Hukum Wanita
Bermusafir Tanpa Mahram
Soalan:
Hukum seorang wanita bermusafir tanpa mahram?
Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:
Permusafiran seorang wanita secara bersendirian dalam keadaan aman
adalah harus berdasarkan sabda Nabi SAW kepada 'Adiyy bin Hatim:
يُوشِكُ أَنْ تَخْرُجَ الظَّعِينَةُ مِنَ الْحِيرَةِ تَؤُمُّ الْبَيْتَ
لا زَوْجَ مَعَهَا
"Hampir tiba masanya seorang wanita musafir akan keluar
dari al-Hirah menuju ke Baitullah tanpa ada suami bersamanya."
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Hadis ini dalam konteks
pujian dan mengangkat syiar Islam, maka ia difahami sebagai menunjukkan
keharusan."
Akan tetapi, disyaratkan adanya keamanan di jalanan dan
selamat daripada fitnah. Maka jika kedua-dua syarat ini, atau salah satu
daripadanya tiada, maka tidak harus baginya untuk bermusafir sendirian.
Hukum Wanita
Bermusafir Tanpa Mahram Untuk Bekerja
Soalan:
Hukum seorang wanita bermusafir tanpa mahram untuk bekerja
di luar negerinya?
Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:
Permusafiran seorang wanita untuk bekerja di luar negerinya adalah
topik yang masih dibincangkan dan dikaji. Dalam hadis yang sahih:
لا تُسَافِرِ المَرْأَةُ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ، وَلا يَدْخُلُ
عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ
"Seorang wanita tidak boleh bermusafir melainkan
bersama mahramnya, dan seorang lelaki tidak boleh masuk menemuinya melainkan
ada mahram bersamanya."
Hadis ini terdapat di dalam Sahih al-Bukhari.
Al-Qaffal al-Shashi al-Shafi'i berkata:
"Harus bagi seorang wanita untuk bermusafir sendirian
jika jalan yang dilalui itu aman dan ini kerana hikmah larangan dia bermusafir
sendirian adalah kerana kebimbangan ke atas keselamatannya." Ummul
Mukminin (isteri-isteri Nabi) juga telah menunaikan haji pada zaman pemerintahan
'Umar dan bersama-sama mereka ialah 'Uthman dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf,
sepertimana yang diriwayatkan di dalam al-Bukhari."
Antara dalil yang menunjukkan keharusan untuk wanita
bermusafir sendirian ialah hadis 'Adiyy bin Hatim daripada Nabi SAW:
يُوشِكُ أَنْ تَخْرُجَ الظَّعِينَةُ مِنَ الْحِيرَةِ تَؤُمُّ الْبَيْتَ
لا زَوْجَ مَعَهَا
"Hampir tiba masanya seorang wanita musafir akan keluar
dari al-Hirah menuju ke Baitullah tanpa ada suami bersamanya."
Hadis ini menunjukkan keharusan wanita bermusafir sendirian
ketika dalam keadaan aman.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Pendapat tersebut (iaitu harus
wanita bersusafir sendirian) telah dipertikaikan dengan alasan bahawa ia hanya
menunjukkan kewujudan (kejadian) tersebut, bukan keharusannya. Alasan tersebut
telah dijawab bahawa ia adalah sebuah hadis dalam konteks pujian dan mengangkat
syiar Islam, maka ia difahami sebagai menunjukkan keharusan."
Hadis tersebut terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan
ia menunjukkan keharusan sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar,
lebih-lebih lagi 'Adiyy bin Hatim telah berkata sepertimana di dalam Sahih al-Bukhari:
فَرَأَيْتُ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ
بِالْكَعْبَةِ لا تَخَافُ إِلا اللَّهَ
"Aku telah melihat wanita musafir berangkat dari
al-Hirah sehinggalah dia bertawaf di Kaabah, dia tidak takut sesiapa pun
melainkan Allah."
Akan tetapi, perbahasan mengenai keharusan wanita bermusafir
demi pekerjaan masih berterusan.
Menurut mazhab Hanafi harus baginya bermusafir ke negeri
lain demi keperluan hidup yang mendesak.
Maka adakah pekerjaan itu satu keperluan hidup yang mendesak?
Penilaian terhadap perkara ini bergantung kepada keadaan wanita tersebut dan
keadaan keluarganya. Berdasarkan asas inilah dapat ditentukan sama ada seorang
wanita itu boleh bermusafir atau tidak. Dan sekiranya dia bermusafir, di
manakah dia akan menetap? Dan bersama siapakah?
Sumber:
Mausu’ah Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari
(16/446).

Tiada ulasan:
Catat Ulasan