Selasa, 21 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Humazah

 

Surah al-Humazah adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membincangkan tentang orang-orang yang suka mencela manusia lain dan menjatuhkan maruah mereka melalui penghinaan, ejekan dan cemuhan.

Surah ini juga mengecam mereka yang terlalu sibuk mengumpul harta dan kekayaan, seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya di dunia ini. Oleh kerana kejahilan dan kelalaian mereka yang melampau, mereka menyangka bahawa harta mereka itu akan mengekalkan mereka di dunia.

Sebab mereka suka mengumpat, menghina, mencela dan meninggi diri terhadap orang lain adalah kerana harta dan panjangnya angan-angan mereka. Ini kerana kekayaan menimbulkan perasaan sombong dan kagum dengan diri sendiri. Mengumpulkan harta tanpa keperluan adalah tanda kesenangan nafsu dan terpesona dengan dunia, serta lalai dari kehidupan yang kekal di akhirat. Oleh sebab harta akan memanjangkan angan-angan dan memberi harapan yang palsu, bahkan sehingga terlalu lalai dengan dunia, pemilik harta menyangka hartanya akan mengekalkan hidupnya di dunia.

Allah Ta'ala menolak semua sangkaan dan anggapan ini kerana harta tidak meninggikan darjat seseorang dan tidak membenarkan pula dia mencela orang lain. Harta bukanlah seperti yang disangka boleh mengekalkan seseorang di dunia, bahkan yang kekal adalah ilmu dan amalan.

Surah ini diakhiri dengan menyebut nasib golongan yang malang dan celaka ini, di mana mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka yang tidak akan padam selama-lamanya, yang akan menghancurkan para pendosa dan sesiapa sahaja yang dicampakkan ke dalamnya daripada kalangan manusia, kerana ia adalah neraka Hutamah yang membinasakan dan memusnahkan tubuh hingga mencapai hati mereka. Pintu neraka itu ditutup rapat dan mengurung mereka dalam keadaan terikat pada tiang-tiang yang panjang.

Sinopsis Surah al-Fil

 

Surah al-Fil adalah surah Makkiyyah (yang diturunkan sebelum Hijrah) yang menceritakan kisah Tentera Bergajah (Ashabul Fil) ketika mereka berniat untuk merobohkan Kaabah yang mulia. Allah membalas semula perancangan jahat mereka dan melindungi rumah-Nya daripada penguasaan dan kezaliman mereka.

Allah menghantar kepada Abrahah dan tenteranya makhluk yang paling lemah iaitu burung-burung yang membawa batu-batu kecil di kaki dan paruhnya, namun ia lebih berbisa dan memusnahkan berbanding peluru yang membunuh, sehingga Allah membinasakan mereka semua. Kisah ini menunjukkan kemuliaan yang diberikan Allah kepada Kaabah dan nikmat-Nya kepada kaum Quraisy dengan menolak musuh daripada mereka. Maka sepatutnya mereka segera beriman dengan kerasulan Nabi Muhammad, menyembah Allah dan bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya.

Peristiwa bersejarah yang penting ini berlaku pada tahun kelahiran penghulu sekalian makhluk, Muhammad bin Abdullah iaitu pada tahun 570 Masihi dan ia merupakan merupakan salah satu petanda terbesar yang menunjukkan kebenaran kenabian baginda kerana dibolehkan mukjizat berlaku sebelum masa pengutusan sebagai asas dan tanda awal kenabiannya (irhas). 

Imam Abu Hayyan berkata: “Penolakan musuh yang besar pada tahun kelahirannya yang diberkati adalah tanda awal kenabiannya kerana kedatangan burung-burung dengan sifatnya yang diriwayatkan itu adalah sesuatu yang luar biasa dan mukjizat yang mendahului para nabi yang lain. Allah telah menggagalkan tipu daya mereka dan membinasakan mereka dengan tentera-Nya yang paling lemah, iaitu burung-burung yang bukan tabiatnya untuk membunuh.”

