Selasa, 26 Mei 2026

Perawi Majhul dan Mastur

 Majhul Dari sudut bahasa:

Kata nama objek (isim maf'ul) bagi perkataan al-Jahl (tidak tahu), dan ia adalah lawan kepada al-Ma'lum (yang diketahui).

Dari sudut istilah:

Seseorang yang tidak diketahui sifatnya.

Ia dibahagikan berdasarkan jenis ketidaktahuan (jahalah) kepada tiga bahagian:

1 - Ketidaktahuan itu sama ada berlaku pada batang tubuh (identiti) perawi itu sendiri, dan ia dipanggil Majhul al-'Ain.

2 - Atau pada sifat zahir dan batinnya secara serentak, dan ia dipanggil Majhul al-Hal.

3 - Atau pada sifat batinnya sahaja berserta diketahui mengenai keadaan zahirnya yang menepati sifat 'adalah (kredibiliti agama), dan ia dinamakan: al-Mastur.

Majhul terbahagi kepada tiga bahagian yang biasa digunakan oleh para ulama hadis di dalam karya-karya ilmu hadis.

Kemudian, al-Hafiz Ibn Hajar telah datang dan cenderung untuk membahagikannya kepada dua bahagian sahaja, yang mana beliau telah membahaskannya di dalam kitab al-Nukhbah dan Syarahnya. Beliau berkata:

"Sekiranya perawi itu dinamakan (disebut namanya) namun hanya seorang perawi sahaja yang bersendirian meriwayatkan daripadanya, maka dia adalah Majhul al-'Ain... Atau sekiranya terdapat dua orang perawi atau lebih yang meriwayatkan daripadanya namun dia tidak dinilai sebagai thiqah (dipercayai), maka dia adalah Majhul al-Hal dan dia juga adalah al-Mastur."

Majhul al-'Ain:

Dari sudut istilah:

Al-Khatib al-Baghdadi berkata ketika mendefinisikannya: "Al-Majhul di sisi pakar hadis ialah setiap orang yang tidak masyhur dengan menuntut ilmu, dan para ulama tidak mengenalinya dengan perkara tersebut, dan orang yang hadisnya tidak diketahui melainkan melalui satu orang perawi sahaja.”

Kesimpulannya, Majhul al-'Ain ialah orang yang tidak ada sesiapa yang meriwayatkan daripadanya melainkan seorang perawi sahaja.

Contohnya:

'Amr Zuu Murr, dan Jabbar al-Ta'i, tiada sesiapa yang meriwayatkan daripada mereka berdua selain Abu Ishaq al-Sabi'i.

Cara Menghilangkan Jahalah al-‘Ain

Status jahalah al-'ain (ketidaktahuan identiti) tidak akan hilang daripada seseorang perawi melainkan jika ada dua orang perawi atau lebih yang masyhur dengan ilmu  yang meriwayatkan daripadanya, namun hukum 'adalah tidak sabit baginya jika hanya sekadar melalui periwayatan mereka berdua daripadanya.

Sebaliknya, dia hanya berubah menjadi perawi Majhul al-Hal, iaitu orang yang tidak diketahui 'adalah zahirnya mahupun batinnya. Atau dia menjadi al-Mastur, iaitu orang yang diketahui 'adalah zahirnya, yang mana tidak didapati padanya sebarang perkara yang menyebabkan dia menjadi fasik, tetapi tidak sabit 'adalah batinnya, iaitu yang dinyatakan secara jelas oleh ulama al-Jarh wa al-Ta'dil walau seorang daripada mereka.

Hukumnya:

Hukum perawi ini mengikut pendapat yang sahih yang dipegang oleh majoriti ulama daripada kalangan pakar hadis dan selain mereka adalah bahawa hadisnya tidak diterima.

Ada pendapat mengatakan hadisnya diterima secara mutlak, namun ia adalah pendapat yang ditolak dan tidak dihiraukan, dan ada pendapat lain selain itu yang tidak akan disebutkan di sini.

Hadis Majhul al-'Ain boleh diterima mengikut pendapat yang lebih sahih, dengan salah satu daripada dua perkara yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar:

Pertama: Dia dinilai thiqah oleh orang lain selain daripada perawi yang bersendirian meriwayatkan daripadanya, mengikut pendapat yang lebih sahih.

Kedua: Jika dia di-tazkiyah (diperakui kredibiliti agamanya) oleh perawi yang bersendirian meriwayatkan daripadanya, sekiranya perawi yang meriwayatkan daripadanya itu berkelayakan untuk melakukan perkara tersebut, iaitu jika perawi ini adalah daripada kalangan ulama-ulama al-Jarh wa al-Ta'dil, kemudian dia men-tazkiyah-kan perawi yang dia bersendirian meriwayatkan daripadanya itu, maka hadisnya diterima.

Majhul al-Hal:

Dari sudut istilah:

Ia juga dinamakan al-Mastur.

Iaitu orang yang mana terdapat dua orang perawi atau lebih yang meriwayatkan daripadanya, tetapi dia tidak dinilai thiqah, dan dia adalah seseorang yang memiliki sifat 'adalah pada zahirnya namun tersembunyi 'adalah batinnya.

Hukum periwayatannya:

Ditolak di sisi majoriti ulama, namun ada dalam kalangan mereka yang menerimanya.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Terdapat sekumpulan ulama yang menerima periwayatannya tanpa sebarang syarat" iaitu: tanpa mengambil kira sesuatu zaman dengan zaman yang lain (tanpa mengira perawi itu hidup di zaman awal Islam atau terkemudian), manakala majoriti ulama menolaknya. Hal ini kerana dia berkemungkinan merupakan seorang yang tidak 'adil (tiada kredibiliti agama), maka periwayatannya tidak diterima, sehinggalah keadaannya menjadi jelas.

Pendapat yang muktamad: periwayatan al-Mastur dan seumpamanya yang padanya terdapat kebarangkalian - iaitu kebarangkalian wujudnya sifat 'adalah atau sebaliknya - tidak boleh dihukumkan secara mutlak bahawa ia ditolak, dan tidak juga diterima: sebaliknya ia ditangguhkan (tawaqquf) sehinggalah keadaannya menjadi jelas.

Pandangan yang dipilih oleh al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu menangguhkan hukum pada riwayat al-Mastur sehinggalah keadaannya jelas, tidak banyak bezanya daripada apa yang telah disebutkan sebelum ini mengenai pandangan majoriti ulama iaitu tidak menerima periwayatannya.

Ibn Hajar sebenarnya mahu supaya penolakan tersebut tidak dianggap sebagai satu jarh (kritikan) ke atas perawi itu, dan bukan juga sebagai satu celaan terhadapnya. Itulah sifat adil serta teliti yang dituntut dalam menetapkan sesuatu hukum.

Maksud Majhul di sisi al-Imam Abu Hatim al-Razi

Apabila Abu Hatim berkata mengenai seorang perawi: "Sesungguhnya dia adalah majhul", kebiasaannya beliau memaksudkan dengannya sebagai jahalah al-wasf (ketidaktahuan pada sifat/kredibiliti), bukannya jahalah al-'ain (ketidaktahuan identiti).

Al-Hafiz al-Zahabi banyak menukilkan perkara tersebut daripada beliau di dalam kitab al-Mizan, sepertimana beliau berkata pada biografi Aban bin Hatim: "Ketahuilah bahawa setiap orang yang aku katakan padanya: “Dia adalah majhul”, dan aku tidak menyandarkan perkataan itu kepada pengucapnya, maka ia sebenarnya adalah ucapan Abu Hatim."

