Matan Hadis Jariah
عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ الْحَكَمِ السُّلَمِيِّ،
قَالَ:
كَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ
أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ
ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا
يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ
أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: ائْتِنِي بِهَا. فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا:
أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ
رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.
Mu'awiyah bin al-Hakam
al-Sulami berkata:
“Aku mempunyai seorang hamba perempuan (jariah)
yang menggembala kambingku di kawasan sekitar bukit Uhud dan al-Jawwaniyyah.
Pada suatu hari aku datang menjenguknya, tiba-tiba
ada seekor serigala melarikan seekor kambing yang digembalanya.
Aku sebagai seorang manusia biasa menjadi
marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali.
Kemudian aku datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam dan baginda menganggap perbuatanku itu sebagai dosa besar.
Aku bertanya kepada baginda: Wahai
Rasulullah, adakah aku perlu merdekakannya? (untuk menebus kesilapaku menamparnya
tadi).
Baginda bersabda: Bawakan dia kepadaku.
Lalu aku pun membawanya berjumpa baginda.
Baginda bertanya kepadanya: Di manakah
Allah?
Jariah tersebut menjawab: Di langit.
Baginda bertanya lagi: Siapakah aku?
Jariyah tersebut menjawab: Engkau adalah utusan
Allah (Rasulullah).
Baginda bersabda: Merdekakanlah dia.
Sesungguhnya dia seorang yang beriman.”
Riwayat Muslim (no. 537).
Pendapat
Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari
Syeikh
Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitab al-Fawaid al-Maqsudah Fi Bayan
al-Ahadith al-Syazah al-Mardudah menjelaskan pendapat beliau tentang hadis
ini:
Menurut
beliau, hadis ini syaz dan tidak harus beramal dengannya. Syaznya
hadis ini dapat dijelaskan dari beberapa sudut:
Sudut Pertama: Hadis ini bercanggah dengan riwayat yang mutawatir daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
bahawa apabila datang kepada baginda seseorang yang ingin memeluk Islam,
baginda akan bertanya kepadanya tentang dua kalimah syahadah. Apabila dia
menerima dua kalimah syahadah maka baginda akan menganggapnya sebagai seorang
muslim.
Misalnya
dalam hadis-hadis berikut:
Hadis Pertama:
Dalam Muwatta’ Imam Malik diriwayatkan daripada Ubaidillah Bin Abdullah Bin Utbah Bin Mas’ud:
“Seorang
laki-laki dari kalangan Ansar datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Dia memiliki seorang hamba perempuan berkulit hitam.
Dia berkata:
Wahai Rasulullah. Sesungguhnya aku wajib membebaskan seorang hamba yang
beriman. Jika engkau melihatnya sebagai seorang yang beriman, maka aku akan
bebaskan dia.
Maka
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepadanya (hamba perempuan):
"Adakah
engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah?"
Dia
menjawab: Ya.
Baginda
bertanya lagi: Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah?
Dia
menjawab: Ya.
Baginda
bertanya lagi: Adakah engkau meyakini adanya kebangkitan setelah kematian?
Ia
menjawab: Ya.
Baginda
kemudian bersabda: Bebaskanlah dia.”
Hadis Kedua:
Al-Baihaqi dalam al-Sunan
al-Kubra meriwayatkan daripada ‘Utbah bin Mas’ud, beliau berkata:
“Seorang
wanita datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersama hamba perempuan
berkulit hitam.
Dia
berkata: Wahai Rasulullah, aku perlu membebaskan hamba yang beriman. Adakah
memadai bagiku membebaskan hamba ini?
Rasulullah
bertanya kepada hamba itu: Siapakah tuhanmu?
Dia menjawab:
Allah adalah tuhanku.
Baginda
bertanya lagi: Apakah agamamu?
Dia
menjawab: Islam.
Baginda
bertanya lagi: Siapakah aku?
Dia
menjawab: Engkau adalah utusan Allah.
Baginda
bertanya lagi: Adakah engkau solat lima waktu dan dan membaca apa yang aku
bawakan daripada Allah (yakni al-Quran)?
Dia
menjawab: Ya.
Baginda
lalu menampar (perlahan) di belakangnya dan bersabda: Bebaskan dia.”
Al-Baihaqi
juga meriwayatkan daripada al-Syarid bin Suwaid (dengan lafaz berbeza), dia
berkata:
“Wanita
itu berkata: Wahai Rasulullah, ibuku mewasiatkan kepadaku supaya membebaskan
hamba sebagai wakil kepadanya. Aku mempunyai hamba perempuan Nubia (berkulit
hitam).
Baginda
bersabda: Bawakan dia.
Baginda
bertanya kepadanya: Siapakah tuhanmu?
Dia
menjawab: Allah.
Baginda
bertanya lagi: Siapakah aku?
Dia
menjawab: Utusan Allah.
Baginda
bersabda: Bebaskan dia. Sesungguhnya dia beriman.”
Hadis Ketiga:
Imam Ahmad
meriwayatkan:
“Seorang
lelaki Ansar datang bersama seorang hamba perempuan. Dia berkata: Wahai
Rasulullah, aku perlu membebaskan hamba yang beriman. Jika engkau melihat
bahawa dia seorang yang beriman maka aku akan membebaskannya.
Maka
baginda bertanya kepadanya: Adakah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan selain
Allah?
Dia menjawab:
Ya.
Baginda
bertanya lagi: Adakah engkau bersaksi bahawa aku adalah utusan Allah?
Dia
menjawab: Ya.
Baginda
bertanya lagi: Adakah engkau beriman dengan kebangkitan selepas kematian?
Dia
menjawab: Ya.
Baginda
bersabda: Bebaskan dia.”
Hadis Keempat:
Al-Bazzar meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:
“Seorang
lelaki datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: Ibuku perlu
membebaskan hamba. Aku mempunyai seorang hamba perempuan.
Baginda
bersabda: Bawakan dia kepadaku.
Baginda
bertanya kepadanya: Adakah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah
dan aku adalah utusan Allah?
Dia
menjawab: Ya.
Baginda
bersabda: Bebaskan dia.”
Sudut Kedua: Dalam hadis Jibril, baginda
menerangkan tentang rukun iman. Baginda bersabda: “Iman itu adalah engkau
beriman dengan Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-RasulNya, hari akhirat
dan engkau beriman dengan qadar, sama ada baik ataupun buruk.”
Baginda
langsung tidak menyebutkan tentang akidah ‘Allah di langit’.
Sudut Ketiga: Akidah ‘Allah di langit’ tidak
mensabitkan/membuktikan ketauhidan dan menafikan kesyirikan. Lalu bagaimana baginda boleh mensifatkan pemilik akidah berkenaan sebagai
seorang yang beriman?
Orang-orang
musyrik berkeyakinan bahawa Allah di langit dan dalam masa yang sama mereka mensyirikkan/menyekutukan
Allah dengan tuhan-tuhan di bumi.
Dalam satu
riwayat menceritakan bahawa Husain bin ‘Utbah atau Husain bin ‘Ubaid (bapa
Imran bin Husain) datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Baginda bertanya kepadanya: “Berapakah tuhan yang engkau sembah?” Beliau
menjawab: “Enam di bumi dan satu di langit.”
Dalam surah
al-Qasas ayat ke 38 menceritakan bahawa Firaun berkata kepada Haman: “Wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku
bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa.”
Firaun meminta agar dibinakan bangunan yang
tinggi kerana dia percaya bahawa Allah itu di langit. Dan dalam masa yang sama
dia mengaku sebagai tuhan, sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Nazi’at
ayat 24: "Akulah tuhan kamu, yang tertinggi." dan dalam
surah al-Qasas ayat 38: “Aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang
tuhan yang lain daripadaku.”
Sudut Keempat: Sebagaimana yang diketahui, ‘Allah di
langit’ itu tidak (difahami) berdasarkan hakikatnya di sisi sekumpulan ulama,
bahkan ia ditakwil di sisi mereka dengan makna ketinggian (‘uluw) yang maknawi
(abstrak atau tidak bersifat kebendaan).
Imam al-Baji
mengulas tentang ucapan Jariah (Allah di langit): “Mungkin dia ingin
mensifatkan Allah dengan ketinggian (‘uluw). Dan kerana itu disifatkan bagi
orang yang mempunyai kedudukan/darjat yang tinggi dengan dikatakan: Tempat si
fulan itu di langit, iaitu tinggi status, martabat dan kedudukannya.”
Imam
al-Subki menyebutkan dalam Tabaqat al-Syafi’eyyah bait syair yang
disandarkan kepada Abdullah bin Rawahah:
Aku
bersaksi bahawa janji Allah itu benar,
Sesungguhnya
neraka itu adalah tempat tinggal bagi orang kafir,
Sesungguhnya
Arasy itu mengapung di atas air,
Di atas
Arasy itu Tuhan sekalian alam.
Selepas itu
Imam al-Subki berkata:
“Alangkah
indahnya ucapan Imam al-Rafi’e dalam kitab al-Amali selepas menyebutkan bait
syair ini: Atas (dalam syair) ini adalah atas (yang bermaksud) keagungan/kemuliaan
(al-‘azamah) dan tidak perlu kepada yang lain (al-istighna’). (Sifat) ini berlawanan
dengan dengan sifat sesuatu yang lemah dan binasa (fana’) (yakni makhluk).”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan