Rabu, 27 Mei 2026

Perawi Matruk

Definisi dan Ciri-ciri Perawi Matruk

Ibn Mahdi berkata:

Syu'bah telah ditanya: “Siapakah orang yang hadisnya ditinggalkan (matruk)?”

Beliau menjawab: "Orang yang dituduh berdusta, orang yang banyak melakukan kesilapan, orang yang tersilap dalam hadis yang disepakati (kesalahannya oleh Ahli Hadis), lalu dia tidak tidak menyedari kesilapannya sebaliknya terus berkeras dengan kesilapannya itu, dan seorang perawi yang meriwayatkan sesuatu riwayat daripada perawi-perawi yang terkenal namun riwayat tersebut tidak diketahui oleh perawi-perawi yang terkenal tersebut."

Syarat Kesepakatan Ulama Untuk Menghukum Matruk

Ahmad bin Salih berkata: "Hadis seseorang tidak akan ditinggalkan sehinggalah semua (Ahli Hadis) bersepakat untuk meninggalkan hadisnya, iaitu berbeza dengan perkataan Ahli Hadis: Dia hanya daif."

Ucapan al-Khatib di dalam al-Kifayah dan Ibn al-Salah di dalam Muqaddimah-nya adalah lebih jelas, iaitu:

"Ahmad bin Salih berkata: “Hadis seseorang tidak akan ditinggalkan sehinggalah semua (Ahli Hadis) bersepakat untuk meninggalkan hadisnya. Kadangkala dikatakan: Si fulan itu daif. Namun untuk dikatakan: Si fulan itu matruk, maka tidak (boleh digunakan secara semberono), melainkan jika semua bersepakat untuk meninggalkan hadisnya."

Ia bermaksud: Tidak boleh dikatakan: “Si fulan itu matruk”, atau “matruk al-hadith”, melainkan ketika wujud kesepakatan Ahli Hadis untuk meninggalkannya.

Realiti Perbezaan Pandangan Ulama Terhadap Penilaian Perawi

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah berkata:

“Apa yang diperkatakan oleh Ahmad bin Salih ini tidaklah bermaksud: Sesungguhnya tidak boleh dikatakan kepada seseorang perawi itu matruk, melainkan jika seluruh Ahli Hadis secara keseluruhannya telah bersepakat untuk meninggalkannya. Ini kerana apa yang diperkatakan oleh Ahmad bin Salih, kemudian al-Nasa'i, dan selain mereka berdua, ia merupakan hukum asal bagi maksud lafaz matruk di sisi mereka. Akan tetapi, perkara ini tidak dapat menghalang salah seorang pakar hadis daripada mengatakan tentang seorang perawi: “Dia adalah thiqah (dipercayai)”, sedangkan seorang pengkritik yang lain mengatakan tentangnya: “Dia adalah matruk”.

Perkara ini telah berlaku dalam ucapan-ucapan mereka dalam jumlah yang tidak sedikit. Di dalam kitab Tahzib al-Tahzib, pada biografi: Aban bin Ishaq al-Asadi al-Kufi: "Ibn Ma'in berkata: Tidak mengapa dengannya - iaitu bermaksud thiqah -, dan al-'Ijli berkata: Thiqah. Adapun al-Azdi pula berkata: Matruk al-hadith. Ibn Hibban menyebutkannya di dalam kitab al-Thiqat."

Di dalam kitab Tahzib al-Tahzib juga, pada biografi guru kepada al-Imam al-Syafi'i: Ibrahim bin Muhammad bin Muhammad bin Abi Yahya al-Aslami al-Madani, yang mana beliau telah dianggap sebagai pendusta oleh ramai imam al-Jarh wa al-Ta'dil, dan mereka telah mengkritik serta mencelanya dengan keras.

Antara perkataan mereka mengenainya yang berkait dengan perbahasan di sini adalah seperti berikut:

“Ahmad berkata: Hadisnya tidak boleh ditulis, orang ramai telah meninggalkan hadisnya. Bisyr bin al-Mufaddal berkata: Aku telah bertanya kepada fuqaha (pakar fiqh) Madinah mengenainya, lalu kesemua mereka berkata: Dia seorang pendusta. Al-Bukhari berkata: Ibn al-Mubarak dan orang ramai telah meninggalkannya. Al-Nasa'i berkata: Matruk al-hadith. Al-Daraqutni berkata: Matruk. Al-Rabi' berkata daripada al-Syafi'i bahawa beliau pernah berkata: Beliau adalah seorang yang thiqah dalam (periwayatan) hadis.”

Maka ini adalah seorang pendusta yang matruk (ditinggalkan), segala keburukan ada padanya sepertimana yang diperkatakan oleh aImam Ahmad, namun al-Syafi'i menilainya thiqah dan berhujah dengan hadisnya.

Maka ucapan Ahli Hadis mengenainya: “Matruk”, tidak melazimkan bahawa semua orang secara mutlak telah meninggalkannya, sepertimana yang telah dijelaskan sebentar tadi. Contoh-contoh hukum sebegini ke atas perawi yang dikatakan sebagai matruk adalah sangat banyak dalam ucapan para pakar hadis dan dalam biografi perawi.

Tafsiran Lafaz "Kesepakatan" Merujuk Kepada Majoriti Ulama

Barangkali perkara ini yang mendorong al-'Allamah 'Ali al-Qari untuk menafsirkan lafaz ‘semua’ sebagai 'majoriti', dan tindakan beliau itu adalah tepat lagi jitu. 

Beliau berkata di dalam Syarh Syarh al-Nukhbah ketika mensyarahkan perkataan al-Hafiz Ibn Hajar: “Oleh kerana itu, mazhab al-Nasa'i adalah tidak meninggalkan hadis seseorang perawi, sehinggalah kesemuanya - iaitu majoriti - bersepakat untuk meninggalkannya.”

Perbezaan Maksud Ungkapan "Mereka Meninggalkannya" dan "Si Fulan Meninggalkannya"

Antara perkara yang perlu diberi perhatian yang dapat diambil faedah daripada nukilan-nukilan yang lalu, ialah wujudnya perbezaan antara ucapan Ahli Hadis: “Mereka (Ahli Hadis) meninggalkannya (تَرَكُوهُ)” dan ucapan Ahli Hadis: “Si fulan meninggalkannya (تَرَكَهُ فُلَان).”

Ucapan “mereka meninggalkannya” menunjukkan ke atas jatuhnya martabat perawi tersebut, dan hadisnya tidak boleh ditulis. Berbeza dengan ucapan “Si fulan meninggalkannya”, kerana kadangkala ia merupakan suatu jarh (kritikan), dan kadangkala ia bukanlah suatu jarh.

Ibn Taimiyyah berkata di dalam Majmu' al-Fatawa: "Ucapan Ahli Hadis: “Syu'bah meninggalkannya”, bermaksud: Beliau tidak meriwayatkan daripadanya. Tindakan meninggalkan periwayatan hadis kadangkala disebabkan oleh adanya suatu keraguan yang tidak memestikan berlaku jarh. Perkara ini diketahui berlaku pada lebih daripada seorang perawi yang mana hadisnya telah dikeluarkan di dalam kitab al-Sahih."

Kadangkala Ahli Hadis berkata: “Si fulan meninggalkannya” dengan maksud dia meninggalkan perbuatan menulis hadis daripadanya, bukannya bermaksud 'meninggalkan' mengikut istilah ilmu hadis, sepertimana yang telah diberi peringatan mengenainya oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Kesimpulan Ringkas

1 - Ciri-ciri Perawi Matruk: Menurut Syu'bah, perawi Matruk ialah orang yang dituduh berdusta, banyak melakukan kesilapan, berkeras mengekalkan kesilapannya, atau membawa riwayat yang asing/ganjil daripada perawi-perawi terkenal.

2 - Syarat Hukum Matruk: Ahmad bin Salih, al-Khatib, dan Ibn al-Salah menegaskan bahawa status "Matruk" jauh lebih berat daripada "Daif", dan ia tidak boleh dihukum secara semberono melainkan wujud kesepakatan Ahli Hadis untuk meninggalkannya.

3 - Realiti Praktikal: Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menjelaskan bahawa secara praktikalnya, seseorang pakar hadis masih boleh melabel seorang perawi itu Matruk walaupun wujud pakar lain yang menilainya Thiqah (dipercayai).

4 - Contoh Perbezaan Penilaian (Kes 1): Buktinya, perawi bernama Aban bin Ishaq dinilai Thiqah oleh Ibn Ma'in dan al-'Ijli, namun pada masa yang sama dihukum Matruk oleh al-Azdi.

5 - Contoh Perbezaan Penilaian (Kes 2): Ibrahim bin Muhammad (guru Imam al-Syafi'i) dihukum sebagai pendusta dan Matruk oleh tokoh-tokoh besar seperti Imam Ahmad, al-Bukhari, dan al-Nasa'i, tetapi Imam al-Syafi'i kekal menilainya sebagai Thiqah.

6 - Maksud Sebenar "Kesepakatan": Merujuk kepada kewujudan perbezaan pandangan ini, al-'Allamah 'Ali al-Qari menyimpulkan secara tepat bahawa maksud "semua ulama bersepakat" (ijmak) itu sebenarnya merujuk kepada pandangan "majoriti" ulama.

7 - Perbezaan Penggunaan Istilah: Terdapat perbezaan kesan yang besar antara ungkapan jamak "Mereka meninggalkannya" (Tarakuhu) dan ungkapan individu "Si fulan meninggalkannya" (Tarakahu fulan).

8 - Maksud "Mereka Meninggalkannya": Jika Ahli Hadis menggunakan ungkapan ini, ia adalah satu kritikan berat yang menunjukkan martabat perawi itu telah jatuh dan hadisnya langsung tidak boleh ditulis.

9 - Maksud "Si Fulan Meninggalkannya": Jika hanya individu tertentu meninggalkan seorang perawi, ia tidak semestinya merupakan satu kritikan (jarh), tetapi mungkin sekadar pilihan peribadi untuk tidak menulis hadis daripadanya.

10 - Pengecualian Status Individu: Menurut Ibn Taimiyyah dan al-Zahabi, individu yang meninggalkan periwayatan kadang-kala hanya disebabkan oleh keraguan peribadi, walhal hadis perawi yang "ditinggalkan" oleh individu tersebut masih diiktiraf dan direkodkan di dalam kitab-kitab Sahih.

Sumber: 

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi - Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan