Rabu, 7 Oktober 2015

Empat jenis manusia


Al-Khalil bin Ahmad[1] berkata : Manusia itu ada empat jenis:

1 - Seseorang yang mengetahui (berilmu), dan dia tahu bahawa dia mengetahui, maka dia adalah orang yang alim. Maka ambillah ilmu daripadanya.

2 - Seseorang yang mengetahui dan dia tidak mengetahui bahawa dia tahu, maka dia adalah pelupa. Maka ingatkan dia.

3 - Seseorang yang tidak mengetahui (jahil) dan dia tahu bahawa dia tidak mengetahui, maka dia adalah seorang pelajar. Maka ajarkanlah dia.

4 - Seseorang yang tidak mengetahui dan dia tidak tahu bahawa dia tidak mengetahui, maka dia adalah orang yang bodoh. Maka jauhilah dia.[2]

_________________________________

[1] Al-Khalil bin Ahmad, merupakan imam dalam bidang bahasa dan sastera. Pengasas ilmu arudh (ilmu prosodi, imbangan irama syair). Guru kepada ulama tatabahasa Arab, Sibawaih. Lahir dan meninggal dunia di Basrah, Iraq. Hidup dalam keadaan fakir dan sabar. Meninggal dunia pada 170 H.

[2] Akhbar al-Hamqa wa al-Mughaffalin, Ibnu Jauzi, ms. 38, cetakan Dar al-Fikr al-Lubnani.

Isnin, 5 Oktober 2015

Kelebihan Selawat Tafrijiah

Sheikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Selawat Tafrijiah ini disebutkan oleh Sheikh al-Arif Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli dalam Khazinatul Asrar. Beliau memetik dari Imam al-Qurtubi bahawa sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 141 kali atau lebih, Allah akan:

- Melepaskan kesedihan dan kesusahannya.

- Menghilangkan kesulitan dan kemudaratannya.

- Memudahkan urusannya.

- Menerangi hatinya.

- Meninggikan darjatnya.

- Memperbaiki keadaannya.

- Meluaskan rezekinya.

- Membuka pintu-pintu kebaikan dan kebajikan dengan bertambah-tambah.

- Kata-katanya akan diterima jika dia seorang pemimpin.

- Melindunginya dari zaman musibah dan kejahatan kelaparan dan kemiskinan.

- Mencampakkan kecintaan kepadanya dalam hati-hati manusia.

Apa sahaja yang diminta dari Allah Ta'ala akan dikurniakan, tetapi faedah-faedah ini hanya akan tercapai dengan syarat mengamalkannya secara berterusan. Selawat ini adalah satu perbendaharaan dari perbendaharaan Allah dan mengamalkannya adalah kunci kepada khazanah Allah. Allah akan membuka (khazanah itu) kepada sesiapa yang mengamalkannya di kalangan hamba-hamba-Nya dan menyampaikannya kepada apa yang dikehendaki-Nya.

2 - Sheikh al-Arif Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli berkata di tempat lain dalam kitabnya yang disebutkan itu: Antara selawat yang telah terbukti mujarab ialah Selawat Tafrijiah al-Qurtubiyyah, yang dikenali di kalangan orang Maghribi sebagai Selawat Nariyyah, kerana apabila mereka ingin mencapai sesuatu hajat atau menolak sesuatu yang ditakuti, mereka berkumpul dalam satu majlis dan membacanya sebanyak 4,444 kali, lalu mereka akan mencapai hajat mereka dengan cepat.

3 - Di kalangan Ahl al-Asrar (orang yang mengetahui rahsia-rahsia Ilahi), ia dikenali sebagai 'Kunci Perbendaharaan Yang Meliputi Untuk Mencapai Hajat Para Hamba'.

4 – Sheikh Muhammad al-Sanusi  berkata: “Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 11 kali, seolah-olah rezeki turun dari langit dan tumbuh dari bumi.”

5 - Imam al-Dinawari berkata: “Sesiapa yang membaca selawat ini selepas setiap solat sebanyak 11 kali dan menjadikannya sebagai wirid, rezekinya tidak akan terputus dan akan mencapai pangkat yang tinggi dan kekayaan yang banyak.

Sesiapa yang mengamalkannya selepas solat Subuh setiap hari sebanyak 41 kali juga akan mencapai hajatnya.

Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 100 kali akan memperolehi apa yang dihajati dan mencapai tujuannya melebihi apa yang diinginkan.

Sesiapa yang mengamalkan bacaannya setiap hari sebanyak bilangan para rasul iaitu 313 kali, untuk penyingkapan rahsia, maka dia akan melihat setiap apa yang diinginkannya.

Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 1,000 kali, dia akan memperolehi sesuatu yang tidak dapat disifatkan oleh para penyifat, yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.

6 - Imam al-Qurtubi berkata: “Sesiapa yang ingin mencapai sesuatu perkara yang penting dan besar atau menolak bala yang sedang menimpa, maka hendaklah dia membaca Selawat Tafrijiah ini dan bertawassul melaluinya kepada Nabi yang memiliki akhlak yang agung sebanyak 4,444 kali, maka sesungguhnya Allah Ta'ala akan memudahkan apa yang dihajati dan dimaksudkannya selaras dengan niatnya.

Begitu juga Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan keistimewaan bilangan ini, kerana ia adalah umpama eliksir dari segi keberkesanannya.

Khamis, 1 Oktober 2015

Menguji akal seseorang


Al-Asma'ie[1] berkata: Jika kamu ingin mengetahui tahap akal seseorang dalam satu majlis (yakni dalam masa yang singkat), beritahu kepadanya satu hadis yang tiada asal usul.Jika kamu melihat dia mendengar dan menerimanya, maka ketahuilah dia seorang yang bodoh. Dan jika dia mengingkarinya maka dia seorang yang berakal.[2]
[1] Al-Asma'ie atau nama penuhnya Abdul Malik bin Quraib bin Abdul Malik bin Ali bin Asma' al-Asma'ie al-Basri. Dilahirkan pada sekitar tahun 120 H. Guru kepada Yahya bin Ma'in, Abu Hatim al-Razi dan lain-lain. Al-Zahabi memujinya sebagai al-Imam, al-Allamah, al-Hafiz, Hujjah al-Adab, Lisan Arab. Meninggal dunia pada tahun 215 H dan ada yang mengatakan pada 216 H. (Siyar A'lam al-Nubala, jilid 10, ms. 175, cetakan Muassasah al-Risalah).
[2] Akhbar al-Hamqa wa al-Mughaffalin, Ibnu Jauzi, ms. 36, cetakan Dar al-Fikr al-Lubnani.

Ahad, 13 September 2015

Hadis 9 Daripada 10 Rezeki Dalam Perniagaan

تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ

“Sembilan persepuluh punca rezeki dalam perniagaan.”

Sumber hadis

Hadis ini iriwayatkan oleh Abu ‘Ubaid dalam Gharib al-Hadith dan Ibnu Abi Dunya dalam Islah al-Mal melalui sanad:

Husyaim daripada Daud bin Abi Hind daripada Nu’aim bin Abdul Rahman daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Dalam riwayat Abu ‘Ubaid ada tambahan:

والجزء الباقي في السابياء

“dan selebihnya dalam penternakan.”

Penilaian Hadis:

1 - Al-Hafiz al-Busiri dalam Ithaf al-Khairah al-Maharah berkata: “Sanad ini daif disebabkan majhulnya (tidak dikenali) Nu’aim bin al-Rahman.”

2 – Al-Hafiz al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ berkata: "Para periwayatnya adalah thiqah (dipercayai). Nu'aim bin Abdul Raman dikategorikan oleh Ibn Mandah termasuk daripada kalangan para sahabat, tetapi itu tidak benar. Menurut Abu Hatim al-Razi dan Ibnu Hibban, beliau adalah seorang tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah), maka hadith ini adalah mursal."

Terdapat perbezaan pendapat antara al-Busiri dan al-‘Iraqi tentang Nu'aim bin 'Abd ar Rahman, sama ada beliau majhul atau thiqah. Jika beliau thiqah sekalipun hadis ini tetap daif kerana beliau seorang tabi’in yang tidak sempat bertemu Nabi, maka sanad hadis ini terputus.

Kesimpulan

Hadis ini daif kerana ianya adalah hadis mursal (hadis yang diriwayatkan oleh tabi’in yang disandarkan kepada Nabi tanpa melalui sahabat). Walau bagaimanapun, hadis ini masih boleh digunakan.

Penjelasan Hadis:

Menurut Imam al-Mawardi, perniagaan adalah cabang kepada dua sumber iaitu pengeluaran/penghasilan dan pertanian.

Perniagaan pula terbahagi kepada dua jenis: Jualan barangan di kawasan bandar tanpa perlu perpindahan dan perjalanan dan yang kedua ialah jualan barang melalui perjalanan dan pemindahannya ke bandar-bandar mengikut keperluan orang tertentu dan secara umum. Ini kerana barangan tersebut adalah sumber asas bagi penduduk bandar dan kota dan manfaatnya lebih menyeluruh serta keuntungannya lebih banyak serta tiada seorang pun yang tidak memerlukannya.

Adapun ternakan, ia hanya merupakan sumber bagi penduduk padang pasir dan penghuni khemah kerana mereka tidak menetap di sesuatu tempat dan tidak tinggal di bandar, maka mereka memerlukan harta yang boleh berpindah. Oleh itu, mereka memelihara haiwan yang boleh berpindah dengan sendirinya dan mencari makanannya sendiri. Kebanyakan manfaatnya adalah untuk mereka sahaja.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna perniagaan lebih utama daripada penghasilan dan pertanian, kerana ia hanya menunjukkan bahawa rezeki dalam perniagaan adalah lebih banyak dan tidak ada percanggahan antara kuantiti dan keutamaan.

Sabtu, 12 September 2015

Karamah Imam al-Ghazali


1. Al-Munawi[1] berkata: Ketika mana Qadhi 'Iyyad mengeluarkan fatwa agar kitab Ihya' dibakar, disampaikan berita tersebut kepada Imam al-Ghazali maka beliau berdoa keatas Qadhi 'Iyyad. Secara tiba-tiba Qadhi 'Iyyad mati ketika berada di dalam tandas.

Dikatakan bahawa al-Mahdi (khalifah ketika itu) yang menyuruh agar Qadhi 'Iyyad dibunuh ketika  berada di dalam tandas.

2. Al-Munawi[2] berkata: Di antara karamah beliau adalah apa yang telah dikeluarkan oleh al-Yafi'e daripada Ibnu al-Mailaq daripada al-'Arsyi daripada al-Mursi daripada al-Syazili daripada Syeikh Ibnu Hizam:

Beliau (Ibnu Hizam) keluar bersama-sama dengan sahabatnya dan bersamannya terdapat sebuah kitab. Beliau berkata: Adakah kamu tahu kitab ini? Mereka berkata: Ini kitab Ihya'.

Adalah Syeikh Ibnu Hizam memfitnah Imam al-Ghazali dan melarang orang membaca kitab Ihya'. Beliau menunjukkan badannya kepada sahabat beliau dan terdapat kesan dipukul dengan cemeti pada badannya.

Beliau berkata: al-Ghazali telah datang dalam mimpiku dan memanggilku bertemu dengan Rasulullah . Ketika mana kami berada di hadapan Rasulullah, al-Ghazali berkata: Lelaki ini mendakwa aku berkata sesuatu yang tidak engkau (Rasulullah ) katakan.
Maka Rasulullah memerintahkan al-Ghazali memukulku maka beliau memukulku.

# Karamah adalah perkara mencarik adat (luar biasa) yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya yang soleh dan bertakwa sebagai satu bentuk kemulian kepadanya.





[1] Al-Kaukib al-Durriyyah Fi Tarajim al-Sadah al-Sufiyyah, jilid 2, ms. 294, cetakan Dar Sodir.
[2] Al-Kaukib al-Durriyyah Fi Tarajim al-Sadah al-Sufiyyah, jilid 2, ms. 294, cetakan Dar Sodir.

Benarkah kisah kucing bernama Mueeza?


Credit gambar: White_Coffee_Cat

Selalu terjumpa dalam internet orang mengongsi kisah kononnya nabi sallahu 'alaihi wasallam menggunting jubah kerana ada seekor kucing bernama Mueeza yang tidur atas jubah nabi sallahu 'alaihi wasallam. Kerana tidak ingin mengganggu kucing itu tidur nabi menggunting bahagian jubah di mana kucing itu berada.
Kebenaran kisah tersebut tidak pula diketahui sebab semua yang berkongsi cerita itu tidak menyertakan sumbernya.
Terjumpa dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala (21/78) oleh al-Dzahabi rahimahullah cerita yang lebih kurang sama seperti di atas yang berlaku kepada Imam Ahmad al-Rifa'ie rahimahullah (512H-578H).
Seekor kucing tidur di atas lengan baju Syeikh Ahmad al-Rifa’ie. Apabila tiba waktu solat, Syeikh Ahmad al-Rifa’ie mengunting lengan bajunya dan tidak mengganggu kucing tersebut. Kemudian beliau duduk lalu mencantumkan lengan baju yang terkoyak itu dan berkata: “Tiada apa yg berubah.”