Rabu, 7 Jun 2023

Imam Jalaluddin al-Mahalli

al-Mahallah al-Kubra pada masa kini

Nama dan nasab

Beliau ialah Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim bin Ahmad bin Hashim al-Ansari al-Mahalli al-Qahiri al-Syafi’e.

Kunyah beliau ialah Abu ‘Abdillah dan laqab beliau ialah Jalaluddin.

Gelaran al-Mahalli berasal dari al-Mahallah al-Kubra yang terletak di al-Gharbiyyah, Mesir.

Kelahiran

Beliau dilahirkan di Kaherah pada awal bulan Syawal tahun 791 Hijrah. Beliau diasuh di bawah didikan bapa beliau, Syeikh Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad yang merupakan seorang ahli ilmu yang soleh.

Bapa beliau merupakan murid kepada Imam al-Bulqini dan Imam Ibnu al-Mulaqqin. Bapanya juga menghafal kitab al-Tanbih dan berkerja sebagai seorang peniaga. Kesolehan bapanya sangat memberi kesan kepada pertumbuhan Imam al-Mahalli. Bapanya meninggal dunia pada tahun 852H ketika dalam perjalanan menunaikan haji. Datuknya juga merupakan seorang ulama mazhab al-Syafi’e.

Beliau memulakan perjalanannya menuntut ilmunya dengan menghafal al-Quran dan mempelajari beberapa buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Berdampingannya beliau dengan gurunya al-Syams al-Barmawi di Madrasah al-Baibarisiyyah banyak membantu perkembangan keilmuan beliau.

Menuntut ilmu

Dalam pelbagai rujukan yang menyebutkan biografi Imam al-Mahalli tidak dinyatakan secara jelas tarikh beliau mula menuntut ilmu. Namun berdasarkan senarai guru-guru beliau dapat dipastikan bahawa beliau mula belajar dalam usia yang muda kerana beliau sempat belajar dengan Burhanuddin al-Abnasi (m. 802H), Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H) dan al-Bulqini (meninggal 805H). Jika dilihat tarikh kelahiran Imam al-Mahalli dan tarikh kewafatan ketiga imam tersebut dapat diyakini bahawa Imam al-Mahlli sudah mula belajar ketika beliau masih muda.

Biografi Imam al-Mahalli juga jelas menunjukkan bahawa perjalanan menuntut ilmu beliau dimulakan dengan menghafal al-Quran, lalu mempelajari ilmu fiqh, usul fiqh, nahu, faraid, hisab, ilmu jadal, mantik, ilmu balaghah, tafsir, usuluddin dan lain-lain. Beliau juga sangat banyak mengambil manfaat daripada gurunya, ‘Alauddin al-Bukhari.

Bukan sahaja fiqh mazhab al-Syafi’e, beliau juga turut mempelajari mazhab-mazhab yang lain. Beliau mempelajari mazhab Hanafi daripada al-Nizam al-Shairami dan al-Syams Ibn al-Dairi. Beliau juga turu menghadiri majlis pengajian al-Syihab Ahmad al-Maghrawi al-Maliki.

Ilmu hadis pula beliau pelajari daripada Abu Zur’ah al-Iraqi dan Ibnu Hajar al-Asqalani. Bersama Ibnu Hajar, beliau mempelajari keseluruhan Syarah Alfiah al-‘Iraqi dan Ibnu Hajar mengizinkan beliau untuk mengajarkannya.

Guru-Guru

Sepanjang menuntut ilmu, Imam al-Mahalli sempat belajar dengan ramai ulama, antaranya:

1 – Burhanuddin al-Anbasi (m. 802H).

2 – Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H).

3 – Sirajuddin al-Bulqini (m. 805H). Imam al-Mahalli belajar ilmu hadis dan fiqh daripadanya.

4 – Kamaluddin al-Damiri (m. 808H) Imam al-Mahalli sempat menghadiri beberapa buah majlis pengajiannya.

5 – Nasiruddin al-Tantada’ie (m. 809H). Imam al-Mahalli belajar ilmu faraid dan hisab daripadanya.

6 – Syamsuddin Al-Gharaqi (m. 816H). Imam al-Mahalli belajar ilmu fiqh daripadanya.

7 – Syihabuddin al-Maghrawi (m. 816H).

8 – Ibnu al-Kuwaik (m. 821H). Imam al-Mahalli meriwayatkan hadis daripadanya.

9 – Burhanuddin Ibrahim bin Ahmad al-Baijuri (m. 825). Imam al-Mahalli belajar ilmu fiqh daripadanya.

10 – Al-Aqsarani (m. 825H). Imam al-Mahalli belajar ilmu mantik, jadal, ma’ani, bayan, arudh dan usul fiqh daripadanya.

11 – Abu Zur’ah al-‘Iraqi (m. 826H). Imam al-Mahalli belajar ilmu hadis daripadanya.

12 – Syamsuddin al-Barmawi (m. 831H). Imam al-Mahalli tinggal bersama beliau di Madrasah al-Baibarisiyyah dan mempelajari daripadanya ilmu fiqh, usul fiqh dan bahasa Arab.

13 – Nizamuddin al-Sairami (m. 833H). Imam al-Mahalli belajar ilmu-ilmu aqliyat dan fiqh daripadanya.

14 – Ibnu al-Jazari (m. 833H).

15 – Al-Bustami al-Maliki (m. 842H). Imam al-Mahalli belajar tafsir dan ilmu usuluddin daripadanya.

16 – Ibnu Hajar al-Asqalani (m. 852H). Imam al-Mahalli mempelajari keseluruhan Syarah Alfiah al-‘Iraqi daripadanya.

17 – Nasiruddin al-Samnudi (m. 855H). Imam al-Mahalli belajar al-Quran daripadanya sewaktu kecil.

18 – Ibnu al-Dairi (m. 862H).

19 – ‘Izzuddin Ibnu Jama’ah (m. 867H). Imam al-Mahalli belajar hadis dan usul fiqh daripadanya.

20 – Syamsuddin al-Syatnufi (m. 873H). Imam al-Mahalli belajar nahu dan ilmu bahasa Arab daripadanya.

21 – Syamsuddin al-Basati (m. 842H).

Murid-Murid

Bilangan murid yang datang untuk belajar dan mengambil manfaat daripada Imam al-Mahalli tidak terbilang banyaknya. Di sebutkan di sini sebahagiannya:

1 – Abu al-Fida’ Ibn Jama’ah (m. 861H).

2 – Kamaluddin al-Tarabulusi (m. 877H).

3 – Ibnu Qadhi ‘Ajlun (m. 876H).

4 – Ibnu Kumail (m. 887H).

5 – Sibt Ibn Hajar al-Asqalani (m. 899H).

6 – Ibnu al-Farra’ (m. 897H).

7 – Syarafuddin al-Qabani (m. 900H).

8 – Al-Sakhawi (m. 902H).

9 – Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H).

10 – Al-Syarif al-Samhudi (m. 911H).

11 – Ali al-Asymuni (m. 918H).

12 – Ibnu Abi Syarif (m. 923H).

13 – Al-Samhudi (m. 866H).

14 – Ibnu ‘Utaif (lahir 812H).

15 – Ibnu ‘Arab (lahir 831H).

16 – Al-Sinbati.

17 – Abu Bakar al-Zahiri (lahir 850H).

18 – Al-Absyihi.

19 – Syihabuddin al-Khanki.

20 – Ibnu al-Harsh (m. 874H).

21 – Zainuddin al-Sintawi (m. 896H).

22 – Al-Jaujari (m. 887H).

23 – Sirajuddin al-Nawawi.

Penulisan

Imam al-Mahalli telah menghasilkan penulisan yang berkualiti sehingga para ulama di zamannya berusaha untuk mendapatkannya serta membaca dan mengajarkannya. Mereka juga berusaha untuk menyalin dan menyebarkannya ke negara-negara Islam yang lain. Begitu juga karya penulisan beliau dikhidmati oleh para ulama selepas beliau dengan menulis syarah dan hashiyah ke atasnya. Berikut adalah senarai kitab-kitab hasil karya beliau:

1 – Al-Anwar al-Madhiyyah Fi Madh Khair al-Bariyyah. Syarah kepada Burdah Imam al-Busiri.

2 – Syarah al-Jam' al-Jawami' Fi al-Usul atau diterbitkan pada hari ini dengan nama Al-Badr al-Tali’ Fi Halli Jam’ al-Jawami’

Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Jam’ al-Jawami’ karangan Imam Tajuddin al-Subki. Diselesaikan penulisannya pada tahun 824 H. Kitab ini sangat mendapat sambutan di kalangan ulama sehingga mereka meminta Imam al-Mahalli untuk membaca dan mengajarkan kepada mereka. Kitab ini dianggap sebagai antara syarah yang utama bagi Jam’ al-Jawami’ sehingga kitab ini dijadikan sebagai silibus usul fiqh di al-Azhar dan di pusat-pusat pengajian yang lain serta ditulis beberapa hashiah ke atasnya.

3 – Tafsir al-Quran yang terkenal dengan nama Tafsir al-Jalalain. Imam al-Mahalli menafsirkan surah al-Fatihah kemudian beliau menafsirkan bermula surah al-Kahfi sehingga akhir al-Quran. Kemudian beliau meninggal dunia tanpa sempat menyempurnakannya. Lalu murid beliau, al-Suyuti menyempurnakannya bermula surah al-Baqarah sehingga surah a-Israk.

3 – Hashiyah ke atas Jawahir al-Bahrain karangan al-Isnawi. Tidak sempat disempurnakan.

4 – Hashiyah ke atas Syarah Jami’ al-Mukhtasarat berkenaan furuk mazhab al-Syafi'e karangan Ahmad bin 'Umar al-Nasya'ie

5 – Syarah al-I’rab ‘An Qawa’id al-I’rab karangan Ibnu Hisyam. Tidak sempat disempurnakan.

6 – Syarah al-Syamsiyyah dalam ilmu mantik. Tidak sempat disempurnakan.

7 – Syarah al-Waraqat karangan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam ilmu usul fiqh.

8 – Syarah Tashil al-Fawaid karangan Ibnu Malik. Tidak sempat disempurnakan.

9 – Syarah Maqsurah Ibnu Hazim.

10 – Sebuah kitab berkenaan jihad.

11 – Kanz al-Zakhair Fi Syarah al-Taiyyah. Syarah kepada al-Taiyyah karangan Imam Taqiyuddin al-Subki berkenaan sirah.

12 – Kanz al-Raghibin Syarah Minhaj al-Talibin. Syarah kepada kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam al-Nawawi. Diselesaikan pada tahun 860H. Kitab ini juga banyak ditulis hashiyah  ke atasnya oleh para ulama dan diajarkan di al-Azhar. 

Menurut pentahqiq kitab Syarah al-Minhaj terbitan Dar al-Dhiya’, menamakan kitab ini sebagai Kanz al-Raghibin adalah silap kerana Imam al-Mahalli tidak menamakannya sebagaimana kebanyakan kitab-kitab lain karangan beliau yang juga tidak dinamakan. Nama kitab ini juga tidak disebutkan oleh murid-murid beliau dan para ulama yang menulis hashiyah ke atas kitab ini. Hanya dalam sebahagian kecil manuskrip yang ditulis agak terkemudian yang menuliskan namanya sebagai Kanz al-Raghibin, itupun hanya ditulis di bahagian tepi manuskrip dan bukan di bahagian tengah sebagaimana kebiasaaan penulis manuskrip ketika menulis nama kitab. 