Jumaat, 17 Januari 2025

Sinopsis Surah Quraisy

 

Surah Quraisy adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang menceritakan tentang kurniaan Allah yang besar kepada kaum Quraisy, yang mana mereka telah diberikan nikmat keamanan dan kemudahan sewaktu mengadakan dua perjalanan untuk berdagang: Satu perjalanan ke Yaman pada musim sejuk dan satu perjalanan ke Syam pada musim panas. Allah juga telah memudahkan bagi mereka pelbagai jenis makanan dan minuman dari pelbagai negara untuk menghilangkan kelaparan dan pelbagai jenis perlindungan di Mekah daripada musibah yang menimpa orang lain seperti serangan musuh dan bencana.

Allah Ta'ala memerintahkan kaum Quraisy dalam surah ini untuk menyembah dan mengesakan Tuhan mereka yang telah menganugerahkan kepada mereka nikmat-nikmat yang banyak ini, antaranya:

1 - Kebinasaan tentera bergajah dan menghalang mereka daripada memasuki Mekah, sebagaimana mereka juga dibinasakan kerana kekufuran mereka. Ini merupakan penolakan terhadap bahaya besar yang pasti akan berlaku sekiranya tanpa pertolongan dan perlindungan Allah dan juga jaminan keamanan, keselamatan dan ketenteraman di sekitar Kaabah.

2 - Nikmat rezeki dan kecukupan keperluan hasil daripada perjalanan mereka ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syam pada musim panas untuk membawa pelbagai jenis barang dagangan seperti makanan dan pakaian, di samping mereka berasa aman daripada serangan orang Arab kerana mereka adalah penghuni Baitullah dan dianggap sebagai jiran-Nya.

3 - Nikmat keamanan dari ketakutan, sama sewaktu mereka berada di dalam Mekah di mana Allah telah menjadikan Mekah sebagai negeri yang aman, sedangkan orang-orang di sekitar mereka ditawan atau keamanan sewaktu mereka berada di luar Mekah iaitu ketika mereka bergerak untuk berniaga dan mencari rezeki.

4 - Nikmat adanya Baitullah atau Kaabah yang mulia sebagai tempat yang diagungkan dan disucikan oleh bangsa Arab dan menjadi asas kemuliaan dan kebanggaan mereka. Mereka telah dimuliakan dengan Baitullah melebihi bangsa Arab yang lain, maka Allah mengingatkan mereka akan nikmat ini.

Sesungguhnya nikmat-nikmat Allah kepada mereka tidak terhitung. Jika mereka tidak menyembah-Nya kerana nikmat-nikmat-Nya yang lain, maka hendaklah mereka menyembah-Nya kerana nikmat yang nyata ini iaitu kemudahan bagi mereka untuk melakukan dua perjalanan untuk berniaga.

Rabu, 15 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Mulk

 

Surah al-Mulk ialah antara surah-surah Makkiyah (diturunkan sebelum hijrah), dan seperti surah-surah Makkiyah yang lain, ia membahaskan dasar-dasar utama akidah Islam. Antara perkara pokok yang disentuh ialah pembuktian kewujudan Allah, keagungan dan kekuasaan-Nya ke atas segala sesuatu, pengemukaan dalil-dalil keesaan-Nya, serta peringatan tentang hari Kebangkitan, Pengumpulan dan Perhitungan.

Surah ini mengandungi tiga matlamat utama:

1 - Menetapkan keagungan Allah dan kekuasaan-Nya dalam menghidupkan dan mematikan.

2 - Mengemukakan dalil-dalil dan bukti-bukti keesaan Tuhan sekalian alam.

3 - Menjelaskan akibat bagi para pendusta yang ingkar terhadap hari kebangkitan dan pengumpulan manusia di padang Mahsyar.

Surah al-Mulk dimulakan dengan penegasan terhadap matlamat pertama, iaitu menjelaskan keagungan Allah dan kekuasaan-Nya. Dialah yang memiliki kerajaan dan pemerintahan seluruh alam, mentadbir segala makhluk dengan kehendak-Nya, menghidupkan dan mematikan siapa yang dikehendaki-Nya. Segala leher tunduk kepada keagungan-Nya dan segala dahi sujud di bawah kekuasaan-Nya.

Kemudian, surah ini mengemukakan dalil-dalil keesaan dan kekuasaan Allah melalui penciptaan tujuh lapis langit yang indah tersusun, dihiasi dengan planet-planet dan bintang-bintang bercahaya. Kesempurnaan sistem alam ini menunjukkan ilmu dan kebijaksanaan-Nya yang tiada cacat cela serta menjadi hujah kukuh bahawa Tuhan yang Esa sahajalah yang mencipta dan mentadbirnya. Di samping itu, Allah menundukkan bintang-bintang untuk merejam syaitan-syaitan, sebagai tanda kebesaran dan penjagaan-Nya terhadap langit.

Antara tanda kekuasaan dan keadilan Allah ialah penyediaan azab neraka Jahannam bagi orang-orang kafir yang mendustakan kebenaran, dan dalam masa yang sama memberi berita gembira kepada orang-orang beriman dengan keampunan serta ganjaran yang besar. Ini menzahirkan keseimbangan antara ancaman (al-tarhīb) dan galakan (al-targhīb) dalam gaya penyampaian al-Quran.

Surah ini turut menyingkap tanda-tanda ilmu, kekuasaan dan nikmat Allah seperti pengetahuan-Nya terhadap yang rahsia dan yang nyata, penciptaan manusia dan rezekinya, penundukan bumi agar manusia dapat hidup di atasnya dengan selesa, serta pemeliharaan langit dan bumi daripada bencana yang memusnahkan. Allah mengingatkan bahawa Dia berkuasa menurunkan azab sebagaimana yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang mendustakan para rasul. Termasuk juga dalam tanda kekuasaan-Nya ialah bagaimana burung dapat terbang di udara tanpa jatuh, serta cabaran Allah kepada manusia agar mencari penolong selain-Nya jika Dia menurunkan azab ke atas mereka.

Surah ini kemudian mengingatkan tentang keadaan orang-orang kafir ketika melihat neraka Jahannam yang menyala-nyala, hampir pecah kerana marah terhadap musuh-musuh Allah. Di situ digambarkan perbandingan antara kesudahan orang kafir dan orang beriman, agar manusia mengambil pelajaran dan kembali kepada jalan ketaatan.

Akhirnya, surah ini menutup dengan penegasan terhadap hari Kebangkitan, bahawa ilmu mengenainya hanyalah milik Allah semata-mata. Ia memberi amaran keras kepada mereka yang mendustakan seruan Rasul sallahu ‘alaihi wasallam, serta mengingatkan tentang azab yang bakal menimpa mereka apabila tiba ketentuan Allah. Ia juga mengisytiharkan kewajipan bertawakal kepada Allah semata-mata, dan diakhiri dengan ancaman halus tetapi mendalam, bahawa jika air yang mengalir di bumi hilang atau disusutkan, tiada sesiapa pun yang mampu mendatangkannya kembali selain Allah.

Kesimpulannya, Surah al-Mulk ialah surah yang membuktikan kewujudan dan keesaan Allah Ta‘ala melalui tanda-tanda kekuasaan dan ilmu-Nya di alam semesta. Ia juga membawa peringatan tentang kedahsyatan hari Kiamat, memperingatkan manusia tentang nikmat-nikmat Allah, dan menegaskan hubungan antara usaha mencari rezeki dengan kewajipan bertawakal kepada Allah. Surah ini memadukan antara dalil akal dan sentuhan rohani, antara ancaman dan rahmat, bagi mengukuhkan keimanan dan kebergantungan hamba kepada Penciptanya.

Sinopsis Surah al-Ma'un

 

Surah ini adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah), yang secara ringkas membicarakan tentang dua golongan manusia:

Golongan pertama: Orang kafir yang mengingkari nikmat Allah dan mendustakan hari perhitungan dan pembalasan terhadap amalan baik dan buruk yang dikerjakan di dunia dahulu.

Golongan kedua: Orang munafik yang tidak berniat mengerjakan amal untuk Allah, tetapi sekadar menunjuk-nunjuk dengan amalan dan solatnya.

Tentang golongan pertama: Allah menyebutkan antara sifat-sifat tercela mereka iaitu mereka menghina, menghalau, mengherdik serta mengusir anak yatim. Mereka tidak melakukan kebaikan walaupun sekadar mengingatkan kepada orang lain tentang bersedekah kepada orang miskin dan fakir. Jika menggalakkan orang lain untuk bersedekah pun dia tidak lakukan kerana sifat bakhilnya, maka sudah tentu dia sendiri lebih-lebih lagi enggan untuk bersedekah. Maka mereka tidak berbuat baik dalam ibadah kepada Tuhan mereka dan tidak berbuat baik kepada makhluk-Nya.

Tentang golongan kedua: Mereka adalah orang munafik yang lalai daripada melakukan solat dan tidak menunaikannya pada waktunya. Jika mereka melakukannya pun, maka mereka melakukannya hanya sekadar perbuatan luaran tanpa penghayatan dan untuk menunjuk-nunjuk dengan amal perbuatan mereka. Selain itu, mereka juga bersifat kedekut dalam memberi pertolongan kepada orang yang memerlukannya dan tidak membantu orang lain dalam perkara-perkara yang sudah menjadi kebiasaan untuk saling membantu seperti pemberian al-Ma'un (barangan keperluan asas) yang biasa dipinjam dan dimanfaatkan antara jiran tetangga.

Surah ini mengancam kedua-dua golongan ini dengan kehinaan, azab, dan kebinasaan, serta menarik perhatian pembaca kepada mereka dengan gaya celaan, kehairanan dan rasa takjub terhadap perbuatan mereka.

Selasa, 14 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Kauthar

 

Surah al-Kauthar ialah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membicarakan tentang kurniaan Allah yang besar kepada Nabi-Nya yang mulia dengan menganugerahkan kebaikan yang banyak dan nikmat yang agung di dunia dan akhirat, termasuklah sungai al-Kauthar di syurga serta kebaikan-kebaikan lain yang melimpah ruah.

Sebahagian musyrikin, munafik dan Yahudi mengejek Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atas kematian anak-anak lelakinya di Makkah dan Madinah, disebabkan kebencian mereka terhadap dakwah baginda dan keluarganya serta sangkaan mereka bahawa dakwah hanya akan diwarisi oleh anak-anak lelaki daripada bapa mereka. Maka, surah ini diturunkan untuk menyatakan bahawa Allah telah menggantikan kehilangan anak-anak baginda dengan sebuah sungai yang agung di syurga.

Surah ini juga menyeru Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam untuk terus mendirikan solat dan menyembelih korban sebagai tanda mendekatkan diri kepada Allah, bersyukur atas kurniaan-Nya, membantu golongan miskin dan mendorong umat Islam untuk melakukan kebaikan.

Surah ini diakhiri dengan berita gembira kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang kehinaan musuh-musuhnya, serta menggambarkan orang yang membenci baginda sebagai hina, rendah, dan terputus daripada segala kebaikan di dunia dan akhirat. Sebaliknya, nama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa dijulang tinggi di menara-menara azan dan mimbar-mimbar dan nama baginda yang mulia sentiasa meniti di bibir manusia, kekal hingga ke akhir zaman.

Isnin, 13 Januari 2025

Rabiah al-'Adawiyah - Wanita Zuhud dan Abid

 

Namanya

Nama beliau ialah Rabi’ah binti Ismail al-‘Atakiyyah al-Basriyyah dan terkenal dengan nama Rabi'ah al-'Adawiyah. Kunyah beliau ialah Ummu Amr atau Ummu al-Khair. Beliau adalah seorang wanita yang zuhud, ahli ibadah dan seorang yang khusyuk dalam ibadahnya.

Kitab Khas Tentangnya

Ibun al-Jauzi telah menulis sebuah kitab mengenai riwayat hidupnya.

Seorang Lagi Rabi’ah

Terdapat seorang Rabi’ah lain yang dikenali sebagai Rabi’ah al-Syamiyyah dari Syam yang hidup sezaman dengannya. Mungkin terdapat percampuran antara riwayat-riwayat tentang kedua-dua mereka. Rabi’ah al-Syamiyyah ini namanya juga Rabi’ah binti Isma’il dan merupakan isteri kepada Ahmad bin Abi al-Hawari. Ahmad bin Abi al-Hawari ini merupakan seorang yang soleh dan zuhud sehingga Imam Yahya bin Ma’in berkata penduduk Syam akan berdoa meminta hujan kepada Allah melaluinya.

Guru Kepada Syu’bah bin al-Hajjaj dan Sufyan al-Thauri

Sufyan al-Thauri selalu bertanya pelbagai masalah kepada Rabi'ah dan berpegang kepada pendapatnya serta suka akan nasihat dan doanya. Sufyan al-Thauri dan Syu'bah juga telah meriwayatkan sebahagian kata-kata hikmah daripada Rabi'ah.

Ja'far bin Sulaiman berkata: "Sufyan al-Thauri memegang tanganku dan berkata: Bawalah aku kepada guru yang mendidik itu (yakni Rabi’ah), kerana aku tidak merasa tenang jika berjauhan darinya. Maka apabila kami masuk ke tempatnya, Sufyan mengangkat tangannya dan berdoa: Ya Allah, aku memohon keselamatan. Rabi'ah menangis, lalu Sufyan bertanya: Apa yang membuatmu menangis? Rabi'ah berkata: Engkau telah menyebabkan aku menangis. Sufyan bertanya: Bagaimana begitu? Lalu Rabi'ah menjawab: Tidakkah engkau tahu bahawa keselamatan dari dunia adalah dengan meninggalkan apa yang ada di dalamnya sedangkan engkau masih bergelumang dengannya?"

Ja'far bin Sulaiman berkata: “Sufyan al-Thauri bertanya kepada Rabi’ah: Apakah cara paling dekat yang dapat dilakukan seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah? Maka Rabi’ah menangis dan berkata: Orang seperti aku ditanya tentang perkara ini? Cara paling dekat seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah Ta'ala adalah dengan menyedari bahawa dia tidak mencintai siapa pun selain Allah, sama ada di dunia mahupun di akhirat.”

Sufyan al-Thauri pernah bertemu dengan Rabi'ah al-Adawiyah yang ketika itu beliau berada dalam keadaan yang serba kekurangan. Maka Sufyan berkata kepadanya: "Wahai Ummu Amru, aku melihat keadaanmu sangat daif. Alangkah baiknya jika engkau pergi kepada jiranmu si fulan, mungkin dia dapat memperbaiki sebahagian keadaanmu yang aku lihat ini." Rabi'ah menjawab: "Wahai Sufyan, apa yang kau lihat dari buruknya keadaanku? Bukankah aku berada dalam Islam? Itulah kemuliaan yang tidak disertai kehinaan, kekayaan yang tidak disertai kemiskinan, dan rasa damai yang tidak disertai kesunyian. Demi Allah, aku sungguh malu untuk meminta dunia kepada Pemiliknya, maka bagaimana aku boleh memintanya kepada yang bukan pemiliknya?"

Sufyan kemudian berkata: "Aku tidak pernah mendengar kata-kata seperti ini."

Rabi'ah juga pernah berkata kepada Sufyan: "Sesungguhnya engkau hanyalah hari-hari yang terhitung. Apabila berlalu satu hari, maka sebahagian dirimu telah pergi. Hampir tiba masanya apabila sebahagian itu telah habis, maka habislah seluruhnya. Engkau mengetahui hal ini, maka beramallah."

Benci Kepada Dunia

Khalid bin Khidash meriwayatkan bahawa Rabi’ah pernah mendengar Salih al-Murri menyebut tentang dunia dalam ceramahnya, lalu beliau menyeru: "Wahai Salih, sesiapa yang mencintai sesuatu, dia akan banyak menyebutnya."

Bisyr bin Salih al-Ataki berkata: “Sekumpulan orang bersama Sufyan al-Thauri meminta izin untuk berjumpa dengan Rabi’ah. Mereka berbual-bual dengannya seketika dan menyebut tentang hal dunia. Apabila mereka beredar, Rabi’ah berkata kepada khadamnya: Apabila syeikh ini dan sahabat-sahabatnya datang lagi, jangan benarkan mereka masuk, kerana aku melihat mereka mencintai dunia."

Hammad berkata: “Aku dan Sallam bin Abi Muti' mengunjungi Rabi’ah, lalu Sallam mula bercakap tentang dunia. Rabi’ah berkata: "Sesungguhnya yang layak disebut-sebut hanyalah sesuatu yang benar-benar bernilai, adapun sesuatu yang tidak bernilai, maka tidak perlu disebut-sebut."

Beliau menolak pemberian orang kepadanya dengan berkata: "Aku tidak memerlukan dunia."

Karamahnya

Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ menyebutkan beberapa karamahnya:

Abu Yasar Misma' berkata: “Aku mengunjungi Rabi’ah, lalu beliau berkata: Kamu datang ketika aku ingin memasak nasi dan aku mengutamakan perbualan dengan kamu berbanding memasak nasi, tetapi apabila aku kembali ke periuk, nasi telah masak."

Riyah al-Qaisi berkata: “Aku dan Rabi’ah sering mengunjungi Syumait. Pada suatu hari, Rabi’ah berkata: Mari sini wahai anak muda. Rabi'ah memegang tanganku dan berdoa kepada Allah. Tiba-tiba muncul sebuah bekas hijau yang dipenuhi madu putih. Rabi’ah  berkata: Makanlah, demi Allah, ini bukanlah madu yang dihasilkan oleh lebah. Aku terkejut dengan kejadian itu, lalu bangun dan meninggalkannya.”

Keperibadiannya

Rabi'ah dilihat sering menangis dan bersedih.

Apabila beliau mendengar tentang neraka, beliau akan pengsan untuk seketika.

Setiap malam beliau akan memakai wangi-wangian dan mendatangi suaminya, lalu bertanya, "Adakah kamu mempunyai hajat?" Setelah menunaikan hajat suaminya, beliau akan bersuci dan beribadat sehingga pagi. Selepas kematian suaminya, beliau tidak berkahwin lagi kerana sibuk dengan ibadah.

Beliau akan berdiri untuk beribadat selepas solat Isyak sambil berkata: "Demi kemuliaan dan kebesaran-Mu, inilah kedudukan ku di hadapan-Mu selagi aku hidup."

Setelah mencapai usia 80 tahun, tubuhnya kurus kering seperti kantung air yang usang dan beliau hampir-hampir terjatuh apabila berjalan.

Kain kafannya sentiasa diletakkan di hadapannya.

Tempat sujudnya seperti kolam air disebabkan banyaknya air matanya.

Beliau juga pernah berkata: "Apa sahaja yang zahir daripada amal perbuatanku, aku tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang bererti."

Abdah binti Abi Syawal - yang berkhidmat kepada Rabiatul Adawiyah - berkata: “Rabi’ah beribadat sepanjang malam dan apabila fajar terbit, beliau akan tidur sebentar sehingga fajar menyinsing. Aku mendengarnya berkata: Wahai nafsu, berapa lama lagi engkau hendak tidur dan bila lagi engkau hendak bangun? Hampir tiba masanya engkau akan tidur dengan tidur yang tidak akan bangun daripadanya melainkan pada hari kebangkitan."

Rabi'ah al-'Adawiyah pernah berkata dalam munajatnya: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu?" Maka terdengar suara berkata kepadanya: "Kami tidak akan melakukan itu, maka jangan berprasangka buruk terhadap Kami."

Apabila malam menjelang, beliau akan naik ke atas atap rumahnya, lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, ketika suara-suara telah sunyi, pergerakan telah terhenti dan setiap kekasih bersama kekasihnya, aku bersendirian bersama-Mu, wahai Yang Maha Dicintai. Maka jadikanlah kesendirianku bersama-Mu pada malam ini sebagai pembebasan diriku daripada api neraka."

Rabi’ah juga sering berdoa: "Ya Allah, aku telah memaafkan orang yang menzalimiku, maka maafkanlah aku atas kezaliman yang pernah aku lakukan terhadap orang lain."

Beliau pernah berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku, aku tidak akan melepaskanmu jika engkau memberiku makanan yang haram.” Ayahnya bertanya: "Bagaimana jika aku tidak menemukan kecuali yang haram?" Beliau menjawab: "Kita bersabar di dunia menahan kelaparan adalah lebih baik daripada bersabar di akhirat menahan api neraka."

Nasihatnya

Beliau pernah berkata: "Istighfar kita memerlukan istighfar yang lain." Yakni kerana ketiadaan keikhlasan dalam istighfar tersebut.

Apabila beliau mendengar Sufyan berkata: "Alangkah sedihnya", beliau berkata kepadanya: "Katakanlah alangkah sedikitnya kesedihan, kerana jika engkau benar-benar bersedih, engkau tidak akan menikmati kehidupan."

Antara wasiatnya: "Sembunyikanlah amalan kebaikan kamu sebagaimana kamu menyembunyikan dosa-dosa kamu."

Seorang wanita pernah berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Rabi'ah menjawab: "Taatilah Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Seorang lelaki berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Dia menjawab: "Maka janganlah engkau derhaka kepada Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Dipinang Hartawan

Abu Sulaiman al-Hasyimi, yang memiliki hasil pendapatan harian sebanyak 80,000 dirham di Basrah, pernah mengutus surat kepada para ulama Basrah untuk meminta pandangan mereka mengenai seorang wanita yang patut dinikahinya. Para ulama sepakat mencadangkan Rabi'ah al-Adawiyah. Maka dia menulis surat kepada Rabi'ah:

"Sesungguhnya harta kekayaanku dari hasil dunia mencapai 80,000 dirham setiap hari dan tidak lama lagi akan genap menjadi 100,000, insyaAllah. Aku meminang dirimu untuk menjadi isteriku. Aku telah menyediakan sebagai mahar untukmu 100,000 dirham dan aku akan menambahkan jumlah itu dengan yang serupa. Maka balaslah suratku."

Rabi’ah menulis kepadanya:

"Sesungguhnya zuhud terhadap dunia memberikan ketenangan hati dan badan, sementara keinginan terhadapnya mewariskan kegelisahan dan kesedihan. Jika suratku ini sampai kepadamu, maka persiapkanlah bekalanmu, dahulukan amal untuk hari akhiratmu, jadilah wasiat bagi dirimu sendiri dan jangan serahkan wasiatmu kepada orang lain. Berpuasalah sepanjang hidupmu dan jadikanlah kematian sebagai waktu berbukamu. Demi Allah, aku tidak akan merasa bahagia jika Allah memberiku berkali-kali lipat daripada apa yang telah diberikan kepadamu, sehingga ia melalaikan aku daripada-Nya walaupun sekejap mata. Wassalam."

Kematiannya

Terdapat perbezaan pendapat ulama berkenaan tahun beliau meninggal dunia.

Menurut al-Hafiz al-Zahabi, dikatakan bahawa Rabi’ah al-Adawiyah hidup selama lapan puluh tahun dan meninggal dunia pada tahun 180 Hijrah.

Manakala menurut Imam Ibnu Khalikhan pula, Rabi'ah al-Adawiyah wafat pada tahun 135 Hijrah, seperti yang disebut oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab Shuzur al-'Uqūd. Namun, pendapat lain menyebut bahawa beliau wafat pada tahun 185 Hijrah.

Makamnya dikatakan terletak di luar kota Baitulmaqdis, di bahagian timurnya, di atas sebuah bukit yang dikenali sebagai Jabal al-Tur dan makamnya sering diziarahi. Namun menurut al-Yafi'i dalam Mir'ah al-Jinan, beliau berkata: "Aku mendengar dari sebahagian penduduk Baitulmaqdis menyebut bahawa yang dikebumikan di bukit itu adalah Rabiah yang lain, bukan Rabiah al-Adawiyah."

Dilihat Di Dalam Mimpi Selepas Kematiannya

Sebahagian orang berkata: "Aku pernah mendoakan Rabi'ah al-Adawiyah, lalu aku melihatnya dalam mimpi dan beliau berkata: Hadiah-hadiahmu sampai kepada kami di atas dulang-dulang daripada cahaya yang ditutupi dengan sapu tangan daripada cahaya."

Diriwayatkan juga apabila kematiannya menjelang, beliau memanggil khadamnya dan berkata: "Wahai ‘Abdah, jangan beritahu sesiapa tentang kematianku dan kafankan aku dengan jubah ini, iaitu jubah daripada bulu yang beliau pakai (untuk beribadat) ketika mata-mata manusia sudah tertidur."

Kata ‘Abdah: “Lalu kami mengafankannya dengan jubah tersebut dan selendang daripada bulu yang biasa dipakainya.

Kemudian selepas setahun atau lebih kurang, saya melihatnya dalam mimpi memakai pakaian sutera hijau dan selendang sutera hijau yang belum pernah aku lihat secantik itu. Aku bertanya: Wahai Rabiah, apa yang terjadi dengan jubah yang kami kafankan kamu dan selendang bulu itu?"

Beliau menjawab: "Demi Allah, ia telah ditanggalkan dariku dan digantikan dengan apa yang kamu lihat ini. Kain kafanku dilipat dan dimeterai, kemudian diangkat ke tempat yang tinggi untuk menyempurnakan pahalaku pada hari kiamat."

Aku bertanya kepadanya: "Untuk inikah kamu beramal semasa di dunia?"

Beliau menjawab: "Ini tidak seberapa berbanding apa yang aku lihat daripada kemuliaan Allah untuk para waliNya."

Aku bertanya lagi: "Apa yang terjadi kepada Ubaidah binti Abi Kilab?"

Beliau menjawab: "Jauh sekali, demi Allah dia telah mendahului kita ke darjat yang tinggi."

Aku bertanya: "Bagaimana boleh jadi begitu sedangkan pada pandangan manusia kamu lebih tinggi daripadanya?"

Beliau menjawab: "Dia tidak pernah peduli dalam apa jua keadaan dunia, pagi atau petang."

Aku bertanya: "Bagaimana pula dengan Abu Malik, maksud saya, Dhaigham?"

Beliau menjawab: "Dia menziarahi Allah bila-bila masa yang dia mahu."

Aku bertanya: "Apa yang terjadi kepada Bisyr bin Mansur?"

Beliau menjawab: "Wah wah, demi Allah dia diberi lebih daripada apa yang dia harapkan."

Aku bertanya: "Nasihatilah aku dengan sesuatu yang boleh mendekatkan aku kepada Allah."

Beliau menjawab: "Perbanyakkan zikir kepadaNya, hampir tiba masanya kamu akan bergembira dengan amalan itu dalam kubur kamu."

Rujukan:

1 - Al-Tabaqat al-Kubra oleh Imam Abdul Wahab al-Sya’rani.

2 - Al-Tabaqat al-Wusta oleh Imam  Abdul Wahab al-Sya’rani.

3 - Al-Wafi Bi al-Wafayat oleh Imam al-Safadi.

4 - Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

5 - Tarikh al-Islam oleh al-Hafiz al-Zahabi.

6 - Wafayat al-A’yan oleh Imam Ibnu Khalikan.

7 - Zikr al-Niswah al-Muta’abbidat al-Sufiyat oleh Imam Abi Abdul Rahman al-Sulami.