Sekumpulan ulama telah menyusun karya yang dikhususkan hanya untuk perawi-perawi yang thiqah. Antara karya-karya ini adalah seperti berikut:
1 - Tarikh al-Thiqat
Ia juga dikenali sebagai: Ma'rifah al-Thiqat min Rijal Ahl al-'Ilm wa al-Hadith wa min al-Du'afa' wa Zikr Mazahibihim wa Akhbarihim. Karya al-Hafiz Abu al-Hasan, Ahmad bin 'Abdullah bin Salih al-'Ijli (meninggal dunia pada tahun 261 H).
Kitab ini telah sampai kepada zaman kita hanya daripada jilid
kedua daripada naskhah asalnya, sepertimana ia juga telah sampai kepada kita
dalam bentuk susunan al-Hafiz Nur al-Din al-Haythami (meninggal dunia pada
tahun 807 H), di mana beliau telah menyusunnya mengikut urutan abjad, dan
memulakannya dengan perawi yang bernama Ahmad.
Metodologi al-'Ijli dalam menyebutkan biografi perawi ialah
beliau akan menyebutkan nama, nama bapa, kunyah (gelaran Abu atau Ummu),
dan nisbah kepada sesuatu bandar, dan menggunakan beberapa lafaz ta'dil
seperti beliau berkata: “Sesungguhnya
dia thiqah, thiqah” atau “thiqah” atau “tiada masalah
padanya”. Beliau juga menjelaskan peringkat (tabaqah) perawi tersebut
sekiranya dia daripada kalangan Sahabat atau Tabi'in.
2 - Kitab al-Thiqat
Karya al-Hafiz Abu Hatim, Muhammad bin Hibban al-Busti (meninggal dunia pada tahun 354 H).
Al-Hafiz al-Sakhawi menyebutkan bahawa ia merupakan kitab tabaqat
(peringkat perawi) yang paling lengkap. Ibn Hibban telah menyusunnya
berdasarkan tabaqat. Tabaqah pertama ialah para Sahabat, dan
beliau membincangkan mereka di dalam jilid pertama. Tabaqah kedua ialah
para Tabi'in, dan beliau membincangkan mereka di dalam jilid kedua. Adapun tabaqah
ketiga dan keempat, mereka ialah Atba' al-Tabi'in (pengikut Tabi'in), dan Tabi'
al-Atba' (pengikut kepada pengikut Tabi'in), dan beliau telah mengkhususkan
untuk mereka di jilid ketiga.
Ibn Hibban telah menyebutkan di dalam jilid pertama mengenai
kelahiran Nabi SAW, perutusan Baginda, hijrah Baginda, dan
peperangan-peperangan Baginda sehinggalah kewafatan Baginda. Kemudian, beliau
membincangkan Khulafa' al-Rasyidin, seterusnya menyebutkan baki daripada
Sepuluh Sahabat yang Dijanjikan Syurga, lalu menulis biografi mereka. Kemudian,
beliau memulakan susunan para Sahabat mengikut urutan abjad.
Beliau melakukan perkara yang sama pada jilid-jilid yang
lain di mana beliau menyusun para Tabi'in, Atba' al-Tabi'in, dan Tabi' al-Atba'
mengikut urutan abjad dalam setiap tabaqah. Beliau juga konsisten
menyebut nama-nama wanita selepas lelaki pada setiap huruf. Pada akhir setiap tabaqah
daripada empat tabaqah tersebut, beliau mengkhususkan satu bahagian
untuk menyebutkan perawi lelaki yang dikenali dengan kunyah, kemudian
perawi wanita yang masyhur dengan kunyahnya.
Perawi thiqah di sisi Ibn Hibban mempunyai beberapa
syarat: gurunya mestilah seorang yang thiqah, dan muridnya juga seorang
yang thiqah, dan dia tidak bersendirian dalam meriwayatkan sesuatu riwayat
yang menyalahi riwayat orang lain, dan dia bukanlah seorang mudallis
(penyembunyi kecacatan sanad), dan dia bukanlah seorang mursil (perawi
yang meriwayatkan hadis secara terputus sanad).
Beliau telah menyebutkan di dalam kitab ini sejumlah perawiyang
banyak, dan sebilangan besar perawi yang tidak dikenali (majhul) yang
mana keadaan mereka tidak diketahui oleh orang lain selain beliau. Kaedah
beliau di dalam kitab ini ialah beliau akan menyebutkan sesiapa yang tidak
diketahuinya mempunyai sebarang kritikan (jarh), walaupun perawi
tersebut majhul dan keadaannya tidak diketahui.
Maka, perkara ini perlu diberi perhatian, dan perlu
diketahui bahawa tawthiq (penilaian thiqah) beliau terhadap seseorang
perawi hanya dengan sekadar menyebutkannya di dalam kitab ini merupakan salah
satu darjat tawthiq yang paling rendah. Beliau sendiri telah berkata di
sela-sela perbincangannya: "Perawi yang ‘adil ialah sesiapa yang
tidak diketahui daripadanya sebarang jarh kerana jarh adalah
lawan kepada ‘adil. Maka sesiapa yang tidak diketahui dengan jarh,
maka dia adalah ‘adil, sehinggalah terbukti sebaliknya."
Beliau telah menyebutkan sebilangan ramai perawi di dalam
kitabnya ini, kemudian beliau menyebutkan mereka semula di dalam kitab
al-Du'afa' wa al-Majruhin (kitab Perawi-perawi Daif dan yang Dikritik) dan
menjelaskan kelemahan mereka. Hal ini sama ada disebabkan oleh percanggahan daripada
beliau sendiri, dan kelalaiannya, atau disebabkan perubahan ijtihadnya.
3 - Mashahir 'Ulama' al-Amsar
Juga karya Ibn Hibban.
Ibn Hibban di dalam kitab ini menghadkan perbincangannya
hanya kepada perawi-perawi masyhur daripada kalangan thiqah sahaja.
Beliau telah menyusun mereka berdasarkan tabaqat (generasi),
kemudian berdasarkan wilayah. Kebanyakan biografi tidak melebihi tiga baris.
Beliau memberikan nasab perawi, kunyahnya, dan kadangkala tahun
wafatnya. Beliau juga menyatakan penyertaan perawi tersebut dalam peperangan
atau penaklukan, dan adakalanya menyebutkan secara ringkas peristiwa-peristiwa
yang berlaku kepada perawi yang dibiografikan. Dalam sebahagian biografi,
beliau menyebutkan guru-guru dan murid-murid perawi tersebut serta ciri-ciri
akhlak, pemikiran, dan fizikal mereka juga.
4 - Tarikh Asma' al-Thiqat mimman Nuqila 'anhum
al-'Ilm
Karya Abu Hafs, 'Umar bin Ahmad bin 'Uthman, yang dikenali sebagai Ibn Shahin (meninggal dunia pada tahun 385 H).
Ibn Shahin menyusun kitab ini mengikut urutan abjad, akan
tetapi, beliau tidak hanya menyenaraikan nama-nama perawi thiqah sahaja di
dalam kitabnya, bahkan kitabnya turut diselangi dengan nama-nama sebahagian
perawi yang daif.
Beliau telah memberi peringatan tentang perkara tersebut
sepertimana ketika beliau menyebutkan Muhammad bin Thabit al-'Abdi, dan
Muhammad bin Thabit al-Bunani, dan kata-kata beliau mengenai mereka berdua: “Kedua-duanya
tidak bernilai apa-apa.”
5 - al-Madkhal ila al-Sahih
Karya al-Hakim Abu 'Abdillah, Muhammad bin 'Abdillah al-Naysaburi (meninggal dunia pada tahun 405 H).
Beliau menulis di dalamnya biografi untuk perawi-perawi al-Sahihayn
pada bahagian keduanya.
6 - al-Thiqat mimman lam yaqa' fi al-Kutub al-Sittah
Karya al-Hafiz Zayn al-Din Qasim bin Qutlubugha (meninggal dunia pada tahun 879 H).
Penulis di dalam kitab ini bergantung kepada dua sumber
penting daripada kitab-kitab ilmu al-Rijal, iaitu: al-Thiqat karya Ibn
Hibban, dan al-Jarh wa al-Ta'dil karya Ibn Abi Hatim. Lalu beliau
mengeluarkan daripada kedua-duanya biografi perawi-perawi thiqah yang tidak
disebutkan oleh al-Mizzi di dalam Tahzib al-Kamal.
Beliau menyusunnya mengikut urutan abjad. Jika kedua-duanya
(Ibn Hibban dan Ibn Abi Hatim) bersepakat mengenai sesuatu biografi, beliau
akan memulakan dengan ungkapan Ibn Hibban, kemudian dengan apa yang terdapat di
sisi Ibn Abi Hatim secara ringkas.
Beliau meletakkan simbol bagi riwayat yang hanya terdapat
pada Ibn Hibban, dan menyebutkan nombor tabaqah di awal biografi
sepertimana ia terdapat di sisi Ibn Hibban. Manakala bagi riwayat yang hanya
terdapat pada Ibn Abi Hatim, beliau menyatakan secara jelas nukilan ta'dil
daripadanya. Beliau juga menambah kepada kedua-duanya daripada sumber-sumber
lain kata-kata mengenai al-Jarh wa al-Ta'dil lalu menisbahkannya kepada
orang yang mengatakannya.
Begitu juga beliau juga menambah biografi perawi-perawi thiqah yang terkemudian daripada zaman kitab mereka berdua yang telah dinilai ‘adil oleh imam-imam pakar hadis selain mereka berdua, walaupun terdapat perselisihan mengenai perawi-perawi tersebut.
Ibn Qutlubugha telah menyatakan secara jelas bahawa beliau
tidak menyebut di dalam kitabnya melainkan perawi-perawi thiqah yang riwayat-riwayat
mereka harus dijadikan hujah.
7 - al-Ruwah al-Thiqat al-Mutakallam fihim bima la
Yujib Raddahum
Karya al-Hafiz Abu 'Abdillah, Shams al-Din Muhammad bin Ahmad bin 'Uthman al-Zahabi (meninggal dunia pada tahun 748 H).
Al-Hafiz al-Sakhawi menyebutkannya lalu berkata: “Al-Zahabi
mempunyai kitab Ma'rifah al-Ruwah al-Mutakallam fihim bima la Yujib al-Radd”,
dan ia juga disebut oleh al-Kittani, dan al-Zirikli yang menamakannya al-Ruwah
al-Thiqat.
Al-Zahabi mempunyai sebuah kitab lain dengan nama: Man
Tukullima fihi wa Huwa Muwaththaq. Dr. Basyar 'Awwad Ma'ruf telah
menganggap kedua-duanya sebagai satu kitab, dan ini adalah satu kesilapan.
Kitab al-Ruwah al-Mutakallam fihim berbeza dengan
kitab Man Tukullim fihi wa Huwa Muwaththaq, dan subjek kedua-duanya
adalah berbeza dan tidak serupa.
8 - Man Tukullima fihi wa Huwa Muwaththaq atau Zikr
Asma' Man Tukullima fihi wa Huwa Muwaththaq
Juga karya al-Hafiz al-Zahabi.
Ia merupakan sebuah kitab yang agung lagi bermanfaat.
Metodologi al-Zahabi di dalamnya ialah beliau akan menyebutkan nama perawi,
nasabnya, dan kunyahnya, serta kata-kata para imam mengenainya dari
sudut jarh dan ta'dil, dan beliau - kebiasaannya - akan
mengeluarkan pendapatnya mengenai perkara tersebut.
Beliau juga memberi peringatan terhadap sesiapa yang
merupakan seorang ahli bidaah, dan kadangkala beliau menyebutkan darjat
hadisnya sama ada sahih atau daif. Beliau juga meletakkan simbol bagi penyusun
Enam Kitab Hadis yang meriwayatkan hadis daripada perawi yang dibiografikan itu,
dengan menggunakan simbol-simbol yang sudah makruf.
9 - Tazkirat al-Huffaz
Karya al-Hafiz al-Zahabi.
Al-Zahabi menyebutkan di dalam kitab ini tokoh-tokoh masyhur yang menjadi pembawa Sunnah, dan para mujtahid dalam al-Jarh wa al-Ta'dil dari peringkat Sahabat sehinggalah peringkat guru-guru beliau. Beliau telah membahagikan mereka kepada dua puluh satu peringkat (tabaqah), dan bilangan biografi di dalam kitab ini mencecah 1176 buah biografi.
Beliau menyebutkan pada setiap biografi: nama ahli hadis
tersebut, gelaran beliau, nasabnya, tarikh kewafatannya, pandangan ulama
mengenainya, amalan-amalan yang telah dilakukannya, dan karya-karya tulisannya,
sekiranya ada.
Kitab ini sangat bermanfaat untuk mengetahui tokoh-tokoh
masyhur pembawa Sunnah pada setiap tabaqah, dari zaman Sahabat
sehinggalah zaman al-Zahabi, iaitu sehingga pertengahan kurun kelapan Hijrah.
Sumber:
Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid
Abdul Majid al-Ghauri









Tiada ulasan:
Catat Ulasan