Sabtu, 23 Mei 2026

Imam al-Haramain Makan dan Tidur Kerana Terpaksa

Disebutkan di dalam kitab Tabyin Kazib al-Muftari karya al-Hafiz Ibn 'Asakir dan kitab Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra karya Taj al-Subki, pada biografi Imam al-Haramain, Abu al-Ma'ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini al-Naisaburi al-Syafi'i, seorang pakar fiqh, pakar ilmu usul, pakar ilmu kalam, seorang pemikir, jaguh berdebat, yang juga merupakan guru kepada al-Imam al-Ghazali, dilahirkan pada tahun 419 Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 478 Hijrah, semoga Allah merahmati beliau, seperti berikut:

Abdul Ghafir al-Farisi berkata di dalam kitabnya Siyaq Naisabur:

“Imam al-Haramain, Kebanggaan Islam (Fakhr al-Islam), imam kepada sekalian imam secara mutlak, pendeta syariat yang disepakati keimamannya di timur mahupun di barat, seorang yang mata belum pernah melihat seumpamanya sebelum ini dan tidak akan melihat seumpamanya selepasnya.”

Aku pernah mendengar beliau berkata di celah-celah perbicaraannya:

“Aku tidak tidur dan tidak makan mengikut kebiasaan (rutin harian). Sebaliknya, aku hanya tidur apabila aku ditewaskan oleh rasa mengantuk, sama ada pada waktu malam mahupun siang. Aku makan apabila aku berasa teringin kepada makanan, pada bila-bila masa sahaja.”

Kelazatannya, hiburannya, dan keseronokannya hanyalah pada muzakarah ilmu, dan usaha menuntut faedah (ilmu) dalam apa jua bidang sekalipun.

Aku telah mendengar Syeikh Abu al-Hasan 'Ali bin Faddal bin 'Ali al-Mujasyi'i al-Qairawani al-Nahwi, yang datang (berkunjung) kepada kami pada tahun 469 Hijrah. Imam Fakhr al-Islam (Imam al-Haramain) telah menyambutnya, melayaninya dengan penuh penghormatan, dan mula mempelajari ilmu nahu di hadapannya serta berguru dengannya, padahal beliau ketika itu merupakan imam kepada sekalian imam pada zamannya - dan usianya pula telah mencecah lima puluh tahun.

Imam al-Haramain akan membawa gurunya itu pada setiap hari ke rumahnya, lalu membacakan di hadapannya kitab Iksir al-Zahab fi Sina'ah al-Adab yang merupakan karya karangan gurunya (Abu al-Hasan) itu.

Abu al-Hasan al-Mujasyi'i pernah bercerita lalu berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu asyik dengan ilmu seperti Imam ini. Sesungguhnya beliau menuntut ilmu kerana ilmu itu sendiri.”

Memang begitulah keadaan Imam al-Haramain."

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan