Khamis, 29 Mac 2018

Hadis: Setubuh Isteri Ketika Haid Anak Jadi Pondan

Soalan:

Ada dalam hadis atau suatu perkataan sahaja. Bunyinya macam ini:

"Suami yg mewati istri ketika haid, jika berlaku persenyawan, anak itu akan jadi pondan" sebab kifarah bagi ibu bapa.

Ada hadis ke? Ke kata-kata dari orang tua?

Jawapan:

عنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيه وسَلَّم قَال: الْمُؤْنِثُونَ أَوْلادُ الْجِنِّ قِيلَ لابْنِ عَبَّاسٍ يَا أَبَا الْفَضْلِ كَيْفَ ذَلِكَ قَالَ نَهَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَنْ يَأْتِيَ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَإِذَا أَتَاهَا سَبَقَهُ الشَّيْطَانُ إليها فحملت منه فأنث المؤنث.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Golongan pondan adalah anak-anak jin.”

Ditanya kepada Ibnu ‘Abbas:

“Wahai Abu al-Fadl (gelaran Ibnu ‘Abbas), bagaimana boleh jadi begitu?”

Ibnu ‘Abbas menjawab:

“Allah dan Rasul-Nya melarang seorang lelaki mendatangi isterinya yang sedang haid. Apabila dia mendatangi isterinya yang sedang haid, syaitan akan mendahuluinya. Apabila isterinya hamil hasil persetubuhan tersebut, anaknya menjadi pondan.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam kitab al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal pada biografi perawi Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi.

Hadis ini didaifkan oleh Imam Ibnu ‘Adi yang mengatakan bahawa hadis ini telah diriwayatkan secara silap (غير محفوظdan Imam Ibnu al-Qatthan al-Fasi dalam Ihkam al-Nazar yang mengatakan bahawa ia adalah hadis mungkar.

Hukum Hadis

Kesimpulannya, hadis ini hukumnya sangat daif. Oleh itu tidak boleh menggunakannya walaupun dalam bab tarhib (amaran/peringatan daripada melakukan perbuatan dosa/maksiat). Apatah lagi menuduh bapa kepada seorang pondan bahawa dia menyetubuhi isterinya ketika haid.

Hukum Setubuh Isteri Ketika Haid

Adapun hukum menyetubuhi isteri ketika haid, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu' menyebutkan bahawa sepakat (ijma') kaum Muslimin akan keharaman bersetubuh dengan isteri yang haid berdasarkan ayat al-Quran dan hadis yang sahih.

Firman Allah Ta'ala:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ.

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu...." (Surah al-Baqarah: ayat 222)

Sabda Nabi sallahu 'alaihi wasallam:

اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إلَّا النِّكَاحَ.

"Buatlah apa pun (dengan isteri yang haid) kecuali jimak."

Hadis sahih riwayat Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan