Jumaat, 15 April 2016

Status Hadis: Talak Menggegarkan Arasy

تَزَوَّجُوا وَلَا تُطَلِّقُوا فإِنَّ الطَّلاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

“Berkahwinlah dan jangan kamu bercerai. Sesungguhnya penceraian itu menggoncangkan arasy.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkanlah oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Tarikh Asbahan dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus melalui sanad:

‘Amru bin Jumai’ daripada Juwaibir daripada al-Dahhak daripada al-Nazzal bin Sabrah daripada ‘Ali bin Abi Thalib daripada Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Penilaian Hadis

Dalam sanadnya ada dua perawi yang sangat bermasalah:

Pertama, ‘Amru bin Juma’i yang dinilai oleh Yahya bin Ma’in sebagai pendusta. Al-Daraqutni menilainya sebagai matruk (ditinggalkan hadisnya). Al-Bukhari menilainya mungkar al-hadis (perawi yang tidak halal diriwayatkan hadis daripadanya). Ibnu ‘Adi mengatakan bahawa dia dituduh memalsukan hadis.

Kedua, gurunya, Juwaibir juga matruk.

Ia dinilai palsu oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at dan diterima tanpa bantahan oleh al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Ulama lain yang menghukumkannya sebagai palsu ialah al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah, Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir, Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Tahani, Dr Khaldun al-Ahdab dalam Zawaid Tarikh Baghdad dan lain-lain.

Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berhujah kepalsuan hadis ini dengan alasan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah menceraikan isterinya dan begitu juga dengan para sahabat.

Cuma agak menghairankan, al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa cuma sekadar menilainya sebagai daif. Mungkin daif yang mereka maksudnya adalah sangat daif dan mereka berdua tidak mahu secara pasti menganggapnya sebagai palsu.

Walau bagaimanapun lebih baik untuk dielakkan penggunaan hadis sebegini kerana kebanyakan ahli hadis menghukumnya sebagai palsu dan ahli hadis juga telah meletakkan syarat-syarat beramal dengan hadis daif yang mana salah satunya mestilah hadis tersebut tidak terlalu daif.

Wallahu a’lam.

Maksud Arasy Bergoncang

Maksud Arasy bergoncang itu tidaklah difahami secara literal sebaliknya bermaksud secara kiasan. Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir Syarah al-Jami’ al-Saghir menjelaskan maksudnya:

“Maksudnya para malaikat di sekelilingnya menjadi resah gelisah kerana marah disebabkan perbuatan itu amat mereka benci, sebagaimana ia juga dibenci oleh Allah, kerana ia mengandungi pemutusan ikatan dan perpecahan kesatuan (keluarga).”

Imam al-San’ani menyebutkan dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir:

“Iaitu para malaikat di sekelilingnya menjadi resah gelisah kerana marah terhadapnya disebabkan ia amat mereka benci, kerana ia mengandungi pemutusan ikatan dan perpecahan kesatuan (keluarga).

‘Goncangan 'Arasy’ itu kadang-kadang berlaku kerana keagungan perkara yang berlaku, sama ada ia disukai atau dibenci. Maka daripada (kategori) yang pertama ialah goncangannya kerana kematian Sa'ad (bin Mu’az), dan daripada yang kedua ialah apa yang telah disebutkan (talak).”

Ahad, 10 April 2016

Imam al-Thabarani 2

Nama beliau Abu al-Qasim Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub al-Thabarani. Dilahirkan di ‘Akka (Acre, sekarang merupakan wilayah Israel) pada bulan Safar tahun 260 Hijrah. Sebahagian ulama berpendapat beliau dilahirkan di Thabariyyah (Tiberias, juga merupakan wilayah Israel sekarang).

Mula belajar hadis ketika berusia 13 tahun dan mengembara bersama bapanya untuk mengumpulkan hadis. Pernah mengembara ke Baitul Maqdis, Homs, Yaman, Hijaz, Mesir, Iraq, Asbahan dan lain-lain.

Dalam kitab Irsyad al-Qasi al-Dani Ila Tarajim Shuyukh al-Thabarani dikumpulkan nama-nama guru beliau dan mencapai sebanyak 1168 orang, termasuk 4 orang guru beliau daripada kalangan wanita. 

Menghasilkan banyak kitab, antara yang terkenal:

1. al-Mu’jam al-Saghir. Dihimpunkan hadis-hadis yang diriwayatkan daripada seribu orang guru. Daripada setiap gurunya itu diriwayatkan satu atau dua hadis. Himpunan hadis dalam kitab ini mencapai 1200 buah hadis. Dicetak dalam 2 jilid.



2. al-Mu’jam al-Ausath. Disusun berdasarkan nama guru-guru beliau. Menghimpunkan 9489 buah hadis. Dicetak dalam 10 jilid. Imam al-Thabarani pernah berkata, kitab ini adalah rohku, kerana beliau bersusah payah menghimpunkan kitab ini.



3. al-Mu’jam al-Kabir. Disusun berdasarkan nama sahabat. Menghimpunkan sekitar 25 ribu buah hadis. Dicetak dalam 25 buah jilid. Jilid 13, 14, 15, 16, dan 21 tidak dicetak kerana manuskripnya tidak ditemui.



Kisah kehebatan Imam al-Thabarani

Ibnu al-‘Amid berkata: “Aku tidak menyangka bahawa ada sesuatu yang lebih lazat daripada kenikmatan memegang kepimpinan yang aku memegangnya sehinggalah aku melihat muzakarah antara Abu al-Qasim al-Thabarani dan Abu Bakar al-Ji’abi. Al-Thabarani mengalahkan Abu Bakar dari segi luasnya hafalan hadis beliau. Abu Bakar mengalahkan al-Thabarani dari segi kepintaran dan kecerdikannya sehinggalah mereka berdua saling meninggikan suara (berdebat).

Al-Ji’jabi berkata: “Aku mempunyai satu hadis yang hanya aku sahaja yang mempunyainya di dunia ini.”

Al-Thabarani berkata: “Bacakan hadis tersebut.”

Al-Ji’abi berkata: “Telah menceritakan kepadaku Abu Khalifah al-Jumahi, beliau (al-Jumahi) berkata, telah menceritakan kepadaku Sulaiman bin Ayyub…kemudian beliau (al-Ji’abi) membacakan hadisnya.”

Kemudian al-Thabarani berkata: “Telah menceritakan kepadaku Sulaiman bin Ayyub (nama Imam al-Thabarani sendiri), daripada akulah Abu Khalifah mendengar hadis tersebut. Dengarkan hadis tersebut daripada aku supaya pendek sanad kamu.”

Kemudian al-Ji’abi merasa sangat malu.

Ibnu al-‘Amid berkata: “Aku berharap agar aku tidak memegang kepimpinan. Aku berharap aku menjadi al-Thabarani dan aku gembira sebagaimana beliau gembira (kerana dapat mengalahkan al-Ji’abi).”

Dikatakan bahawa di akhir-akhir usia beliau, penglihatan beliau hilang. Al-Thabarani berkata: “Orang-orang zindiq (orang yang pura-pura masuk Islam) telah menyihirku.”

Al-Thabarani meninggal pada 2 malam terakhir daripada bulan Zulkaedah ketika berusia 100 tahun. Rahimahullah.


Rujukan: Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi.

Sabtu, 9 April 2016

9 Hadis Kelebihan Mengajar Ilmu


Hadis Pertama

لاَ حَسَد إلاَّ في اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللَّه مَالاً فَسلَّطهُ عَلى هلَكَتِهِ فِي الحَقِّ، ورَجُلٌ آتاهُ اللَّه الحِكْمَةَ فهُوَ يَقْضِي بِهَا، وَيُعَلِّمُهَا.

“Tidak boleh berhasad dengki kecuali dalam dua keadaan: Seseorang yang diberikan harta oleh Allah lalu dia menggunakan harta tersebut atas jalan yang benar dan terhadap seseorang yang diberikan hikmah (ilmu) oleh Allah lalu dia mengamalkannya dan mengajarkannya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abdullah bin Mas’ud.

Huraian Hadis:

1 - Maksud hasad dengki dalam hadis ini ialah hasad dengki dari sudut positif atau dipanggil al-ghibtoh (الغبطة) dalam bahasa Arab. Ia bermaksud keinginan untuk mendapatkan nikmat dan kelebihan yang sama seperti orang lain tanpa disertai rasa ingin melihat nikmat itu ditarik daripada orang tersebut.

2 - Maksud ‘menggunakan harta tersebut atas jalan yang benar’ ialah membelanjakan harta tersebut atas tujuan yang baik dan mendekatkan diri kepada Allah seperti membayar zakat, bersedekah, memberi nafkah kepada orang di bawah tanggungannya dan lain-lain.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi galakan supaya menuntut ilmu agar dapat mengamalkannya lalu dapat mengajarkannya pula kepada orang lain. Begitu juga terdapat di dalam hadis ini seruan supaya mencari harta agar dapat menginfakkannya pada jalan kebaikan.

2 - Galakan untuk berlumba-lumba dalam melakukan perkara kebaikan dan ia adalah suatu sifat yang terpuji dalam Islam.

Hadis Kedua

فَوَاللهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ.

“Demi Allah, jika Allah memberi hidayah kepada seseorang disebabkan kamu itu lebih baik bagi kamu daripada unta merah.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Sahl bin Sa’ad.

Huraian Hadis:

1 - Unta merah ialah harta yang sangat berharga di sisi orang Arab. Ia dijadikan perumpamaan bagi sesuatu yang berharga dan bernilai.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan yang dimiliki oleh orang yang berdakwah dan menyeru orang lain kepada Allah.

2 - Galakan berdakwah ke jalan kebenaran dan dia tidak dapat melakukan dakwah tersebut melainkan dengan ilmu.

Hadis Ketiga

إنَّ اللَّه لاَ يقْبِض العِلْم انْتِزَاعاً ينْتزِعُهُ مِنَ النَّاسِ، ولكِنْ يقْبِضُ العِلْمَ بِقَبْضِ العُلَماءِ حتَّى إِذَا لمْ يُبْقِ عَالِماً، اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوساً جُهَّالاً فَسئِلُوا، فأفْتَوْا بغَيْرِ علمٍ، فَضَلُّوا وأَضَلُّوا.

“Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu (pada akhir zaman) secara sekaligus daripada manusia, tetapi Allah mengangkatnya dengan mematikan para ulama. Sehinggalah apabila tidak ada lagi ulama, manusia akan mengangkat orang jahil sebagai pemimpin. Mereka akan berfatwa tanpa landasan ilmu. Maka mereka itu sesat dan menyesatkan (orang lain).”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abdullah bin Amru bin al-As.

Pengajaran Hadis:

1 - Berkurangannya pengetahuan ilmu agama merupakan tanda dekatnya kiamat.

2 - Kelebihan para ulama yang merupakan orang yang diamanahkan untuk menyampai ilmu kepada manusia.

3 - Galakan mendampingi para ulama untuk mendapatkan panduan hidup.

4 - Galakan menuntut ilmu agar dapat meramaikan ulama supaya dapat menjadi petunjuk kepada manusia dalam urusan kehidupan mereka.

5 - Hendaklah memilih pemimpin yang berilmu dan menjauhi melantik pemimpin yang jahil.

6 - Berhati-hati terhadap fatwa orang jahil yang disampaikan tanpa berpandukan ilmu yang benar.

Hadis Keempat

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Sesiapa yang menunjuk ke arah kebaikan maka baginya seperti pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut.”

Riwayat Muslim daripada hadis Abu Mas’ud al-Badri.

Pengajaran Hadis:

1 - Galakan melakukan kebaikan dan menjadi penunjuk ke arahnya kerana penujuk kebaikan akan mendapat ganjaran yang sama seperti pelaku kebaikan.

Hadis Kelima

مَنْ دَعَا إِلَى هُدىً كانَ لهُ مِنَ الأجْر مِثلُ أُجورِ منْ تَبِعهُ لاَ ينْقُصُ ذلكَ مِنْ أُجُورِهِم شَيْئاً.

“Sesiapa yang menyeru ke arah petunjuk maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikut petunjuk tersebut dan pahala mereka tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘menyeru ke arah petunjuk’ ialah mengajak ke arah melakukan perkara benar dan baik.

Pengajaran Hadis:

1 - Orang yang menjadi sebab kebaikan akan mendapat pahala seperti orang yang melakukan kebaikan.

2 - Gandaan pahala bagi orang yang mempelajari ilmu, mengajarkannya kepada orang ramai dan menyeru supaya orang mempelajarinya.

Hadis Keenam

إِذَا ماتَ ابْنُ آدَم انْقَطَع عَملُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدقَةٍ جَاريَةٍ، أوْ عِلمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أوْ وَلدٍ صالحٍ يدْعُو لَهُ.

“Apabila mati anak Adam itu maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘terputuslah amalannya’ ialah terputuslah pahala amalannya kerana pahala amalan seseorang tersebut terhenti disebabkan kematiannya melainkan tiga perkara tersebut yang pahalanya akan terus mengalir walaupun setelah kematiannya.

2 - Maksud ‘sedekah jariah’ ialah sedekah yang berterusan manfaatnya seperti mewawakafkan al-Quran, membina masjid, menggali telaga untuk manfaat umum dan lain-lain.

3 - Maksud ‘ilmu yang dimanfaatkan’ adalah seperti mengajarkan ilmu kepada orang lain atau menulis kitab yang mengandungi ilmu yang bermanfaat.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan menuntut ilmu dan mengajarkannya supaya pahalanya berterusan selepas kematiannya.

2 - Kelebihan sedekah jariah yang berkekalan manfaatnya.

3 - Galakan untuk mendidik anak dengan didikan Islam yang baik supaya ibu bapa akan mendapat kebaikan amal soleh anaknya seperti permohonan ampun dan doa si anak kepadanya.

Hadis Ketujuh

فضْلُ الْعالِم عَلَى الْعابِدِ كَفَضْلي عَلَى أَدْنَاكُمْ. إِنَّ اللَّهَ سُبْحَانَهُ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ سَمَوَاتِهِ وَأَرْضِهِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا حَتَّى الْحُوتَ فِي الْبَحْرِ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخِيرَ.

“Kelebihan orang alim berbanding ahli ibadah adalah seperti kelebihanku berbanding orang yang paling rendah (kedudukannya) di kalangan kamu (umat Islam). Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk yang berada di langit dan bumi hatta semut yang berada di dalam sarangnya dan ikan di dalam laut berselawat ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Abu Umamah. Kata beliau: “Hadis ini hasan gharib sahih.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud orang alim ialah orang yang mengetahui ilmu-ilmu yang bermanfaat, menggunakan waktunya untuk mempelajarinya dan mengajarkannya setelah mana dia selesai melaksanakan ibadah-ibadah yang fardu.

2 - Ahli ibadah pula ialah orang yang menggunakan waktunya untuk beribadah setelah dia selesai mempelajari hukum-hakam yang wajib dia ketahui.

3 - Maksud selawat di sini bergantung dari siapa ia berasal. Jika disebutkan Allah berselawat maksudnya Allah menurunkan rahmat. Dari malaikat bermaksud istighfar (pemohonan ampun). Dari manusia dan haiwan bermaksud doa.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi galakan melakukan kebaikan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelakunya malah pihak yang lain juga.

2 - Menuntut ilmu yang lebih dari kadar yang wajib (fardu air) itu lebih utama daripada  ibadat sunat kerana ibadat itu hanya bermanfaat kepada pelakunya sahaja manakala ilmu itu menyeluruh manfaatnya sama ada penuntut ilmu itu mahupun yang lainnya.

3 - Seruan supaya memuliakan ulama, penuntut ilmu dan mendoakan mereka.

Hadis Kelapan

نَضَّرَ اللَّه امْرءاً سمِع مِنا شَيْئاً، فبَلَّغَهُ كَمَا سَمعَهُ فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أوْعى مِنْ سَامِع.

“Semoga Allah mengelokkan rupa orang yang mendengar sesuatu (hadis) daripadaku, kemudian dia menyampaikannya sebagaimana yang dia dengar. Terkadang orang yang disampaikan hadis kepadanya itu lebih memahaminya daripada orang yang mendengar hadis itu secara langsung.”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Abdullah bin Mas’ud. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan mempelajari ilmu dan menyampaikannya.

2 - Kepentingan sikap amanah dalam menyampaikan ilmu dan berhati-hati dalam menghafaz dan memahaminya.

3 - Terkadang tabi’in lebih memahami hadis Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam daripada sebahagian sahabat yang mendengarnya secara langsung daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Hadis Kesembilan

أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْمَرْءُ الْمُسْلِمُ عِلْمًا، ثُمَّ يُعَلِّمَهُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ.

“Sebaik-baik sedekah itu ialah seorang muslim itu mempelajari ilmu kemudian dia mengajarkannya kepada saudara muslimnya.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Mengajarkan ilmu turut dianggap sebagai sedekah di samping sedekah dalam bentuk harta.

2 - Mengajar ilmu merupakan sebaik-baik sedekah kerana manfaatnya yang lebih luas dan berkekalan berbanding sedekah harta.

Rujukan:

1 - Al-Targhib wa al-Tarhib karangan al-Hafiz al-Munziri.

2 - Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibnu ‘Allan al-Siddiqi.

3 - Faidh al-Qadir Syarah al-Jami’ al-Saghir karangan Imam al-Munawi.

4 - Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.

 5 - Riyadh al-Salihin karangan Imam al-Nawawi.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 26/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Baca juga:

Hadis Kelebihan Menuntut Ilmu

Jumaat, 8 April 2016

Syarat beramal dengan hadis daif

Syamsuddin al-Sakhawi berkata dalam al-Qaul al-Badi’:

Aku mendengar guruku, Ibnu Hajar berkata beberapa kali: Syarat beramal dengan hadis daif ada tiga:

1. (Syarat yang) disepakati ke atasnya iaitu hadis tersebut tidak terlampau lemah. Maka terkeluar (daripada hadis daif yang boleh diamalkan iaitu) hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh pendusta, perawi yang dituduh berdusta dan perawi yang terlampau banyak membuat kesalahan.

2. Hendaklah (isi kandungan hadis daif tersebut) terkandung dalam asal (al-Quran dan hadis) yang umum. Maka terkeluar (daripada hadis daif yang boleh diamalkan) iaitu hadis yang mengandungi sesuatu (arahan atau ibadah) yang baru yang tiada ada asal baginya.

3. Tidak berkeyakinan ketika beramal hadis tersebut bahawa ia benar-benar sabit daripada nabi sallahu ‘alaihi wasallam supaya tidak menisbahkan kepada baginda apa yang tidak baginda katakan.

Ibnu Hajar berkata: “Dua syarat yang terakhir tersebut adalah daripada Ibnu Abd al-Salam dan Ibnu Daqiq al-‘Eid. Syarat yang pertama dinaqalkan oleh al-‘Ala’ie bahawa disepakati atas syarat itu.”

Khamis, 31 Mac 2016

Hukum Membaca al-Quran di Kubur


Diriwayatkan daripada Imam Ahmad (bin Hanbal) bahawa beliau berkata:
“Jika kamu masuk ke kawasan perkuburan bacalah ayat kursi dan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Kemudia berdoalah: Ya Allah, fadhilatnya (fadhilat ayat al-Quran) untuk ahli kubur.”

Dan diriwayatkan daripada beliau bahawa beliau pernah berkata membaca al-Quran di kubur itu bidaah.
Kemudian beliau sendiri menarik kembali pendapat tersebut.
Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama bahawa Imam Ahmad pernah melarang seorang lelaki buta daripada membaca al-Quran di kubur.
Imam Ahmad berkata kepada lelaki tersebut bahawa membaca al-Quran di kubur itu bidaah.
Kemudian Muhammad bin Qudamah al-Jauhari berkata kepada Imam Ahmad:
“Wahai Abu Abdillah (gelaran Imam Ahmad), apa pendapat kamu tentang Mubassyir al-Halabi?”
Imam Ahmad menjawab: “Thiqah (dapat dipercayai).”
Muhammad bin Qudamah berkata: “Telah mengkhabarkan kepadaku oleh Mubassyir daripada ayahnya, ayahnya mewasiatkan agar dibacakan surah al-Fatihah dan surah al-Baqarah setelah dia dikebumikan. Ayahnya berkata bahawa Ibnu Umar turut mewasiatkan perkara tersebut.”
Imam Ahmad berkata: “Kembalilah dan katakan kepada lelaki tersebut agar dia membaca al-Quran (kembali di kubur tersebut).”
Al-Khallal meriwayatkan daripada Abu ‘Ali al-Hasan bin Haitham al-Bazzar, beliau berkata: “Aku pernah melihat Ahmad bin Hanbal sedang solat di belakang seorang lelaki buta yang sedang membaca al-Quran di kubur.”
Diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda bersabda:
“Sesiapa yang masuk ke kawasan perkuburan maka bacalah surah Yasin. Diringankan bagi mereka (azab kubur) ketika itu. Baginya (orang yang membaca surah Yasin tersebut) beberapa kebaikan yang terkandung di dalamnya (surah Yasin).” [1]
Diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka, bacalah di sisinya atau kedua mereka surah Yasin, mudah-mudahan diampunkan baginya.” [2]
Tamat nukilan daripada kitab al-Mughni oleh Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi rahimahullah.
________________
[1] Menurut pentahqiq kitab, mereka tidak menjumpai sumber hadis ini. Wallahu a’lam.
[2] Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal daripada Abu Bakar. Hadis ini menurut Ibnu 'Adi adalah batil kerana dalam sanadnya terdapat Amru bin Ziyad yang dituduh memalsukan hadis. Tetapi menurut al-Sayuthi baginya ada penyokong sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath dan al-Saghir dengan sanad yang daif daripada Abu Hurairah dengan lafaz: "Sesiapa yang menziarahi kubur ibu bapanya atau salah satu daripadanya setiap hari Jumaat diampunkan dosanya dan ditulis baginya kebaikan."

Rabu, 9 Mac 2016

Hadis Tidak Ada Asal: Memberitahukan Berita 1 Safar Kepada Yang Lain

مَن بشَّرني بخروجِ صَفَرٍ بشَّرْتُه بالجنةِ

“Sesiapa yang memberi khabar gembira kepadaku tentang keluarnya bulan Safar, aku memberi khabar gembira kepadanya dengan syurga.”

‘Hadis’ ini dihukumkan sebagai palsu atau tiada asalnya oleh:

1. Al-Saghani (w. 650 H) dalam  al-Maudhu’at.

2. Al-Fattani (w. 986 H) dalam Tazkirah al-Maudhu’at.

3. Al-Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014 H) dalam al-Asrar al-Mafru’ah.

4.  Al-‘Ajluni (w. 1162 H) dalam Kasyf al-Khafa’.

5. Al-Syaukani (w. 1250 H) dalam al-Fawaid al-Majmu’ah.

6. Al-Qawuqji (w. 1305 H) dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’.

Rabu, 2 Mac 2016

Hadis: Doa pada hari Rabu

عَنْ جَابِرٌ ابْنَ عَبْدِ اللهِ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا فِي مَسْجِدِ الْفَتْحِ ثَلَاثًا: يَوْمَ الِاثْنَيْنِ، وَيَوْمَ الثُّلَاثَاءِ، وَيَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ، فَاسْتُجِيبَ لَهُ يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ، فَعُرِفَ الْبِشْرُ فِي وَجْهِهِ " قَالَ جَابِرٌ: " فَلَمْ يَنْزِلْ بِي أَمْرٌ مُهِمٌّ غَلِيظٌ، إِلَّا تَوَخَّيْتُ تِلْكَ السَّاعَةَ، فَأَدْعُو فِيهَا فَأَعْرِفُ الْإِجَابَةَ "

Terjemahan

Daripada Jabir bin Abdillah, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berdoa di Masjid al-Fath pada tiga hari: hari Isnin, hari Selasa dan hari Rabu. Dikabulkan doanya pada hari Rabu antara dua solat. Diketahui (makbulnya doa baginda) dengan kegembiraan pada wajahnya.

Jabir berkata: “Tidaklah menimpa padaku sesuatu urusan yang penting melainkan aku berdoa pada masa tersebut. Maka aku berdoa pada waktu tersebut dan aku mengetahui bahawa doa aku dikabulkan.”

Riwayat Ahmad, al-Bazzar, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan lain-lain.

Kata al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib: “Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan selain mereka berdua dan sanad riwayat Ahmad baik (jayyid).”

Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazzar. Perawi riwayat Ahmad adalah thiqah.”

Sebahagian ahli hadis mendaifkan hadis ini disebabkan terdapat khilaf tentang status salah seorang perawi hadis ini yang bernama Kathir bin Zaid.

Kata al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Sunan wa al-Ahkam: “Dalam sanadnnya terdapat Kathir bin Zaid dan padanya terdapat perbincangan (sama ada diterima atau ditolak periwayatannya).”

Kata Ibnu Taimiyyah dalam Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim: “Dalam sanadnnya terdapat Kathir bin Zaid dan padanya terdapat perbincangan. Ibnu Ma’in menthiqahkannya suatu ketika dan mendaifkannya pada ketika yang lain.”