Rabu, 17 Disember 2025

Tafsir al-Mu'in: Surah al-Nas


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ١

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.”

Tafsir Ayat 1:

Katakanlah - wahai Rasulullah dan setiap mukmin daripada umatnya -: Aku berlindung dan memohon pemeliharaan dengan Pencipta manusia dan Pemelihara mereka menurut sistem pemeliharaan yang berperingkat dari satu keadaan ke satu keadaan, Yang Maha Kuasa satu-satunya untuk menolak kejahatan bisikan yang menggoda untuk melakukan keburukan-keburukan dan mengerjakan maksiat.

 مَلِكِ النَّاسِ٢

"Yang Menguasai sekalian manusia.”

 إِلَهِ النَّاسِ٣

"Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.”

Tafsir Ayat 2 dan 3:

Raja manusia, Yang Memerintah lagi Menguruskan mereka sekehendak-Nya, Yang Berhak untuk disembah - hanya Dia - oleh seluruh manusia, kerana Dia adalah Tuhan mereka, Pemilik mereka, dan Raja mereka, maka tiada sembahan yang sebenarnya selain-Nya.

 مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ٤

"Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam.”

 الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ٥

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.”

 مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ٦

"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

Tafsir Ayat 4, 5 dan 6:

Aku memohon perlindungan dengan-Nya Subhanahu daripada kejahatan syaitan yang berundur dan bersembunyi apabila seorang hamba mengingati Tuhannya.

Maka apabila dia lalai atau lupa, kembalilah syaitan lalu membisikkan di dalam dadanya.

(Iaitu) yang mencampakkan secara tersembunyi akan keburukan dan keraguan-raguan ke dalam dada manusia, daripada kalangan syaitan-syaitan jin dan manusia yang memalingkan manusia daripada jalan petunjuk.

Sumber:

Tafsir al-Mu’in – Syeikh Majid Makki.

Ahad, 14 Disember 2025

Kisah Taubat Daud al-Ta'i

Terdapat dua versi tentang kisah taubat Daud al-Ta'i:

Versi Pertama

Imam Ibnu Qudamah meriwayatkan dalam kitab al-Tawwabin daripada al-Himmani yang berkata:

“Permulaan taubat Daud al-Ta'i adalah apabila beliau masuk ke tanah perkuburan, lalu beliau mendengar seorang wanita di sisi sebuah kubur berkata:

مُقِيمٌ إِلَىٰ أَنْ يَبْعَثَ اللَّهُ خَلْقَهُ 
لِقَاؤُكَ لَا يُرْجَىٰ وَأَنْتَ قَرِيبُ
تَزِيدُ بِلًى فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ 
وَتُنْسَىٰ كَمَا تَبْلَىٰ وَأَنْتَ حَبِيبُ

Engkau (ahli kubur) tetap di sini sehinggalah Allah membangkitkan makhluk-Nya.

Pertemuan denganmu tidak lagi diharapkan, sedangkan engkau begitu dekat.

Engkau semakin hancur (dimakan tanah) setiap hari dan malam.

Engkau dilupakan sepertimana engkau binasa, padahal engkau dahulu seorang kekasih.”

Versi Kedua

Imam Abu Nu'aim menyebutkan dalam Hilyah al-Auliya’ satu sebab lain bagi taubat Daud al-Ta’i:

“Sesungguhnya sebab taubat Daud al-Ta'i ialah beliau biasa menghadiri majlis Abu Hanifah. Lalu Abu Hanifah berkata kepadanya: "Wahai Abu Sulaiman, adapun peralatannya (ilmu), kita telah menguasainya."

Maka Daud berkata: "Maka apa lagi yang tinggal?"

Abu Hanifah berkata: "Yang tinggal adalah beramal dengannya."

Daud al-Ta’i berkata: "Maka jiwaku mula mendorongku ke arah beruzlah dan bersendirian. Lalu aku berkata kepada jiwaku: (Tidak akan aku benarkan engkau mengasingkan diri) sehinggalah engkau boleh duduk bersama mereka (ahli ilmu) tetapi tidak menjawab walau satu pun persoalan."

Maka Daud al-Ta’i duduk bersama mereka selama setahun sebelum mengasingkan diri.

Daud al-Ta’i berkata: :Maka datanglah sesuatu persoalan, dan aku lebih berkeinginan untuk menjawabnya berbanding orang yang dahaga akan air, tetapi aku tidak menjawabnya."

Daud al-Ta’i berkata: "Maka selepas itu aku pun mengasingkan diri daripada mereka."

Daud al-Ta’i ingin melatih dirinya dengan ‘puasa’ yang paling sukar bagi seorang alim, iaitu ‘puasa’ daripada berbicara dan menonjolkan diri. Beliau tahu bahawa salah satu keseronokan terbesar seorang alim adalah menjawab soalan dan menunjukkan kepakarannya. Ini adalah pintu kepada riak, ujub (kagum pada diri sendiri), dan cinta kepada kemasyhuran.

_________________________________

Beliau ialah Daud bin Nusayr, Abu Sulaiman al-Ta'i al-Kufi.

Gelaran الطَّائِيِّ adalah nisbah kepada seorang tokoh bernama Tayy yang nama sebenarnya ialah Jalhamah bin Udad bin Zayd. Beliau adalah moyang kepada kabilah Tayy. Dinisbahkan kepadanya sekalian ramai manusia yang tidak terhitung banyaknya.

Daud al-Ta’i pada awalnya adalah antara orang yang melibatkan dirinya dengan ilmu, dan mempelajari Fiqh serta ilmu-ilmu lain. Beliau telah menuntut ilmu Fiqh daripada Abu Hanifah. Kemudian selepas itu, beliau memilih untuk beruzlah, dan lebih mengutamakan bersendirian dan bersunyi-sunyian, serta tekun beribadah dan bersungguh-sungguh padanya sehingga akhir hayatnya.

Imam Abu Nu'aim berkata: “Daud datang dari al-Sawad (kawasan luar bandar Iraq) dalam keadaan tidak mengerti (ilmu agama), maka beliau tidak henti-henti belajar dan beribadah sehinggalah beliau menjadi penghulu (ulama) di kalangan penduduk Kufah.”

Beliau datang ke Baghdad pada zaman khalifah al-Mahdi, kemudian kembali ke Kufah, dan di sanalah beliau meninggal dunia.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam kitab Taqrib al-Tahzib: "Daud bin Nusayr, Abu Sulaiman al-Ta'i, al-Kufi. Seorang yang thiqah (terpercaya), faqih (ahli fiqh), zahid (ahli zuhud). Dari generasi kelapan (iaitu: dari kalangan Tabi' Tabi'in). Meninggal dunia pada tahun 160 Hijrah, dan dikatakan: 165 Hijrah."

Antara kata-katanya: "Berpuasalah daripada dunia dan jadikanlah berbukamu padanya adalah kematian. Larilah daripada manusia sepertimana engkau lari daripada binatang buas. Bersahabatlah dengan orang-orang yang bertakwa jika engkau bersahabat, kerana sesungguhnya mereka adalah yang paling sedikit bebannya, dan paling baik pertolongannya. Janganlah engkau meninggalkan jemaah. Cukuplah ini bagimu jika engkau beramal dengannya."

Yusuf bin Asbath berkata: “Daud mewarisi dua puluh dinar, lalu beliau membelanjakannya dalam tempoh dua puluh tahun.”

Imam Abu Nu'aim berkata: “Daud biasa meminum al-fatit (roti yang dihancurkan dan dicampur air) dan tidak memakan roti (dalam bentuk kepingan). Beliau berkata: Antara mengunyah roti dan meminum bancuhan roti hancur, (ada masa untuk) membaca lima puluh ayat al-Quran.

Pada suatu hari, seorang lelaki masuk menemuinya, lalu berkata: Sesungguhnya di bumbung rumahmu ada sebatang kayu rasuk yang telah patah.

Lalu Daud berkata: Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku telah berada di dalam rumah ini selama dua puluh tahun, aku tidak pernah memandang ke arah bumbung.

Mereka (para salaf) membenci pandangan yang sia-sia sepertimana mereka membenci percakapan yang sia-sia.” 

Abu Muharib bin Dithar berkata: "Kalaulah Daud hidup dalam kalangan umat yang terdahulu nescaya Allah akan menceritakan kepada kita tentang kisahnya."

Selasa, 9 Disember 2025

Kisah Taubat al-Fudhail bin ‘Iyadh

Terdapat dua versi tentang kisah taubat al-Fudhail bin ‘Iyadh:

Versi Pertama

Imam Ibnu Qudamah meriwayatkan dalam kitab al-Tawwabin daripada Ali bin Khasyram yang berkata:

“Seorang lelaki dari kalangan jiran al-Fudhail bin 'Iyadh telah mengkhabarkan kepadaku , dia berkata:

Dahulu al-Fudhail merompak di jalanan seorang diri.

Pada suatu malam, dia keluar untuk merompak, tiba-tiba dia bertemu dengan sebuah kafilah yang telah sampai berhampiran dengannya pada waktu malam.

Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: "Lencongkanlah kita ke kampung ini kerana di hadapan kita ada seorang lelaki yang merompak di jalanan, yang dikenali sebagai: al-Fudhail."

Al-Fudhail mendengarnya, dan dia gementar seraya berkata: "Wahai kalian! Akulah al-Fudhail, teruskanlah perjalanan. Demi Allah, sesungguhnya aku akan bersungguh-sungguh untuk tidak lagi menderhakai Allah selama-lamanya."

Lalu dia bertaubat daripada apa yang dilakukannya sebelum ini.”

Diriwayatkan dari sanad yang lain bahawa beliau telah melayani mereka sebagai tetamunya pada malam itu dan berkata: "Kamu semua selamat daripada al-Fudhail."

Beliau keluar untuk mencari makanan ternakan untuk mereka, kemudian beliau kembali lalu mendengar seorang qari membaca:

 ﴿أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ﴾.

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan Allah." (Surah al-Hadid, ayat 6)

Al-Fudhail berkata: "Bahkan, demi Allah, sesungguhnya masanya telah tiba."

Maka inilah permulaan taubatnya.

Versi Kedua

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan dalam Tahzib al-Tahzib satu sebab lain bagi taubatnya, beliau berkata:

“Al-Fadl bin Musa berkata:

"Dahulu al-Fudhail bin 'Iyadh ialah seorang perompak yang merompak di jalanan antara Abiward (Turkmenistan) dan Sarakhs (Iran).

Sebab taubatnya ialah beliau telah jatuh cinta dengan seorang gadis. Ketika beliau sedang memanjat dinding untuk menemuinya, tiba-tiba beliau mendengar seorang qari membaca:

﴿أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ﴾.

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan Allah." (Surah al-Hadid, ayat 6)

Apabila beliau mendengarnya, beliau berkata: "Bahkan, wahai Tuhanku, sesungguhnya masanya telah tiba."

Lalu beliau berpatah balik. 

Malam tersebut telah membawanya untuk berlindung di sebuah runtuhan, dan ternyata di dalamnya terdapat sekumpulan musafir. Sebahagian mereka berkata: "Mari kita berangkat", dan sebahagian yang lain berkata: "Tunggu sehingga pagi kerana Fudhail ada di jalanan dan dia akan merompak kita."

Fudhail berkata: "Aku lalu berfikir. Aku berkata (kepada diriku): "Aku berusaha pada waktu malam untuk melakukan maksiat, dan sekumpulan orang Islam di sini pula takut kepadaku. Aku tidak merasa Allah membawaku kepada mereka melainkan supaya aku insaf. Ya Allah, sesungguhnya aku telah bertaubat kepada-Mu, dan aku menjadikan taubatku ini dengan menetap di Baitul Haram (Mekah)."

___________________

Beliau ialah al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas'ud bin Bisyr al-Tamimi al-Yarbu'i, seorang zahid yang masyhur. 

Beliau berasal dari Khurasan, Iran dan menetap di Mekah. 

Beliau seorang yang thiqah (dipercayai), ahli ibadah, seorang imam, dari kalangan Tabi’ Tabi'in. 

Beliau berguru dengan beberapa orang ulama seperti Ja’far al-Sadiq, al-A’masy, Laith bin Sa’ad, Ibnu Abi Laila dan lain-lain.

Murid beliau seperti Imam al-Syafi’i, Abdullah bin al-Mubrak, Abdul Rahman bin Mahdi, Sufyan bin ‘Uyainah, al-Sari al-Saqti dan lain-lain.

Abdullah bin al-Mubarak pernah berkata: "Tidak ada lagi yang tinggal di muka bumi ini pada pandanganku, orang yang lebih utama daripada al-Fudhail bin 'Iyadh."

Muhammad bin 'Abduwaih berkata tentangnya: "Kami apabila keluar bersama al-Fudhail mengiringi jenazah, beliau tidak henti-henti memberi nasihat, mengingatkan (kepada akhirat) dan menangis. Seolah-olah dia ingin mengucapkan selamat tinggal kepada para sahabatnya dan akan berangkat ke akhirat, sehinggalah kami sampai ke perkuburan. 

Apabila tiba di sana, beliau akan duduk, maka seolah-olah beliau duduk di antara orang-orang yang telah mati kerana terlalu sedih dan menangis, sehinggalah beliau bangun dan seolah-olah beliau telah kembali dari akhirat lalu menceritakan tentangnya."

Antara ucapan beliau yang masyhur ialah: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak, dan beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas ialah Allah menyelamatkanmu daripada kedua-duanya."

Beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 187 Hijrah, dan dikatakan sebelum itu.

Isnin, 8 Disember 2025

Kenapa Ada Ulama Membujang?

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menyebutkan dalam kitab al-‘Ulama al-Uzzab (hlm. 9-10):

Sebelum saya mengemukakan khabar-khabar (kisah para ulama yang membujang) tersebut, saya rasa elok untuk membahaskan tentang justifikasi yang menjadi sebab para ulama besar ini memilih untuk membujang, sekalipun mereka mengetahui hukum-hakam perkahwinan dan kelebihannya, serta bahaya-bahaya dan kesukaran-kesukaran hidup membujang, lebih-lebih lagi tiada nas sahih daripada Syarak yang menggalakkan hidup membujang.

Maka, apakah yang mendorong mereka untuk meninggalkan perkahwinan? Sedangkan mereka tidak jahil tentang hukum-hakam nikah dan segala galakan berkaitan dengannya, bahkan para ahli fekah di kalangan mereka telah menegaskannya dalam kitab-kitab dan karya-karya mereka.

Jawapan bagi keadaan mereka ini – dan Allah lebih mengetahui - ialah ia merupakan suatu jalan (cara hidup) peribadi yang bersifat individu, yang mereka pilih untuk diri mereka sendiri. Mereka membuat pertimbangan tentang perkara tersebut dengan pandangan mata hati mereka yang khusus, antara kebaikan perkahwinan dan kebaikan ilmu yang mereka tekuni. Lalu di sisi mereka, kebaikan ilmu lebih utama daripada kebaikan perkahwinan untuk mereka. Maka, mereka mendahulukan satu tuntutan ke atas tuntutan yang lain.

Mereka tidak pernah menyeru seorang pun untuk mencontohi mereka dalam jalan ini, tidak pula mereka berkata kepada orang ramai: “Menumpukan diri untuk ilmu adalah lebih baik daripada perkahwinan”, dan tidak juga “apa yang kami amalkan adalah lebih baik daripada apa yang kamu amalkan”.

Mereka tidaklah mengikuti jalan sebahagian ahli hikmah dan ahli falsafah dalam meninggalkan perkahwinan, yang berpendapat bahawa mendapatkan anak adalah satu jenayah ke atasnya!

Ibn Khallikan berkata dalam Wafayat al-A'yan, dalam biografi Abu al-'Ala' al-Ma'arri (Ahmad bin Abdullah), seorang penyair, ahli bahasa dan ahli falsafah yang masyhur:

“Dan telah sampai kepadaku bahawa beliau berwasiat agar ditulis di atas kuburnya bait syair ini:

هَذَا جَنَاهُ أَبِي عَلَيَّ وَمَا جَنَيْتُ عَلَى أَحَدٍ

Inilah jenayah ayahku ke atasku, dan aku tidak berbuat jenayah ke atas sesiapapun.

Bait syair ini berkaitan dengan kepercayaan para ahli hikmah, kerana mereka berkata: Mewujudkan anak dan mengeluarkannya ke dunia ini adalah satu jenayah ke atasnya, kerana dia akan terdedah kepada musibah dan malapetaka.”

Jauh sekali mereka (para ulama) daripada semua ini. Sebaliknya, mereka memilih untuk meninggalkan perkahwinan untuk diri mereka sendiri sebagai satu pilihan peribadi, dan telah jelas bagi mereka jalan keselamatan daripada bencana-bencana dan keburukan-keburukan hidup membujang, dengan pemeliharaan yang Allah Taala kurniakan kepada mereka berupa takwa, iman dan ilmu.

Tiada apa yang menjauhkan mereka daripada perkahwinan yang tertanam dalam fitrah (manusia), menuju kepada kehidupan membujang yang diketahui akan kesukaran dan kepayahannya, melainkan kerinduan yang semakin meluap-luap terhadap ilmu. Ilmu yang kerananya semangat mereka berkobar-kobar dengan rasa terikat, cinta, dan usaha memperolehinya, serta menghimpun, menyebar dan mencatatnya, sehinggalah ilmu bagi mereka menjadi seperti roh bagi jasad, air bagi dahan yang menghijau, dan udara bagi kehidupan manusia. Mereka tidak sanggup berpisah daripadanya, dan tidak tahan untuk melepaskan peluang memperoleh walau sebahagian kecil daripadanya yang mampu mereka peroleh. Maka, ilmu bagi mereka berada di kedudukan makanan dan ubat sekaligus.

Mereka melihat perkahwinan - sekalipun dengan segala kebaikan dan kelebihannya - sebagai satu faktor penghalang yang besar daripada mencapai matlamat yang mulia dan tinggi ini, dan sebagai satu belenggu yang menghalang mereka daripada berinteraksi dan menumpukan sepenuh jiwa raga kepada ilmu dan pencapaiannya yang amat dicintai dan berharga.

Maka, mereka mendahulukan kebaikan yang lebih umum ke atas kepentingan peribadi mereka secara umumnya, sebagai ijtihad daripada mereka bahawa yang demikian itu lebih menguntungkan bagi mereka dari segi pencapaian (ilmu), dan merupakan jalan yang lebih utama untuk menambah keredaan Allah. (Tamat nukilan)

Kesimpulan:

1 - Keputusan para ulama untuk tidak berkahwin adalah satu ijtihad peribadi yang mereka pilih untuk diri sendiri, dan mereka tidak pernah menyeru orang lain untuk mencontohi mereka.

2 - Mereka membuat satu penilaian antara dua perkara yang baik: kebaikan perkahwinan (mengikut fitrah dan sunnah) dan kebaikan menuntut serta menyebarkan ilmu.

3 - Dalam pertimbangan peribadi mereka, kebaikan dan manfaat menumpukan seluruh hidup untuk ilmu dianggap lebih utama dan lebih menguntungkan untuk jalan mereka mencari keredhaan Allah.

4 - Alasan mereka bukanlah kerana pesimisme terhadap kehidupan atau menganggap melahirkan anak sebagai satu "jenayah", seperti pandangan sebahagian ahli falsafah.

5 - Pendorong utama mereka adalah kerinduan dan cinta yang meluap-luap kepada ilmu, yang mengatasi tarikan fitrah untuk berkahwin.

6 - Mereka mampu menanggung kesukaran hidup membujang kerana mendapat pemeliharaan khas daripada Allah melalui perisai takwa, iman, dan kesibukan mereka yang penuh dengan ilmu.

Ahad, 7 Disember 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (16) – Lafaz-lafaz Jarh dan Ta'dil dan Martabat-martabatnya

Para ulama yang pakar telah menetapkan lafaz-lafaz khusus bagi Jarh dan Ta'dil yang bersesuaian dengan keadaan perawi dari segi jujur dan dustanya.  Hal ini disebabkan oleh kehalusan topik ini dan kesukarannya untuk sampai kepada maksud yang dikehendaki.

Lafaz-lafaz Jarh dan Ta'dil adalah sangat banyak sehinggakan sukar untuk disenaraikan dan dihimpunkan. Ia juga mempunyai pelbagai martabat dan darjat. Begitu juga ada di antaranya yang difahami daripada aspek bahasa, dan ada yang diketahui melalui penelitian dan kajian induktif, dan ada pula istilah-istilah khusus yang tidak dapat diketahui maknanya melainkan dengan nas (penyataan jelas) daripada pengucapnya sendiri atau daripada orang lain, dan lain-lain lagi.

Sesiapa yang meneliti kitab-kitab Jarh dan Ta'dil - khususnya yang berjilid-jilid tebal - akan melihat di dalamnya huraian bagi banyak ungkapan, atau penjelasan tentang martabat-martabatnya dari segi boleh diterima atau ditolak, atau disebut sebahagian daripada pembahagiannya. Ini sukar untuk diketahui oleh ramai orang. Oleh itu, timbullah keperluan yang mendesak untuk menetapkan kaedah-kaedah umum bagi martabat-martabat lafaz tersebut dan penjelasan hukum-hukumnya.

Maka datanglah imam bidang ini, Ibn Abi Hatim al-Razi (meninggal dunia pada tahun 327 H) dan beliau telah memperincikan tingkatan-tingkatan lafaz mereka dengan baik dan cemerlang.

Beliau diikuti oleh Imam Ibn al-Salah al-Syahrazuri (meninggal dunia pada tahun 643 H). Kemudian datanglah para imam selepas mereka seperti: Al-Hafiz al-Mu'arrikh (sejarawan) Syamsuddin al-Zahabi (meninggal dunia pada tahun 748 H), al-Hafiz Zainuddin al-'Iraqi (meninggal dunia pada tahun 806 H), al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (meninggal dunia pada tahun 852 H), dan al-Hafiz al-Mu'arrikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Sakhawi (meninggal dunia pada tahun 902 H), lalu mereka menambah atas apa yang telah disebutkan oleh Ibn Abi Hatim.

Cukup di sini hanya disebutkan pembahagian enam peringkat bagi lafaz-lafaz Jarh dan Ta'dil, serta martabat-martabatnya, menurut apa yang telah dipilih oleh al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullahu Ta'ala  yang telah menjadikan martabat-martabat Ta'dil sebanyak enam, dan martabat-martabat Jarh sebanyak enam. Pembahagian ini lebih mudah untuk menghukum sesuatu hadis.

Selepas ini akan disebutkan lafaz-lafaz bagi setiap martabat berserta hukumnya, bermula daripada martabat Ta'dil yang tertinggi.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Baca juga:

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (17) – Peringkat-Peringkat Ta'dil

Jumaat, 5 Disember 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (15) – Hukum Pertembungan Jarh dan Ta'dil


(a) Pertembungan Jarh dan Ta'dil pada Seorang Perawi

Apabila bertembung Jarh (kritikan) dan Ta'dil (pujian) pada seorang perawi, dengan adanya kritikan dan pujian mengenainya, maka terdapat beberapa pendapat yang telah disebutkan oleh para ulama.

Pendapat yang sahih yang dinukilkan oleh al-Khatib al-Baghdadi daripada jumhur ulama, dan disahihkan oleh Ibn al-Salah dan selain mereka daripada kalangan ahli hadis, serta sekumpulan ahli usul fiqh: kritikan (jarh) didahulukan ke atas pujian (ta'dil), walaupun bilangan orang yang memuji (mu'addilun) lebih ramai, kerana orang yang memuji (mu'addil) memberitahu tentang keadaan (perawi) yang zahir, manakala orang yang mengkritik (jarih) memberitahu tentang perkara dalaman (batin) yang tersembunyi daripada pengetahuan orang yang memuji.

Akan tetapi, kaedah ini tidaklah mutlak dalam mendahulukan kritikan, kerana kita dapati mereka (para ulama) mendahulukan pujian ke atas kritikan dalam banyak keadaan. Kita boleh katakan: Sesungguhnya kaedah ini terikat dengan syarat-syarat berikut:

1 - Kritikan (jarh) itu dihuraikan (mufassar), serta memenuhi segala syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama dalam bidang ini.

2 - Si pengkritik tidak bersikap taasub (fanatik) terhadap orang yang dikritik, atau terlalu keras dalam kritikannya.

Maka tidak diterima perkataan al-Nasa'i terhadap Ahmad bin Salih al-Masri kerana perselisihan yang wujud antara mereka.

3 - Si pemuji menjelaskan bahawa kritikan itu tertolak daripada perawi tersebut, dan membuktikannya dengan dalil yang sahih.

Contohnya: Thabit bin 'Ajlan al-Ansari, al-'Uqaili berkata: “Tiada sokongan bagi hadisnya (la yutaba' 'ala hadithihi).”

Abu al-Hasan bin al-Qattan mengulasnya dengan menyatakan bahawa perkara itu tidak memudaratkannya melainkan jika dia banyak meriwayatkan hadis-hadis munkar dan menyalahi perawi-perawi yang thiqah (terpercaya), dan al-Hafiz Ibn Hajar bersetuju dengannya, lalu berkata:  “Ia adalah sebagaimana yang dikatakannya.”

Ini menunjukkan bahawa perbezaan sudut pandang para pengkritik membawa kepada perbezaan mereka dalam kritikan (jarh) dan pujian (ta'dil). Oleh itu, al-Hafiz al-Dhahabi berkata: “Tidak pernah bersepakat dua orang ulama dalam bidang ini sama sekali untuk menganggap thiqah seorang perawi yang lemah, dan tidak pula untuk melemahkan seorang perawi yang thiqah.”

Maksudnya: kerana seorang perawi yang thiqah apabila dilemahkan, ia adalah berpunca daripada memandang suatu sebab yang tidak mencacatkan (tidak sampai menjadi sebab jarh), dan seorang perawi yang lemah apabila dianggap thiqah, maka pengiktirafannya sebagai thiqah itu adalah berpunca daripada hanya mengambil kira zahir luaran semata-mata.

Maka, ketahuilah akan syarat-syarat yang telah disebutkan bagi kaedah “mendahulukan kritikan" ini, kerana sesungguhnya telah tergelincir kaki ramai para pengkaji disebabkan kelalaian mereka terhadap syarat dan perincian ini, disebabkan sangkaan mereka bahawa kritikan secara mutlak - apa jua kritikan sekalipun - didahulukan ke atas pujian secara mutlak - apa jua pujian sekalipun, daripada mana-mana pemuji sekalipun, terhadap mana-mana perawi sekalipun - lalu mereka jatuh ke dalam kesilapan disebabkan hal itu.

(b) Pertembungan Jarh dan Ta'dil daripada seorang pengkritik yang sama terhadap perawi yang sama:

Kadang-kadang bertembung kritikan (jarh) dan pujian (ta'dil) daripada seorang pengkritik yang sama terhadap seorang perawi yang sama, dan sebab bagi pertembungan ini adalah perubahan hukum si pengkritik mengikut perubahan keadaan perawi, atau kerana perubahan ijtihad si pengkritik, atau kritikan itu disebut sekali secara perbandingan dengan perawi lain, dan pada kali yang lain disebut secara tersendiri tanpa perbandingan.

Abu al-Walid al-Baji berkata: “Ketahuilah bahawa kadang-kadang seorang pemuji (mu'addil) berkata: Si fulan itu thiqah (terpercaya), tetapi dia tidak bermaksud bahawa dia termasuk orang yang hadisnya dijadikan hujah, dan dia berkata: Si polan itu tidak mengapa (la ba'sa bih), tetapi dia bermaksud bahawa hadisnya boleh dijadikan hujah. Sesungguhnya ia bergantung kepada konteksnya, dan bentuk soalan yang diajukan kepadanya...

Telah disebutkan kepada Abu Abd al-Rahman al-Nasawi (bahawa) Ibn Wahb melebihkan al-Layth ke atas Malik, lalu beliau berkata: Apa sangat yang ada pada al-Layth! Kalaulah bukan kerana Allah memeliharanya, nescaya dia sudah menjadi seperti Ibn Lahi'ah (perawi yang hafalannya bercampur aduk).

Tiada perselisihan bahawa al-Layth adalah seorang yang thiqah (terpercaya) dan teliti (tathabbut), tetapi beliau (al-Nasawi) hanyalah mengingkari (pendapat yang) melebihkannya ke atas Malik, atau menyamakannya dengan Malik...

Maka berdasarkan hal ini, lafaz-lafaz jarh dan ta'dil itu difahami oleh orang yang mengerti akan perkataan-perkataan dan tujuan-tujuan mereka, dan hal itu tidak akan (difahami) melainkan oleh sesiapa yang tergolong dalam kalangan ahli bidang ini (ahl al-sina'ah), dan yang berilmu tentangnya.

Adapun sesiapa yang tidak mengetahui hal itu, dan tidak ada padanya pengetahuan tentang keadaan para ahli hadis melainkan apa yang diambilnya daripada lafaz-lafaz jarh dan ta'dil semata-mata, maka sesungguhnya dia tidak mampu untuk meletakkan lafaz-lafaz itu pada kedudukannya yang sebenar.”

Kadar pertembungan jarh dan ta'dil daripada seorang pengkritik yang sama terhadap seorang perawi yang sama adalah sangat sedikit.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri 

Baca juga: 

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (16) – Lafaz-lafaz Jarh dan Ta'dil dan Martabat-martabatnya

Rabu, 3 Disember 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (14) – Jarh Mubham

Jarh mubham (kritikan yang samar) - dan ia juga dinamakan: jarh mujmal -: iaitu kritikan tanpa menyatakan sebab kritikan itu.

Contoh jarh mubham ialah perkataan mereka (ahli hadis): “Si fulan itu lemah”, atau “si fulan itu tidak adil”, atau “si polan itu fasik”.

Contoh jarh yang dinyatakan sebabnya ialah perkataan mereka: “Si fulan itu buruk hafalannya”, atau “si fulan itu seorang pencuri”, atau “si fulan itu seorang penuduh zina (tanpa saksi)”.

Metodologi para ahli hadis dalam menerima jarh adalah lebih ketat daripada menerima ta’dil kerana manusia berbeza pendapat dalam hal menggugurkan sifat adil, dan dalam menghukum sebagai fasik dengan sebab yang paling remeh.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Mazhab-mazhab para pengkritik perawi adalah sukar difahami dan teliti. Kadang-kadang sebahagian mereka mendengar tentang seorang perawi sesuatu aib yang kecil, lalu dia berhenti daripada berhujah dengan riwayatnya, walaupun apa yang didengarinya itu tidak memestikan penolakan hadis tersebut, dan tidak pula menggugurkan sifat adilnya.”

Maka mereka sangat ketat dalam menerima riwayat, sehinggakan daripada orang-orang yang melakukan perkara-perkara harus, seperti duduk di jalanan, makan di pasar, berjalan tanpa menutup kepala, dan berlebih-lebihan dalam bergurau dan bersenda.

Disebabkan sikap yang amat ketat dan ketelitian yang mendalam dalam kritikan terhadap periwayatan hadis ini, para ulama telah berselisih pendapat mengenai penerimaan kritikan yang samar kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama:

Jarh yang samar tidak diterima, dan ini kerana dua sebab:

Yang pertama: Jarh itu berlaku dengan satu perkara, maka tidaklah sukar untuk menyatakannya.

Yang kedua: Manusia berbeza pendapat mengenai sebab-sebab jarh. Maka seseorang mengkritik dengan suatu perkara yang tidak dianggap sebagai jarh oleh orang lain pada hakikatnya, oleh itu perlulah dinyatakan sebab jarh itu agar ia jelas di hadapan para ulama.

Imam al-Syafi'i berkata: “Wajib menyatakan sebab jarh, tidak pada pujian (ta'dil), kerana kadang-kadang seseorang mengkritik dengan sesuatu yang tidak dianggapnya sebagai jarh disebabkan perbezaan mazhab mengenainya.”

Pendapat Kedua:

Menerima jarh tanpa menyatakan sebabnya jika si pengkritik itu seorang yang alim tentang sebab-sebab jarh.

Al-Suyuti berkata: “Ini adalah pilihan Qadhi Abu Bakar al-Baqillani, dan beliau menukilkannya daripada jumhur (majoriti ulama), dan ia dipilih oleh al-Ghazali, al-Razi, al-Khatib, dan disahihkan oleh Abu al-Fadl al-'Iraqi dan al-Bulqini.”

Si pengkritik itu tidak terlepas daripada salah satu daripada dua keadaan: sama ada dia seorang yang alim tentang sebab-sebab jarh, maka orang ini tidak dipertanggungjawabkan untuk menghuraikan apa yang telah disebutkannya secara ringkas mengenai jarh terhadap seseorang, dan hukumnya adalah seperti seorang yang adil yang tidak diminta penjelasan tentang apa yang menyebabkan orang yang dipuji itu menjadi adil di sisinya, kerana apabila kita meminta penjelasan daripada si pengkritik, ini mewajibkan kita untuk berburuk sangka dan menuduhnya jahil tentang apa yang menjadikan orang yang dikritik itu layak dikritik. Adapun jika si pengkritik itu orang awam, maka wajib tanpa ragu untuk meminta penjelasannya.

Jelas daripada penjelasan ini bahawa kritikan jika datang daripada seorang alim, ia tidak memerlukan penjelasan. Termasuk dalam bab ini adalah ungkapan-ungkapan jarh dalam kitab-kitab hadis yang hanya mencukupkan dengan lafaz yang umum (mujmal).

Kesimpulan:

Pendapat yang hati ini cenderung kepadanya mengenai jarh yang samar adalah apa yang dikatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullahu Ta'ala:

“Jika orang yang dikritik secara umum itu telah dianggap thiqah oleh salah seorang imam dalam bidang ini, maka kritikan terhadapnya tidak akan diterima melainkan dengan huraian. Jika dia tidak mendapat sebarang pujian, maka kritikan terhadapnya diterima walaupun tanpa huraian, jika ia datang daripada seorang yang arif (tentang sebab-sebab jarh).”

Bahkan lebih jauh daripada itu, kita hendaklah mengkaji keadaan si pengkritik dan si pemuji, adakah dia seorang yang terlalu ketat (mutasyaddid), atau sederhana (mutawassit), atau terlalu longgar (mutasahil)? Adakah dia bersikap taasub terhadap orang yang dikritik, atau tidak? Dan lain-lain lagi daripada perkara-perkara berkaitan psikologi yang mana dengan memberi perhatian kepadanya boleh membimbing kita kepada hakikat sebenar orang yang dikritik, atau yang dipuji.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri 

Baca juga: 

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (15) – Hukum Pertembungan Jarh dan Ta'dil