Soalan:
Adakah orang yang bersolat itu meniatkan solat yang ingin didirikannya
dengan hatinya atau dengan lidahnya? Adakah melafazkan niat itu satu bidaah?
Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:
Tempat bagi niat ialah di dalam hati, namun melafazkannya
berserta keazaman hati terhadap niat tersebut adalah lebih afdal supaya lidah
dapat membantu hati.
Begitu juga melafazkan niat dalam keadaan hati yang lalai
tidak akan membuatkan ibadat itu sah. Ini kerana prinsip asalnya adalah
kesedaran hati terhadap niat tersebut, manakala lidah pula bertindak sebagai
penguat kepada hati.
Contohnya: Seandainya engkau mahu menyerahkan sesuatu barang
kepada seseorang, sudah memadai dengan engkau menghulurkan tanganmu kepadanya
untuk menyerahkan barang tersebut. Namun, jika engkau berkata kepadanya ketika
menghulurkannya: "Ambillah" atau "Silakan", ia adalah lebih
baik.
Sekiranya kita mendapati sebahagian ahli fiqh berkata: “Sesungguhnya
melafazkan niat adalah satu bidaah”, maka maksud mereka ialah bidaah dari sudut
bahasa: Iaitu sesuatu perkara baharu yang diwujudkan tanpa ada contoh
seumpamanya sebelum itu, bukannya bidaah dari sudut syarak. Ini kerana
melafazkan niat itu bukanlah satu kesesatan yang menyebabkan orang yang
melafazkannya masuk ke dalam neraka; kerana (sepertimana dalam hadis):
كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ، وَكُلُّ
ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ
"Setiap bidaah itu adalah kesesatan, dan setiap
kesesatan itu (tempatnya) di dalam neraka."
Sumber:
Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di


Tiada ulasan:
Catat Ulasan