Orang pertama yang dikesan menyebutkannya sebagai Kanz al-Raghibin ialah Haji Khalifah dalam Kasyf al-Zunun ketika menyenaraikan syarah-syarah Minhaj al-Talibin. Penamaan itu lalu diikuti oleh orang lain. Namun dalam terbitan terbaru bagi kitab Kasyf al-Zunun yang ditahqiq oleh Dr Basyar 'Awadh Ma'ruf tidak terdapat penamaan tersebut. Tidak dipastikan mengapa penamaan tersebut digugurkan. Mungkin pentahqiq berpendapat penamaan tersebut bukan daripada tulisan Haji Khalifah sebaliknya berasal dari penyalin atau penerbit kitab Kasyf al-Zunun. Wallahu a'lam.

Terbitan Dar al-Minhaj (kiri) dan Dar al-Dhiya' (kanan)

13 – Mukhtasar al-Tanbih.

14 – Is’af al-Qasidin Li Fahm al-Syihab al-Zahid atau namanya juga, al-Mahid Fi Masail al-Zahid. Syarah kitab al-Sittin al-Masalah karangan Syeikh Ahmad bin Sulaiman al-Zahid dalam ilmu fiqh mazhab al-Syafi’e. Menurut pentahqiq kitab Syarah al-Minhaj terbitan Dar al-Dhiya’, kitab ini sebenarnya bukan karya Imam Jalaluddin al-Mahalli sebaliknya Nuruddin al-Mahalli.

15 – Risalah Fi al-Jahr Bil Basmalah. Kitab ini disyarahkan oleh Syeikh Yusuf bin Mustafa al-Sowi (m. 1241H).

16 – Risalah Fi Lailatul Qadr.

17 – Al-Fatawa.

18 – Mabda’ al-Nil ‘Ala al-Tahrir atau namanya al-Qaul al-Mufid Fi al-Nil al-Sa’id. Risalah yang ditulis untuk membincangkan sumber asal air sungai Nil.

Pujian Ulama

Muridnya, al-Sakhawi memujinya dengan berkata: “Beliau seorang imam, sangat alim, muhaqqiq, sangat tajam pemikirannya, sangat bijak dan mempunyai pemikiran yang sempurna. Sehingga sebahagian ulama berkata: Pemikirannya dapat menembusi berlian. Beliau juga pernah berkata tentang dirinya: Pemahamanku tidak akan salah. Beliau juga sangat genius dan mahir berbahas. Sehingga diceritakan kepadaku bahawa Imam al-Kamiliyyah melihat al-Wana’ie berbincang bersamanya seperti seorang budak bersama gurunya.”

Ibnu al-‘Imad menyifatkan beliau sebagai seorang yang menakjubkan dari segi kebijaksanaan dan kefahaman sehinggakan mengelarkan beliau sebagai Taftazani Arab kerana hendak menyamakan beliau dengan Sa’duddin al-Taftazani dari segi keluasan ilmunya dalam ilmu-ilmu ‘aqliyyah.

Meskipun beliau disifatkan sebagai seorang yang sangat bijak namun beliau juga menghadapi masalah untuk menghafal. Al-Suyuti menceritakan: “Beliau tidak mampu untuk menghafal. Pernah suatu ketika beliau ingin menghafal beberapa helaian kertas daripada sebahagian kitab lalu badan beliau menjadi panas.”

Pekerjaan

Beliau pernah ditawarkan untuk menjadi al-Qudhah al-Akbar (ketua hakim) namun beliau menolak dengan berkata: “Aku tidak mampu menahan api neraka.”

Beliau juga pernah mengajar ilmu fiqh di Madrasah al-Barquqiyyah bagi mengantikan tempat al-Syihab al-Kurani.

Selain itu beliau juga pernah ditugaskan mengajar di Madrasah al-Muayyadiyyah selepas kematian Ibnu Hajar al-Asqalani.

Kewafatan

Pada pertengahan bulan Ramadan tahun 863H beliau ditimpa penyakit ciri birit. Penyakit beliau berlarutan sehinggalah beliau meninggal dunia pada waktu subuh hari sabtu awal tahun 864H.

Jenazah beliau disolatkan di Musolla Bab al-Nasr dan dihadiri oleh ramai orang. Jenazah beliau lalu dikebumikan di perkuburan keluarga beliau.

Semoga Allah merahmati Imam al-Mahalli.

Sabtu, 3 Jun 2023

Ringkasan Kisah Nabi Idris

1 – Nasab baginda: Idris bin Yard bin Mahlayil bin Qainan bin Yanish bin Syith bin Adam. Nama baginda dalam bahasa Ibrani ialah Khanukh atau Akhnukh.

2 – Baginda sempat bertemu dengan nabi Adam ketika nabi Adam berusia 308 tahun.

3 – Baginda telah disebutkan sebanyak dua kali dalam al-Quran. Pertama: Surah al-Anbiya’, ayat 85-86 dan Surah Maryam, ayat 56-57.

4 – Tempat kelahiran: Baginda dilahirkan di Babylon (Iraq) dan tinggal di Mesir.

5 – Dakwahnya: Baginda dilantik menjadi nabi selepas nabi Syith. Al-Quran mensifatkan baginda sebagai seorang yang benar (tutur katanya dan keimanannya). Baginda menyeru kepada kebenaran dan melawan kemungkaran serta mengimarahkan bumi. Baginda sangat mengambil berat untuk membina tamadun dan bandar-bandar baru. Dikatakan telah dibina sebanyak 188 bandar-bandar baru sewaktu zaman baginda.

Beberapa fakta menarik:

6 – Baginda adalah orang yang pertama menulis dengan pena.

7 – Baginda juga adalah orang yang pertama yang menjahit dan memakai pakaian berjahit. Sebelum itu manusia memakai pakaian daripada kulit.

8 – Baginda adalah orang yang pertama menyusun ilmu berkaitan bintang (nujum) dan matematik dan baginda terkenal sebagai seorang yang mempunyai kebijaksanaan.

9 – Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah berjumpa dengan nabi Idris di langit ke-4 sewaktu malam Israk dan Mikraj sebagaimana yang disebutkan dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

10 – Menurut Syeikh Dr Muhammad Bakar Ismail, al-Quran mensifatkan baginda sebagai seorang yang sabar. Ini menunjukkan bahawa dakwah baginda juga menghadapi tentangan daripada kaumnya lalu baginda menghadapinya dengan sifat syukur dan reda.

Menurut beliau lagi, berkemungkinan nabi Idris tidaklah berumur panjang dan baginda tidak mempunyai syariat tersendiri yang mengandungi hukum-hakam yang banyak. Kisah baginda juga tidak terdapat banyak pengajaran sebagaimana kisah-kisah nabi yang lain. Oleh kerana itu Allah tidak menyebutkannya.

12 – Para ulama berbeza pendapat sama ada nabi Idris masih hidup ataupun sudah wafat. Ketika menafsirkan ayat 57 daripada surah Maryam, ‘dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya’, Mujahid berpendapat bahawa baginda tidak wafat dan diangkat sebagaimana diangkat nabi Isa dan baginda berada di langit ke-4.

Ibnu ‘Abbas dan al-Dhahhak pula berpendapat baginda diangkat ke langit ke-6 dan wafat di sana.

Namun pendapat yang menyatakan bahawa baginda berada di langit ke-4 lebih kuat berdasarkan hadis Israk dan Mikraj yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Cuma tidak dapat dipastikan sama ada baginda sudah wafat atau tidak.

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi cenderung mengatakan bahawa nabi Idris tidaklah diangkat secara hakiki dengan ruh dan jasad sebagaimana nabi Isa. Sebaliknya nabi Idris diangkat secara maknawi iaitu diangkat kedudukan dan darjat baginda. Menurut beliau, nabi Idris wafat di bumi sebagaimana kewafatan para nabi yang lain.

13 – Begitu juga terdapat perbezaan pendapat tentang zaman diutuskan nabi Idris. Jumhur ulama berpendapat bahawa baginda diutuskan selepas nabi Adam dan sebelum nabi Nuh.

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi berpendapat bahawa baginda diutuskan agak terkemudian dan baginda tergolong daripada nabi-nabi yang diutuskan kepada Bani Israel serta berkemungkinan selepas nabi Daud dan nabi Sulaiman.

Imam Ibnu al-‘Arabi al-Maliki juga antara yang berpendapat nabi Idris diutuskan di zaman terkemudian dan bukan sebelum nabi Nuh.

Dalil kepada pendapat tersebut adalah al-Quran menyebutkan tentang nabi Idris dalam surah Maryam selepas nabi Ibrahim, Musa dan Ismail. Begitu juga dalam surah al-Anbiya’, baginda disebutkan selepas nabi Ibrahim, Lut, Daud, Sulaiman dan Ayub. Selepas disebutkan baginda barulah disebutkan nabi Yunus, Zakariya, Yahya dan ‘Isa.

Ayat yang menyebutkan tentang baginda disekalikan bersama nabi Ismail dan nabi Zulkifli. Ini menunjukkan baginda diutuskan selepas nabi Ismail dan sebelum nabi Zulkifli.

Dalil kedua ialah hadis Israk dan Mikraj. Apabila Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertemu dengan para nabi dan memberi salam kepada mereka, hanya nabi Adam dan nabi Ibrahim yang membalas semula dengan berkata: Selamat datang nabi yang soleh dan anak yang soleh. Manakala nabi-nabi yang lain (Isa, Yusuf, Idris, Harun, Musa) membalas: Selamat datang nabi yang soleh dan saudara yang soleh.

Hanya nabi Adam dan nabi Ibrahim yang membalas ‘anak yang soleh’ kerana Adam adalah bapa manusia manakala nabi Ibrahim adalah bapa para nabi.

Lima nabi yang lain (termasuk nabi Idris) membalas ‘saudara yang soleh’. Ini menunjukkan nabi Idris diutuskan pada zaman yang terkemudian. Kalau baginda diutuskan selepas nabi Adam dan sebelum nabi Ibrahim nescaya baginda juga akan memanggil Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sebagai ‘anak yang soleh’.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

Al-Bidayah Wa al-Nihayah karangan Imam Ibnu Kathir.

Al-Qasas al-Qurani karangan Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi.

Khulasah al-Anba’ Fi Qasas al-Anbiya’ karangan Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid al-Syafi’e al-Azhari.

Qasas al-Quran karangan Dr Muhammad Bakar Ismail.

Tafsir al-Tabari karangan Imam al-Tabari 

Baca juga: 

Ringkasan Kisah Nabi Adam

Jumaat, 2 Jun 2023

Manhaj Kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz al-Mizzi



Biografi Ringkas al-Hafiz al-Mizzi

1 – Nama sebenar beliau adalah Yusuf bin Abdul Rahman bin Yusuf al-Mizzi. Gelaran (laqab) beliau ialah Jamaluddin dan kunyah beliau ialah Abu al-Hajjaj. Gelaran al-Mizzi berasal daripada nama sebuah kampung yang terletak di barat Damsyik, Syria iaitu al-Mizzah yang merupakan tempat beliau membesar. Beliau dilahirkan pada tahun 654 Hijrah.

2 – Beliau telah menghafal al-Quran sejak kecil lagi lalu beliau mempelajari ilmu fiqh mazhab al-Syafi’e dan ilmu-ilmu bahasa Arab. Beliau mula memberi perhatian untuk mempelajari hadis pada tahun 675 Hijrah iaitu ketika berumur 21 tahun.

3 - Kitab hadis yang pertama beliau pelajari ialah Hilyah al-Auliya’ karangan Abu Nu’aim al-Asbahani yang dipelajari dari Ahmad bin Abu al-Khayr al-Haddad. Setelah itu beliau mengembara ke merata tempat untuk mempelajari hadis seperti Baitul Maqdis, Homs, Hama, Mekah, Madinah, Kaherah, Iskandariah dan lain-lain.

4 – Guru-guru beliau sangat ramai sehingga dikatakan mencapai jumlah seribu orang. Antara guru beliau yang masyhur ialah Imam al-Nawawi, Ibnu Qudamah al-Maqdisi, Ibnu Daqiq al-‘Eid, Syarafuddin al-Dimyati dan Fakhruddin Ibnu al-Bukhari.

5 – Murid-murid beliau juga sangat ramai sehinggakan menurut al-Zahabi kebanyakan ahli hadis di Damsyik dan selainnya merupakan murid beliau. Antara murid beliau yang terkenal ialah al-Hafiz al-Zahabi, al-Hafiz Ibnu Kathir, al-Hafiz al-‘Alla’ie dan Imam Tajuddin al-Subki.

6 – Al-Hafiz al-Mizzi telah menghabiskan masa selama hampir 50 tahun untuk menulis, memberi fatwa dan mengajar. Beliau pernah menjadi mahaguru ilmu hadis di beberapa buah pusat pengajian hadis seperti Dar al-Hadith al-Nasiriyyah, Dar al-Hadith al-Himsiyyah, Dar al-Hadith al-Nuriyyah dan Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah.

7 – Penguasaan beliau yang tinggi dalam bidang ilmu keislaman terutamanya ilmu hadis membolehkan beliau menghasilkan karya-karya yang bermutu dan berkualiti tinggi. Antara hasil penulisan beliau yang terkenal dan mendapat sambutan para ulama ialah Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal dan Tuhfah al-Asyraf Bi Ma’rifah al-Atraf.

Kitab Tuhfah al-Asyraf (kiri) dan Tahzib al-Kamal (kanan). Dua buah karya teragung al-Hafiz al-Mizzi.

8 – Berkenaan keperibadian beliau, muridnya, al-Hafiz al-Zahabi menceritakan dalam Tazkirah al-Huffaz:

“Beliau mempunyai akhlak yang baik, banyak berdiam diri, sangat sedikit berbicara, bercakap benar, tidak diketahui bahawa dia bersifat sombong, seorang yang merendah diri, sangat sabar, sederhana pada perwatakan dan makanannya, banyak berjalan kaki dalam urusan sehariannya, mempunyai keluhuran budi, merasa cukup dengan yang sedikit, sanggup mengorbankan buku-bukunya, hartanya dan dirinya, mempunyai banyak sifat mulia. Abu al-Hasan Ibn al-‘Attar telah menyakiti dan mencercanya tetapi beliau tidak pernah berkata apa pun tentangnya dan terhadap orang lain yang menyakitinya.”

9 – Di penghujung usianya, beliau telah ditimpa penyakit taun. Pada mulanya penyakit tersebut hanya ringan sahaja dan tidak menghalang beliau daripada mengajar dan menghadiri solat jemaah. Namun setelah itu sakitnya semakin kuat sehingga menghalang beliau daripada menghadiri solat Jumaat. Akhirnya beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada hari sabtu 12 Safar tahun 742 Hijrah ketika berusia 88 tahun. Jenazah beliau telah disolatkan di Jami’ al-‘Umawi dan diimamkan oleh Imam Taqiyuddin al-Subki. Ramai di kalangan pembesar dan pemimpin negara yang turut sama menghadiri pengebumian beliau. Jenazah beliau dikebumikan di perkuburan al-Sufiyyah, bersebelahan dengan kubur isterinya yang meninggal dunia 9 bulan lebih awal dan tidak jauh dari kubur Ibnu Taimiyyah.

Semoga Allah merahmati beliau atas jasa dan khidmatnya kepada ilmu hadis.

Manhaj Kitab Tahzib al-Kamal

1 – Al-Hafiz al-Mizzi telah mengkaji secara teliti kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal karangan al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi lalu beliau mendapatinya mempunyai kekurangan dan keluputan ratusan nama perawi Kutub Sittah yang tidak dimasukkan di dalam kitab ini.

2 – Oleh itu beliau berhasrat untuk menyusun semula sebuah kitab baru yang mengekalkan susunan asal kitab al-Kamal namun dapat menampung kekurangan kitab tersebut lalu terhasillah kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal.

3 – Sebahagian orang menyangka bahawa kitab Tahzib al-Kamal ini adalah ringkasan kepada kitab al-Kamal berdasarkan tajuknya, namun sebenarnya kitab ini adalah penambahbaikan dan pembetulan terhadap kitab al-Kamal.

4 – Dalam kitab ini al-Hafiz al-Mizzi bukan sahaja menambah senarai perawi Kutub Sittah yang tidak disebutkan oleh Al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi, bahkan beliau juga menambah lebih 1700 orang perawi tambahan yang terdapat dalam kitab-kitab karangan pengarang Kutub Sittah yang lain selain Kutub Sittah. Perinciannya seperti berikut:

1 – Al-Bukhari:

i) Kitab al-Qira’ah Khalfa al-Imam.

ii) Kitab Raf’u al-Yadain Fi al-Solah.

Iii) Kitab al-Adab al-Mufrad.

iv) Kitab Khalq Af’al al-‘Ibad.

v) Perawi-perawi sokongan yang disebutkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq (tanpa sanad lengkap).

2 – Muslim:

i) Perawi yang terdapat dalam mukadimah kitab Sahih beliau.

3 – Abu Daud:

i) Kitab al-Marasil.

ii) Kitab al-Radd ‘Ala Ahl al-Qadar.

iii) Kitab al-Nasikh Wa al-Mansukh.

iv) Kitab al-Tafarrud.

v) Kitab Fadhail al-Ansar.

vi) Kitab Masail Imam Ahmad.

vii) Kitab Musnad Hadith Malik bin Anas.

4 – Al-Tirmizi:

i) Kitab al-Syamail.

5 – Al-Nasa’ie:

i) Kitab ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah.

ii) Kitab Khasais Ali bin Abi Talib.

iii) Kitab Musnad Ali.

iv) Kitab Musnad Hadith Anas bin Malik.

6 - Ibnu Majah:

i) Kitab al-Tafsir.

5 – Al-Hafiz Al-Mizzi menyebutkan beberapa orang perawi yang pada hakikatnya bukanlah perawi Kutub Sittah, akan tetapi tujuan beliau menyebutkannya adalah untuk membezakan (tamyiz) antara perawi tersebut dengan perawi Kutub Sittah kerana mereka memiliki nama dan tabaqat yang hampir sama.

Misalnya, al-Mizzi menyebutkan biografi Asbat bin al-Yasa' (kiri) untuk membezakannya dengan Asbat Abu al-Yasa' (kanan) kerana ada yang menganggap kedua mereka adalah individu yang sama kerana nama yang hampir sama.

6 – Beliau juga menyebutkan beberapa maklumat sejarah berkaitan perawi yang tidak disebutkan dalam kitab al-Kamal seperti senarai guru perawi tersebut, murid-murid yang meriwayatkan daripadanya, kritikan (jarh) dan pujian (ta’dil dan tauthiq), tarikh kelahiran dan kematian dan maklumat-maklumat lain.

7 – Selain itu, beliau juga meletakkan empat fasal tambahan yang penting di bahagian akhir kitab yang tidak diletakkan dalam kitab al-Kamal, iaitu:

i) Fasal perawi yang terkenal dengan penisbahannya kepada bapanya, datuknya, ibunya, bapa saudaranya atau yang seumpama dengannya.


ii) Fasal perawi yang terkenal dengan penisbahannya kepada kabilah, negeri, pekerjaan atau yang seumpama dengannya.


iii) Fasal perawi yang terkenal dengan gelarannya (laqab) atau yang seumpama dengannya.


iv) Perawi mubham (yang tidak disebutkan namanya secara jelas).


Fasal-fasal yang disebutkan oleh al-Mizzi ini sangat membantu pembaca untuk mencari perawi yang dikehendaki yang terdapat dalam kitab ini.

8 – Al-Mizzi telah merujuk banyak kitab yang tidak dirujuk oleh pengarang kitab al-Kamal. Oleh itu kitab ini mempunyai maklumat yang jauh lebih banyak daripada kitab al-Kamal. Menurut kajian al-Sayyid Muhammad al-Sayyid Nuh, al-Mizzi telah menggunakan sebanyak 91 buah rujukan bagi menghasilkan kitab ini.

9 – Al-Mizzi juga telah melakukan penelitian dan semakan semula terhadap maklumat sejarah berkaitan perawi yang dikemukakan oleh pengarang al-Kamal sehingga dapat membetulkan maklumat yang silap.

10 – Al-Mizzi menggunakan beberapa rumus yang menjelaskan kedudukan perawi tersebut dalam kitab-kitab pengarang Kutub Sittah:

(ع) bagi perawi yang berada dalam Kutub Sittah.

(٤) Perawi dalam Sunan Arba’ah.

(خ) Perawi dalam Sahih al-Bukhari.

(م) Perawi dalam Sahih Muslim.

(د) Perawi dalam Sunan Abu Daud.

(ت) Perawi dalam Sunan al-Tirmizi.

(س) Perawi dalam Sunan al-Nasai’e.

(ق) Perawi dalam Sunan Ibnu Majah.

(خت) Perawi-perawi sokongan yang disebutkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq.

(بخ) Perawi dalam al-Adab al-Mufrad.

(ي) Perawi dalam Raf’u al-Yadain Fi al-Solah.

(عخ) Perawi dalam Khalq Af’al al-‘Ibad.

(ز) Perawi dalam al-Qira’ah Khalfa al-Imam.

 (مق) Perawi dalam mukadimah Sahih Muslim.

(مد) Perawi dalam al-Marasil karangan Abu Daud.

(قد) Perawi dalam al-Qadr.

(خد) Perawi dalam al-Nasikh Wa al-Mansukh.

(ف) Perawi dalam al-Tafarrud.

(صد) Perawi dalam Fadhail al-Ansar.

(ل) Perawi dalam al-Masail.

(كد) Perawi dalam Musnad Malik.

(تم) Perawi dalam al-Syamail karangan al-Tirmizi.

(سي) Perawi dalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah karangan al-Nasa’ie.

(كن) Perawi dalam Musnad Malik.

(ص) Perawi dalam Khasais Ali.

(عس) Perawi dalam Musnad Ali.

(فق) Perawi dalam al-Tafsir karangan Ibnu Majah.

11 - Al-Mizzi memulakan penulisan kitab ini pada 9 Muharram tahun 705H dan tamat pada hari raya Aidil Adha tahun 712H. Beliau mengambil masa selama hampir 8 tahun bagi menyiapkan kitab ini.

12 - Kitab ini telah diterbitkan oleh Muassasah al-Risalah dengan tahqiq Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf pada tahun 1982 sebanyak 35 jilid. 

13 - Kitab ini boleh dimuat turun di sini

Baca juga: 

Manhaj Kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi

Jumaat, 26 Mei 2023

Hadis Kelebihan Tidur Qailulah

Maksud Qailulah

Dari segi bahasa qailulah (القَيْلُولَة) bermaksud berehat pada pertengahan waktu siang, walaupun rehat tersebut tidak disertai dengan perbuatan tidur.

Waktu Tidur Qailulah

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu tidur qailulah. Sebahagian ulama menetapkan waktu qailulah adalah sebelum waktu zohor dan sebahagian lagi mengatakan waktunya selepas zohor.

Al-Khatib al-Syirbini dalam al-Iqna’ berkata: “Qailulah adalah tidur sebelum waktu zohor.”

Al-Munawi dalam Faidh al-Qadir berkata: “Qailulah adalah tidur di pertengahan  waktu siang ketika waktu gelincir matahari (yakni waktu zohor) atau hampir waktu gelincir matahari sama ada sebelumnya atau selepasnya.”

Hukum Tidur Qailulah

Hukum tidur qailulah adalah sunat terutamanya bagi orang yang ingin solat tahajjud.

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan: “Disunatkan bagi orang yang ingin bangun tahajjud untuk tidur qailulah, iaitu tidur sebelum waktu zawal (zohor). Ia adalah seperti sahur bagi orang yang berpuasa sebagaimana sabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam: Qailulah itu membantu (memudahkan) qiyamullail. Diriwayatkan oleh Abu Daud.”

Al-Munawi berkata: “Perbuatan golongan salaf dan khalaf (yang melakukan qailulah) itu menunjukkan bahawa qailulah itu adalah sesuatu yang dituntut agar membantu melaksanakan qiyamullail.”

Imam al-Ghazali berkata: “Sesungguhnya dituntut untuk melakukan qailulah untuk orang yang bangun malam dan berjaga malam bagi melakukan kebajikan kerana di dalamnya terdapat perkara yang membantu untuk melaksanakan tahajjud sebagaimana terdapat dalam sahur itu perkara yang membantu untuk puasa di siang hari. Maka qailulah tanpa bangun malam itu seumpama sahur tanpa puasa di siang hari.”

Hadis Kelebihan Qailulah

Hadis Pertama

اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ.

“Makan pada waktu sahur itu membantu puasa di siang hari dan qailulah itu membantu bangun malam (qiyamullail).”

Riwayat Ibnu Majah (no. 1693) daripada hadis Ibnu ‘Abbas dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 – Disunatkan makan sahur dan tidur qailulah agar dapat membantu tubuh badan supaya kuat dan cergas bagi melaksanakan ibadah puasa dan solat malam.

2 – Galakan untuk untuk melakukan apa sahaja perkara yang diharuskan syarak agar dapat membantu melaksanakan ibadah dengan mudah.

Hadis Kedua

قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ.

“Tidurlah qailulah kerana sesungguhnya syaitan tidak tidur qailulah.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Tib al-Nabawi (no. 151) dan Tarikh Asbahan (2/30) dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 – Galakan untuk tidur qailulah agar dapat menyelisihi perbuatan syaitan yang tidak tidur qailulah.

2 – Berusaha untuk melakukan setiap perkara yang menyelisihi perbuatan syaitan kerana ia adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam seperti kita dianjurkan untuk makan menggunakan tangan kanan kerana syaitan makan menggunakan tangan kiri.

Isnin, 3 April 2023

5 Hadis Kelebihan Berwuduk Sebelum Tidur

 

Hadis Pertama

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ.

Apabila kamu hendak datang ke tempat tidur kamu, maka berwuduk terlebih dahulu seperti wuduk kamu untuk mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (no. 247 & 6311) dan Muslim (no. 2710) daripada hadis al-Bara’ bin ‘Azib.

Pengajaran Hadis:

1 – Disunatkan berwuduk sebelum tidur dengan menyempurnakan rukun-rukun dan adab-adabnya sebagaimana berwuduk ketika hendak mengerjakan solat.

3 – Sunat berwuduk sebelum tidur itu adalah bagi orang yang berhadas. Namun begitu ada juga ulama yang berpendapat bahawa sunat juga memperbaharui wuduk bagi orang yang hendak tidur meskipun dia sudah dalam keadaan suci sebelum itu.

2 - Tidur itu seumpama mati dan boleh jadi juga rohnya akan dicabut ketika sedang tidur. Jadi seeloknya dia mengakhiri amalannya dengan berwuduk agar rohnya dicabut ketika jasadnya dalam keadaan suci dari hadas.

4 – Hikmah lain disunatkan berwuduk sebelum tidur itu supaya mimpinya ketika tidur itu adalah mimpi yang benar dan jauh daripada mainan syaitan.

Hadis Kedua

مَنْ بَاتَ طَاهِرًا، بَاتَ فِي شِعَارِهِ مَلَكٌ، فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِكَ فُلَانٍ، فَإِنَّهُ بَاتَ طَاهِرًا.

“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka seorang malaikat akan berada di dalam bajunya. Tidaklah orang tersebut bangun melainkan malaikat itu akan berdoa: Ya Allah ampunilah hambaMu si fulan ini kerana sesungguhnya dia tidur dalam keadaan suci."

Riwayat Ibnu Hibban dalam Sahihnya (no. 1051) daripada hadis Ibnu ‘Umar.

Hadis Ketiga

طَهِّروا هذِهِ الأجسادَ طَهَّرَكُمُ اللَّهُ فإنَّهُ ليسَ من عبدٌ يبيتُ طاهرًا إلَّا باتَ معَهُ في شعارِهِ ملَكٌ ولا ينقَلبُ ساعةً منَ اللَّيلِ إلَّا قالَ : اللَّهُمَّ اغفِر لعبدِكَ فإنَّهُ باتَ طاهرًا.

"Sucikanlah tubuh-tubuh kamu ini, semoga Allah menyucikan kamu semua kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci, melainkan seorang malaikat akan ikut berada bersamanya di dalam bajunya. Tidaklah dia membolak-balikkan tubuhnya di waktu malam kecuali malaikat itu berdoa: Ya Allah, ampunkanlah hambaMu ini kerana dia tidur dalam keadaan suci."

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (no. 5087) daripada hadis Ibnu ‘Abbas. Al-Munziri mengatakan sanadnya baik (jayyid) dan al-Haithami menghukumkan sanadnya sebagai hasan.

Pengajaran Hadis Kedua dan Ketiga

1 – Galakan tidur dalam keadaan berwuduk supaya mendapat doa pengampunan daripada malaikat. Sesungguhnya malaikat itu adalah makhluk Allah yang mustajab doanya.

2 – Malaikat suka untuk berdamping dengan orang yang sentiasa berada dalam keadaan suci.

3 – Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan menggalakan umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan suci.

Hadis Keempat

طَهِّروا هذِهِ الأجسادَ طَهَّرَكُمُ اللَّهُ فإنَّهُ ليسَ من عبدٌ يبيتُ طاهرًا إلَّا باتَ معَهُ في شعارِهِ ملَكٌ ولا ينقَلبُ ساعةً منَ اللَّيلِ إلَّا قالَ : اللَّهُمَّ اغفِر لعبدِكَ فإنَّهُ باتَ طاهرًا.

“Sesiapa yang pergi menuju ke tempat tidurnya dalam keadaan bersuci dan mengingati Allah hingga dia tertidur, maka tidaklah dia terbangun pada mana-mana waktu pada waktu malam tersebut untuk memohon sesuatu kepada Allah sama ada kebaikan dunia dan akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 3526) daripada hadis Abu Umamah al-Bahili. Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan gharib.”

Hadis Kelima

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا، فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ.

“Tiada seorang Muslim yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan bersuci, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, melainkan Allah akan memperkenankan hajatnya.”

Riwayat Abu Daud (no. 5042), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10642) dan Ibnu Majah (3881) daripada hadis Mu’az bin Jabal.

Pengajaran Hadis Keempat dan Kelima

1 – Disunatkan tidur dalam keadaan yang suci daripada hadas kecil dan besar.

2 – Galakan untuk mengingati Allah sebelum tidur sama ada dengan berzikir atau membaca al-Quran.

3 – Anjuran untuk menggunakan kesempatan terjaga di waktu tengah malam untuk berdoa kepada Allah bagi kebaikan dunia dan akhiratnya.

4 – Kelebihan orang yang bersuci dan berzikir sebelum tidur bahawa doanya akan dimakbulkan oleh Allah.

Ahad, 26 Mac 2023

Status Hadis: Baca Ya Azim Ketika Buka Puasa

Rasulullah bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَصُومُ وَيَقُولُ عِنْدَ إِفْطَارِهِ:

يَا عَظِيمُ يَا عَظِيمُ يَا عَظِيمُ، أَنْتَ إِلٰهِي، لَا إِلٰهَ غَيْرُكَ، ٱغْفِرْ لِي ٱلذَّنْبَ ٱلْعَظِيمَ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ  ٱلذَّنْبَ ٱلْعَظِيمَ إِلَّا ٱلْعَظِيمَ،

إِلَّا خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ. وَقَالَ رَسُولُ ٱللّٰهِ ﷺ: عَلِّمُوهَا عَقِبَكُمْ فَإِنَّهَا كَلِمَةٌ يُحِبُّهَا ٱللّٰهِ وَرَسُولُهُ وَيُصْلِحُ بِهَا أَمْرَ ٱلدُّنْيَا وَٱلْآخِرَةِ.

“Tidaklah seorang Muslim yang berpuasa dan membaca ketika berbuka puasa:

Wahai Tuhan Yang Maha Besar! Wahai Tuhan Yang Maha Besar! Wahai Tuhan Yang Maha Besar! Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau. Ampunkanlah dosaku yang besar. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa besar melainkan Tuhan Yang Maha Besar,

melainkan keluar dari  dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.

Sabda Rasulullah : “Ajarkanlah anak-anak kamu kerana ia merupakan kalimah yang disukai oleh Allah dan RasulNya dan akan membaikkan urusan dunia dan akhirat.”

Ulasan:

Hadis ini disebutkan oleh Facebook MasyyakhahTarekat Ahmadiah Idrisiah Asia.


Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (54/238) daripada hadis Anas bin Malik.

Setelah meriwayatkannya Ibnu ‘Asakir memberi komentar tentang hadis tersebut:

“Sangat pelik (syaz bi marrah) dan dalam sanadnya ada perawi-perawi yang majhul.”

Al-Hafiz al-Suyuti memuatkan hadis ini dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu beliau bertajuk Zail al-Laali al-Masnu’ah (no. 882) dan beliau membawakan komentar Ibnu ‘Asakir.

Ibnu ‘Arraq juga turut memuatkan hadis ini dalam kitab Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah dan komen beliau:

“Dalam sanadnya ada ‘Amru bin Jumai’ (عَمْرو بن جُمَيْع) dan perawi-perawi yang tidak dikenali.”

Amru bin Jumai’ ini menurut Yahya bin Ma’in: “Seorang penipu yang buruk.” Kata Ibnu Ma’in lagi: “Tidak boleh dipercayai.” Ibnu ‘Adi berkata: “Dituduh memalsukan hadis.” Al-Nasa’i berkata: “Ditinggalkan hadisnya (matruk al-hadith).” Al-Hakim berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada Hisyam bin ‘Urwah dan selainnya.” Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis munkar daripada perawi-perawi yang masyhur dan hadis-hadis palsu daripada perawi-perawi yang mantap.”

Selain itu, menurut pentahqiq kitab Zail al-Laali al-Masnu’ah dalam sanadnya ada beberapa orang lagi perawi yang bermasalah. Pertama, Ali bin Abi Talib al-Basri. Menurut Yahya bin Ma’in, dia tiada nilai (ليس بشيء). Kedua, Aban bin Abi ‘Ayash yang merupakan perawi yang matruk.

Kesimpulannya, hadis ini adalah hadis yang palsu dan tidak halal untuk disebarkan.