Terdapat banyak cara menjaga waktu yang terkumpul dalam kehidupan al-Imam al-Hafiz Ahmad bin Ali Ibn Hajar al-Asqalani (773H-852H), semoga Allah merahmatinya.
Muridnya, al-Hafiz al-Sakhawi - semoga Allah Ta'ala
merahmatinya - berkata:
“Sesungguhnya tumpuan beliau hanyalah pada menelaah dan membaca, mendengar hadis, beribadah, mengarang, dan memberi faedah (kepada murid), sehinggakan beliau tidak membiarkan waktunya walau sesaat untuk kosong daripada salah satu perkara tersebut, bahkan ketika makan dan dalam perjalanannya, sebagaimana yang diceritakan kepadaku oleh sebahagian rakan-rakannya yang bersama dengannya dalam perjalanan. Apabila Allah menghendaki sesuatu perkara (untuk seseorang), Dia menyediakan sebab-sebabnya (untuk orang itu).”
Al-Biqa'i berkata tentangnya dalam Unwan al-Zaman:
“Beliau banyak berpuasa, sangat sedikit makannya…
Aku telah mendengar beliau - semoga Allah merahmatinya -
berkata lebih dari sekali: ‘Sesungguhnya aku hairan dengan orang yang duduk
kosong tanpa sebarang kesibukan.’
Bukti yang menunjukkan kebenaran kata-kata beliau itu
ialah apa yang diberitahu kepadaku oleh sebahagian sahabat kami, bahawa dia
melihat Ibnu Hajar suatu hari di Madrasah al-Salihiyyah al-Najmiyyah (yang
diasaskan oleh al-Malik al-Salih Najmuddin Ayyub dan terdiri daripada empat
buah madrasah, satu untuk setiap mazhab), dan beliau sedang duduk di salah
sebuah biliknya, dan pada ketika itu tiada sebarang kitab pun di sisinya.
Maka beliau meminta sebuah mushaf daripada sebahagian orang
yang hadir, lalu orang itu segera memberikannya. Lalu beliau mula membaca
daripadanya, dan beliau melalui satu surah yang mana penulisnya telah melakukan
kesilapan pada pengiraan ayatnya, maka beliau menulis di sebelahnya pada nota
tepi: ‘Yang betul ialah sekian,’ atau: ‘Bahkan bilangannya ialah sekian.’
Tidaklah sanggup beliau - semoga Allah meredainya - untuk
duduk menganggur, dan beliau tidak membiarkan mushaf itu tanpa memberikan sebarang faedah.
Beginilah kebiasaannya pada kebanyakan kitab-kitab ilmiah,
sastera dan lain-lain yang dijumpainya.
Antara perkara yang menunjukkan beliau tidak mensia-siakan
waktunya tanpa sebarang ibadah ialah bahawa beliau pernah pergi ke Madrasah
al-Mahmudiyyah lalu tidak menjumpai kuncinya kerana beliau telah terlupa membawanya
dari rumah. Maka beliau mengarahkan agar seorang tukang kayu dipanggil, dan
beliau pun mula bersolat sehingga tukang kayu itu selesai membuka pintu.
Dikatakan kepadanya: ‘Kalaulah tuan menghantar seseorang
untuk mengambil kunci dari rumah, bukankah itu lebih mudah?’
Maka beliau menjawab: ‘Ini lebih cepat, dan manfaat
diperoleh dengan adanya kunci yang kedua.’
Beliau pernah bersama menantunya, al-Qadhi Muhibbuddin
Ibn al-Asyqar, di al-Samasim, al-Khanqah (nama tempat di Mesir), lalu beliau mengeluarkan sebuah
mushaf kecil dari poketnya, dan mula membaca daripadanya.
Beliau - semoga Allah merahmatinya - apabila duduk bersama
jemaah selepas Isyak dan pada waktu-waktu lain untuk berbincang tentang ilmu, tasbihnya
berada di dalam lengan bajunya sehingga tiada siapa yang dapat melihatnya, dan
beliau terus memutarkannya sambil bertasbih atau berzikir pada sebahagian besar
waktu duduknya. Kadang-kadang ia terjatuh dari lengan bajunya, lalu beliau
berasa resah kerananya disebabkan keinginan beliau untuk menyembunyikannya.
Ketika Syeikh Gharsuddin Khalil al-Husaini solat Tarawih di
sebelahnya, Ibnu Hajar bertanya kepadanya tentang ayat-ayat mutasyabih dalam
al-Quran, supaya waktu duduknya di antara dua rakaat Tarawih tidak kosong
daripada sebarang faedah.”
Sumber:
Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan