dapat melihat Tuhannya sehinggalah dia mati, sedangkan Dajjal dilihat oleh manusia ketika kemunculannya, baik orang mukmin mahupun orang kafir dalam kalangan mereka.

2 - Meminta perlindungan daripada fitnah al-Dajjal, dan khususnya di dalam solat.

Telah warid mengenainya hadis-hadis yang sahih, antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) dan al-Nasa'i daripada Aisyah, isteri Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa di dalam solat:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Mus'ab, beliau berkata: Sa'ad (bin Abi Waqqas) menyuruh lima perkara dan menyebutkannya daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda pernah menyuruh dengannya... (antaranya:)

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا

"Aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dunia" (iaitu: fitnah al-Dajjal).

Pada penggunaan lafaz dunia untuk (merujuk kepada) Dajjal terdapat isyarat bahawa fitnah Dajjal adalah sebesar-besar fitnah yang berlaku di dunia.

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila salah seorang daripada kamu telah selesai bertasyahud, maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah daripada empat perkara, dengan berkata:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Jahannam, dan daripada azab kubur, dan daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Imam Tawus menyuruh anaknya untuk mengulangi solat jika dia tidak membaca doa ini di dalam solatnya.

Ini adalah dalil atas kesungguhan para Salaf dalam mengajar anak-anak mereka doa ini.

Al-Saffarini berkata: “Antara perkara yang sewajarnya bagi setiap orang alim adalah menyebarkan hadis-hadis Dajjal di kalangan anak-anak, wanita, dan lelaki. Telah warid bahawa antara tanda-tanda kemunculannya ialah dilupakan sebutannya di atas mimbar-mimbar.”

Sehingga al-Saffarini berkata: “Lebih-lebih lagi pada zaman kita ini yang mana fitnah-fitnah telah mula muncul dengan hebatnya, dan ujian-ujian telah menjadi banyak, dan padanya telah terhapus tanda-tanda (panduan) Sunnah, dan Sunnah padanya telah menjadi seperti bid'ah, dan bid'ah menjadi syariat yang diikuti, dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan (pertolongan) Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

3 - Menghafal ayat-ayat daripada Surah al-Kahfi.

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan untuk membaca ayat-ayat permulaan Surah al-Kahfi ke atas al-Dajjal, dan dalam sebahagian riwayat, ayat-ayat penutupnya, iaitu dengan membaca sepuluh ayat daripada awalnya atau akhirnya.

Antara hadis-hadis yang warid mengenai hal itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Muslim daripada hadis al-Nawwas bin Sam'an yang panjang... (dan di dalamnya sabda Baginda sallahu ‘alaihi wasallam:)

فَمَنْ أَدْرَكَهُ مِنْكُمْ فَلْيَقْرَأْ عَلَيْهِ فَوَاتِحَ سُورَةِ الْكَهْفِ

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang menemuinya, maka hendaklah dia membaca ke atasnya ayat-ayat permulaan Surah al-Kahfi.”

Muslim meriwayatkan juga daripada Abu al-Darda' radhiyallahu 'anhu bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ

“Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada al-Dajjal” iaitu daripada fitnahnya.

Muslim berkata: Syu'bah berkata: “daripada akhir al-Kahfi”, dan Hammam berkata: “daripada awal al-Kahfi.”

Al-Nawawi berkata: “Sebabnya ialah apa yang terdapat pada awalnya daripada keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda (kekuasaan Allah), maka sesiapa yang mentadabburinya, dia tidak akan terfitnah oleh al-Dajjal, dan begitu juga pada akhirnya, firman Allah Taala: Maka adakah orang-orang yang kafir itu menyangka bahawa mereka dapat mengambil…[Al-Kahfi: 102].”

Ini adalah antara keistimewaan Surah al-Kahfi.

Telah datang hadis-hadis yang menggalakkan pembacaannya, dan khususnya pada hari Jumaat.

Al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu 'anhu bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ

“Sesungguhnya sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, akan meneranginya cahaya di antara dua Jumaat.”

Tidak syak lagi bahawa surah al-Kahfi mempunyai kedudukan yang agung, kerana di dalamnya terdapat tanda-tanda yang nyata, seperti kisah Ashab al-Kahfi, kisah Musa bersama Khidir, dan kisah Zulqarnain, serta pembinaannya akan tembok yang besar sebagai penghalang daripada Ya'juj dan Ma'juj, dan pensabitan tentang kebangkitan dan pengumpulan, dan tiupan sangkakala, serta penjelasan tentang orang-orang yang paling rugi amalannya, iaitu mereka yang menyangka bahawa mereka berada di atas petunjuk sedangkan mereka berada di atas kesesatan dan kebutaan.

Maka sewajarnya bagi setiap Muslim untuk bersungguh-sungguh membaca surah ini, menghafalnya, dan mengulang-ulanginya, khususnya pada hari terbaik terbitnya matahari, iaitu hari Jumaat.

4 - Melarikan diri daripada al-Dajjal, dan menjauh daripadanya, dan yang terbaik adalah tinggal di Mekah dan Madinah, kerana telah dinyatakan sebelum ini bahawa Dajjal tidak akan memasuki al-Haramain.

Maka sewajarnya bagi seorang Muslim apabila Dajjal keluar, untuk menjauh daripadanya, kerana apa yang ada bersamanya berupa syubhat-syubhat dan perkara-perkara luar biasa yang hebat yang Allah jadikan berlaku di tangannya sebagai fitnah untuk manusia, kerana sesungguhnya seorang lelaki datang kepadanya sedang dia menyangka pada dirinya ada keimanan dan keteguhan, lalu dia mengikuti Dajjal. Kita memohon kepada Allah agar melindungi kita dan seluruh kaum Muslimin daripada fitnahnya.

Imam Ahmad, Abu Daud, dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu al-Dahma', beliau berkata: Aku mendengar 'Imran bin Husain menceritakan; beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ سَمِعَ بِالدَّجَّالِ فَلْيَنْأَ عَنْهُ، فَوَاللهِ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَأْتِيهِ وَهُوَ يَحْسِبُ أَنَّهُ مُؤْمِنٌ، فَيَتَّبِعُهُ مِمَّا يَبْعَثُ بِهِ مِنَ الشُّبُهَاتِ، أَوْ لِمَا يَبْعَثُ بِهِ مِنَ الشُّبُهَات

“Sesiapa yang mendengar tentang Dajjal, maka hendaklah dia menjauh daripadanya. Demi Allah, sesungguhnya seorang lelaki akan datang kepadanya sedang dia menyangka bahawa dia seorang mukmin, lalu dia mengikutinya disebabkan syubhat-syubhat yang dibawanya, atau kerana syubhat-syubhat yang dibawanya.”

Sumber:

Asyrat al-Sa'ah – Yusuf bin Abdullah al-Wabil.

Sabtu, 8 November 2025

Tabarruk Dengan Ibnu Taimiyyah


Murid Ibnu Taimiyyah, Ibnu ‘Abdil Hadi menyebutkan dalam kitab al-'Uqud al-Durriyah Fi Manaqib Syeikh al-Islam Ahmad bin Taimiyyah (ms. 291-293):

“Syeikh 'Alamuddin (al-Birzali, sahabat Ibnu Taimiyyah) berkata: Pada malam Isnin, 20 hari bulan Zulkaedah tahun 728, telah wafat Syeikh, Imam, al-Allamah, al-Faqih, al-Hafiz, al-Zahid, al-Qudwah, Syeikhul Islam, Taqiyuddin Abu al-Abbas Ahmad, anak kepada guru kami Imam al-Mufti, Syihabuddin Abi al-Mahasin Abdul Halim, bin Syeikh Imam Syeikhul Islam Majduddin Abi al-Barakat Abdul Salam bin Abdullah bin Abi al-Qasim bin Muhammad bin Taymiyyah al-Harrani, kemudian al-Dimasyqi, di Kubu Damsyik di mana beliau dipenjarakan.

Sekumpulan orang telah hadir ke kubu, lalu mereka diizinkan untuk masuk. Sekumpulan orang duduk sebelum (jenazah) dimandikan, dan mereka membaca al-Quran serta mengambil berkat dengan melihat dan menciumnya, kemudian mereka beredar. Hadir sekumpulan wanita lalu mereka melakukan perkara yang sama, kemudian mereka beredar.

(Orang yang diizinkan masuk) dihadkan kepada orang yang memandikannya dan membantu dalam memandikannya. Maka setelah selesai daripada itu, jenazah dibawa keluar, dan orang ramai telah berkumpul di kubu dan di sepanjang jalan menuju ke Masjid Jamek Damsyik. Masjid jamek serta halamannya, dan al-Kallasah, Bab al-Barid, dan Bab al-Sa'at sehingga ke al-Labbadin dan al-Fawwarah telah penuh sesak.

Jenazah tiba pada jam keempat siang hari, atau sekitarnya, dan diletakkan di masjid jamek, dan para tentera menjaganya daripada orang ramai kerana kesesakan yang teramat sangat. Jenazah disolatkan pertama sekali di kubu, yang menjadi imam solat ke atasnya ialah Syeikh Muhammad bin Tammam, kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Jamek Damsyik, selepas solat Zohor.

Jenazah diusung dari Bab al-Barid, dan kesesakan bertambah hebat. Orang ramai melemparkan sapu tangan dan serban mereka ke atas kerandanya untuk mengambil berkat. Keranda itu berada di atas kepala-kepala (orang ramai), kadangkala ia bergerak ke hadapan dan kadangkala ke belakang. Orang ramai keluar dari masjid jamek melalui semua pintunya kerana kesesakan yang teramat sangat, dan setiap pintu lebih sesak daripada yang lain.

Kemudian orang ramai keluar dari semua pintu-pintu bandar kerana kesesakan yang teramat sangat, tetapi kebanyakannya adalah melalui empat pintu: Bab al-Faraj yang mana jenazah dikeluarkan melaluinya, dan dari Bab al-Faradis, dari Bab al-Nasr, dan Bab al-Jabiyah. Keadaan menjadi sangat sesak di Suq al-Khayl dan yang menjadi imam solat ke atasnya di sana ialah saudaranya, Zainuddin Abdul Rahman.

Jenazah diusung ke Maqbarah al-Sufiyyah, lalu dikebumikan di sisi saudaranya, Syarafuddin Abdullah - semoga Allah merahmati mereka berdua. Pengebumiannya adalah pada waktu Asar atau sedikit sebelumnya. Orang ramai menutup kedai-kedai mereka, dan tidak ada yang tidak hadir melainkan sebilangan kecil orang, atau mereka yang dihalang oleh kesesakan.

Pengebumian itu dihadiri oleh ramai wanita sehingga dianggarkan seramai 15 ribu orang, manakala kaum lelaki pula dianggarkan seramai 60 ribu atau lebih, sehingga mencecah 200 ribu orang.

Sekumpulan orang meminum air yang lebih daripada mandiannya, dan sekumpulan yang lain membahagi-bahagikan saki-baki daun bidara yang digunakan untuk memandikannya.

Dikatakan bahawa kopiah yang ada di atas kepalanya telah dibayar (untuk mendapatkannya) sebanyak 500 dirham, dan dikatakan bahawa benang yang padanya ada raksa (merkuri), yang pernah dipakai di lehernya kerana (untuk merawat/menghindari) kutu telah dibayar sebanyak 150 dirham.

Semasa urusan jenazah itu, berlakulah hiruk-pikuk, tangisan, dan rintihan doa. Banyak majlis khatam al-Quran diadakan untuknya di al-Salihiyyah dan di bandar. Orang ramai berulang-alik menziarahi kuburnya selama beberapa hari pada waktu malam dan siang. Banyak mimpi yang baik dilihat mengenainya, dan sekumpulan orang meratapinya dengan (menulis) banyak qasidah.”

Jumaat, 7 November 2025

Cara Mengenal Dosa Besar

 Dosa besar adalah apa yang terdapat padanya salah satu daripada sifat-sifat berikut:

1 - Apa yang datang nas (dalil) yang menyatakan ia adalah dosa besar, seperti menderhakai kedua-dua ibu bapa.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Dosa-dosa besar ialah: Menyekutukan Allah, menderhakai kedua-dua ibu bapa, membunuh jiwa, dan sumpah yang dusta.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6298)

Terdapat hadis-hadis lain yang menyebutkan dosa-dosa selain ini dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada dosa-dosa besar.

2 - Apa yang Allah tetapkan ke atasnya hukuman had (hudud), seperti mencuri.

Allah Taala berfirman: Dan orang lelaki yang mencuri serta orang perempuan yang mencuri, maka potonglah tangan mereka berdua. [Al-Ma'idah: 38]

3 - Apa yang Allah Taala ancam ke atasnya dengan azab di akhirat, seperti memakan harta anak yatim tanpa hak.

Allah Taala berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. [An-Nisa': 10]

4 - Apa yang pelakunya dilaknat, seperti riba.

Daripada Jabir radhiyallahu 'anhu, beliau berkata: ((Rasulullah telah melaknat pemakan riba, pemberi makan riba, penulisnya, dan kedua-dua saksinya, dan baginda bersabda: Mereka semua adalah sama.” (Riwayat Muslim, no. 1598)

5 - Apa yang Allah ancam pelakunya dengan kemurkaan, seperti lari dari medan pertempuran di mana orang Islam memerangi orang kafir.

Allah Taala berfirman: Dan sesiapa yang pada ketika itu membelakangi mereka (melarikan diri), kecuali kerana muslihat peperangan, atau kerana hendak bergabung dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya ia telah kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam dan amatlah buruknya tempat kembali itu.” [Al-Anfal: 16]

6 - Apa yang pelakunya disifatkan sebagai fasik secara nas, iaitu dalam al-Quran atau Sunnah, seperti menuduh perempuan yang terpelihara kehormatannya (dengan tuduhan berzina), dan berhukum dengan selain apa yang Allah turunkan.

Allah Taala berfirman: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka itulah orang-orang yang fasik.” [An-Nur: 4],

Allah Taala berfirman: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [Al-Ma'idah: 47]

Sumber:

Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid – Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.

Ringkasan Fahaman Murjiah

Murjiah adalah golongan yang menangguhkan hukum ke atas pelaku dosa besar sehingga hari Kiamat, maka tidak diputuskan ke atasnya hukum di dunia sama ada dia tergolong dalam ahli syurga atau ahli neraka.

Prinsip-prinsip terpenting mereka adalah berpendapat tentang keimanan pihak-pihak yang bertelagah (dalam Perang Siffin dan Jamal), walaupun sebahagian mereka benar dan sebahagian lagi salah. Memandangkan kita tidak mampu menentukan siapa yang benar daripada yang salah, maka kita tangguhkan urusan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana mereka semua bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.

Kemudian prinsip ini berkembang kepada yang berikut:

1 - Hukum ke atas pelaku dosa besar ialah urusannya diserahkan kepada Tuhannya, jika Dia mahu, Dia akan mengazabnya, dan jika Dia mahu, Dia akan mengampuninya. Ini menjadi mazhab bagi golongan tersebut.

2 - Iman adalah pembenaran (tasdiq) dan pengetahuan (ma'rifah), dan amalan tidak mempunyai kesan sama sekali. Mereka berkata: “Maksiat tidak memudaratkan jika ada iman, sepertimana ketaatan tidak memberi manfaat jika ada kekufuran.”

3 - Sebahagian mereka melampau lalu mendakwa bahawa iman adalah kepercayaan di dalam hati, walaupun dia mengisytiharkan kekufuran dengan lidahnya, dan menyembah berhala, atau menganut agama Yahudi atau Nasrani di negeri Islam, dan mati dalam keadaan demikian, maka dia adalah seorang mukmin.

Golongan fasik mendapati bahawa perkembangan mazhab ini menjadi satu pintu yang terbuka luas bagi setiap pembuat kerosakan, dan mereka menjadikannya sebagai alasan untuk melakukan dosa-dosa mereka. Perkata ini telah membangkitkan kemarahan terhadap Murjiah. Zaid bin Ali bin al-Husain berkata: “Aku berlepas diri daripada golongan Murji'ah yang telah membuatkan orang-orang fasik terlalu mengharapkan keampunan Allah.”

Banyak mazhab yang bermula dalam keadaan murni, kemudian para pengikutnya menjadi melampau kerana hawa nafsu dalam diri mereka, lalu ia menjerumuskan mereka ke jurang kebinasaan.

Sumber:

مُذكرَة الفِرَق للصف الثانى الثانوى - لجنة إعداد وتطوير المناهج بالأزهر الشريف

Ringkasan Fahaman Ibadhiyyah

Ibadhiyyah adalah pengikut Abdullah bin Ibadh al-Tamimi, yang hidup pada separuh kedua kurun pertama Hijrah, dan beliau mengasaskan mazhabnya di atas dasar toleransi (tasamuh). 

Mereka adalah golongan Khawarij yang paling sederhana, dan paling hampir kepada Ahli Sunnah. 

Mazhab mereka kini tersebar di Kesultanan Oman dan di beberapa tempat di Libya, Algeria, dan Zanzibar.

Prinsip-Prinsip Utama Mereka:

1 - Orang yang menyalahi mereka dari kalangan umat Islam bukanlah orang musyrik dan bukan pula orang mukmin, sebaliknya mereka adalah kufur nikmat, bukan kufur akidah.

2 - Darah penentang mereka adalah haram ditumpahkan secara rahsia, bukan secara terang-terangan (seperti dalam medan perang), dan negeri mereka (penentang) adalah negeri tauhid, kecuali kem tentera sultan (pemerintah).

3 - Tidak halal daripada harta rampasan perang penentang mereka kecuali kuda, senjata, dan segala yang memberi kekuatan dalam peperangan, dan mereka memulangkan emas dan perak kepada pemiliknya.

4 - Tidak boleh berperang kecuali selepas berdakwah, menegakkan hujah, dan mengisytiharkan perang.

5 - Boleh menerima penyaksian orang yang menyalahi mereka, berkahwin dengan mereka, dan saling mewarisi harta dengan mereka.

6 - Pelaku dosa yang terdapat ancaman padanya, sedang dia mengetahui tentang Allah Subhanahu wa Ta'ala dan para Rasul-Nya, adalah kafir kufur nikmat, bukan kafir yang mengeluarkan dari agama (millah).

7 - Perbuatan hamba diciptakan oleh Allah Taala dari segi pengadaan dan penciptaan, dan ia diusahakan oleh hamba secara hakikat, bukan secara majaz.

8 - Berpendapat bahawa al-Quran adalah makhluk dan menafikan (kemungkinan) melihat Allah Taala.

Telah ditakdirkan bagi golongan ini untuk kekal berbanding golongan Khawarij yang lain di beberapa bahagian dunia Islam seperti Maghrib (barat Islam). Daripada prinsip-prinsip mereka ini, jelaslah kesederhanaan dan sikap adil mereka terhadap penentang mereka, dan inilah sebab kelangsungan mereka sehingga ke hari ini.

Sumber:

مُذكرَة الفِرَق للصف الثانى الثانوى - لجنة إعداد وتطوير المناهج بالأزهر الشريف

Khamis, 6 November 2025

Ringkasan Fahaman Khawarij

Khawarij adalah golongan Islam yang paling kuat mempertahankan akidah mereka dan paling bersemangat dengan pandangan mereka. Sikap fanatik terhadap fahaman mereka telah mendorong mereka untuk menempuh bahaya, keras hati terhadap orang lain, dan keinginan untuk mati demi keikhlasan terhadap akidah mereka. Ia adalah salah satu golongan yang melampau.

Kemunculan Khawarij

Golongan ini telah muncul disebabkan oleh peristiwa tahkim dalam perselisihan antara Sayidina Ali Karamallahu Wajhah dan Sayidina Muawiyah radhiyallahu 'anhu. Hal ini kerana apabila berlakunya perselisihan antara mereka berdua dalam Perang Siffin, dan Sayidina Muawiyah serta para sahabatnya meminta untuk menjadikan Kitab Allah Taala sebagai hakim kerana takut akan kekalahan, para sahabat Sayidina Ali berselisih pendapat dalam menyahut permintaan Sayidina Muawiyah. Kemudian, kesudahan perdebatan tersebut adalah dengan penerimaan tahkim.

Maka Sayidina Ali Karamallahu Wajhah memilih Sayidina Abu Musa al-Asy'ari radhiyallahu 'anhu untuk menjadi wakil bagi pihaknya dan kaumnya, dan Sayidina Muawiyah radhiyallahu 'anhu memilih Sayidina Amru bin al-'As radhiyallahu 'anhu sebagai wakil bagi pihaknya dan sahabat-sahabatnya. Kemudian, sekumpulan tentera Sayidina Ali radhiyallahu 'anhu bangkit dan berkata: “Tahkim ini adalah satu kesilapan, kerana ini bermakna kita meragui tujuan kita berperang, sedangkan setiap pihak berperang kerana yakin bahawa kebenaran berada di pihak mereka.” Mereka berkata: “Tiada hukum melainkan hukum Allah.” Mereka menuntut agar Imam Ali mengakui kesilapan dirinya kerana menerima tahkim, namun beliau tidak memenuhi tuntutan mereka.

Maka mereka bersepakat untuk keluar dari Kufah menuju ke sebuah kampung yang bernama Harura'. Ketika itu mereka dinamakan sebagai al-Haruriyyah, dan mereka digelar dengan nama Khawarij, kerana mereka keluar menentang Imam Ali dan para sahabatnya. Mereka menamakan diri mereka sebagai asy-Syurah, bersempena dengan firman Allah Taala: Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah.”

Prinsip-Prinsip Utama Mereka:

1 - Sahnya kekhalifahan Sayidina Abu Bakar dan Umar, serta Uthman pada awal pemerintahannya, dan wajib beliau dipecat apabila mengubah cara Sayidina Abu Bakar dan Umar serta mengutamakan kaum kerabatnya.

2 - Sahnya kekhalifahan Sayidina Ali sehingga waktu tahkim, dan apabila beliau melakukan kesilapan dalam tahkim, mereka mengkafirkannya bersama kedua-dua orang hakim (Abu Musa al-Asy'ari dan Amru bin al-'As), serta mencela mencela para sahabat yang terlibat dalam Perang Jamal.

3 - Kekhalifahan mestilah melalui pilihan bebas di antara kaum Muslimin, sama ada yang dipilih itu seorang Quraisy atau seorang hamba Habsyi, dan bukanlah hak seorang imam untuk meletakkan jawatan atau melakukan tahkim. Beliau wajib tunduk sepenuhnya kepada perintah-perintah agama, jika tidak, beliau wajib dipecat.

4 - Beramal dengan perintah-perintah agama adalah sebahagian daripada iman, dan setiap orang yang menderhakai Allah adalah kafir, dan semua dosa adalah dosa besar.

5 - Wajib keluar menentang imam yang zalim, dan mereka tidak berpegang pada konsep taqiyyah seperti golongan Syiah. Inilah prinsip-prinsip umum Khawarij.

Pecahan Khawarij

Khawarij telah berpecah kepada banyak golongan, antaranya yang sederhana dan yang melampau. Antara pemimpin-pemimpin mereka ialah Abdullah bin Wahb al-Rasibi, Hurqus bin Zuhair al-Bajali, Abdullah bin al-Kawwa', Nafi' bin al-Azraq, dan Najdah bin 'Amir.

Golongan mereka yang melampau telah menyeleweng dari jalan yang benar, dan keluar dari agama Islam dengan prinsip-prinsip mereka, seperti al-Yazidiyyah yang mengatakan tentang kebangkitan seorang rasul dari kalangan bukan Arab (Ajam) dengan sebuah kitab yang memansuhkan al-Quran, dan al-Maimuniyyah yang menghalalkan perkahwinan dengan anak perempuan kepada anak lelaki, dan anak-anak perempuan kepada saudara lelaki dan saudara perempuan, serta mereka mengingkari bahawa Surah Yusuf adalah sebahagian daripada al-Quran.

Golongan mereka yang paling adil (sederhana) dan paling hampir kepada agama Islam ialah golongan al-Ibadhiyyah, dan oleh sebab itu, mereka ditakdirkan untuk kekal hingga ke hari ini. Adapun saki-baki Khawarij, mereka telah diperangi oleh Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah sehingga pertengahan abad ketiga Hijrah.

Sumber:

مُذكرَة الفِرَق للصف الثانى الثانوى - لجنة إعداد وتطوير المناهج بالأزهر الشريف