Ahad, 31 Mei 2026

Hukum Bertawassul dengan Orang Mati

Soalan:

Jika orang yang dijadikan perantaraan bertawassul itu telah meninggal dunia, adakah dibenarkan bertawassul melaluinya?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:

Terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama mengenai perkara tersebut:

1 - Majoriti ulama berpendapat bahawa ia adalah harus sama seperti bertawassul melalui orang yang masih hidup kerana tiada perbezaan antara keduanya.

Ini kerana tawassul itu dilakukan melalui berkat kenabiannya atau kesolehannya, bukannya melalui jasad dan zatnya. Dalam hal ini, tiada beza sama ada dia masih hidup mahupun telah meninggal dunia kerana sifat kesolehan dan kenabian itu tidak akan hilang selepas kematiannya.

Selain itu, tidak terdapat sebarang larangan mengenai perkara tersebut daripada Rasulullah SAW mahupun daripada para Sahabat baginda.

Mereka juga berdalilkan perkara tersebut dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dan beliau mensahihkannya, daripada 'Uthman bin Hunaif, beliau berkata:

إِنَّ رَجُلًا كَانَ يَخْتَلِفُ إِلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فِي حَاجَةٍ لَهُ، وَكَانَ عُثْمَانُ لَا يَلْتَفِتُ إِلَيْهِ، وَلَا يَنْظُرُ فِي حَاجَتِهِ، فَلَقِيَ عُثْمَانَ بْنَ حُنَيْفٍ فَشَكَا ذَلِكَ إِلَيْهِ، فَقَالَ لَهُ عُثْمَانُ بْنُ حُنَيْفٍ: ائْتِ الْمِيضَأَةَ فَتَوَضَّأْ، ثُمَّ ائْتِ الْمَسْجِدَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ قُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي أَتَوَجَّهُ بِكَ إِلَى رَبِّي فَيَقْضِي حَاجَتِي، وَتَذْكُرُ حَاجَتَكَ، وَرُحْ إِلَيَّ حَتَّى أَرُوحَ مَعَكَ. فَانْطَلَقَ الرَّجُلُ فَصَنَعَ مَا قَالَ لَهُ، ثُمَّ أَتَى بَابَ عُثْمَانَ، فَجَاءَ الْبَوَّابُ حَتَّى أَخَذَ بِيَدِهِ فَأَدْخَلَهُ عَلَى عُثْمَانَ، فَأَجْلَسَهُ مَعَهُ عَلَى قَطِيفَتِهِ، وَقَالَ: مَا حَاجَتُكَ؟ فَذَكَرَ حَاجَتَهُ فَقَضَاهَا لَهُ، ثُمَّ قَالَ لَهُ: مَا ذَكَرْتُ حَاجَتَكَ حَتَّى كَانَتْ هَذِهِ السَّاعَةُ، وَقَالَ: مَا كَانَتْ لَكَ مِنْ حَاجَةٍ فَأْتِنَا. ثُمَّ إِنَّ الرَّجُلَ خَرَجَ مِنْ عِنْدِهِ فَلَقِيَ عُثْمَانَ بْنَ حُنَيْفٍ، فَقَالَ لَهُ: جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا، مَا كَانَ يَنْظُرُ فِي حَاجَتِي وَلَا يَلْتَفِتُ إِلَيَّ حَتَّى كَلَّمْتَهُ فِيَّ، فَقَالَ عُثْمَانُ بْنُ حُنَيْفٍ: وَاللَّهِ مَا كَلَّمْتُهُ، وَلَكِنْ شَهِدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَتَاهُ رَجُلٌ ضَرِيرٌ فَشَكَا إِلَيْهِ ذَهَابَ بَصَرِهِ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوَ تَصْبِرُ؟ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ وَقَدْ شَقَّ عَلَيَّ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ائْتِ الْمِيضَأَةَ فَتَوَضَّأْ، ثُمَّ صَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ ادْعُ بِهَذِهِ الدَّعَوَاتِ، فَقَالَ عُثْمَانُ بْنُ حُنَيْفٍ: فَوَاللَّهِ مَا تَفَرَّقْنَا وَطَالَ بِنَا الْحَدِيثُ حَتَّى دَخَلَ عَلَيْنَا الرَّجُلُ كَأَنَّهُ لَمْ يَكُنْ بِهِ ضَرٌّ قَطُّ

"Sesungguhnya seorang lelaki pernah berulang-alik menemui 'Uthman (bin 'Affan) R.A. untuk suatu hajatnya, namun 'Uthman tidak menghiraukannya dan tidak memandang kepada hajatnya itu.

Lalu dia bertemu dengan 'Uthman bin Hunaif dan mengadukan hal tersebut kepadanya.

Maka 'Uthman bin Hunaif berkata kepadanya: “Pergilah ke tempat wuduk dan berwuduklah, kemudian pergilah ke masjid dan dirikanlah solat dua rakaat, kemudian sebutkanlah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي أَتَوَجَّهُ بِكَ إِلَى رَبِّي فَيَقْضِي حَاجَتِي

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu melalui Nabi kami, Muhammad, Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku menghadap denganmu kepada Tuhanku maka Dia akan menunaikan hajatku.

Engkau sebutkanlah hajatmu, lalu datanglah kepadaku supaya aku dapat pergi bersamamu.

Maka lelaki itu pun pergi dan melakukan apa yang disuruh kepadanya. Kemudian dia datang ke pintu rumah 'Uthman, lalu penjaga pintu datang memegang tangannya dan membawanya masuk menemui 'Uthman. 'Uthman mendudukkannya bersamanya di atas hamparannya lalu bertanya: “Apakah hajatmu?”

Lelaki itu pun menyebutkan hajatnya dan 'Uthman terus menunaikan hajatnya itu.

Kemudian 'Uthman berkata kepadanya: “Aku tidak teringat akan hajatmu sehinggalah pada saat ini.”

‘Uthman berkata lagi: “Apa-apa hajat yang engkau perlukan (selepas ini), datanglah kepada kami.”

Kemudian lelaki itu keluar dari sisinya dan bertemu semula dengan 'Uthman bin Hunaif lalu berkata kepadanya: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan, beliau ('Uthman bin 'Affan) sebelum ini langsung tidak memandang kepada hajatku dan tidak menghiraukanku sehinggalah engkau bercakap dengannya tentangku.”

Maka 'Uthman bin Hunaif menjawab: “Demi Allah, aku tidak bercakap pun dengannya, tetapi aku pernah menyaksikan Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki buta yang mengadukan kepadanya tentang kehilangan penglihatannya.”

Nabi SAW bertanya kepadanya: “Adakah engkau sanggup bersabar?”

Dia menjawab: “Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai pemandu jalan dan perkara ini sangat menyukarkanku.”

Maka Nabi SAW bersabda kepadanya: “Pergilah ke tempat wuduk dan berwuduklah, kemudian dirikanlah solat dua rakaat, kemudian berdoalah dengan doa-doa ini.”

'Uthman bin Hunaif berkata: “Maka demi Allah, kami belum pun berpisah dan perbualan kami berlanjutan (agak lama), sehinggalah lelaki (buta) itu masuk menemui kami seolah-olah dia tidak pernah mengalami kecacatan itu sama sekali."

Ini merupakan dalil mengenai keharusan bertawassul melalui orang telah meninggal dunia.

Padanya juga terdapat keharusan untuk menyeru Nabi SAW walaupun baginda telah wafat, sepertimana ucapan lelaki itu: “Wahai Rasulullah.”

Perkara tersebut adalah harus dengan syarat dia tidak beriktikad bahawa orang yang diseru itu mempunyai kuasa untuk memberi kesan ke atas alam semesta, dan (tidak beriktikad) bahawa orang itu diseru dan dipohon itu sebagaimana Allah Ta'ala diseru dan dipohon, sepertimana yang akan dijelaskan nanti, insya-Allah.

2 - Imam Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa tidak dibenarkan bertawassul melalui orang yang telah meninggal dunia.

Beliau memberikan dua hujah bagi pendapat tersebut:

Salah satunya: Semasa hidupnya, individu (nabi atau orang soleh) itu tidak akan membiarkan seorang pun menyembahnya di hadapannya. Jika para Nabi - selawat Allah ke atas mereka - dan orang-orang soleh itu masih hidup, mereka tidak akan membiarkan sesiapa pun melakukan syirik dengan menjadikan mereka sekutu (bagi Allah) di hadapan mereka, bahkan mereka pasti akan melarang daripada melakukan perkara tersebut dan menghukum mereka. Oleh itu, larangan (bertawassul) itu bertitik tolak daripada kebimbangan timbulnya iktikad syirik terhadap individu yang dijadikan perantaraan tawassul.

Hujah ini dijawab bahawa orang yang bertawassul itu, sekiranya dia menisbahkan sebarang kuasa (ta’thir) kepada individu yang dijadikan perantaraan tawassul, maka ia adalah satu syirik, tidak kira sama ada individu tersebut masih hidup mahupun telah meninggal dunia, tanpa ada sebarang perbezaan.

Adapun pendapat yang mengatakan bahawa orang-orang soleh, sekiranya mereka masih hidup, maka tiada halangan untuk bertawassul dengan mereka, dengan alasan jika orang ramai menyekutukan Allah dengan mereka, mereka akan melarang perbuatan tersebut, maka hujahan ini terbatal dengan keadaan orang yang masih hidup tetapi berada jauh dan ghaib (tidak hadir secara fizikal).

Berdasarkan pandangan Imam Ibn Taimiyyah, harus bertawassul dengan orang yang jauh itu kerana dia masih hidup. Meskipun begitu, jaraknya yang jauh dan ketiadaannya (di tempat tersebut) menyebabkan dia tidak dapat melarang orang yang bertawassul dengannya dan beriktikad bahawa dia mampu memberi kesan sepertimana yang dilakukan oleh Allah.

Oleh yang demikian, jelaslah daripada perkara ini bahawa hujah yang mengaitkan keharusan bertawassul dengan 'kehidupan (masih hidup)’ adalah tidak konsisten.

Sepatutnya, adalah lebih utama untuk tidak membezakan antara orang yang hidup dengan orang yang telah meninggal dunia kerana tawassul itu tidak dilakukan melalui batang tubuh individu tersebut, sebaliknya melalui keistimewaan yang ada padanya iaitu kesolehan. Dalam hal kesolehan ini, tiada perbezaan antara orang yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Sepatutnya, beliau hanya perlu menegaskan kepada orang yang bertawassul supaya tidak menisbahkan ‘memberi kesan’ kepada individu yang dijadikan perantaraan tawassul itu, tidak kira sama ada dia masih hidup mahupun telah meninggal dunia. Sebaliknya, permintaannya mestilah ditujukan terus kepada Allah dengan menjadikan kesolehan Nabi atau wali ini sebagai perantara, tidak lebih daripada itu.

Keduanya: Ibn Taimiyyah berdalilkan dengan hadis al-'Abbas dan berkata: “Sesungguhnya 'Umar tidak bertawassul melalui Nabi SAW kerana baginda telah wafat, dan beliau bertawassul melalui al-'Abbas bapa saudara baginda kerana beliau masih hidup.”

Hujah ini dijawab dengan perkara-perkara berikut:

1 - Sesungguhnya 'Umar tidak berkata: “Pada hari ini kami memohon hujan melalui al-'Abbas bin 'Abd al-Muttalib”, sebaliknya beliau berkata: “Melalui al-'Abbas, bapa saudara Nabimu”.

Maka kedudukan yang mulia itu diperoleh oleh beliau kerana beliau adalah bapa saudara Nabi SAW yang telah wafat. Ini merupakan satu pengakuan bahawa kemuliaan Nabi SAW selepas kewafatan baginda masih kekal sehinggalah ia mengalir kepada bapa saudara baginda, al-'Abbas.

Jika tidak kerana itu, sesungguhnya 'Umar, 'Uthman, dan 'Ali turut berada bersama-sama orang yang memohon hujan, dan mereka secara pastinya lebih mulia daripada al-'Abbas, namun 'Umar tidak bertawassul melalui mereka, dan tidak memadai dengan doanya sendiri. Sebaliknya beliau bertawassul melalui orang memperoleh kedudukan mulia daripada Nabi SAW yang telah wafat.

2 - Sesungguhnya 'Umar tidak memohon hujan dengan bertawassul melalui Nabi SAW bukanlah kerana baginda telah wafat, sebaliknya kerana sunnahnya adalah kita bertawassul melalui orang soleh yang keluar bersama-sama orang yang memohon hujan, walaupun terdapat orang yang lebih soleh daripadanya yang masih hidup tetapi tidak keluar untuk bersama-sama untuk memohon hujan. Di sini, beliau memohon hujan melalui al-'Abbas kerana al-'Abbas keluar bersama-sama mereka, bukannya semata-mata kerana beliau masih hidup.

Ia tidak pelik kerana antara perkara sunnah ialah kita membawa keluar golongan tua, kanak-kanak, dan binatang ternakan bersama-sama kita ke kawasan lapang, mudah-mudahan Allah menurunkan hujan kepada kita dengan sebab mereka. Allah lebih mengetahui tentang mereka, sama ada mereka dibawa keluar mahupun tidak dibawa keluar.

3 - Sesungguhnya Rasulullah SAW hidup di dalam kuburnya dengan kehidupan barzakh sepertimana yang telah sabit dalam hadis yang sahih. Jika kayu ukur bagi keharusan tawassul itu adalah 'kehidupan (masih hidup)’, nescaya 'Umar akan bertawassul melalui baginda kerana baginda hidup di dalam kuburnya.

Sesungguhnya saya berasa hairan dengan pemisahan yang dikeluarkan oleh tokoh ulama yang agung ini iaitu selagi mana orang yang bertawassul itu tidak beriktikad wujudnya penisbahan ‘memberi kesan’ kepada orang yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ini kerana tawassul itu - sepertimana yang telah kami katakan - adalah melalui keistimewaan, bukannya dengan jasad.

'Kehidupan (masih hidup)’ juga bukanlah satu kayu ukur yang dapat mencegah daripada beriktikad wujudnya ‘memberi kesan’ daripada orang yang masih hidup. Ini kerana orang yang masih hidup itu kadangkala tidak mampu untuk mencegah orang yang menisbahkan pengaruh kepadanya, sepertimana yang telah saya katakan iaitu dalam keadaan jika orang yang dijadikan perantaraan tawasul itu ghaib dan berada jauh daripada orang yang bertawassul tersebut.

Ibn Taimiyyah - rahimahullah - telah mentakwilkan hadis al-'Abbas dengan satu takwilan yang secara pastinya tidak dapat disokong oleh nas tersebut, lalu beliau berkata:

"Para Sahabat pernah bertawassul melalui Nabi mereka, kemudian melalui bapa saudara baginda dan orang-orang soleh selain bapa saudara baginda. Mereka bertawassul melalui doa dan syafaatnya sepertimana di dalam kitab al-Sahih bahawa 'Umar bin al-Khattab memohon hujan melalui al-'Abbas lalu beliau berkata: "Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu bertawassul..." hingga akhir. Maka mereka bertawassul melalui al-'Abbas selepas kewafatan baginda SAW - sepertimana mereka dahulu bertawassul melalui baginda - dan ia adalah tawassul mereka melalui doa dan syafaat baginda."

Beliau juga telah mentakwilkan hadis lelaki buta itu, lalu berkata selepas menyebutkan dan mensahihkannya:

"Maka ini adalah satu permintaan daripada Nabi SAW dan perintah baginda supaya dia memohon agar Allah menerima syafaat Nabi dalam tindakannya menghadap kepada Allah melalui nabi-Nya, ia adalah seperti tawassul para Sahabat yang lain melalui baginda kepada Allah. Maka sesungguhnya perbuatan menghadap dan bertawassul ini adalah perbuatan menghadap dan bertawassul melalui doa dan syafaat baginda."

Manakala jika engkau melihat dan membaca teks kedua-dua hadis tersebut, maka hadis lelaki buta itu jelas menunjukkan bahawa baginda SAW memerintahkannya supaya dia sendiri yang bertawassul, dan baginda tidak berkata kepadanya: “Berdoalah kepada Allah supaya Dia menerima syafaatku untukmu.” Ini kerana Rasulullah SAW lebih dekat untuk diperkenankan oleh Allah berbanding lelaki buta ini. Jika baginda berdoa, nescaya Allah akan memperkenankan doa baginda sebelum doa lelaki buta tersebut. Lebih-lebih lagi lelaki buta itu datang memohon supaya baginda berdoa untuknya, namun baginda tidak terus berdoa untuknya, sebaliknya baginda menyuruhnya supaya dia sendiri yang bersolat dan berdoa.

Seandainya maksud sebenar doa lelaki buta itu adalah memohon supaya Allah menerima syafaat Nabi-Nya untuk dia - sedangkan baginda adalah orang yang mustajab doanya - nescaya dia tidak akan memintanya daripada Nabi, dan dia pasti akan berdoa sendiri sebelum memohon doa daripada baginda SAW.

Begitu juga menjadi satu kewajipan untuk beriktikad bahawa penerimaan doa Rasulullah SAW tidak memerlukan kepada doa daripada orang lain supaya Allah Ta'ala menerimanya. Ini kerana orang lain itu secara pastinya lebih rendah kedudukan dan kemuliaannya berbanding baginda.

Kemudian, Imam Ibn Taimiyyah berpandangan bahawa tawassul melalui para Nabi atau orang-orang soleh yang masih hidup adalah tawassul melalui keimanan terhadap mereka, atau melalui kecintaan dan kesetiaan terhadap mereka. Perkara-perkara ini boleh wujud pada orang yang telah meninggal dunia sama seperti orang yang masih hidup kerana keimanan terhadap mereka dan kecintaan terhadap mereka tidak akan terputus selepas kematian mereka. Maka apakah halangannya untuk kita bertawassul melaluinya selepas kematian mereka sepertimana pada waktu hayat mereka?!

Disebutkan di dalam kitab al-Fatawa: "Maka tawassul melalui para Nabi ialah tawassul dengan keimanan terhadap mereka, ketaatan terhadap mereka seperti berselawat dan mengucapkan salam ke atas mereka, kecintaan terhadap mereka, dan kesetiaan terhadap mereka, ataupun dengan doa dan syafaat mereka.

Adapun pada diri dan zat mereka sendiri, tidak ada padanya sesuatu yang menuntut terhasilnya apa yang dihajati oleh seorang hamba, walaupun mereka memiliki kedudukan yang sangat agung dan darjat yang tinggi di sisi Allah dengan sebab Allah memuliakan mereka, kebaikan-Nya kepada mereka dan kurniaan-Nya ke atas mereka.

Tidak ada pada perkara tersebut sesuatu yang menuntut perkenan bagi doa mereka melainkan jika terdapat asbab daripadanya (manusia) kepada mereka (para Nabi), seperti keimanan terhadap mereka dan ketaatan kepada mereka, atau asbab daripada mereka (Nabi) kepadanya (manusia), seperti doa mereka untuknya dan syafaat mereka baginya. Maka melalui kedua-dua perkara inilah tawassul itu dilakukan."

Kesimpulan Ringkas

1 - Pandangan Majoriti Ulama: Majoriti ulama berpendapat bahawa hukum bertawassul melalui nabi atau orang soleh yang telah meninggal dunia adalah harus, sama seperti ketika mereka masih hidup.

2 - Asas Tawassul Adalah Kesolehan, Bukan Jasad: Keharusan ini adalah kerana tawassul dilakukan bersandarkan kepada keberkatan kenabian atau sifat kesolehan individu tersebut. Sifat-sifat mulia ini tidak akan hilang atau terputus walaupun selepas mereka meninggal dunia.

3 - Syarat Utama Aqidah: Tawassul ini dibenarkan dengan syarat yang ketat, iaitu pemohon tidak boleh beriktikad (percaya) bahawa orang yang dijadikan perantara itu mempunyai kuasa mutlak untuk memberi kesan, sebaliknya kuasa mengabulkan doa hanyalah milik Allah SWT semata-mata.

4 - Dalil Hadis Uthman bin Hunaif: Keharusan ini dibuktikan melalui hadis sahih (riwayat al-Tabarani) di mana Uthman bin Hunaif mengajarkan seorang lelaki untuk bertawassul menyeru nama Nabi Muhammad SAW bagi menyelesaikan hajatnya, dan ia dipraktikkan selepas kewafatan baginda.

5 - Pandangan Berbeza (Imam Ibn Taimiyyah): Imam Ibn Taimiyyah pula berpendapat tawassul melalui orang yang telah meninggal dunia adalah dilarang atas alasan "Sadd al-Dzari'ah" (menutup pintu kerosakan), bagi mengelakkan manusia jatuh ke lembah syirik kerana orang yang mati tidak mampu melarang perbuatan syirik di hadapan mereka.

6 - Bantahan Terhadap Hujah "Masih Hidup": Syeikh Abdul Malik menolak hujah ini kerana perbuatan syirik bergantung pada iktikad seseorang. Menisbahkan kuasa (ta'thir) kepada selain Allah adalah syirik, tidak kira sama ada perantara itu masih hidup mahupun sudah meninggal dunia.

7 - Kisah Saidina Umar dan Al-'Abbas: Imam Ibn Taimiyyah berhujah bahawa Saidina Umar memohon hujan dengan bertawassul melalui Al-'Abbas (bapa saudara Nabi yang masih hidup) dan bukannya Nabi SAW yang telah wafat.

8 - Bantahan Terhadap Hujah Kisah Saidina Umar: Kisah Saidina Umar sebenarnya membuktikan kemuliaan Nabi SAW yang berterusan. Umar memilih Al-'Abbas kerana beliau adalah bapa saudara Nabi SAW. Selain itu, amalan sunnah ketika solat istisqa' (mohon hujan) memang menuntut kita membawa keluar orang-orang soleh yang masih hidup ke kawasan lapang secara fizikal.

9 - Isu Hadis Lelaki Buta: Ibn Taimiyyah mentakwilkan bahawa hadis lelaki buta yang bertawassul itu hanyalah perbuatan memohon doa/syafaat daripada Nabi SAW. Namun teks hadis jelas menunjukkan Nabi SAW menyuruh lelaki buta itu sendiri yang berdoa dan bertawassul, bukannya Nabi SAW yang mendoakannya secara langsung.

10 - Tawassul Melalui Keimanan dan Kecintaan: Jika tawassul (menurut Ibn Taimiyyah sendiri) bermaksud bertawassul melalui ketaatan, keimanan, dan kecintaan terhadap para nabi dan orang soleh, maka ia sepatutnya terus dibenarkan. Hal ini kerana cinta dan iman terhadap mereka sama sekali tidak akan terputus walaupun selepas mereka wafat.

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di

Tiada ulasan:

Catat Ulasan