Khamis, 29 Mac 2018

Hadis: Sebaik-Baik Ibadah Adalah Yang Paling Berat


Soalan:

Apakah maksudnya hadis ini?

Nabi saw bersabda: "Amal yg paling disukai oleh Allah adalah yg paling berat dirasakan."

Jawapan:

أَفْضَلُ الْعِبَادَاتِ أَحْمَزُهَا

"Sebaik-baik ibadat adalah yang paling berat (untuk dilakukan)."

Menurut al-Hafiz al-Mizzi (sebagaimana dalam al-Tazkirah oleh al-Zarkasyi), ia adalah daripada hadis-hadis gharib yang tidak diriwayatkan sedikitpun di dalam Kutubus Sittah. Menurut al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Durar al-Muntathirah, ianya tidak diketahui (asalnya). Ibnu al-Qayyim dalam Madarij al-Salikin menghukumkannya sebagai tidak ada asal (لا أصل له).

Disebutkan di dalam kitab al-Nihayah oleh Ibnu al-Athir (m. 606H) secara tanpa sanad daripada hadis Ibnu 'Abbas bahawa Rasulullah sallahu 'alaihii wasallam ditanya tentang sebaik-baik amalan. Baginda menjawab: "Yang paling berat (أحمزها)."

Menurut al-Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu'ah, maknanya sahih kerana telah diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, Nabi sallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada 'Aisyah:

وَلَكِنَّهَا عَلَى قَدْرِ نَصَبِكِ

"Akan tetapi, pahala umrah kamu berdasarkan tahap kepenatan kamu."

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan