Sabtu, 23 Mei 2026

Bincang Ilmu Sampai Subuh

1 - Al-Darimi berkata di dalam Sunan-nya, pada Bab Muzakarah Ilmu:

Marwan bin Muhammad telah mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata: Aku mendengar al-Laith bin Sa'd berkata:

“Muhammad bin Syihab al-Zuhri pada suatu malam selepas Isyak telah berbincang mengenai suatu hadis. Beliau duduk dalam keadaan berwuduk, dan beliau berterusan berada di majlisnya itu sehinggalah menjelang waktu subuh.”

Marwan berkata: “Beliau terus-menerus membincangkan hadis tersebut."

Muhammad bin Syihab al-Zuhri merupakan seorang al-Hafiz (pakar hadis), al-Muhaddith (ahli hadis), al-Faqih (pakar fiqh), tokoh Tabi'in yang agung, ulama di Hijaz, dilahirkan pada tahun 58 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 124 Hijrah.

2 - Disebutkan di dalam Tarikh al-Islam dan Tazkirah al-Huffaz, pada biografi Mughirah bin Miqsam al-Dabbi:

Beliau ialah seorang pakar fiqh, al-Hafiz, salah seorang tokoh ulama terkemuka, Abu Hisyam Mughirah bin Miqsam al-Dabbi al-Kufi, seorang yang buta, meninggal dunia pada tahun 133 Hijrah.

Beliau mempelajari ilmu fiqh daripada Ibrahim al-Nakha'i dan al-Sya'bi, serta meriwayatkan hadis daripada mereka berdua dan daripada selain mereka.

Fudail bin Ghazwan berkata: “Kami (aku dan Mughirah) pernah duduk - lalu beliau menyebutkan beberapa orang yang lain - saling berbincang mengenai ilmu fiqh. Kadangkala kami tidak bangun beredar sehinggalah kami mendengar azan untuk solat subuh."

3 - Al-Hafiz Abu Khaithamah al-Nasa'i meriwayatkan di dalam Kitab al-'Ilm, al-Darimi di dalam Sunan-nya, pada Bab Muzakarah Ilmu, dan al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Tahzib al-Tahzib, pada biografi Abdullah bin Syubrumah, seorang hakim, pakar fiqh di Kufah, dan tokoh Tabi'in, dilahirkan pada tahun 72 Hijrah dan meninggal pada tahun 144 Hijrah, semoga Allah merahmati beliau:

Daripada al-Fudail bin Ghazwan al-Dabbi al-Kufi, beliau berkata:

“Kami (aku, Abdullah bin Syubrumah, al-Harith bin Yazid al-'Ukli, al-Mughirah bin Miqsam al-Dabbi, dan al-Qa'qa' bin Yazid) pada waktu malam pernah duduk sambil saling berbincang mengenai ilmu fiqh. Kadangkala kami tidak bangun beredar sehinggalah kami mendengar azan untuk solat subuh.”

Dalam satu riwayat yang lain menyatakan: “Maka tiada yang memisahkan antara mereka melainkan azan subuh."

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan