Peringkat Pertama:
Ia merupakan peringkat yang paling tinggi kemuliaannya,
iaitu peringkat para Sahabat, semoga Allah meredai mereka.
Hukumnya:
Para Sahabat kesemuanya adalah ‘adil di sisi jumhur majoriti
ulama, hadis mereka diterima, dan dijadikan hujah tanpa sebarang keraguan.
Makna ‘mereka adalah ‘adil’ ialah: keistiqamahan
mereka di atas agama, kepatuhan mereka terhadap perintah-perintah Allah, dan mereka
menjauhi larangan-larangan-Nya, dan mereka tidak secara sengaja berdusta ke
atas Rasulullah SAW.
Sifat ‘adil mereka adalah sabit dan diketahui
daripada al-Quran al-Karim, al-Sunnah al-Nabawiyyah, dan Ijmak.
Adapun dalil daripada al-Quran, maka firman Allah Ta'ala:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ
وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ
"Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama
(masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikuti
mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada
Allah." [Surah al-Tawbah: 100]
Dan firman Allah Ta'ala:
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ
الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ
"Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang
mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon." [Surah
al-Fath: 18]
Dan firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Hashr:
لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ. وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ
"(Pemberian itu) adalah untuk orang-orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredaan-Nya, dan mereka menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka."
Dan terdapat banyak ayat-ayat lain yang menyucikan mereka,
dan memuji keutamaan dan jasa-jasa mereka, kebenaran iman mereka, keikhlasan
mereka, dan ketinggian akhlak mereka.
Adapun dalil daripada al-Sunnah, maka sesungguhnya Nabi SAW
telah memuji sifat ‘adil mereka, dan menyeru untuk mengetahui hak-hak
mereka, menempatkan mereka pada kedudukan yang layak untuk mereka, dan tidak
menyakiti atau menyerang mereka, kerana keutamaan-keutamaan dan kemuliaan yang
ada pada mereka. Nabi SAW telah bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ
يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
"Sebaik-baik manusia ialah generasiku, kemudian
generasi yang selepas mereka, kemudian generasi yang selepas mereka."
Ahli Sunnah wa al-Jama'ah telah berijmak bahawa para Sahabat
kesemuanya adalah ‘adil.
Imam al-Nawawi berkata: "Para Sahabat kesemuanya adalah
‘adil, sama ada yang terlibat dalam fitnah (peristiwa peperangan Jamal
dan Sifin) mahupun yang tidak, berdasarkan ijmak mereka yang diiktiraf."
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Ahli Sunnah telah
bersepakat bahawa kesemua mereka (para Sahabat) adalah ‘adil, dan tidak
ada yang menyanggahi perkara tersebut melainkan segelintir golongan bidaah."
Peringkat Kedua:
Ia merupakan peringkat tertinggi yang menjadi petunjuk bagi para
ulama untuk ta’dil, iaitu apabila ta'dil itu datang dengan lafaz
yang menunjukkan penekanan yang sangat kuat, atau diungkapkan dengan bentuk
superlatif (af'al al-tafdil), seperti kata-kata ahli hadis:
1 - أَوْثَقُ النَّاسِ (Manusia yang paling dipercayai).
2 - أَثْبَتُ النَّاسِ (Manusia yang paling mantap hafalannya).
3 - أَضْبَطُ النَّاسِ (Manusia yang paling dabit/tepat hafalannya).
4 - إِلَيْهِ الْمُنْتَهَى فِي التَّثَبُّتِ (Padanyalah kemuncak dalam ketelitian).
5 - لَا أَعْرِفُ لَهُ
نَظِيرًا فِي الدُّنْيَا (Aku tidak
mengetahui orang yang setanding dengannya di dunia).
6 - لَا أَحَدَ
أَثْبَتُ مِنْهُ (Tiada sesiapa yang lebih mantap daripadanya).
7 - مَنْ مِثْلُ
فُلَانٍ؟ (Siapakah yang setanding si fulan?!).
8 - فُلَانٌ لَا
يُسْأَلُ عَنْهُ (Si fulan tidak
perlu ditanya lagi tentangnya), dan seumpamanya.
Hukumnya:
Riwayat golongan peringkat ini dijadikan hujah, kerana
lafaz-lafaznya menunjukkan dipenuhinya syarat dabit (ketepatan
hafalan).
Peringkat Ketiga:
Apabila lafaz yang menunjukkan penilaian thiqah (tawthiq)
yang diulang, sama ada dengan dua lafaz yang berbeza seperti kata-kata ahli
hadis:
1 - ثَبْتٌ حُجَّةٌ (Mantap lagi boleh dijadikan hujah).
2 - ثَبْتٌ حَافِظٌ
(Mantap lagi kuat hafalannya).
3 - ثِقَةٌ ثَبْتٌ (Dipercayai lagi mantap).
4 - ثِقَةٌ مُتْقِنٌ (Dipercayai lagi cermat).
5 - ثِقَةٌ ثِقَةٌ (sangat dipercayai), dan seumpamanya.
Pengulangannya yang paling banyak yang ditemui ialah
kata-kata Ibn 'Uyaynah: "'Amr bin Dinar telah menceritakan kepada kami,
dan beliau adalah seorang yang thiqah, thiqah, thiqah..."
sehinggalah beliau mengatakannya sebanyak sembilan kali.
Termasuk dalam peringkat ini ialah kata-kata Ibn Sa'ad
mengenai Shu'bah: " ثِقَةٌ (dipercayai), مَأْمُونٌ (amanah),
ثَبْتٌ (mantap),
حُجَّةٌ (boleh
dijadikan hujah), صَاحِبُ حَدِيثٍ (ahli
hadis)".
Hukumnya:
Riwayat golongan peringkat ini dijadikan hujah, kerana
lafaz-lafaznya menunjukkan dipenuhinya syarat dabit (ketepatan
hafalan).
Peringkat Keempat:
Satu lafaz tunggal yang menunjukkan penialain thiqah (tawthiq), seperti:
1 - ثِقَةٌ
(Dipercayai).
2 - ثَبْتٌ
(Mantap).
3 – مُتْقِنٌ
(Cermat).
4 - كَأَنَّهُ مُصْحَفٌ (Seolah-olah dia sebuah mushaf).
5 - حُجَّةٌ (Boleh
dijadikan hujah).
6 - إِمَامٌ (Imam).
7 - عَدْلٌ ضَابِطٌ
(Adil dan cermat hafalannya).
Lafaz حُجَّةٌ adalah lebih kuat daripada ثِقَةٌ.
Hukumnya:
Riwayat golongan peringkat ini dijadikan hujah, kerana
lafaz-lafaznya menunjukkan dipenuhinya syarat dabit (ketepatan
hafalan).
Peringkat Kelima:
Antara lafaz-lafaz peringkat ini ialah:
1 - لَيْسَ بِهِ بَأْسٌ
(Tiada masalah padanya).
2 - لَا بَأْسَ بِهِ
(Tiada apa-apa masalah padanya).
3 - صَدُوقٌ (Jujur).
4 - مَأْمُونٌ
(Amanah).
5 - خِيَارُ الْخَلْقِ
(Sebaik-baik makhluk).
6 - مَا أَعْلَمُ بِهِ
بَأْسًا (Aku tidak mengetahui ada sebarang masalah padanya).
7 - مَحِلُّهُ
الصِّدْقُ (Kedudukannya adalah jujur).
Hukumnya:
Riwayat golongan peringkat ini tidak dijadikan hujah kerana
lafaz-lafaznya tidak menunjukkan terpenuhinya syarat dabit (ketepatan
hafalan). Bahkan hadis mereka boleh ditulis dan dinilai (sama ada riwayat mereka
tepat atau tidak).
Peringkat Keenam:
Lafaz yang menunjukkan ia hampir kepada jarh
(kritikan), dan ia adalah peringkat yang paling rendah. Ini seperti kata-kata ahli
hadis:
1 - لَيْسَ بِبَعِيدٍ
مِنَ الصَّوَابِ (Tidak jauh daripada kebenaran).
2 - شَيْخٌ
(Syeikh).
3 - يُرْوَى حَدِيثُهُ (Hadisnya diriwayatkan).
4 - يُعْتَبَرُ بِهِ
(Dia boleh diambil kira).
5 - شَيْخٌ وَسَطٌ (Syeikh yang pertengahan).
6 - رُوِيَ عَنْهُ
(Telah diriwayatkan daripadanya).
7 - صَالِحُ الْحَدِيثِ
(Hadisnya baik).
8 - يُكْتَبُ حَدِيثُهُ
(Hadisnya ditulis).
9 - مُقَارِبُ
الْحَدِيثِ (Hadisnya hampir sama dengan perawi thiqah).
10 - مَا أَقْرَبَ
حَدِيثَهُ (Betapa dekatnya hadisnya dengan perawi thiqah)
11 - صُوَيْلِحٌ
(Orang yang agak soleh).
12 - صَدُوقٌ إِنْ شَاءَ
اللَّهُ (Jujur, insya-Allah).
13 - أَرْجُو أَنْ لَا
بَأْسَ بِهِ (Aku berharap tiada masalah padanya).
14 - جَيِّدُ الْحَدِيثِ
(Hadisnya baik).
15 - حَسَنُ الْحَدِيثِ
(Hadisnya hasan),
16 - وَسَطٌ
(Pertengahan).
17 - مَقْبُولٌ
(Diterima).
18 - صَدُوقٌ تَغَيَّرَ
بِأَخَرَةٍ (Jujur tetapi hafalannya berubah di akhir usianya).
19 - صَدُوقٌ سَيِّئُ
الْحِفْظِ (Jujur tetapi buruk hafalannya).
20 - صَدُوقٌ لَهُ
أَوْهَامٌ (Jujur tetapi mempunyai beberapa kekeliruan).
21 - صَدُوقٌ مُبْتَدِعٌ
(Jujur tetapi seorang ahli bidaah).
22 - صَدُوقٌ يَهِمُ
(Jujur tetapi sering keliru).
Hukumnya:
Kedudukan golongan peringkat ini adalah di bawah golongan
peringkat sebelumnya.
Sebahagian daripada mereka, hadisnya ditulis untuk dijadikan
sokongan (i'tibar) tanpa perlu menguji ketepatan hafalan mereka kerana
keadaan mereka sudah jelas kelemahannya.
Ini adalah satu kesepakatan dikalangan ahli hadis bahawa sesiapa
yang ia diucapkan kepadanya kalimah صَدُوقٌ
(jujur) tidak boleh dijadikan hujah melainkan selepas dinilai dan diteliti
supaya dapat diketahui sama ada dia tepat dalam meriwayatkan hadis atau tidak.
Sumber:
Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid
Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:
Catat Ulasan