Para ulama telah menyusun banyak kitab mengenai perawi-perawi daif, antaranya:
1 - al-Du'afa'
al-Saghir
Karya Imam Abu 'Abdillah, Muhammad bin Isma'il al-Bukhari (meninggal dunia pada tahun 256 H).
Beliau menyusunnya mengikut urutan abjad dengan mengambil
kira huruf pertama nama sahaja, dan beliau mendahulukan nama yang kerap
berulang berbanding yang lain. Biografi perawinya jarang sekali melebihi satu
baris. Di dalamnya beliau menyebutkan nama perawi, nama bapanya, dan nasabnya,
serta sebahagian guru dan murid kepada perawi tersebut. Kebiasaannya beliau
hanya sekadar menyebutkan seorang sahaja daripada mereka.
Kemudian, beliau melafazkan salah satu ungkapan jarh bagi
menilai perawi tersebut. Beliau kerap menggunakan ungkapan: Munkar al-hadith
(Hadisnya ditolak), Fihi nazar (Padanya ada pertikaian), Matruk
al-hadith (Hadisnya ditinggalkan), dan Sakatu 'anhu (Ahli hadis berdiam
tentangnya), atau beliau menjelaskan pandangan para pakar hadis terdahulu.
2 - al-Du'afa'
Karya Abu Ishaq, Ibrahim bin Ya'qub al-Juzajani (meninggal dunia pada tahun 259 H).
Kitab ini juga dikenali dengan tajuk al-Shajarah fi Ahwal
al-Rijal.
Di dalamnya, penulis membincangkan nama-nama perawi dan
ungkapan-ungkapan kritikan terhadap mereka sahaja. Beliau bersikap keras dalam
mengkritik perawi-perawi dari Kufah yang merupakan pengikut 'Ali - semoga Allah
meredainya - disebabkan oleh isu mazhab. Oleh sebab itu, al-Hafiz Ibn Hajar
berkata: “Kritikan pedas beliau terhadap perawi dari Kufah tidak diambil kira.”
Beliau menyenaraikan perawi-perawi yang dikritik berdasarkan
bandar-bandar di mana perawi tersebut berada. Maka beliau memulakan dengan kota
Kufah, yang telah diuji dengan kemunculan golongan Khawarij, Rafidhah, dan
Murji'ah. Kemudian Basrah, yang telah diuji dengan kemunculan golongan
Qadariyyah. Kemudian Madinah al-Munawwarah, Syam, al-Jazirah, dan penduduk
Makkah. Di dalam kitab tersebut, beliau menyebutkan kelompok-kelompok sesat dan
aliran-aliran yang rosak seperti Khawarij, Saba'iyyah, dan lain-lain.
3 - Kitab al-Du'afa' wa al-Matrukin
Karya Abu Zur'ah, 'Ubaydullah bin 'Abd al-Karim al-Razi (meninggal dunia pada tahun 264 H).
Penulis di dalam kitab ini menghadkan perbincangannya hanya
kepada nama-nama perawi dan penjelasan mengenai kritikan terhadap mereka.
Ia telah diriwayatkan daripada Abu Zur’ah oleh Sa'id bin
'Amr al-Barza'i (meninggal dunia 292 H), dan beliau memasukkannya ke dalam
kitab al-As'ilah yang disusunnya, iaitu koleksi ucapan Abu Zur'ah dan
Abu Hatim al-Razi sebagai jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan oleh
al-Barza'I kepada mereka berdua, lalu beliau mengumpulkannya dan menyusunnya.
4 - al-Du'afa' wa al-Matrukin
Karya Imam Abu 'Abd al-Rahman, Ahmad bin Shu'ayb al-Nasa'i (meninggal dunia pada tahun 303 H).
Beliau menyusunnya mengikut urutan abjad dengan mengambil
kira huruf pertama nama sahaja.
Beliau menyebutkan di dalam biografi nama perawi, nama
bapanya, kadangkala nama datuknya, dan nasabnya. Kemudian, beliau menggunakan
ke atasnya salah satu ungkapan jarh.
Beliau kerap menggunakan kata-kata: Daif (lemah), Matruk
al-hadith (Hadisnya ditinggalkan), Munkar al-hadith (Hadisnya ditolak),
Kazzab (pendusta), Laysa bi thiqah (Bukan seorang yang
dipercayai), dan Laysa bi zak (Tidak seberapa).
Kemudian, beliau menisbahkan perawi tersebut kepada sesuatu
bandar dengan berkata: Kufi, atau Madani, atau Basri.
Biografi perawinya jarang sekali melebihi satu baris. Apabila
beliau selesai menyebutkan bab nama-nama perawi, beliau menyebutkan pula bab kunyah-kunyah
perawi, dan ia tidak mengambil ruang melainkan hanya satu halaman sahaja.
5 - al-Du'afa'
Karya Abu Ja'far, Muhammad bin 'Amr bin Musa bin Hammad al-'Uqayli (meninggal dunia pada tahun 322 H).
Penulis menulis biografi di dalamnya untuk perawi-perawi
daif, sama ada kelemahan itu pada sifat ‘adil mereka atau ketepatan
hafalan (dabit) mereka.
Beliau telah menyebutkan perawi yang dinisbahkan kepada
perbuatan berdusta dan memalsukan hadis, perawi yang kebanyakan hadisnya adalah
keliru (wahm), perawi yang dituduh bermasalah pada sebahagian hadisnya,
perawi majhul yang meriwayatkan hadis yang tidak disokong oleh perawi
lain, dan seorang ahli bidaah yang melampau pada bidaahnya serta menyeru kepada
bidaahnya, walaupun keadaannya dalam periwayatan hadis adalah baik.
Begitu juga beliau menyebutkan satu bab mengenai menjelaskan
keadaan perawi yang diriwayatkan hadis daripadanya yang mana ia tidak
diriwayatkan secara sahih. Kitab ini disusun mengikut urutan abjad.
6 - Kitab al-Majruhin min al-Muhaddithin wa al-Du'afa'
wa al-Matrukin
Karya Imam Abu Hatim, Muhammad bin Hibban al-Busti (meninggal dunia pada tahun 354 H).
Ibn Hibban telah menulis sebuah mukadimah yang panjang lagi
bernilai pada permulaan kitab ini. Di dalamnya, beliau membincangkan
kepentingan mengetahui perawi-perawi daif, keharusan melakukan jarh, dan
menjelaskan keperluan untuk teliti dalam mengambil hadis.
Ibn Hibban telah menjelaskan kaedah beliau dalam menyusun
kitabnya dengan berkata: “Sesungguhnya kami hanya mencatatkan nama-nama ahli
hadis yang dinilai daif, dan dikritik oleh para imam yang diredai. Kami
menyebutkan apa yang diketahui daripada nasab dan nama-nama mereka. Kami
menyebutkan pada setiap syeikh (perawi) itu sebahagian daripada hadisnya yang
boleh dijadikan dalil ke atas kelemahan riwayatnya itu. Aku menyusun nama-nama
mereka mengikut urutan abjad kerana ia lebih mendorong penuntut ilmu untuk
menghafalnya, dan lebih merangsang orang yang baru belajar dalam memahaminya,
dan lebih mudah ketika mencari bagi sesiapa yang menghendakinya.”
Pada setiap biografi Ibn Hibban akan mendahulukan menyebut nasab
perawi, dan menyenaraikan sebahagian guru-guru dan murid-muridnya yang
meriwayatkan daripadanya, serta satu contoh daripada riwayat-riwayatnya yang
daif untuk menjelaskan sebab kritikan terhadapnya.
Beliau juga menukilkan kata-kata para imam al-Jarh wa
al-Ta'dil mengenainya berserta sanad-sanadnya. Begitu juga beliau menyatakan
pandangannya pada kebanyakan biografi perawi, dan menyebutkan bilangan perawi bagi
setiap bandar, dan kadangkala menyebut tentang akidah perawi.
Kitab ini dianggap antara kitab-kitab yang agung dalam
bidang ini, tetapi beliau bersikap keras dalam mengkritik sehinggakan beliau
adakalanya mengkritik perawi yang thiqah.
7 - al-Kamil fi Du'afa' al-Rijal
Karya Imam Abu Muhammad, 'Abdullah bin 'Adi bin 'Abdillah al-Jurjani, yang dikenali sebagai Ibn 'Adi (meninggal dunia pada tahun 365 H).
Ibn 'Adi berkata dalam mukadimahnya: “Aku akan menyebutkan
di dalam kitabku ini nama-nama perawi yang dinisbahkan kepada kelemahan, yang
mungkin mereka (ulama lain) terlepas pandang, dan perawi yang muncul selepas kematian
mereka.”
Adapun metodologinya dalam biografi-biografi kitab ini, beliau tidak memanjangkan perbincangan nasab, bahkan beliau hanya terhad kepada menyebut nama-nama perawi, nama bapa-bapa mereka, dan nisbah mereka kepada bandar atau kabilah.
Beliau menyebutkan sebahagian guru dan murid-muridnya, dan
contoh-contoh riwayatnya yang daif - dan pada kebiasaannya satu atau dua hadis
-, dan menukilkan kata-kata para imam al-Jarh wa al-Ta'dil mengenai perawi
tersebut bersama dengan sanad-sanadnya yang tidak pernah beliau tinggalkan
untuk menyebutnya, dan beliau tidak menyebutkan tahun kematian perawi.
Bukanlah kesemua perawi yang beliau senaraikan di dalam
kitabnya itu sudah diputuskan sebagai daif secara mutlak, bahkan di kalangan
mereka ada perawi yang thiqah. Akan tetapi beliau menyenaraikan mereka
kerana beliau komited untuk memasukkan setiap perawi yang pernah dikritik
dengan suatu jarh. Ibn 'Adi telah menyusun kitab ini mengikut urutan
abjad.
8 - Kitab al-Du'afa' wa al-Matrukin
Karya al-Hafiz Abu al-Hasan, 'Ali bin 'Umar bin Mahdi al-Daraqutni al-Baghdadi (meninggal dunia pada tahun 385 H).
Kitab ini bersifat ringkas pada biografi-biografi perawinya.
Di dalamnya, al-Daraqutni cukup sekadar menyebut nama perawi, nasabnya,
nisbahnya, gelarannya, dan kunyahnya, serta sebahagian daripada
guru-guru dan murid-muridnya, riwayat-riwayatnya, dan penjelasan keadaannya
dari sudut jarh dan ta'dil.
Bahkan, beliau kadangkala menyebutkan sebahagian orang yang
mempunyai hubungan kekeluargaan dengan perawi tersebut dan menjelaskan
keadaannya, walaupun beliau tidak komited untuk menyebutkan kesemua maklumat
tersebut dalam setiap biografi.
Adapun susunan kitab ini, ia disusun mengikut urutan abjad
berdasarkan nama perawi. Adapun nama bapa atau datuk, beliau tidak komited
untuk mengambil kiranya dalam susunan tersebut. Walaupun subjek kitab ini
adalah al-Du'afa' wa al-Matrukin, namun al-Daraqutni menyenaraikan di
dalamnya sejumlah perawi thiqah untuk membezakan mereka daripada
perawi-perawi yang dikritik yang mempunyai hubungan dengan mereka yang mana perawi
dikritik itu adalah subjek utama kitab ini.
9 - al-Madkhal ila al-Sahih
Karya al-Hakim Abu 'Abdillah, Muhammad bin 'Abdillah al-Naysaburi (meninggal dunia pada tahun 405 H).
Di dalam kitab ini, pada kebiasaannya di bahagian pertamanya, beliau menulis biografi perawi-perawi yang dikritik dengan kritikan yang keras. Beliau hanya terhad kepada menyebut nama-nama mereka, nama bapa-bapa mereka, nisbah mereka, serta sebahagian guru dan murid mereka, sambil menjelaskan bagaimana kebanyakan mereka meriwayatkan riwayat-riwayat palsu, munkar, dan mu'dal. Bilangan mereka ialah 233 orang perawi. Kemudian, beliau beralih kepada bahagian lain yang membincangkan nama-nama perawi al-Sahihayn.
10 - Kitab al-Du'afa'
Karya Abu Nu'aym, Ahmad bin 'Abdillah bin Ahmad bin Ishaq al-Asbahani (meninggal dunia pada tahun 430 H).
Penulis di dalam kitab ini sangat mengambil berat untuk
menjelaskan daripada siapakah datangnya riwayat-riwayat bagi para perawi daif
itu, dan siapa daripada kalangan murid-murid mereka yang secara khusus
meriwayatkannya daripada perawi-perawi daif itu.
Perkara ini dilakukan dengan ungkapan yang ringkas lagi
tepat, sambil menjejaki langkah para ulama terdahulu seperti al-Bukhari,
al-Nasa'i, dan selain mereka. Ini kerana kerapkali nama-nama perawi menjadi
serupa dan bertepatan, dan kadangkala mereka hidup pada zaman yang sama, maka
tidak ada yang dapat membezakan antara para perawi itu melainkan dengan melihat
kepada guru-guru dan murid-murid mereka.
11 - al-Du'afa' wa al-Matrukin
Karya Imam Abu al-Faraj, 'Abd al-Rahman bin 'Ali, yang dikenali sebagai Ibn al-Jawzi (meninggal dunia pada tahun 597 H).
Ibnu al-Jawzi menyebutkan di dalam kitabnya ini sejumlah
besar perawi daif yang dikritik oleh para imam yang diiktiraf kata-kata mereka,
seperti Ahmad bin Hanbal, Ibn Ma'in, al-Bukhari, dan selain mereka, di samping
beliau berpegang pada kaedah mendahulukan kritikan ke atas pujian.
Beliau menyusun nama-nama perawi mengikut urutan abjad
supaya dapat memudahkan penuntut ilmu. Beliau komited di dalam kitabnya ini
untuk tidak menyebut melainkan perawi-perawi daif dan pemalsu. Akan tetapi,
kita dapati bahawa beliau menyebutkan perawi-perawi yang beliau sendiri nilai
sebagai thiqah, dan mempertahankan mereka, serta beliau menyebut perawi-perawi
thiqah yang tidak sepatutnya disebutkan di dalam kitab ini.
12 - al-Mughni fi al-Du'afa'
Karya al-Hafiz Abu 'Abdillah, Shams al-Din Muhammad bin Ahmad bin 'Uthman al-Zahabi (meninggal dunia pada tahun 748 H).
Ia merupakan sebuah kitab yang kecil saiznya, tetapi besar nilainya dan banyak manfaatnya. Ia menyebutkan tentang para pendusta, para pemalsu, perawi-perawi yang ditinggalkan, dan yang rosak.
Kemudian, perawi-perawi thiqah yang padanya terdapat
sedikit kelemahan, atau perawi yang sebahagian daripada para pakar hadis
bersikap keras terhadapnya. Kemudian, sebilangan ramai perawi yang tidak
dikenali (majhul). Beliau menyebutkan di antara mereka sesiapa yang
telah ditegaskan ke-majhul-annya oleh Abu Hatim al-Razi, dan beliau
berkata: “Perawi ini adalah majhul.”
Beliau tidak menyebutkan di dalamnya perawi yang dikatakan
padanya: “Mahalluhu al-sidq” (Kedudukannya adalah jujur), atau sesiapa
yang dikatakan padanya: “Yuktabu hadithuh” (Hadisnya ditulis), atau
sesiapa yang dikatakan padanya: “La ba'sa bih” (Tiada masalah padanya),
atau sesiapa yang dikatakan padanya: “Huwa shaykh” (Dia seorang syeikh)
atau “Salih al-hadith” (Hadisnya baik). Hal ini keerana sesungguhnya lafaz-lafaz
ini adalah termasuk dalam bab ta'dil (pujian).
Al-Zahabi telah meletakkan simbol bagi perawi yang mempunyai
riwayat di dalam Enam Kitab Hadis seperti berikut: al-Bukhari: خ, Muslim: م, Abu Daud: د, al-TirmiZi: ت, al-Nasa'i: س, Ibn Majah: ق, Kesemua mereka
(al-Jama'ah): ع, Empat Kitab Sunan: عه.
Al-Zahabi telah meringkasnya, memudahkannya, dan
bersungguh-sungguh dalam meringkaskannya untuk memudahkan penuntut ilmu yang berkecimpung
dengan hadis dapat mengenali perawi-perawi daif.
13 - Mizan al-I'tidal fi Naqd al-Rijal
Juga karya al-Hafiz al-Zahabi.
Ia merupakan sebuah kitab yang agung, dan luas huraiannya
dalam menjelaskan para perawi yang membawa ilmu Kenabian dan athar.
Metodologi al-Zahabi di dalam kitab ini ialah beliau
menyusun para perawi mengikut urutan abjad dan begitu juga pada nama bapa-bapa,
supaya mudah untuk mencarinya.
Beliau meletakkan simbol pada nama perawi yang diriwayatkan daripadanya
oleh Imam-imam Hadis yang Enam di dalam kitab mereka, dengan simbol-simbol yang
mewakili mereka.
Beliau meletakkan simbol (صح) di awal nama perawi sebagai isyarat bahawa pendapat yang
dipegang adalah menerimanya sebagai thiqah.
Setiap perawi yang beliau katakan padanya: “majhul”
dan tidak menisbahkannya kepada sesiapa yang mengatakannya, maka ia adalah
kata-kata Abu Hatim.
Jika beliau berkata: “Fihi jahalah” (Padanya ada jahalah/tidak
dikenali), atau: “nakirah” (tidak dikenali), atau: “yujhal”
(tidak diketahui), atau: “la yu'raf” (tidak dikenali), dan seumpamanya,
dan tidak mengaitkannya kepada sesiapa yang mengatakannya, maka ia adalah
daripada kata-kata al-Zahabi sendiri. Begitu juga jika beliau berkata: “thiqah”,
atau: “saduq”, atau: “salih”, atau: “layyin” dan
seumpamanya dan tidak menisbahkannya kepada sesiapa.
Kitab ini mengandungi:
1 - Para pendusta, dan para pemalsu hadis yang sengaja.
2 - Para pendusta dalam dakwaan bahawa mereka telah
mendengar hadis daripada seseorang, sedangkan mereka tidak mendengar.
3 - Para perawi yang dituduh memalsukan atau memutar belit.
4 - Para pendusta dalam percakapan harian mereka, bukan
dalam Hadis Nabawi.
5 - Para perawi yang ditinggalkan lagi rosak, yang banyak
kesilapannya, dan hadisnya ditinggalkan, dan riwayatnya tidak dijadikan
sandaran.
6 - Para pakar hadis (huffaz) yang ada kerapuhan pada
agama mereka, dan ada kelemahan pada sifat ‘adil mereka.
7 - Ahli hadis yang daif dari sudut hafalan mereka, maka
mereka mempunyai kesilapan dan kekeliruan, namun hadis mereka tidak
ditinggalkan, bahkan diterima apa yang mereka riwayatkan sebagai syawahid
(sokongan), dan i'tibar (sandaran) bagi mereka, bukan dalam
perkara-perkara pokok, dan halal dan haram.
8 - Ahli hadis yang bersifat benar, atau syeikh-syeikh yang mastur
(keadaannya tersembunyi) yang pada mereka ada kelemahan (lin), dan tidak
mencapai darjat perawi yang mantap lagi cermat.
9 - Sebilangan ramai perawi yang tidak dikenali (majhul)
yang mana Abu Hatim al-Razi menegaskan bahawa dia majhul, atau ulama
lain berkata: “tidak dikenali”, atau: “padanya ada kejahilan”, atau: “tidak
diketahui”, atau ungkapan-ungkapan seumpamanya yang menunjukkan
ketidakmasyhuran syeikh tersebut dengan sifat benar, kerana perawi majhul
tidak boleh dijadikan hujah.
10 - Para perawi thiqah lagi mantap yang pada mereka
ada bidaah, atau para perawi thiqah yang dikritik oleh orang yang
kata-katanya tidak perlu dihiraukan mengenai perawi thiqah tersebut,
kerana dia bersikap keras terhadapnya, dan kritikannya menyalahi jumhur ulama
yang mahir melakukan kritikan dan penelitian.
Kitab ini adalah antara kitab yang paling lengkap, terbaik,
dan paling bermanfaat dalam mengenali perawi-perawi daif.
14 - Zayl 'ala Mizan al-I'tidal
Karya al-Hafiz Abu al-Fadl, Zayn al-Din 'Abd al-Rahim bin al-Husayn al-'Iraqi (meninggal dunia pada tahun 804 H).
Di dalamnya, al-'Iraqi membuat penambahan ke atas kitab Mizan
al-I'tidal karya al-Zahabi.
Beliau menyebutkan di dalamnya perawi yang dikritik, namun pengarang
al-Mizan telah terlepas pandang akannya. Ia merupakan sebuah kitab yang
penting kerana pengarangnya bergantung pada kitab-kitab yang banyak lagi
bernilai.
15 - Lisan al-Mizan
Karya al-Hafiz Abu al-Fadl, Shihab al-Din, Ahmad bin 'Ali Ibn Hajar al-'Asqalani (meninggal dunia pada tahun 852 H).
Ia merupakan lisan (penjelasan) bagi kitab Mizan al-I'tidal
karya al-Hafiz al-Zahabi, yang telah dibicarakan tadi. Ia adalah antara karya
yang paling menonjol yang disusun oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam bidang perawi
hadis.
Adapun metodologinya di dalamnya: beliau menyusun
biografi-biografi perawi mengikut urutan abjad seperti kitab asalnya. Kemudian
beliau menyebutkan perawi yang dikenali dengan kunyah mereka, dan
menyusunnya mengikut urutan abjad. Kemudian beliau menyebutkan perawi-perawi mubham
(yang tidak jelas namanya), dan membahagikan mereka kepada tiga fasal:
1 - Yang dinisbahkan.
2 - Perawi yang masyhur dengan kabilahnya atau pekerjaannya.
3 - Perawi yang disebut dengan idafah (sandaran).
Beliau menambah sejumlah perawi yang ramai ke atas kitab
tersebut. Bagi biografi-biografi yang ditambah oleh beliau, beliau meletakkan
di hadapannya atau di atasnya huruf (ز).
Manakala apa yang ditambah oleh gurunya al-Hafiz al-'Iraqi, diletakkan huruf (ذ).
Beliau mengakhiri kata-kata al-Hafiz al-Zahabi dengan
berkata: (انتهى) tamat, dan apa-apa
selepasnya adalah daripada kata-katanya iaitu: al-Hafiz Ibn Hajar.
Beliau meletakkan di akhir al-Lisan satu fasal di
mana beliau menyenaraikan nama-nama perawi yang telah dihapuskannya daripada al-Mizan
kerana sudah cukup dengan penyebutannya di dalam Tahzib al-Kamal.
Kitab al-Lisan bersama kitab asalnya al-Mizan
merupakan sandaran utama dalam bidang ini.
16 - al-Kashf al-Hathith 'amman Rumiya bi Wad'
al-Hadith
Karya al-Hafiz Abu al-Wafa', Burhan al-Din al-Halabi, yang dikenali sebagai: Sibt Ibn al-'Ajami (meninggal dunia pada tahun 841 H).
Penulis menjelaskan dalam mukadimahnya bahawa beliau menulis
biografi untuk setiap perawi yang beliau temui bahawa dia dituduh memalsukan
hadis ke atas Rasulullah SAW.
Beliau tidak menyebutkan di dalamnya perawi yang sekadar
'dituduh' (muttaham). Ini kerana kemungkinan yang dimaksudkan oleh ahli
hadis dengan istilah muttaham tersebut adalah bahawa dia dituduh
berdusta.
Beliau menyusunnya mengikut urutan abjad pada nama dan nama
bapa. Beliau meletakkan simbol bagi perawi yang mempunyai riwayat di dalam Enam
Kitab Hadis dengan simbol yang masyhur di sisi ahli hadis seperti: (خ) bagi sesiapa yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari, dan (م)
bagi Muslim, dan (د) bagi Abu Daud, dan (ت) bagi al-Tirmidhi,
dan (س) bagi al-Nasa'i, dan
(ق) bagi Ibn Majah.
Sumber:
Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

















Tiada ulasan:
Catat Ulasan