Al-Hafiz al-Sakhawi berkata di dalam kitab Fath al-Mughith: "Ucapan Abu Hatim mengenai seorang perawi: “Sesungguhnya dia adalah majhul”, beliau tidak memaksudkan dengannya bahawa tidak ada sesiapa yang meriwayatkan daripada perawi itu melainkan seorang sahaja. Dalilnya adalah beliau telah berkata mengenai Dawud bin Yazid al-Thaqafi: "Sesungguhnya dia adalah majhul", padahal terdapat sekumpulan perawi yang telah meriwayatkan daripadanya. Oleh sebab itu, al-Zahabi berkata selepasnya (selepas kenyataan itu): "Kata-kata ini menjelaskan kepadamu bahawa seorang perawi itu boleh jadi berstatus majhul di sisi Abu Hatim walaupun sekumpulan perawi yang dipercayai (thiqah) telah meriwayatkan daripadanya. Iaitu dia adalah majhul al-hal."

Al-'Allamah al-Muhaddith Zafar Ahmad al-'Uthmani al-Tahanawi berkata: "Begitu juga, Abu Hatim telah menghukum majhul sekumpulan perawi yang mana mereka telah dikenali oleh ulama selain beliau, dan dinilai thiqah (dipercayai) oleh mereka. Maka tiada jaminan secara yakin untuk berpegang pada kritikan beliau yang menghukum seseorang itu sebagai majhul, selagi mana ia tidak disepakati oleh nuqqad (pakar hadis) yang lain. Engkau telah pun mengetahui bahawa al-Zahabi di dalam kitab al-Mizan kebiasaannya mengikuti Abu Hatim dalam menghukum majhul. Oleh itu, hendaklah orang yang menelaah kitab al-Mizan berhati-hati dengan perkara tersebut."

Al-Suyuti berkata di dalam Tadrib al-Rawi: "Sekumpulan huffaz (pakar hadis) telah menghukum majhul sekumpulan perawi disebabkan ketiadaan pengetahuan mereka mengenai perawi-perawi tersebut. Walhal mereka (perawi-perawi itu) adalah kelompok yang dikenali dengan 'adalah di sisi ulama selain mereka. Aku akan menyenaraikan perawi-perawi yang terdapat di dalam al-Sahihain (Sahih al-Bukhari & Muslim)) daripada golongan tersebut:

1 - Ahmad bin 'Asim al-Balkhi.

Abu Hatim menghukumnya majhul, namun Ibn Hibban menilainya thiqah dan berkata: Penduduk negerinya telah meriwayatkan daripadanya.

2 - Ibrahim bin Abdul Rahman al-Makhzumi.

Ibn al-Qattan menghukumnya majhul, namun ulama lain mengenalinya, lalu Ibn Hibban menilainya thiqah.

3 - Usamah bin Hafs al-Madani.

Abu al-Qasim al-Lalika'i menghukumnya majhul. Namun al-Zahabi berkata: “Beliau bukanlah seorang yang majhul, empat orang perawi telah meriwayatkan daripadanya.”

4 - Asbat Abu al-Yasa'.

Abu Hatim menghukumnya majhul, namun al-Bukhari mengenalinya.

5 - Bayan bin 'Amr.

Abu Hatim menghukumnya majhul, namun Ibn al-Madini, Ibn Hibban, dan Ibn 'Adi menilainya thiqah, serta al-Bukhari dan Abu Zur'ah telah meriwayatkan daripadanya.

6 - Al-Husain bin al-Hasan bin Yasar.

Abu Hatim menghukumnya majhul, namun Ahmad dan selainnya menilainya thiqah.

7 - Al-Hakam bin Abdullah al-Basri.

Abu Hatim menghukumnya majhul, namun al-Zuhli menilainya thiqah, dan empat orang perawi yang thiqah telah meriwayatkan daripadanya.

8 - 'Abbas al-Qantari.

Abu Hatim menghukumnya majhul, namun Ahmad dan anak lelakinya menilainya thiqah.

9 - Muhammad bin al-Hakam al-Marwazi.

Abu Hatim menghukumnya majhul, namun Ibn Hibban menilainya thiqah.

Sebab Abu Hatim Me-majhul-kan Perawi

Kadangkala Abu Hatim menghukum majhul seseorang perawi disebabkan negerinya yang jauh daripada beliau serta ketiadaan pengetahuan beliau mengenai perawi tersebut.

Telah disebutkan di dalam kitab Tartib al-Madarik karya al-Qadi 'Iyad, pada biografi: Abdullah bin Ghanim al-Ifriqi, seorang hakim:

Abu Sa'id bin Yunus berkata: "Beliau merupakan salah seorang perawi yang dipercayai (thiqah) lagi kukuh (hafalannya), namun Abu Hatim tidak mengenalinya kerana jarak negerinya yang jauh, lalu Abu Hatim berkata: “Dia adalah) majhul."

Oleh sebab itu, al-Imam Ibn Daqiq al-'Id berkata: "Tindakan Abu Hatim menghukum majhul (seseorang perawi) tidak boleh dijadikan hujah selagi mana beliau tidak disepakati oleh ulama selainnya."

Majhul di sisi Imam Ibn Hazm

Ibn Hazm menggunakan ungkapan ini di dalam kitab al-Muhalla merujuk kepada perawi-perawi yang tidak dikenalinya.

Contohnya: Ibn Hazm berkata mengenai Isma'il bin Muhammad bin Isma'il bin Salih bin Abdul Rahman al-Saffar (meninggal dunia pada tahun 314 Hijrah): "Sesungguhnya dia adalah majhul!"

Namun, al-Hafiz Ibn Hajar berkata mengenai Isma'il bin Muhammad:

"Beliau ialah seorang yang thiqah (dipercayai), seorang imam, tokoh nahu yang masyhur, beliau meriwayatkan hadis daripada al-Hasan bin 'Arafah, Ahmad bin Mansur al-Ziyadi dan para ulama besar, dan sanad yang ‘uluw (pendek) berakhir kepadanya. Al-Daraqutni, Ibn Mandah, dan al-Hakim telah meriwayatkan daripadanya dan mereka menilainya thiqah... ".

Oleh sebab Ibn Hazm tidak mengenalinya, lalu beliau berkata: "Sesungguhnya dia adalah majhul!". Inilah cara beliau yang membawa implikasi bahawa kata-kata beliau tidak boleh diterima dalam menghukum majhul ke atas sesiapa yang beliau tidak mengetahui hakikat keadaannya yang sebenar.

Menjadi kebiasaan ulama hadis untuk menggunakan ungkapan dalam keadaan sebegini dengan kata-kata mereka: "Kami tidak mengenalinya", atau "Kami tidak mengetahui keadaannya". Adapun menghukum perawi sebagai majhul tanpa sebarang penjelasan tambahan, ia tidak akan diucapkan melainkan oleh orang yang benar-benar telah meneliti perawi itu ataupun orang yang semberono.

Ibn Hajar juga berkata pada biografi Ahmad bin 'Ali bin Hasanawaih:

"Adapun Ibn Hazm, beliau berkata: “Ahmad bin 'Ali Hasanawaih adalah majhul”. Inilah kebiasaan beliau pada sesiapa yang tidak dikenalinya."

Ibnu Hazm Bersikap Keras Dalam Menghukum Majhul:

Sikap keras Ibn Hazm dalam aspek ini telah mencapai tahap yang melampau, lalu beliau lancang dalam menghukum majhul sehinggakan beliau menghukum majhul sebahagian para Sahabat.

Contoh-contohnya:

1 - Husain bin Muhsin al-Ansari al-Madani

Ibn Hazm berkata mengenainya: "Dia adalah majhul, tidak diketahui siapa dia", padahal Ibn Hajar telah berkata mengenainya: "Dia dikira termasuk dalam kalangan Sahabat, dan periwayatannya adalah daripada ibu saudaranya (sebelah bapa)."

2 - Abdullah bin Tha'labah

Ibn Hazm berkata mengenainya: "Dia adalah majhul."

Padahal Ibn Hajar telah berkata mengenainya: "Dia pernah melihat (Nabi SAW) namun tidak sabit baginya pendengaran (mendengar hadis secara langsung daripada baginda)."

Dapat diperhatikan bahawa Ibn Hazm sangat banyak menghukum perawi sebagai majhul, sehinggakan jumlah perawi majhul tersebut mencapai 403 orang perawi daripada jumlah keseluruhan 897 perawi, dan perkara tersebut berlaku di dalam kitab al-Muhalla. Ini bermaksud beliau telah tersilap pada lebih daripada satu pertiga daripada mereka!

Kesimpulan Ringkas

1 - Definisi Majhul: Dari sudut bahasa bermaksud "tidak diketahui". Dari sudut istilah ilmu hadis, ia merujuk kepada seseorang perawi yang tidak diketahui sifat atau identitinya (kredibilitinya).

2 - Pembahagian Majhul: Ulama membahagikannya kepada tiga jenis: Majhul al-'Ain (tidak diketahui identiti), Majhul al-Hal (tidak diketahui sifat zahir dan batin), dan al-Mastur (diketahui sifat zahir yang baik, tetapi tersembunyi sifat batinnya). Ibn Hajar pula menggabungkan Majhul al-Hal dan al-Mastur sebagai satu kategori.

3 - Majhul al-'Ain: Ia merujuk kepada perawi yang hanya mempunyai satu orang murid sahaja yang meriwayatkan hadis daripadanya dan dia tidak dikenali oleh para ulama.

4 - Hukum Hadis Majhul al-'Ain: Secara asasnya, majoriti ulama menolak hadis perawi jenis ini. Ia hanya boleh diterima jika perawi itu dinilai thiqah (dipercayai) oleh ulama lain, atau diperakui kredibiliti agamanya oleh perawi yang meriwayatkan daripadanya dan perawi itu pula berstatus pakar al-Jarh wa al-Ta'dil.

5 - Peralihan Status Majhul: Status Majhul al-'Ain akan terbatal dan bertukar menjadi Majhul al-Hal jika terdapat dua atau lebih perawi meriwayatkan daripadanya, namun ia tetap tidak membuktikan kredibiliti perawi tersebut.

6 - Majhul al-Hal (al-Mastur): Merujuk kepada perawi yang diriwayatkan oleh dua orang atau lebih, namun belum pernah dinilai thiqah oleh mana-ulama. Sifat 'adalah (kredibiliti agama) pada zahirnya nampak baik, tetapi sifat batinnya kekal tersembunyi.

7 - Hukum Hadis Majhul al-Hal: Majoriti ulama menolak periwayatannya. Namun, pandangan muktamad (termasuk pilihan Ibn Hajar) adalah tawaqquf, iaitu menangguhkan hukum (tidak menolak dan tidak menerima) sehinggalah status sebenar perawi itu terbukti jelas.

8 - Penggunaan Istilah oleh Abu Hatim al-Razi: Apabila Imam Abu Hatim melabel seseorang perawi sebagai "majhul", beliau kebiasaannya bermaksud Majhul al-Hal (kredibiliti yang tidak diketahui), bukannya Majhul al-'Ain.

9 - Keterbatasan Hukuman Abu Hatim: Hukum majhul oleh Abu Hatim kadang-kala berpunca daripada faktor jarak negeri perawi yang jauh daripadanya. Oleh itu, penilaian majhul beliau tidak diterima jika pakar hadis yang lain mengenali perawi tersebut dan menilainya sebagai thiqah.

10 - Sikap Ekstrem Ibn Hazm: Imam Ibn Hazm memiliki sikap yang sangat keras (melampau) sehingga gemar menghukum "majhul" kepada sesiapa sahaja yang tidak dikenalinya, termasuklah tokoh ulama besar dan sebahagian para Sahabat Nabi. Justeru, hukum majhul secara semberono oleh beliau tidak dijadikan hujah oleh para ulama.

Sumber: 

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi - Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan