Sabtu, 23 Mei 2026

Hukum Solat Tasbih

Soalan:

Adakah benar bahawa solat Tasbih diragui pensyariatannya? Adakah dibenarkan mendirikannya selepas solat sunat Witir?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:

1 - Solat Tasbih adalah disyariatkan dan disunatkan, ia bukanlah satu bidaah, dan hadis mengenainya adalah sahih. Ia telah disahihkan oleh: al-Ajurri, Ibn al-Madini, Ibn Nasir al-Din al-Dimasyqi, Ibn Hajar, al-Suyuti, al-Albani, dan selain mereka daripada kalangan ahli ilmu.

Berikut adalah matan hadisnya:

عَنْ أَبِي رَافِعٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلْعَبَّاسِ: يَا عَمِّ أَلَا أَحْبُوكَ؟ أَلَا أَنْفَعُكَ؟ أَلَا أَصِلُكَ؟ قَالَ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: فَصَلِّ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ، تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ، فَإِذَا انْقَضَتِ الْقِرَاءَةُ فَقُلْ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً قَبْلَ أَنْ تَرْكَعَ، ثُمَّ ارْكَعْ فَقُلْهَا عَشْرًا، ثُمَّ ارْفَعْ فَقُلْهَا عَشْرًا، ثُمَّ اسْجُدْ فَقُلْهَا عَشْرًا، ثُمَّ ارْفَعْ رَأْسَكَ فَقُلْهَا عَشْرًا، ثُمَّ اسْجُدْ فَقُلْهَا عَشْرًا، ثُمَّ ارْفَعْ رَأْسَكَ فَقُلْهَا عَشْرًا قَبْلَ أَنْ تَقُومَ، فَتِلْكَ خَمْسٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ، وَهِيَ ثَلَاثُمِائَةٍ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ، فَلَوْ كَانَتْ ذُنُوبُكَ مِثْلَ رَمْلِ عَالِجٍ غَفَرَهَا اللَّهُ لَكَ. قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ يَقُولُهَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: قُلْهَا فِي جُمُعَةٍ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقُلْهَا فِي شَهْرٍ - حَتَّى قَالَ - فَقُلْهَا فِي سَنَةٍ.

Daripada Abu Rafi', beliau berkata:

Rasulullah SAW bersabda kepada al-'Abbas: "Wahai bapa saudaraku, mahukah aku berikan sesuatu (pemberian) kepadamu? Mahukah aku berikan sesuatu yang bermanfaat kepadamu? Mahukah aku menyambung (hubungan kekeluargaan) denganmu?"

Beliau menjawab: "Bahkan (sudah tentu), wahai Rasulullah."

Baginda bersabda: "Maka dirikanlah solat empat rakaat, engkau membaca pada setiap rakaat Surah al-Fatihah dan satu surah. Apabila selesai membaca (surah), maka sebutkanlah: Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar )Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Allah Maha Besar) sebanyak lima belas kali sebelum engkau rukuk.

Kemudian rukuklah dan sebutkannya sepuluh kali.

Kemudian bangunlah (iktidal) dan sebutkannya sepuluh kali.

Kemudian sujudlah dan sebutkannya sepuluh kali.

Kemudian angkatlah kepalamu (duduk antara dua sujud) dan sebutkannya sepuluh kali.

Kemudian sujudlah (kali kedua) dan sebutkannya sepuluh kali.

Kemudian angkatlah kepalamu (duduk istirahat) dan sebutkannya sepuluh kali sebelum engkau bangun (untuk rakaat seterusnya).

Semua itu berjumlah tujuh puluh lima dalam setiap rakaat, dan ia berjumlah tiga ratus dalam empat rakaat.

Seandainya dosa-dosamu sebanyak timbunan pasir 'Alij (tempat yang pasirnya sangat banyak) sekalipun, nescaya Allah akan mengampunkannya untukmu."

Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana pula bagi sesiapa yang tidak mampu menyebutnya (tasbih itu) dalam masa sehari?"

Baginda menjawab: "Sebutkannya (sekali) dalam masa seminggu. Jika engkau tidak mampu, maka sebutkannya (sekali) dalam dalam masa sebulan”, sehinggalah baginda bersabda:

“Maka sebutkannya (sekali) dalam dalam masa setahun."

Hadis sahih.

Selepas keterangan ini, tidak ada lagi ruang untuk mengingkari pensyariatannya atau mendaifkan hadisnya.

Adapun sesiapa yang dengan yakin mendaifkan hadisnya, maka barangkali dia belum menemui ulama yang menilainya sebagai sahih, dan sepatutnya dia hanya menafikan pengetahuannya mengenai pensahihan tersebut, bukannya menafikan pensahihan itu sendiri.

2 – Adapun solatnya: Ia tidak dikhususkan dengan waktu tertentu sama ada pada waktu malam atau siang, sebelum isyak mahupun selepasnya. Akan tetapi, jika ia didirikan pada waktu malam, maka yang afdal adalah mengemudiankan solat Witir daripadanya supaya Witir menjadi penutup bagi solat-solat sunat pada waktu malam. Wallahu a'lam.

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan