Sabtu, 23 Mei 2026

Banyak Karya Kerana Bijak Urus Masa

Al-Hafiz al-Zahabi berkata di dalam kitab Tazkirah al-Huffaz, pada biografi al-Muhaddith Ibn Syahin, yang dilahirkan pada tahun 297 Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 385 Hijrah pada usia 88 tahun, semoga Allah merahmati beliau:

"Beliau ialah seorang al-Hafiz (pakar hadis), Imam, yang banyak memberi manfaat lagi banyak riwayatnya, ahli hadis Iraq, Abu Hafs 'Umar bin Ahmad bin 'Uthman al-Baghdadi, seorang pendakwah (al-Wa’iz), yang dikenali sebagai Ibn Syahin, pemilik pelbagai karya, beliau telah mengarang karya yang sangat banyak.”

Abu al-Husain bin al-Muhtadi Billah - muridnya - berkata: Ibn Syahin telah berkata kepada kami:

“Aku telah mengarang 330 buah karya, antaranya kitab al-Tafsir al-Kabir sebanyak 1000 juzuk, kitab al-Musnad sebanyak 1300 juzuk, kitab al-Tarikh sebanyak 150 juzuk, dan kitab al-Zuhd sebanyak 100 juzuk.”

Al-Qadi Muhammad bin 'Umar al-Dawudi berkata: Aku mendengar Ibn Syahin berkata:

“Aku telah mengira dakwat yang telah aku beli sehinggalah ke saat ini, jumlahnya adalah sebanyak 700 dirham.”

Ibn Abi al-Fawaris berkata:

“Ibn Syahin telah mengarang (begitu banyak karya) yang tidak pernah dikarang oleh seorang pun.”

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan