Soalan:
Adakah mencium tangan ulama dan orang-orang soleh itu satu
bidaah atau disyariatkan?
Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:
Sesungguhnya mencium tangan ulama, orang-orang soleh, dan
pemerintah yang adil adalah sunat dan bukanlah bidaah sepertimana yang didakwa
oleh sebahagian pihak, selagi mana ia tidak membawa kepada timbulnya rasa
bangga diri pada orang yang dicium tangannya itu.
Jika keadaan itu berlaku, maka dosanya ditanggung oleh orang
tersebut, manakala orang yang mencium pula tidak menanggung sebarang dosa
mahupun kesalahan kerana dia hanya berniat untuk menghormati dan memuliakan.
Dalil bagi perkara tersebut ialah:
1 - Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, dan Abu Dawud
dengan sanad yang sahih, daripada Safwan bin 'Assal RA beliau berkata:
قَالَ يَهُودِيٌّ لِصَاحِبِهِ: اذْهَبْ بِنَا إِلَى هَذَا النَّبِيِّ، فَقَالَ صَاحِبُهُ: لَا تَقُلْ نَبِيٌّ، إِنَّهُ لَوْ سَمِعَكَ كَانَتْ لَهُ أَرْبَعَةُ أَعْيُنٍ، فَأَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَاهُ عَنْ تِسْعِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ، فَقَالَ: «لَا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا، وَلَا تَسْرِقُوا، وَلَا تَزْنُوا، وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَلَا تَمْشُوا بِبَرِيءٍ إِلَى ذِي سُلْطَانٍ فَيَقْتُلَهُ، وَلَا تَسْحَرُوا، وَلَا تَأْكُلُوا الرِّبَا، وَلَا تَقْذِفُوا مُحْصَنَةً، وَلَا تُوَلُّوا الْفِرَارَ يَوْمَ الزَّحْفِ، وَعَلَيْكُمْ خَاصَّةً الْيَهُودَ أَلَّا تَعْتَدُوا فِي السَّبْتِ، قَالَ: فَقَبَّلَا يَدَهُ وَرِجْلَهُ فَقَالَا: نَشْهَدُ أَنَّكَ نَبِيٌّ، قَالَ: فَمَا يَمْنَعُكُمْ أَنْ تَتَّبِعُونِي؟ قَالَ: إِنَّ دَاوُدَ -عَلَيْهِ السَّلَامُ- دَعَا رَبَّهُ أَلَّا يَزَالَ فِي ذُرِّيَّتِهِ نَبِيٌّ، وَإِنَّا نَخَافُ إِنْ تَبِعْنَاكَ أَنْ تَقْتُلَنَا الْيَهُودُ
Seorang Yahudi telah berkata kepada sahabatnya: “Marilah kita pergi berjumpa nabi ini.”
Lalu sahabatnya menjawab: “Janganlah engkau panggil dia
nabi, sesungguhnya jika dia mendengarmu, dia akan mempunyai empat mata (iaitu
dia akan berasa sangat gembira).“
Lalu mereka berdua datang menemui Rasulullah SAW dan
bertanya kepada baginda tentang sembilan ayat (perintah) yang jelas.
Maka baginda bersabda: “Janganlah kamu menyekutukan Allah
dengan sesuatu apa pun, janganlah kamu mencuri, janganlah kamu berzina,
janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan
kebenaran (hak), janganlah kamu membawa orang yang tidak bersalah kepada pihak
berkuasa supaya dia dibunuh, janganlah kamu melakukan sihir, janganlah kamu
memakan riba, janganlah kamu menuduh (berzina) wanita yang terpelihara
kehormatannya, janganlah kamu berpaling lari pada hari pertempuran, dan khusus
ke atas kamu wahai kaum Yahudi, janganlah kamu melampaui batas pada hari
Sabtu'.
Beliau (perawi) berkata: Lalu mereka berdua mencium tangan
dan kaki baginda sambil berkata: “Kami bersaksi bahawa engkau adalah seorang
nabi.”
Baginda bertanya: “Maka apakah yang menghalang kamu berdua
daripada mengikutiku?”
Dia menjawab: “Sesungguhnya Daud AS telah berdoa kepada
Tuhannya supaya sentiasa ada nabi daripada keturunannya, dan kami takut jika
kami mengikutimu, kaum Yahudi akan membunuh kami."
2 - Hadis yang diriwayatkan juga dengan sanad yang sahih,
bahawa Umm Aban binti al-Wazi' bin Zari' daripada datuknya Zari' RA - dan
beliau adalah sebahagian daripada rombongan 'Abd al-Qais - beliau berkata:
Maka baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya pada dirimu
terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah: Sifat penyantun dan tenang.”
Beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah aku yang berusaha
membentuk kedua-dua sifat itu atau Allah yang telah menciptakannya secara
semula jadi dalam diriku?”
Baginda menjawab: “Bahkan, Allah yang telah menciptakannya
secara semula jadi dalam dirimu.”
Beliau berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah
menciptakan diriku dengan dua sifat yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya."
Jika dikatakan: Perkara ini adalah khusus bagi Nabi SAW.
Kami menjawab: Ini merupakan satu dakwaan yang menuntut supaya
didatangkan dalil bahawa perbuatan mencium tangan dan kaki itu adalah termasuk
daripada keistimewaan baginda SAW, sedangkan dalil tersebut tidak wujud.
Prinsip asal bagi apa sahaja yang diperakui oleh baginda
SAW, atau dilakukan oleh baginda, atau diucapkan oleh baginda adalah ia menjadi
satu syariat bagi baginda dan bagi umatnya selagi mana tiada dalil yang
menunjukkan bahawa ia adalah khusus untuk baginda SAW.
Adapun pendapat yang mengatakan bahawa perbuatan mencium itu
melazimkan perbuatan menundukkan badan yang dilarang.
Maka jawapannya: Bukannya semua perbuatan menundukkan badan
itu dilarang, sebaliknya apa yang dilarang ialah menundukkan badan (dengan
niat) mengagungkan dan rukuk (seperti ibadat). Tidakkah jika barang keperluanmu
terjatuh ke atas tanah, engkau akan menundukkan badan untuk mengambilnya? Dalam
keadaan ini, perbuatan menundukkan badan itu adalah demi tujuan mencium, dan
bukannya untuk tujuan ibadat mahupun pengagungan.
Sumber:
Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh
Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di


Tiada ulasan:
Catat Ulasan